KITA SUDAH 'TUA'!!

Menulis untuk menafsir kehidupan….


"assalamualaikum syeikh, apa khabar??" Ustaz Tajol menyapa saya yang baru selesai berbicara dengan seseorang. Penggunaan 'syeikh' itu menjadi kebiasaan kami di sini berbahasa.

"wa'alaikumussalam, sihat sahaja."

" kuat betul anta study"

"eh, sikit-sikit je. Study week la katakan."

"dengan siapa anta berbual tadi tue??"

"oh, tu kak ana yang ambil kos biotek"

"oh, kakak anta ke.. ana ingatkan zaujah anta tadi"


Saya terkedu seketika. Tergelak saya mendengar ustaz Tajol bergurau sebegitu rupa. Namun, bukan sekali saya mendengar gurauan begitu. Mungkin ustaz Tajol bergurau atau mungkin tidak. Kalau hendak dibandingkan, memang kakak saya kelihatan lebih muda dari saya, atau dengan kata lain saya kelihatan terlalu tua.

Pernah saya bersama kakak sulung saya ke pesta buku di PWTC, kerana keinginan diri yang membuak-buak untuk mencari buku-buku ilmiah dan peluang sebegitu rupa tidak saya lepaskan. kami meluangkan masa di ruang buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd dan 'bertemu' Ummu Hani, seorang penulis buku.

"erm, yang tu suami ke??" soalan bonus menerjah kakak saya sambil mata terarah ke batang tubuh saya.

"eh, tu adik saya!" kakak memberi penjelasan ringkas sambil ketawa. Sebetulnya saya kurang mendengar perbualan mereka, namun ketawa kakak menyebabkan saya dapat mengagak apa

soalan yang ditanyakan oleh Ummu Hani.


Jadi sudah jelas, bukan kakak saya yang awet muda, namun saya yang 'awet tua'!


Usia muda pemikiran 'tua'


Kadang-kadang tergelak sendirian juga. Ramai juga tidak menyangka umur saya baru sahaja 19 (tapi masih belum cukup umur 19 tahun lagi), kerana raut wajah saya seakan-akan berumur 20 lebih. Tidak sedih dan tidak gembira, ada yang mengatakan itu satu kelebihan, ada juga yang kata itu sesuatu yang 'merugikan', namun jika kita melihat segalanya datang dari Allah, tidak ada yang perlu kita ungkitkan. Kita hanyalah hamba.

Bukan persoalan ini yang saya ingin timbulkan, Cuma fikiran saya sekali lagi disentak. Apa persepsi kita terhadap umur kita yang 'muda' ini?? Apa yang seringkali dikaitkan dengan umur, sehingga terbinanya tembok-tembok yang membataskan diri kita??


"farid, kita ini muda lagi. Tak payah la fikir pasal kahwin-kahwin ini. Lepas habis belajar, boleh lah kalau nak fikir

pun."


Di sini saya menyatakan ketidaksetujuan saya dalam bentuk pemikiran sebegini. bukan bermakna saya ingin berkahwin pada usia semuda ini, (walaupun hasrat tetap ada), namun saya melihat adanya tembok-tembok yang kita bina dalam diri ini sehingga membataskan perkara-perkara yang begitu besar. Tembok yang tidak seharusnya terbina, namun dek kerana kebiasaan kita yang melingkungi kehidupan seharian, maka ini yang saya rasa apa yang dimaksudkan dengan pemikiran 'dalam kotak'.


Ini baru bab perkahwinan. Isu ekonomi, politik, kemasyarakatan, antarabangsa dan sebagainya, tidak akan difikirkan oleh golongan-golongan 'muda' ini. Tembok yang dibina menghalang sinar kehidupan yang sebenar. Bila dihidangkan hiburan, gossip, rancangan reality, komedi, dan sebagainya, nah, ini yang kita katakan yang layak bagi golongan muda.


Kita bukan di tahap yang kecil sahabatku sekalian. Dalam Islam, bilakah seseorang itu memegang tanggungjawab agama?? laki-laki selepas bermimpi dan perempuan tatkala datang bulan. Rata-rata yang mencapai tahap akil baligh ini sekitar umur 12-14 tahun, malah ada yang lebih muda. Jadi, kita semua telah memegang tanggungjawab agama seawal usia tersebut. Mana lagi yang lebih besar daripada memikul agama, kerana dengan kata mudah membela agama ertinya syurga dan menentang agamanya ertinya neraka. Kalau usia 11 tahun taklif atas diri, umur 15 tahun Saidina Ali tidur atas katil nabi dalam riwayat yang masyhur, Usamah memimpin gerombolan tentera pada usia sekitar 17(terdapat khilaf), jadi di manakah kedudukan kita dalam membela

agama??? ini yang saya cuba renungkan dalam diri saya sendiri.


Saya mendapat maklumat, Eropah sekarang telah berjaya melahirkan engineer berusia sekitar 15 tahun!! Hal ini didasari dengan kajian pakar yang mengatakan, perkembangan otak bagi dari umur 0-3 tahun ialah sebanyak 85%, dan selebihnya umur selepas itu, maka mereka menggunakan kesempatan usia seawal itu untuk mencapai tahap maksimun perkembangan otak. Dengan kata lain, kita ketinggalan dalam menggunakan peluang yang ada dahulu. Tidak mustahillah, kalau ulama-ulama terdahulu dapat hafaz al-quran seawal usia 9 tahun. Usia perkembangan yang paling baik. Aduh, betapa jauh ketinggalannya kita membicarakan soal kematangan berfikir.

Berfikirlah dengan lebih luas, perkembangkan keupayaan diri seorang muslim sebenar. Kita masih terperangkap dengan acuan yang lama yang sudah lusuh, sedangkan acuan Islam ini sentiasa hebat dan jitu tidak kita jadikan rujukan kita. Mana tidaknya, saya membiasakan diri untuk bercakap mengenai hal-hal perkahwinan sebagai contoh, namun ramai yang mengatakan saya 'gatal'. Saya berbicara soal perkahwinan yang halal lagi dituntut dalam Islam dikatakan 'gatal', mereka yang asyik-masyuk dengan cinta remaja dan couple2 tidak dikatakan 'gatal', jauh sekali mengatakan haram. AstaghfiruLlah…


Jadi, bukanlah terlalu muda usia daan umur Sultan Muhammad Al-Fateh menawan kota Constantinople, tapi kita yang terlalu 'tua' untuk tidak berfikir sedemikian.


Apapun, hasrat untuk kahwin muda saya perlu timbang-timbangkan.

 

Tahniah akhi Sobri!!

Menulis untuk menafsir kehidupan…


Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Dan diantara tanda-tanda(kebesaranNya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya, dan Dia jadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir..

(al-rum, 21)


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada yang separuh lagi.

(riwayat at-tabarani)


Tanggal 9 mei 2009, satu tarikh yang amat bermakna buat saya juga, lebih-lebih lagi buat sahabat saya yang telah berjaya mendirikan masjid bersama isteri tercinta, kak akmal. Ternyata akh sobri telah menyempurnakan separuh imannya bersama kak akmal, dan ternyata telah masuklah mereka berdua dari golongan yang meraikan sunnah nabi s.a.w walaupun usia masih muda. Ternyata juga sahabat sekelas beliau menanam rasa cemburu kepada akh yang berjaya melangsungkan perkahwinan seawal usia 22 tahun. Masya Allah, hebat sungguh enta. Ana kagum dengan enta ya akhi..hi3


Perkahwinan berlangsung di rumah pengantin perempuan pada tarikh tersebut dengan kadar yang sederhana saya kira. Saya bersama kakak sulung saya yang juga rakan sekelas dengan sobri dan kak akmal tiba di kuala terengganu hari semalamnya kerana upacara akad nikah akan berlangsung kira-kira 9.30 keesokan paginya. Saya telah bermalam di rumah sahabat saya akhi mansur yang tinggal berdekatan dengan lokasi pernikahannya.


"Sobri kahwin??? Betul ke ni??"

Berita perkahwinan Sobri yang dikhabarkan oleh kakak saya beberapa minggu sebelum itu benar-benar mengejutkan saya dan mencabar kelelakian saya. Namun, rezeki beliau tiba dahulu sebelum saya dan saya begitu gembira mendengarnya. Perkenalan saya dengan akh sobri yang begitu singkat menolak kemungkinan yang beliau akan berkahwin awal, namun perancangan Allah terhadapnya ternyata indah. Hanya doa dari saya mengiringi kalian.


Ini juga merupakan kali pertama saya melihat upacara akad nikah seorang sahabat yang saya kenali. Dengan berpakaian baju melayu putih susu bersongkok, akh Sobri ternyata tenang sekali. Namun, berdebar di hati siapa yang tahu. Saya dapat rasakan, perasaan berdebar turut menyelubungi akh firdaus yang menjadi saksi bagi perkahwinan mereka. Sabar akhi, nanti giliran enta pula dok atas bantal empuk itu..hihihi


…dengan mas kahwin tersebuttttt…"

setelah kalimah keramat itu dilafazkan Sobri dengan penuh yakin dan confident nya, kelegaan semua pihak dizahirkan dengan senyuman dan doa, tanda kesyukuran di atas segala pemberianNya. Sebetulnya, saya sendiri kaget diselimuti gembira melihat gelagat Sobri semasa melafazkan lafaz akad nikah itu. Sobri sendiri pun seolah-olah tidak percaya yang dia berkahwin sebegini awal. Apa pun, segala ikatan telah dijalinkan. Segala ketentuan telah dilangsungkan. Yang tinggal sekarang, bagaimana cara kalian mengendalikan bahtera rumah tangga supaya sentiasa dalam Redha Ilahi.


Bila namanya bahtera, sudah pasti akan ada ombak yang datang melanda. Tidak kira kecil atau besar, semua ombak itu perlu kalian hadapinya bersama. Sudah pasti perjuangan kalian tidak lagi seperti dahulu, mungkin bertambah cabarannya sekarang. Yakinlah dengan janji Allah, jika terbinanya baitul muslim ini dengan dasar iman yang taqwa, pahit manis perjuangan semua ditelan bagaikan madu sahaja.


Saya membelek-belek khazanah ilmu dalam rumah dan terjumpa satu buku yang bertajuk, 'Perkahwinan Dalam Islam' tulisan Tariq Ismail Kakhia, beliau menyelusuri kalam Allah yang tersebut di atas tadi dengan berkata :

"Bukanlah bermaksud dengan As-Sakinah di dalam ayat itu hanya semata-mata untuk mendamaikan perasaan berahi yang menjalar dan membara di dalam jiwa manusia itu sahaja, malahan As-Sakinah itu adalah untuk mendamaikan daripada rahsia-rahsia kerunsingan yang sentiasa bergolak di dalam jiwa raga setiap individu. Rahsia ini sungguh sensitif. Sebab manusia merasai kekosongan, kekurangan dan kelemahan yang prlu dibantu dengan bantuan moral dan spiritual. Justeru inilah dia memerlukan seorang teman hidup..! sesungguhnya inilah Assakinah dan ketenteraman rohani." Lihat sahaja contoh Assakinah yang ditonjolkan Saidatina Khadijah kepada Rasulullah ketika baginda mula-mula menerima wahyu dari Allah.


Semoga akh Sobri dan kak Akmal berbahagia hendaknya, dan dicucuri rahmat dan inayah dari Rabbul Alamin….

Wahai tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri kami serta zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata(penyenang hati), dan jadkanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa.

(al-furqan, 74)


Saya perlu khatam buku tadi sebelum bersedia mendirikan masjid nampaknya…

 

U ASK FOR IT!

Assalamualaikum..

Menulis untuk menafsir kehidupan..

Menjalani cuti di rumah ada kebaikannya, dan memang kebaikannya sentiasa wujud insya-Allah. Sudah hampir 18 tahun berada di kelantan, masakan tidak merasai kebaikannya. Namun, tidak semua benda sempurna, mesti ada kekurangannya. Setelah hampir 2 minggu berada di kampung halaman, terdapat satu kelemahan yang saya dapati mulai timbul dalam diri saya; KEBUNTUAN PENJANA FIKIRAN.

Ini bukan sepenuhnya soal persekitaran, namun ia lebih kepada soal SIKAP & KEHENDAK diri saya. Sikap saya di rumah lebih kepada santai tanpa membuka mana-mana kitab ilmu lagi. Sikap saya di rumah yang lebih menonton televisyen yang kononnya melihat perkembangan semasa yang berlaku, sehingga kadang-kadang terlupa dengan permasalahan semasa yang berlaku sekitar saya. Maka dengan sikap sebegini rupa dihanyutkan pula dengan biah yang memang membantutkan fikiran saya. Membantutkan idea dan rasa untuk menyebarkan kalam Allah di mana sahaja. Satu sms dari sahabat begitu menikam jiwa saya:

”air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya, pemuda yang banyak masa lapang(tidak efektif) akan dibunuh oleh masanya itu. Manfaatkan masamu wahai sahabat sekalian, jangan ada sesaat yang terlepas melainkan kerja untuk Allah dan rasulNya...”

Aduhh!! Memang betul sekali katanya. Masa lapang dapat membunuh jiwa seorang muslim jika terbawa-bawa dengan kelapangan yang ada. Masa lapang hampir membunuh fikiran saya. Mujurlah fikiran saya hanya pengsan sementara, masih lagi bernyawa demi sebuah perjalanan di dunia yang singkat ini.

MENCARI PELINCIR


Kalau motor tidak enak untuk dinaiki, mungkin juga minyak pelincirnya sudah kotor dan perlu diganti, ataupun sudah kekeringan minyak. Saya juga dalan pencarian ’minyak pelincir’ yang dapat menjana fikiran supaya tidak berkarat dan akhirnya tidak berguna lagi. Dengan menggunakan motor yang agak uzur, saya membawa diri ke sekolah menengah saya dahulu, menjenguk guru-guru, ustaz-ustazah dan mursyid saya di sana. Apa yang saya jangkakan, ’pasti aku tidak akan pulang dengan tangan kosong’.

Sudah agak lama saya tidak datang ke sekolah. Bertemu guru-guru yang masih lagi segar dan mekar dalam ingatan saya. Bersalam, bertanya khabar, bertukar pengalaman sudah menjadi kemestian. Ada juga cikgu yang terkejut melihat saya, kata mereka saya kelihatan terlalu matang jika dibandingkan dengan umur. Tubuh saya juga dikatakan ’sasa’...haha.. saya hanya tersenyum mesra..
”tak taula cikgu, ni pun belum berkahwin lagi nih...” ujarku bergurau.

Keinginan saya di sekolah juga ditambah dengan kesepakatan beberapa orang lagi untuk membincangkan reunion yang ingin diadakan untuk batch saya. Setakat ini, itu sahajalah tumpuan saya. Namun, seperti yang saya jangkakan, saya tidak akan pulang dengan tangan kosong. Bila berjumpa sahaja dengan ustazah zaharah yang ku anggap sebagai umi, memang tidak sah kalau tak ada kerja. Kebetulan minggu hadapan ialah minggu Bahasa Arab, maka ustazah meminta pertolongan untuk membantunya sedikit sebanyak. Bertemu pula dengan cikgu hasnah (umi) selaku penasihat BADAR, pelbagai perancangan telah diaturnya untuk adik-adik SMKAM. Saya cukup kagumi semangat dan tekad umi yang begitu hebat, walaupun dirinya tidak berapa sihat. Namun senyumannya menutup segala keperitan yang dialaminya. Umi meminta saya bersama rakan yang lain untuk turun padang pada aktiviti qiam yang akan diadakan hujung minggu. Katanya, segala bentuk pengisian akan diserahkan kepada pihak kami.saya pula ditaklifkan untuk memberi penerangan mengenai serangan pemikiran yang berlaku mutakhir ini. Tugas yang agak mencabar. Umi juga ada memaklumkan tentang penubuhan rasmi persatuan alumni sekolah, dan meminta saya mencari dan menghubungi senior-senior untuk dimaklumkan akan hal ini. Hampir tidak cukup tangan saya untuk mengedalikannya. Sebelum itu, saya juga diberi peluang untuk menghadiri liqa majlis tertinggi BADAR, namun ia dibatalkan kerana terdapat program lain yang telah dilakukan pada waktu itu.

”haa, tengok...minta la lagi,kan dah banyak dapat ni..” saya bermonolog sendirian. Bukan kerana terbeban dengan apa yang diberi, namun sekadar merenung diri saya. Merenung diri yang masih lagi diri yang masih lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan sesuatu yang mungkin pada pandangan orang lain kecil, namun saya melihat dari sudut AMANAH yang diberi. Bila namanya AMANAH, tidak ada pada saya istilah kecil atau besar, sebab semuanya perlu dijawab dihadapan ALLAH kelak. Itu yang pertama dan utama, dari sini juga, saya telah dapat sedikit ’pelincir’ kepada fikiran saya. Apapun, matlamat sudah terang, tinggal lagi pelaksanaan sahaja.

”farid, ana nak minta tolong ini. Insya ALLAH sekolah lama ana nak diadakan satu forum tentang kehidupan di IPT. Ana nak jemput enta jadi salah seorang panel. Alah, bukan sapa-sapa pun, orang kita juga..” sahabat ana menelefon.

Kalau yang ini, memang mencabar dan menjana fikiran saya, keberatan untuk menerima tetapi kepayahan untuk menolak. solat dhuha saya yang tidak sempat saya akhiri dengan doa, dihadiahkan ’rezeki’ yang begitu bermakna buat saya. Rezeki beramal kerna ALLAH.

Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dilakukannya, dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang dilakukannya...
(mafhum surah al-baqarah;286)
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger