Tutur Bicara Perjuangan...

Salam perjuangan...

mengimbau memori yang masih terasa 'kesan'nya sehingga sekarang...
tidak meninggalkan kata yang banyak, tidak juga bekalan harta untuk dibawa pulang,
namun melakarkan tutur bicara seorang pejuang, dalam sebuah lirik lagu nan indah...


Perjuangan itu gerun dan mengerikan
Hebat dan dasyat menggerunkan hati
Bagi mu'min di sini harga dan nilainya
Bagi mu'min di sini harga dan nilainya

Perjuangan itu bagai sampan di laut
Di atas lapang tiada perlindungan
Di bawa air melambung dan menggunung
Menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
Angin yang menderu tidak tahu mana datang
Hujan badai yang datang menyerang
Bak singa lapar yang garang

Kadang-kadang terdampar di batu karang
Penumpang menerima nasib berlainan
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang berjaya berenang ke tepian
Sekali lagi dia melayar sampan
Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
Namun harapnya hanya pada yang Esa
 

Kerana Tasbih Merah... (bahagian pertama)



Malam semakin tua. Jarum pendek pada jam dinding menghampiri nombor dua. Sudah hampir dua jam lebih laptop kecil kepunyaannya di'on'kan. Papan kekunci terus ditekan jari jemari kasarnya. Sambil menikmati nescafe sejuk di sudut kanan meja tulis, sesekali badan menyandarkan diri ke kerusi kuning itu mengambil sedikit nafas lega. Menghirup angin malam yang dingin, sambil mengurut kelopak matanya yang kian cengkung, tidak secocok dengan usia mudanya.

 

rebah, bangkit, dan terus bangkit.

Salam kebangkitan....

Hampir terkejut melihat rupa-rupanya hampir 2bulan saya tidak mengisi ruang maya ini dengan coretan peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan hidup ini. Hidup sebagai anak kepada ibubapa, mahasiswa, pendakwah, pejuang, abang, bapa, kawan, lawan, dan seumpamanya.


Tiada alasan kukuh yang mampu saya berikan. kalau hendak dikatakan sibuk, ratusan pejuang di luar sana lelah dengan barah masyarakat yang perlu dirawati. Bahkan, ada beberapa orang yang saya kenali masih mampu mengeluarkan satu post di blognya setiap minggu. Lebih hebat lagi, seorang pejuang yang juga saya kenali dapat mengeluarkan buku hampir setiap 2 bulan sekali, dan saya tidak dapat fikirkan di manakah masa kosong yang dia miliki untuk membuat penulisan tersebut.

Benarlah, mana mungkin kita menunggu masa lapang untuk terhidang di hadapan kita. KITA yang perlu melapangkan masa untuk perkara yang sedemikian rupa.

Malu untuk saya mengaku, mungkin dalam tempoh sebelum ini saya 'rebah' dalam upaya untuk menulis, tidak kira di dalam blog mahupun di dalam himpunan artikel yang saya tulis secara peribadi. Pemikiran yang kian tumpul, kritikan yang agak dangkal, malas yang mencengkam jiwa secara tidak langsung membantutkan hasil penulisan saya mutakhir ini.

Namun, apa guna saya terus meletakkan alasan di hadapan mata. Pesan seorang sahabat yang cukup untuk menjentik minda separa sedar ini, "kadang-kadang kita terlalu memikirkan terhadap seseorang; kenapalah dia tak boleh selesaikan kerja senang itu, kenapalah dia boleh jadi macam tu, dan sebagainya. Tanpa kita terus memikirkan; nampaknya dia mungkin tak mampu lakukan tugas tersebut, maka saya minta sesiapa dalam kalangan kita untuk bantu dia selesaikan kerja itu..." jika kita mampu fikirkan penyelesaian kepada masalah dan bukan sibuk memikirkan bagaimana masalah itu boleh timbul, pasti gerakan kita terus cepat dan cekap.

Saya ulangi, jika kita mampu fikirkan penyelesaian kepada masalah dan bukan sibuk memikirkan bagaimana masalah itu boleh timbul, pasti gerakan kita terus cepat dan cekap. Tidak dinafikan, 'post-mortem' terhadap sesuatu masalah itu penting, namun keterlaluan memikirkannya boleh membuatkan kecelaruan terus bersarang. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang ma'sum sekarang ini selain dari kalam Allah dan rasulNya???

Maka, saya juga tidak akan terlalu memikirkan persoalan rebah tadi. Namun, apa yang paling penting untuk saya, awak, dia, mereka dan semua terus bertindak untuk 'bangkit', dan terus 'bangkit' dalam menempuhi rintangan dalam perjalanan kehidupan. Ijtihad-ijtihad kecil dalam perkara yang tiada nas secara jelas menyebutnya; akan terus saya lakukan. Dengan harapan, jika sekiranya bernas dan tepat, mampu menyumbang kepada diri dan mereka yang lain. Jika sekiranya silap, maka saya akan teruskan juga untuk memikirkan dan bertindak dengan cara yang lebih hebat dari sebelumnya, selain ganjaran di sisi Allah walaupun ijtihad yang kurang tepat.

Usah dipedulikan kemuncup yang terus berpaut di sepanjang perjalananmu, namun fikirkan jalan yang panjang yang perlu kamu akhiri..

"Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, nescaya mereka akan mengikutmu, akan tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka..." -mafhum firman Allah, at-taubah: 42.

rebah, bangkit, dan terus bangkit!!!
 

aku di tempat yang hina

Telah berfirman Allah mafhumnya:

"Sesungguhnya Kami telah bentangkan amanah kepada langit, bumi, bukit bukau dan gunung-ganang. Semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir mengkhianatinya dan manusia memikul amanah itu, sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil."
(al-ahzab, ayat 72)


Tiada kata lagi yang mampu aku lafazkan. Jiwa mana yang tidak lemah apabila mata melirik panjang meneliti kalam tuhan di dalam Al-kitab yang maha agung itu. Maka benarlah tiap-tiap apa yang terkandung dalam Al-quran. Dan tidaklah diturunkan Al-kitab melainkan untuk manusia memahami dan menekuni dalam tiap saat kehidupan.

Bila berbicara tentang amanah, bicara akan menjadi berat. Lebih berat daripada sebuah batu besar. Bahkan, lebih besar dan berat ini jika hendak dibandingkan dengan memindahkan gunung dan bukit sekalipun. Manusia bodoh dan zalim sahaja bisa bermain-main dengan amanah ini, sekaligus memandang enteng terhadapnya. Moga-moga aku dijauhkan darinya.

Luas amanah itu seluas samudera. Menegakkan hukum Tuhan adalah bebanan amanah, mentadbir urusan manusia juga amanah, menggerakkan pimpinan dan menjaga keluarga juga amanah. Maka, ianya merupakan bebanan kepada manusia yang bergelar khalifah.


Di tempat yang hina.

Mengimbau bicara santai aku dengan seorang sahabat. Beliau juga baru sahaja dibeban dengan tugas sebagai salah seorang daripada Majlis Perwakilan Pelajar. Dan aku pula diberikan amanah berstatus jawatankuasa kebajikan asrama siswa. Saling bertahniah dan bertakziah kami hulurkan. Dan beliau menyusun satu kata yang sampai hari ini masih aku pakukan dalam benak jiwa ini:

"Kawan ana pernah bagitahu ana. Enta pegang MPP ini ingat, enta duduk di tempat yang hina tu!"

Pukulan katanya tepat pada diriku. Orang pegang amanah bukan berada di tempat mulia, kesilapan diri boleh menarik diri ke lembah yang HINA, HINA!.

Siapa yang tidak kenal dengan sahabat nabi yang soleh lagi wara', Abu Dzar r.a. Beliau merupakan sahabat yang begitu hebat perbendaharaan ilmunya, bahkan Saidina Ali pernah memuji beliau dengan pujian: "Abu Dzar ialah penyimpan jenis-jenis ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi oleh orang lain". Kesolehannya sudah tentu hanya dapat kita capai dalam mimpi tidur kita sahaja.

Namun, kata Nabi s.a.w tatkala bertanya Abu Dzar kepada baginda kenapa dirinya tidak dilantik menjadi seorang pemimpin:

Wahai Abu Dzar! Engkau seorang yang lemah, dan ini ialah amanah, dan ia di hari akhirat nanti membawa KEHINAAN dan PENYESALAN...

itulah amanah. Tidak dipuji mereka yang memikul amanah ini... kecuali:

إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها

"kecuali orang-orang yang mengambilnya dengan benar dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan kepadanya." (riwayat muslim)

Orang yang soleh boleh berubah menjadi hina bila amanah yang dipikul tidak dilaksanakan dengan baik serta sempurna. Kemampuan memikul amanah hanya terletak kepada mereka yang benar serta ahli dengannya.

Imam Malik bin Anas pernah mengutus surat kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid. Di antara kandungannya:

"Sesungguhnya engkau tidak selamat sedikitpun daripada tanggungjawab urusanmu kalau diserahkan kepada orang yang tidak takutkan Allah!

"Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya bagi Allah itu segala pujian, yang telah mengangkatmu memegang tugas yang sangat besar. Pahalanya adalah sebesar-besar pahala, dan seksaannya sekeras-keras siksaan!

Sungguh, ia bukan lagi bicara kebanggaan di ruang facebook atau blog. Bukan juga bicara kosong di kedai makan dan kafe. Ia suatu perkara berat! Terlalu serius untuk diborakkan! Tidak cukupkah dengan amaran dan celaan yang diletakkan dihadapan mata kita?!

Aku sendiri, masih menjawat dua jawatan besar di kampus. Belum lagi dicampur dengan tugas seorang pelajar, anak, pendidik, perubah generasi dan sebagainya. Usah dikatakan aku telah berlaku adil, tidur pun masih boleh lena diulik mimpi indah!

Orang yang amanah akan sentiasa menilai diri menjadi agar terus menjadi hebat, sedangkan pembacaanku dan mutabaah harianku bertaraf manusia baru baligh.

Orang yang amanah pasti rambutnya gersang, tidurnya kurang, akalnya sibuk memikirkan urusan, sedangkan aku masih sempat bergelak ceria dan mengeyangkan perut dengan jamuan selera.

Orang yang amanah pasti matanya lebam kehitaman kerana munajat pada Ilahi agar dikurniakan kekuatan ruhiy, bibirnya kering beristighfar di atas tiap langkah perbuatan... Sedangkan aku....aku...

Kalaulah Imam Malik berada di hadapanku, pasti celaan ditaburkan kepadaku.
Kalaulah Harun Ar-Rasyid mengetahui kejahilan diriku, pasti ditendangnya aku dari memikul amanah yang berat.

Ya Allah, Kepada Mu jua aku kembali!
 

Kenangan Terindah

Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda:

ولو يعلم العباد ما في شهر رمضان لتمنى العباد أن يكون شهر رمضان سنة

maksudnya: "kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan, nescaya mereka akan bercita-cita supaya bulan Ramadhan berlaku sepanjang tahun"

Riwayat al- Tabarani, Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi.

*****************

Awalnya, saya hanya melihat kalam tersebut secara zahirnya sahaja. Namun, lama kelamaan barulah saya merasa akan kehilangannya. Mungkin disebabkan lumpur dosa di hati sehingga sukar untuk mengamati dan menyedarinya awal-awal. Rugi, alangkah ruginya manusia.

Mengimbau kenangan Ramadhan...

Awal ramadhan lagi saya sudah ditaklifkan untuk memimpin jemaah surau di Nilam Court. Memang tidak disangka, disitulah bermulanya tarawih saya pada tahun ini. Alhamdulillah, Ramadhan disambut riang oleh warga kolej disana. Memutih mata melihat beberapa saf muslimat di belakang kami bermula dari solat Isya' sehingga usai solat witir. Bahkan, suraunya pun bukan di lokasi biasa, tempatnya dihamparkan tikar di atas tar jalan berbumbungkan khemah. Sungguh, jemaah solat memang ramai daripada kebiasaannya. Ruh ramadhan cepat mereka rasai. Mungkin juga mereka yang tidak pernah turun surau sebelum ini pun tergerak hati untuk mengikuti madrasah ramadhan kali ini. Moga-moga semuanya disulam dengan niat yang ikhlas malah mengikut sunnah yang benar.

"Bangun, bangun.. sahur laa..."
Seawal jam 5.00 pagi ada yang sudah bangun untuk melaksanakan sunnah yang dituntut di dalam bulan ramadhan; bersahur. Syukur, sahabat serumah saya juga kurang liatnya untuk bangun bersahur. Sekadar seteguk dua air kosong dan kurma sudah memadai. Pernah juga kami bersahur di sebuah kedai makan berdekatan dengan kolej kediaman. Kagum saya, ramai sungguh manusia yang bangun awal pagi semata-mata untuk melakukan sunnah ini; walaupun ada yang menghisap rokok sebagai sahur mereka. Bahkan, itulah pertama kali saya melihat pelayan kedai makan tersebut memakai kopiah sambil menyediakan makanan. Baru lepas melaksanakan qiam barangkali. Ada juga sahabat lain yang siap dengan baju Melayu berkain pelikat untuk terus ke masjid menunaikan solat subuh pada awal waktunya. Hebat, mereka semua semakin berubah ke arah yang terang. Malu makin menebal dalam diri.

Suasana di kampus juga berubah wajah. Rata-rata mahasiswa akan membawa al-quran kecil beserta terjemahannya untuk dibaca ketika selang waktu kosong. Malah mereka yang bersongkok pun bertambah ramai. Walaupun kafe kosong dengan makanan, namun ada yang mengisi ruang itu dengan berdiskusi ilmu, membaca al-quran, menambah ilmu pengetahuan dan mengeratkan persaudaraan. Suatu suasana yang tidak pernah wujud sebelum ini. Mereka yang melakukan solat Dhuha juga bertambah. Suasana selepas solat zuhur juga berubah. Kalau dahulu usai sahaja solat zuhur maka ada yang terlena di surau fakulti. Namun, ramadhan telah memberi mereka suntikan keimanan untuk membuat satu halaqah kecil dan bertadarus al-quran bersama-sama. Subhanallah, jiwa mereka kenyang dengan kalam Allah. Makin bertambah segan saya dengan mereka.

Kelas tutorial juga terasa makin seronok. Saya begitu menyayangi seorang ustaz yang telah menyedarkan diri yang lena dengan hanya membaca al-quran namun jarang sekali mentadabbur ayat-ayat yang terdapat di dalamnya.
"Bacalah, apa yang mudah dari al-quran.." Seorang ustaz memulakan kelas pada hari itu dengan kalam yang begitu berhikmah. Maka saya telah membaca beberapa potong ayat al-quran. Ustaz berpesan, bahawa bulan yang istimewa ini perlu diperbanyak amalan sunat dan antaranya ialah membaca al-quran. Bahkan, tidak cukup dengan membaca perlunya kita bertadabbur dengan ayat-ayat al-quran. Ulama telah menyusun beberapa cara untuk bertadabbur al-quran dan antaranya ialah dengan melihat tiap-tiap ayat al-quran itu ditujukan kepada kita sendiri walaupun lafaznya khusus. Dengan cara ini kita akan dapat merasa al-quran itu benar-benar dekat dengan jiwa kita. Daripada tadabbur, akan membuahkan amalan-amalan yang mengikut suruhanNya serta meninggalkan laranganNya.

Tazkirah, kuliah, majlis ilmu bercambah dengan laju di dalam fatrah ramadhan ini. Iftar jamie pula tidak kurangnya. Ukhwah semakin dieratkan supaya perasaan mahabbah sesama insan semakin bercambah tanpa mengira pointer, tahap kecerdikan, status keturunan dan pandangan politik. Amalan bersedekah disuburkan. Akhlak mahmudah semakin berbuah. Semua itu didasarkan agar ramadhan dapat dihayati dan diisi dengan amalan yang akhirnya menatijahkan ketakwaan yang menyuluh di sanubari. Senyuman dapat diukir di bibir pada bulan ramadhan ini; tanda bersyukur dengan perubahan yang berlaku.

Namun, mungkin senyuman ini akan terus menipis di saat menempuhi bulan-bulan selepas bulan Ramadhan ini. Itulah hakikatnya.

Tikar sudah mula disimpan untuk digunakan tahun hadapan pula. Al-quran dizip rapat supaya habuk tidak terlalu tebal untuk dibuka beberapa bulan lagi. Surau akan disampahkan dengan manusia yang tidur diulik mimpi nan indah. Perut dikenyangkan dengan makanan sedangkan jiwa dan rohani terus mengadu kelaparan dan 'berpuasa' untuk beberapa bulan seterusnya.

Semuanya sudah tinggal kenangan. Kenangan yang terindah. Sebuah kenangan yang akan diselak kembali apabila tiba waktunya nanti.

Ingatlah, ramadhan telah pergi. Namun Tuhan kepada ramadhan tetap hidup dan kekal abadi. Dia juga tuhan kepada bulan Syawal, Zulkaedah dan seterusnya. Seorang muslim itu menyembah Tuhan, bukan makhluk Tuhan. Ingatlah, jika kamu benar-benar beriman.

Maka takbir raya sudah hilang maqasid dan matlamat sebenarnya. Takbir raya yang hanya merugikan air mata yang mengalir dan mengeringkan tekak yang melaungkan. Mengapa takbir raya yang sepatutnya menjadi tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana petunjuk hidayah yang diperolehi di saat ramadhan, bertukar menjadi perhiasan di kaca televisyen sahaja???

Takbir hanya layak bagi mereka yang mendapat petunjuk di bulan yang mulia itu, yang mampu istiqamah dengan amalannya terdahulu, serta menambahbaik segala perlakuannya yang dahulu. Lahir sebagai 'insan baru'.


Sungguh, aku inginkan ramadhan berpanjangan...




 

IKHTILAT; SIAPA KATA TAK BOLEH??




-artikel ringkas ini telah dahulu disiarkan di dalam sebuah risalah ringkas.


"Kenapa mesti marah kat aku?? Bukannya aku buat benda salah. Nak kenal saudara islam je pun..." tutur seorang sahabat. Murni niatnya itu.
"Anta jangan salah faham. Ana nak kenal dia je. Bukankah al-quran menyuruh kita untuk berkenal-kenalan? Rujuk surah al-hujurat.." Ujar seorang sahabat dengan tegas. Bukan calang-calang, ditompang keinginannya itu dengan dalil yang meng'halal'kan hasratnya itu.

Ramai yang kebuntuan. Mereka yang tahu semakin melawan. Mereka yang jahil semakin menyimpang. Dunia tanpa batasan sudah mula ditafsir dengan ilmu sendiri. IKHTILAT DIBUDAYAKAN!!

IKHTILAT; ANDA MAMPU MENGUBAHNYA.

Ikhtilat (pergaulan) kurang dituturkan oleh kebanyakan masyarakat, namun perbuatannya kian membiak dengan derasnya. Malah, mereka yang tahu agama juga tidak terlepas dari melewati batasan syariat ini. Syariatullah tidak pernah menghalang firtah manusia, bahkan ia selalu mengawal manusia supaya menterjemahkan fitrah itu dengan sebaiknya.

"demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan.." -As-Shams, 7&8.

Allah telah mengilhamkan dalam diri hambaNya sukma kefasikan dan ketakwaan, maka adalah menjadi pilihan manusia untuk memilih antara dua persimpangan ini. Tiada yang ketiga.

Dalam perkara ini--pergaulan antara lelaki dan perempuan, syariat telah membina batasan demi menjaga maruah diri, kesucian hati, dan rabitah imaniah dengan Ilahi. Batasan itu bukanlah sesuatu yang menyusahkan, jelas ia menjadi pemandu ke arah jalan ketakwaan.

Tegahan supaya menundukkan pandangan-ghadul basar (an-nur,30-31), sebagaimana nabi s.a.w juga menegah pandangan kedua mengiringi yang pertama, justeru bagi mengelakkan dari panahan syaitan yang merosakkan jiwa insan dari mengenal cinta Tuhan. Hamba Allah yang beriman juga diharamkan dari melunakkan suara dalam berbicara dengan bukan mahram (al-ahzab, 32) kerana suara mampu mencairkan benteng iman yang rapuh itu. Malah, sudah jelas garis panduan yang boleh disemak dalam dalil yang sarih. Jika diikut, muamalat yang baik dapat dipupuk.

Tegahan itu untuk mengelakkan mudarat lebih besar dari berlaku. Allah bukan sekadar menghalang ZINA, bahkan JALAN untuk mendekatinya pun ditutup rapat tanpa kompromi. Semua itu demi memupuk fitrah insan yang suci dari terus dikotori, dan menjaga masyarakat dari kefasadan yang pasti.
Namun, yang dirisaukan sekarang bukan pada mereka yang jahil sahaja, malah mereka yang bakal memegang title ustaz dan ustazah, protaz dan sebagainya juga terjebak dengan semua ini. Dengan alasan study group, 'ukhwah fillah', mesyuarat, belanja makan tanda penghargaan dialas supaya mengindahkan lagi ikhtilat haram mereka itu. Jelas, perkara haram tidak boleh bercampur dengan halal!

"dan jangan kamu campurkan hak dengan batil, dan kamu menyembunyikan hak sedangkan kamu mengetahuinya.."-al-baqarah, 42.

Niat yang baik tidak dapat menghalalkan ikhtilat yang ditegah dalam Islam. Ingatlah, syaitan mampu memesongkan niat mulia kita untuk 'ukhwah' itu dengan pergaulan yang berakhir dengan murka Allah. Walaupun ilmu agamamu tinggi melangit walau digelar ustaz sekalipun! (al-ankabut, 38)

PENTINGKAH TUHAN DALAM HIDUPMU?

Sebagai hamba Allah, jangan teruskan beralasan dalam melaksanakan hukum dan peraturan yang telah ditetapkan.
Namun, jika kamu mampu membawa segala alasan itu untuk berlepas dengan azab Allah kelak, persilakanlah!!
Tunduk dengan perintah Allah mampu membuktikan akur dan patuh kita sebagai hamba yang kerdil disisiNya. Banyak beralasan menumbuhkan benih kesombongan dan itu bukan selayaknya hamba yang beriman dan yang menambakan syurga.

Siapa kata ikhtilat itu tak boleh, maka bukalah al-quran dan as-sunnah untuk mengetahuinya.

Dan bermuhasabahlah, di mana Allah dalam prioriti kamu??

 
Assalamualaikum....

Persinggahan sementara seorang rakan sekolah dahulu ke ruangan ini memesan sesuatu. Satu pesanan dari saudara seislam. Mengenai seorang manusia yang bernama Dr. Aafia Siddique/Siddiqui. Saya letakkan linknya di sini. Maklumat tentangnya pun tidak banyak saya dapat. Mungkin boleh diselidik di laman sesawang yang banyak seperti wikipedia, youtube dan sebagainya.

Sekian.
 

Doakan aku tidak dusta!!

Pembacaanku pada suatu hari terhenti seketika. Terhenti pada lampu merah; peringatan di perjalanan hidup sebelum meneruskan langkah seterusnya. Hentiku bukan lelah, namun henti pada teguran Murabbi Agung yang tulus dalam kalam ma'sumnya. Aku tatap hadis itu sekali lagi supaya dapat aku maksudnya 'al-ikhlas' itu dalam tiap amalanku...

buat renungan kalian...

Syuhada, Ulama, dan Dermawan

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya manusia yang pertama kali diadili pada hati Kiamat adalah orang yang mati syahid. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?" Orang itu menjawab, "Saya berperang di jalan-Mu hingga mati syahid." Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu berperang, agar kamu dikatakan pemberani, seorang pahlawan!" Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilempar ke dalam neraka.

Selanjutnya, didatangkan ulama; orang yang belajar ilmu, mengajarkannya, serta membaca Al-Qur'an. Maka, didatangkanlah orang tersebut lalu diperlihatkan nikmat-Nya. Dia pun tahu akan nikmat-nikmatitu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?" Orang itu menjawab, "Saya belajar ilmu dan mengajarkannya, serta membaca Al-Qur'an untuk-Mu." Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu belajar dan mengajarkan ilmu serta membaca Al-Qur'an supaya kamu dikatakan alim, supaya kamu dikatakan seorang qori!" Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

Berikutnya. didatangkan orang yang diluaskan rezekinya oleh Allah dan Allah memberikannya semua bentuk harta kekayaan yang beraneka ragam. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apa yang kamu lakukan dengan hartamu yang melimpah itu?"
Orang itu menjawab, "Saya gunakan seluruh harta itu untuk berbelanja di jalan-Mu, ya Allah!" Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu kerjakan semua itu supaya kamu dikatakan sebagai seorang dermawan!"
Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka. (mafhum HR. Muslim)


Pesanan Buat Kita

Kisah itu melibatkan mereka yang bukan calang-calang.
Seorang mengugurkan darahnya di medan perang.
Seorang lagi bertaraf ulama yang padanya telaga ilmu untuk dicurahkan.
Seorang lagi kekayaannya diagih kepada mereka yang memerlukan.

Namun, aku pula??
Bukannya bertaraf syuhada. Sekadar blogger yang mencoretkan dakwat di atas papan maya.
Bukan juga ulama. Tintaku bukan kalam ma'rifat yang tajam untuk dikongsikan.
Jauh juga dari taraf derwawan. Hartaku tidak cukup untuk dikeluarkan zakat sekalipun.


Mereka hebat pada pandangan manusia. Namun dihina disisi Tuhan.
Mereka menyangka amal mereka berlimpah dengan berkat dan rahmat, hakikatnya semua itu kontang dari sifat al-ikhlas. Maka mereka dihitung sebagai pendusta. Pendusta dalam 'amal soleh' mereka!!

Kebimbangan mula menjalar dalam nadi perjuangan ini....
Takut bila ditanya, apa yang kamu buat dengan ruang dakwah kamu di blog semasa kamu hidup dulu??

Adakah kerana inginkan pujian dan sanjungan ramai??
Atau mengharapkan comment dari pembaca-pembaca??
Atau memenuhkan shoutbox dengan kata-kata indah dan pujian??dan sekadar mengisi masa lapang??

Atau benar-benar IKHLAS mengharapkan Redha Allah dalam setiap amalan??
Menjadikan Allah sebagai tujuan hidup kita?? tanpa mengharapkan keuntungan dunia yang seberat sayap nyamuk ini??

Doakan aku tidak dusta!!!
 

Mereka yang saya kenal

Menyulusuri hikmah al-ghazali membuatkan aku termenung seketika. Mencari erti disebalik kata-kata tersebut. Kata-katanya cukup indah untuk dinilai kembali, juga sebagai muhasabah diri.

"Antara tanda seorang yang soleh itu ialah, apabila melihat wajahnya maka akan teringat kepada Allah..."

Astaghfirullah..astaghfirullah...astaghfirullah...

Saya mengeluh sendirian. Hakikat kalam hikmah itu belum saya capai. Namun, saya bersyukur kerana dapat mencium tandanya dari sahabat-sahabat serta teman sekeliling saya. Saya masih mampu tersenyum kerana punyai sahabat sedemikian. Malah saya cukup bertuah jika orang bertanyakan saya tentang sahabat saya, dan saya mampu mengatakan "beliau adalah sahabat saya".

Mereka yang saya kenal

Perkenalan saya dengannya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Saudara Arislan Nasrullah merupakan satu nama yang tidak asing di sekolah dahulu sewaktu zaman saya. Aktif dalam nasyid, merupakan presiden badar dan juga mahir dalam qiraat menjadikan saya bangga memiliki sahabat sedemikian. Riak wajahnya juga selalu tenang, bahkan kami di sekolah dahulu mengkagumi beliau kerana dirinya yang selalu tenang walaupun kerja sekolahnya lebih kurang seperti saya juga. Seorang anak yang patuh kepada ibubapanya, telah membawa dirinya ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran, dan saya masih di sini. Doa dan rindu saya mengiringi beliau di sana. Beliau mengajar saya tentang manisnya bersedekah pada jalan Allah.

Saudara Rasyadan
pula merupakan insan yang saya kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di bumi USIM. Perkenalan kami secara tidak berapa langsung masih lagi utuh sehingga kini. Entah apa yang mengikat kami masih lagi bersama, namun saya kira mungkin kesatuan fikrah yang saya dan beliau miliki menyatukan kami dalam kebanyakan perjumpaan kami (beliau juga orang kelantan). Wajahnya tenang amat, sentiasa mengukirkan senyuman, dan sering juga membetulkan kacamata lama yang kian pudar itu. Kacamata perjuangan saya kira. Kunjungannya bertemu dengan saya, akan saya berikan perhatian sepenuhnya walaupun saya di tengah pembacaan, walaupun di tengah malam; kerna saya tahu, jika saya letih, maka beliau pasti letih dan penat. jika saya mengantuk, maka beliau pasti mengantuk dan lelah. Beliau akan sentiasa mendahului saya dalam perjuangan ini.

Tiap kali bertemu dengannya, senyuman didahulukan dan salam dijambatkan. Saudara Basri membesar bersama dengan saya sejak awal pengajian di tamhidi lagi. Namun bila mengenangkan peristiwa semasa di ihtifal smka dahulu, saya akan tergelak sendirian. Disangkaan orang luar rupa-rupanya kelantan pekat; apatah lagi asalnya dari Paloh Rawa, Machang (metropolitan katanya). Dalam senyuman manis dan tenangnya, ada juga teguran yang membina. Masa bukan barang mainannya, maka kami mesti menepati masa kalau sudah berjanji untuk bertemu pada pukul sekian-sekian. Saya merasai jatuh bangunnya beliau, saya juga merasai perit manis beliau. Walaupun bukan semua, tapi mata yang memandang turut merasai tempiasnya, sekalipun badan yang menanggung pasti melaluinya dengan penuh kecekalan. Bertemu dengannya pasti bukan pertemuan yang sia-sia, pasti ada perbincangan yang bermanfaat dikongsi, diselit dengan gurau senda yang menambahkan manis dalam tali perhubungan kami.

Nama yang unik di bumi malaysia ini membuatkan dirinya senang untuk dikenali,- Ibrahim Hussin Ibrahim. Namanya sudah harum di maahad, dan sedang mekar mewangi di tanah Nilai ini. Hijrahnya dari bidang sains kepada syariah merupakan hijrah yang bermakna buat dirinya, juga buat diri saya. Wajahnya kacak, tubuh badannya segak (walaupun sedikit kurus). Tetapi itu semua bukan ukuran sebenar, bahkan itu tidak sesekali membanggakan saya. Sifatnya yang bersemangat, istiqamah, dan sabar menghadapi tekanan sering saya jadikan ukuran untuk terus maju bersamanya. Tabiat pembersihnya juga memberi kesan kepada diri saya ini. Moga dirinya sehebat abuya nya.

Nasiruddin
, batang tubuhnya tetap segar dalam ingatan ini, walaupun hampir 2tahun tidak bersua muka dengannya. Baru beberapa minggu lalu beliau menelefon saya dari mesir, loghat kedahnya itu masih jati dalam dirinya. Kelahiran blog saya dan beliau sama, namun kalamnya makin lama makin berisi dari saya, meskipun desakan pengajian dalam bidang kedoktoran sentiasa menghimpit masanya. Malu untuk saya mengaku, namun dirinya sentiasa terkehadapan berbanding saya. Jika saya dalam bidang syariah, maka dia telah merancang untuk faqih dalam ilmu kedoktoran dan syariah. Jika saya ingin berjinak dalam ilmu mantiq, maka beliau telah menekuninya dari bangku sekolah lagi. Beliau mengajar saya tentang peri pentingnya menekuni ilmu, bukan sekadar berjuang namun diri kontang dari bekalan ilmu.

Saudara Mansur juga rakan seperjuangan yang usianya muda namun makin hari makin cuba menampakkan matangnya dalam perjuangan, samada dalam pelajaran ataupun dalam bidang dakwah. Orangnya sentiasa sibuk, agak sukar untuk mencarinya pada hari-hari minggu. Saya mengenali dirinya sejak dari tamhidi lagi, dan hidupnya pasti terus menuju kepada peningkatan; suatu yang pasti tersemat dalam diri setiap mukmin. Senang menerima teguran, sabar dalam pergaulan menyebabkan saya juga perlu cermin diri dengan segala sifat kekurangan saya.

Perkenalan dengan Saudara Syihan tidaklah terlalu lama, masa masih terlalu muda untuk saya menilai beliau. Sikapnya juga sentiasa riang, ramah dan senang untuk dibawa berbincang. Ada yang mengatakan beliau sedikit agresif, namun saya katakan beliau sebenarnya reaktif. Seorang yang prihatin, berinformasi dan juga tegas meyerlahkan sifat-sifat kepimpinan dalam dirinya. Bicaranya bermanfaat, penulisannya berisi, pasti dalam dirinya terkandung semangat juang yang tinggi. Maka Allah jualah yang lebih mengenali diri dan cita-citanya.

Masih terlalu ramai untuk disusun, namun nama kalian semua kususun dalam doa aku setiap hari. Mungkin sahaja nama kalian sunyi di bumi ini, namun kuharap nama kalian disebut-sebut di angkasa langit sana.

****************************

Mereka itulah yang saya kenal.
Ada yang mengingatkan saya tentang kesabaran dalam hidup.
Ada yang mengingatkan saya tentang erti penat dan lelah dalam perjuangan.
Ada yang mengingatkan saya tentang semangat ukhwah fillah yang perlu disemai dalam perhubungan sesama insan.

Peringatan itu amat bermanfaat. Bermanfaat bagi orang yang beriman.
Peringatan yang mendekatkan diri kepada Rabbul Jalal. Mengingatkan tentang diri merupakan hamba yang hina di hadapan Tuhan Segala-galanya.

Maafkan aku wahai sahabat. Aku mungkin tidak mampu memberi banyak manfaat kepada kalian, namun aku akan pastikan aku tidak akan menjadi penghalang kepada jalan untuk kalian dekat dengan Tuhan.

Berjuang pada jalan Tuhan perlu suci, kerana sesungguhnya suci tidak akan bisa selesa dengan kekotoran.

Para pejuang sentiasa merintih dan berteleku, "siapakah yang akan bersamaku dalam perjuangan ini??"

Aku tunduk malu sendirian, "adakah aku yang hina berada dalam perjuangan ini??"....

Umar r.a masuk ke masjid dan melihat Mu'adz bin Jabal sedang menangis di sisi kuburan Rasulullah s.a.w.. Umar bertanya, "Apa yang membuatmu menangis wahai Mu'adz?" Mu'adz menjawab bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya sedikit dari riya' adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa yang tersembunyi, yaitu orang-orang yang apabila mereka tidak ada maka orang merasa kehilangan dan apabila mereka hadir mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat." ( mafhum HR. Thabrani)
 

ISU PENEMPATAN MAHASISWA/I

Salam kebajikan,

Lebih seribu mahasiswi hilang tempat penginapan untuk semester hadapan. Hal ini menyebabkan kekecohan dan kelam kabut kepada mahasiswi untuk mencari tempat penginapan baru. Tambahan lagi bercampur aduk dengan final exam yang sedang berjalan sekarang.

Semalam jawapan daripada pihak pengurusan asrama supaya mencari sendiri rumah sewa adalah jawapan yang tidak bertanggungjawab. Sedangkan tempoh yang diberikan untuk pengosongan asrama adalah sehingga 9 Mei ini dan tarikh akhir final exam adalah 7 Mei ini. Jika ditanya kepada pegawai universiti untuk berfikir pun mereka tak kan sempat melaksanakan 2 kerja dalam satu masa, satu masa untuk fokus kepada exam, dan dalam masa yang sama sibuk mencari rumah kosong untuk menyewa.

Semalam juga, pihak ejen rumah sewa mula mengambil kesempatan menaikkan harga rumah sewa sehingga mencapai harga ribuan ringgit. Harga yang tidak masuk akal ini telah menyebabkan ramai mahasiswi mencari-cari rumah yang termurah dan ada jua yang sudah sanggup membayar deposit walau sedar harga sewa yang tinggi itu.

Jika saya ditanya siapakah yang lebih berkebajikan antara pengurus asrama pekerja kilang dengan pengurus asrama universiti. Saya ingin katakan pengurus asrama kilang lebih terurus dan berkebajikan berbanding pengurus asrama universiti. Dan pekerja kilang lebih bernasib baik berbanding mahasiswi universiti.

Bersama dengan ini saya bawakan 5 usul segera untuk dilaksanakan pihak pengurusan.

1- Pihak pengurusan asrama hendaklah mengadakan taklimat khas kepada mangsa yang terlibat. Bagi panduan jelas apa yang sepatutnya mereka lakukan selepas mereka sewenang-wenangnya dihambat keluar.

2- Panjangkan tempoh pengosongan asrama sehingga penghujung bulan Jun. Terutamanya kepada pelajar yang akan tinggal dalam masa cuti (short sem). Kerana fatrah exam ini tidak memungkinkan mereka dapat mencari rumah sewa untuk tinggal semasa short sem nanti.

3- Sediakan wakil atau penyelia menguruskan penempatan asrama. Kerana mangsa adalah kaum muslimat dan kesukaran untuk bermuamalat bersama masyarakat awam di sini perlu ditimbangkan. Semalam sahaja seorang cina botak sebagai ejen asrama menaikkan harga sewa rumah berlipat kali ganda. Sebulan sebelum itu pelajar USIM juga menjadi mangsa cina botak ini, apabila selepas sebulan menyewa baru semalam air disalurkan.


4- Beritahu kawasan black area untuk disewa. Kerana di sini popular dengan pekerja asing dari Nepal, Indonesia dan Bangladesh. Di sekitar Sutera Indah juga tersohor dengan pusat hiburan dan rumah urut sekeliling Sutera Indah. Kerana semalam ada pihak yang menawarkan rumah kedai untuk disewa oleh muslimah. Rumah kedai itu di belakangnya adalah asrama pekerja kilang warga asing, manakala dibawahnya adalah bengkel servis bas Sidik Canopy. Bimbang sekali jika mereka menyewa di sana keselamatan yg tak terjamin serta kedudukan yang tidak sesuai.


5- Tetapkan harga semasa rumah sewa. Kerana masa inilah, pihak ejen rumah sewa menaikkan harga rumah setinggi mungkin. Terbaru ada yang meletakkan harga sehingga RM1500 sebulan di Desa Anggerik. Harga munasabah perlu diletakkan berdasarkan ekonomi mahasiswa bukan berdasarkan harga awam.


Saya pohon dengan sesungguhnya agar pihak bertanggungjawab ambil cakna tentang kebajikan mahasiswi seramai seribu lebih ini. Saya menyampaikan cadangan kerana saya melihat kedudukan pelajar universiti harus dilayan lebih baik berbanding pekerja kilang Nepal atau buruh binaan asing. Kerana saya lihat mereka diurus tepat peninggalan dengan baik, setara dengan kedudukan mereka sebagai pekerja kilang. Kami adalah mahasiswa terpelajar yang perlu diberi layanan yang sebaiknya, bukana layanan angkuh pegawai universiti dengan mudah menghambat lebih seribu mahasiswa dalam masa teringkas dan terpantas ini.


Orang kata universiti ini populardengan perkara-perkara pelik. pohon pertimbangan seadilnya. Atas dasar ukhuwwah Islamiah atau kalau tidak pun atas dasar kemanusiaan yang sedia ada pada semua insan yang punyai akal berfikir dan hati yang menimbang.


Salam kebajikan, dari mahasiswa untuk mahasiswa.

kredit untuk tok pulai chondong
 

Fathiyah

Saya sedang asyik membaca karya Muhammad Ahmad al-Rasyid ketika anak saya Fathiyah bertanyakan soalan, “Papa, mengapa papa dan mama selalu bangun pagi-pagi hari untuk solat? Papa dan mama tak mengantuk ke?”

Saya tersenyum melihat telatah anak saya yang baru memanjat usia empat tahun. Ia gemar sekali bertanya. Macam-macam yang ditanya. Pernah juga anak kesayangan saya bertanya dari mana adiknya Faqih keluar. “Mama tak sakit ke masa perut mama dibelah untuk ambil adik?” Saya dan isteri hanya mampu tertawa mendengar soalan anak kami yang tidak pernah putus dengan soalan.

“Along rasa papa dan mama mengantuk tak?” saya bertanya balik. Saya sendiri masih dalam proses belajar menjawab persoalan kanak-kanak kecil agar sesuai dengan citarasa saya. Pernah abah dulu marahkan saya sebab tidak pandai melayan karenah adik saya Sumaiyah ketika dia berumur umur enam tahun.




“Along rasa tak. Mesti papa dan mama seronok kan. Tapi kan papa…” anak sulung saya terdiam. Berkerut-kerut dahinya, semacam ingin bertanyakan sesuatu. “Kenapa along?” saya bertanya mendapatkan kepastian.

“Kalau along tanya, papa jangan marah ye. Papa, papa janji jangan marah ye,” macam-macam karenah anak kesayangan saya ni. Saya mengangguk-angguk kecil sambil menghulurkan jari kelingking ke jari kelingkingnya. Kami tersenyum. Isteri saya yang sedang menelaah al-Quran memasang telinga dari kejauhan.

“Tadi along tengok papa dan mama nangis. Kenapa papa dan mama nangis? Allah marah papa dan mama ke?” terkejut saya mendengar pertanyaaan sebegitu. Astaghfirullah, berat sungguh persoalan tu. Saya langsung tidak menyangka anak sulung kami itu mengintai kami dari jauh. Isteri saya kelihatannya turut tersentak.

“Along tengok ke?” saya bertanya balik. Fathiyah mengiyakannya. “Tiap-tiap malam along tengok. Papa sebut, Ya Allah, kami banyak berdosa pada-Mu. Papa dan mama buat banyak dosa ke? Along taknak papa dan mama masuk neraka. Along nak kita semua masuk syurga. Sebab tu along baca quran banyak-banyak. Along nak doa pada Allah supaya Allah masukkan papa dan mama masuk syurga. Along masuk neraka takpe, asal orang yang along sayang masuk syurga.”

Dan saya terdiam seketika.

Teringat saya ketika saya berbincang dengan isteri suatu hari, di awal-awal perkahwinan kami. “Kalau awak, awak mahu anak yang macam mana?”

Isteri saya berfikir sejenak. Kami gemar sekali berbincang. Biasa bagi kami untuk mengulang al-Quran bersama-sama. Sebelum tidur, paling kurang dua kali dalam seminggu saya akan menceritakan kisah para anbiya’ dan kisah-kisah teladan lain kepadanya.

Dalam dua kali seminggu juga, saya akan mengajarkannya kitab tafsir, hadis dan sedikit berkaitan tazkiyah jiwa. Yang lain, saya terpaksa menghabiskan masa dengan masyarakat. Isteri hanya sempat mengikut saya menyampaikan kuliah berdasarkan kelapangan yang ada.

Beliau juga ada tugas tersendiri. Rumah kami juga telah dijadikan kelas fiqh Wanita yang dikelolakan oleh isteri saya sendiri. Hidup kami sarat dengan ilmu dan ibadah serta jihad. Kami tidak mahu menyia-nyiakan hidup kami dengan bercinta semata-mata. Itu adalah asas untuk kami bergerak lebih laju dan mantap dalam mengejar redha dan ampunan Allah.
“Saya mahukan seorang anak yang berilmu dan takut melakukan maksiat,” kata isteri saya dengan penuh harapan. Isteri saya sendiri sebenarnya seorang yang sangat takutkan maksiat. Acap kali saya melihat ia menangis dalam munajatnya. Saya sendiri terdidik dengan akhlak isteri saya itu.

“Abang juga mahukan anak kita seorang yang sangat rajin melakukan ketaatan kepada Allah, takut melakukan maksiat dan berilmu. Impian kita adalah sama,” kami tersenyum.

Anak kita mesti menghafal al-Quran dan hadis. Ia mesti dididik dengan tawadhu’ dan takutkan Allah. Maka jika kita mahukan anak yang begitu, kita mesti rajin bertahajud, berdoa, menjaga makanan, menjaga hubungan dengan orang alim dan masyarakat dan sebagainya.

“Papa, mengapa papa diam je? Along tanya ni,” saya terjaga dari lamunan. Fathiyah masih menanti dengan penuh harapan. Saya menarik tangan anak saya ke ribaan dan memeluknya erat. Sambil mencium ubun-ubunnya, saya berbisik perlahan,

“Papa dan mama takutkan Allah, nak,” dan saya tidak mampu menahan deraian air mata.

kredit buat abang dzulkhairi
 

salam peperiksaan

~beruzlah sementara.....
 

renungan 'Nur Malam'...

aku pejamkan mata, dan kuhayati bait lagu ini....
ku biarkan liriknya berkata-kata....
dengarkanlah, dari dasar hati kalian, dan hatiku...

Nur Malam

Renungi malam ini rasa kesangsian
Ku kini berada di alam yang sunyi
Hanya bertemankan bintang dan bulan
Di malam kelam

Hembusan angin bayu pastikan berlalu
Seiring dosa lalu yang membelengguku
Moga semalam jadi pedoman
Dan pengajaran

Langkah kaki kananku
Menyusuri rumah suci
Bermula episod baru
Dalam ketulusan hati

Bila hati menghadap Tuhan
Baru kusedar ada kelemahan
Terasa kerdil berbanding yang Esa
Terharu, terfikir betapa Agungnya Tuhan.....

Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu
NAmun tak berupaya menghadapi api neraka-Mu
Terima taubatku dan ampunkan dosa-dosaku

Inginku ubah cara hidupku yang lalu
Menjadi hamba yang diredhai selalu
Tiada palsu wahai Tuhanku
Allah yang satu

Kuakhiri sujud dengan doa
Semoga dikabulkan hajat
Dijauhkan duka lara
kuharap terimalah taubat...

"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji (Allah), yang berhijrah, yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah perbuatan mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembiralah orang-orang mukmin itu."

~mafhum surah at-taubah; 9:112)
 

keperluan hidup ini (1)...

"jika iman dan keyakinannya tidak kokoh, seorang hamba akan dikepung syubhat dari seluruh arah, dan dikelilingi sifat ragu dari semua penjuru. Semua ini akibat lemah ilmu dan ketidaktajaman mata hatinya..."-hukama.

Saya mulakan perkongsian pada kali ini dengan satu hikmah yang cukup bernilai, apatah lagi kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang memikul pena dan buku dalam meneruskan hidup sebagai pencari ilmu- ilmu dunia dan akhirat, insya Allah. Bahkan, ini juga merupakan teguran buat diri yang masih lagi jahil dalam erti kata memenuhi tanggungjawab seorang pelajar jurusan agama. Doa dari sahabat amat saya harapkan untuk terus istiqamah dalam sabar dalam menempuh mehnah perjuangan hidup ini.

Pernah saya kongsikan dalam pertemuan dengan para duat yang berwibawa pada satu program anjuran Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) di bawah unit Dakwah dan Khidmat masyarakat berkenaan dengan keperluan seorang pendakwah masa kini. Pertemuan yang dirancang satu jam sahaja berlanjutan hampir dua jam.

Saya mengingatkan, keperluan seorang pendakwah itu bukan sekadar bersemangat (hamasah) semata. Hamasah itu pada hemat saya banyak dibentuk oleh faktor sekitar (biah). Biah yang baik mampu untuk mempengaruhi jiwa yang lemah untuk bersemangat dalam melakukan apa jua perkara, dan dalam konteks ini seorang pendakwah itu bisa menjadi bersemangat jika biah yang baik itu membentuknya. Realitinya, jika kita lihat di alam persekolahan dahulu, dengan arahan yang tegas dari pihak guru, dan juga dorongan rakan-rakan dan sebagainya, kita mampu untuk istiqamah dengan solat berjemaah, mampu membaca al-ma'tsurat pagi dan petang bahkan qiamullail hujung minggu menjadi rutin.

Namun, jika biah solehah itu sudah hilang, maka dibawa pergi bersamanya sifat hamasah itu tadi. Maka segala amalan yang baik itu tadi mula pudar dalam diri. Ibadatnya berkurang, akhlaknya merudum, jiwanya kontang tanpa zikir dan aurad. astaghfirullah....

Situasi yang berlaku sekarang, tiap-tiap daie itu perlu dan pasti turun ke medan dakwah yang penuh dengan cabaran dan mehnah, yang akan menguji kesabaran, keikhlasan, dan kesungguhan mereka. Maka mereka butuh lebih dari sekadar semangat. Mereka butuhkan sesuatu yang mampu membangkitkan jiwa-jiwa yang lemah itu. Mereka butuhkan ILMU!!!

Keperluan Pertama- Ilmu yang membuahkan Amal.

Dalam beberapa siri pertemuan dengan beberapa ustaz, saya mendapat satu sentuhan berharga, dan boleh saya kongsikan bersama-mana tahu, mungkin ada manfaat padanya.

Keperluan utama yang perlu ada pada diri seorang aktivis dakwah itu ialah ilmu. Penguasaan ilmu yang betul akan melahirkan amat yang soleh dan baik.

Umum mengetahui, salah satu perkara yang diketahui umat islam secara mutawatir adalah wahyu pertama Allah yang turun ke hati Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam(s.a.w) berupa ayat-ayat pertama surah al-'alaq, disampaikan malaikat Jibril alayhi salam pada pertemuan pertama mereka di Gua Hira. Ayat-ayat ini adalah firman Allah taala, maksudnya:

"Bacalah dengan (menyebut ) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya" (al-alaq, 1-5)

Turunnya ayat-ayat ini pada awal kerasulan mengandungi tujuan tersendiri- untuk menunjukkan keutamaan dan keharusan memprioritaskan ilmu. Dengan ilmu semua hal dimulai, dan dengan ilmu semua amal dibuka. Perintah membaca diulang sebanyak dua kali, maka kita dapat fahami membaca itu kunci kepada ilmu.

Sesudah itu turun ayat-ayat berikut:


"Hai orang yang berselimut, bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah. Dan pakaianmu bersihkanlah. Dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah. Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah"
-mafhum firman Allah, Al-muddattsir, (74:1-7)

Ayat-ayat al-muddatsir menyuruh beramal; amal yang terkait dengan manusia,-bangunlah, lalu berilah peringatan!, amal yang terkait dengan Allah- Dan Tuhanmu agungkanlah, dan amal yan berkait dengan diri sendiri- dan pakaianmu bersihkanlah.

terdapat ayat yang menyuruh beramal dengannya, ada juga ayat yang terkait dengan meninggalkan- dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah,
Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Lalu semua ayat itu dibingkai dengan sabar kerana Allah Taala- Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah..

Dapat kita fahami, bahawa ilmu lebih dahulu mendahului dari amal. Kerana ilmu yang meluruskan amal serta mengajarkan syarat dan rukunnya. Hukama juga mengatakan "ilmu tanp amal itu gila, dan amal tanpa ilmu itu buta"..

Bahkan, perlu juga kita fahami dari ilmu itu akan membuahkan amal. Fudhail bin 'Iyadh dalam menafsirkan ayat al-mulk, "amal yang paling baik', maka beliau mengatakan amal yang paling baik ialah amal yang ikhlas dan benar. Adapun amal ikhlas tapi tidak benar tidak diterima, dan amal yang benar tapi tidak ikhlas juga tidak diterima. Beliau mengatakan:

"amal yang ikhlas itu amal kerana Allah, dan amal yang benar amal yang sesuai dengan as-sunnnah".

Maka, seseorang yang ingin beramal perlu kepada kedua syarat ini, dan yang mampu menghimpunkan dia syarat ini lantas dengan ILMU. Ya, persis sekali!


Jika sese
orang tidak mengetahui apa yang dibawa Rasulullah, tentu dia tidak mampu melaksanakan amal yang benar. dan jika seseorang tidak mengetahui Tuhannya, mana mungkin dapat mengikhlaskan amalnya kerana Allah, Tuhannya. Justeru, ilmu adalah penuntun keikhlasan dan penuntun mengikuti sunnah dan manhaj baginda s.a.w.

SubhanaLlah...

Saya menasihati diri dan juga sahabat supaya terus menyibukkan diri mencari ilmu. bertebarkan di muka bumi menggali telaga ilmu lalu mencedoknya untuk terus hidup dalam lingkungan rahmat dan inayah dariNya. Bagi mereka yang ingin menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemaksiatam-yakni berdakwah, juga memerlukan ilmu dalam amalnya itu. Jangan hanya beralaskan emosi dan akal dalam menjalankan kerja islam, sehinggakan dalil pun tidak pernah dituntunnya dari al-quran mahupun dari sunnah Ar-rasul. Bangkitkan kesedaran mereka dengan kefahaman islam yang ampuh, supaya amal yang kita lakukan ikhlas dan benar di sisiNya...

Mustahil kita dapat berjalan dalam gelap tanpa pelita ditangan tidak menyala....

 

saya menjadi malu...

3minggu berlalu..

sebulan yang 'penat' perlu ditempuhi dengan syukur, sabar atas sabar, ikhlas, redha dan sebagainya..
Alhamdulillah, saya telah dapat kembali ke kampus untuk terus meneruskan pengajian yang tertangguh hampir 3minggu. Terima kasih, syukran, arigato, shey shey kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan kesejateraan saya. Doa saya titipkan kepada Allah buat kalian semoga berada dalam keadaan sihat dan dibawah rahmat dan 'inayah dari Allah sentiasa.

Berbekalkan dua 'kaki' tambahan, saya berkaki 3 ke kuliah ditemani oleh rakan sekelas dan sekuliah. Dilayan sebegitu baik dan cermat bagaikan 'dato' membuatkan saya menjadi segan dengan rakan-rakan. Moga nanti saya dikurniakan kekuatan untuk menolong mereka jikalau mereka juga menghadapi kesusahan.

"Baik-baik syeikh, Allah nak bagi anta rehat tu.."
"Ada hikmah semua tu.. anta bersabar la syeikh.."
"kafarah dosa untuk enta la tu..."

Itulah yang menjadi antara pemangkin untuk saya terus berdiri (walaupun sebelah kaki) menghadapi apa jua rintangan dan ujian yang Allah hadiahkan kepada saya. Malah makin sejuk hati ini bila saya bertemu dengan kalam nabi yang sememangnya memahami umatnya:

"diuji manusia itu berdasarkan agamanya...."
"jika pada agama itu teguh, maka ditambahkan ujian kepadanya"
-mafhum hadis

Moga-moga saya sudah hampir dengan 'manusia' itu...

Cuma saya terkadang malu dengan pandangan orang terhadap saya. Malu sangat.
terdapat rakan-rakan memuji saya dengan pujian yang 'keterlaluan' untuk saya terima. Keterlaluan untuk diri saya menanggungnya kerana masih lagi jauh dari apa yang dituturkan mereka.

Siapa yang tidak senang telinga bila mendengar pujian dari rakan-rakan terdekat. Kata-kata seperti 'hebatlah awak', 'bisolah mu ni', ' anta terlalu baik syeikh', dan sebagainya membuatkan diri sesorang bisa menjadi senang dan tenang.

Namun, saya lakarkan satu muqadimmah kitab ilmiah yang begitu menyentuh perasaan dan hati. Satu hikmah yang saya temui pada tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi, yang membuatkan saya membacanya beberapa kali. Sahabat saya sependapat dengan saya, bila membacanya membuatkan meremang roma badan ini, bertakung air di lopak mata.

buat semua sahabat, saya titipkan kalam ini...

*****************************************
...Walau demikian, saya merasa masih memiliki kelebihan-dan kelebihan milik Allah semata. Saya mengenal hawa nafsu dengan baik; ia tetap tidak mampu memalingkan diri saya dari menyelami hakikat dan menyingkap kepalsuan nafsu meski telah berusaha menipu. Pujian dan sanjungan orang lain tidak mampu memperdayaiku untuk tidak menguak hakikatnya kerana manusia menilai berdasarkan lahir-bukan batin, kulit-bukan isi, dan permukaan-bukan inti.

Perkataan Ibnu 'Atha'illah dalam kitab al-hikam selalu terngiang-ngiang dalam ingatan saya,
"Manusia memujimu atasa dasar prasangkanya kepadamu, maka jadilah pencela dirimu kerana pengetahuanmu tentangnya.... orang terbodoh adalah orang yang meninggalkan keyakinannya kerana prasangka orang lain!"

Demi Allah, saya sangat sering malu terhadap diri sendiri ketika orang lain menisbatkan kepadaku sifat-sifat yang tidak layak aku sandang. Inilah kebaikan yang dipergunakan Allah untuk menutup kesalahan hamba-hambaNya. Alangkah indah bait syair yang didendangkan Abu al-'Atahiyah:

Allah telah berbuat baik kepada kita dengan tidak menyebarkan kesalahan kita

Padahal kesalahan yang tersembunyi dari kita terkuak jelas di hadapan-Nya.


Tentang masalah ini Ibnu 'Atha'illah as-Sakandari juga mengatakan:

"Jika dipuji, sesorang mukmin akan malu kepada Allah kerana ia telah dipuji dengan satu sifat yang dilihatnya tidak ada dalam dirinya! Apabila pujian diberikan kepadamu padahal kamu tidak layak mendapatnya, maka pujilah Allah Taala dengan pujian yang layak untuk-Nya! Orang yang memuliakanmu sebenarnya ia memuliakan baiknya penutupan keburukan yang dilakukan-Nya sehingga pujian hanya layak untuk Dzat yang Menutupi keburukanmu, tidak untuk orang yang memuliakanmu atau berterima kasih kepadamu!"

Seringkali saya mendendangkan-ketika dipuji orang yang memujiku, yang berprasangka baik kepadaku- bait-bait syair penyair saleh yang bermunajat kepada Tuhannya:

"Mereka menyangkaku baik, padahal aku sama sekali tidak punya
kebaikan
Aku sebenarnya hanyalah hamba yang zalim seperti yang Engkau
saksikan!
Engkau telah menyembunyikan seluruh keburukanku dari
mata mereka
Dan Engkau telah menganugerahiku pakaian indah yang
menutupinya
Karenanya mereka mencintaiku, padahal aku tidak layak dicinta
Mereka menyerupakanku dengan orang lain yang memang layak
dicinta
Karena itulah pada hari Kiamat jangan kuak kesalahanku
Dan di Hari Pengumpulan, wahai Tuhanku, tutupilah keburukan-
keburukanku."

Rasa maluku kepada Tuhanku dan kepada diriku, juga keteledoranku, telah menghalangiku untuk memasuki tema tasawuf, meskipun sejumlah rekan dan murid telah memintaku menulis sedikit tentangnya untuk orang banyak-siapa tahu Allah memberi manfaat kepadanya.

Lalu tekadku untuk menjadi kuat, sekuat pengharapanku kepada rahmat Allah Ta'ala, ampunan dan kebaikan-Nya. Saya, jika memang tidak layak mendapatkan rahmat-Nya, maka rahmat-Nya kuasa untuk meliputiku.

Seseorang telah menghadap Nabi s.a.w dan bertanya tentang kiamat,

"Apa yang telah kamu siapkan untuknya?" tanya baginda s.a.w.
"Demi Allah, saya tidak menyiapkan untuknya shalat yang banyak, puasa dan sedekah. Tetapi saya mencintai Allah dan Rasul-Nya," jawabnya.

"Kamu akan bersama orang yang kamu cintai."-mafhum hadis.

Para sahabat belum pernah segembira ketika menerima hadis ini, kerana mereka yakin bahawa diri mereka mencintai Allah dan Rasul-Nya.
...

***************************************************
Allah, saya menjadi malu!!

 

Saya dapat 'rehat', Alhamdulillah..

5 mac 2010, kurang lebih jam 4.20pm...

Berbekalkan hamasah yang tinggi untuk berlatih debat bahasa arab piala NC kali ini, segala jenis kertas dan netbook(yg saya panggil baby) saya masukkan dalam beg galas merah itu. Agak sedikit terlewat daripada masa yang disepakati kerana saya terpaksa siapkan beberapa perkara penting.
Sempat lagi saya ulangi video debat yang telah didownload malam sebelumnya. Sebagai pendebat yang kurang pengalaman, saya perlu menimba dari telaga-telaga yang penuh dengan ilmu dan kemahiran debat ini..

Petang itu sedikit suram. Hujan membasahi bumi Nilai. Hujan rahmat saya kira, kerna sudah lama kawasan ini tidak hujan, sehingga isu ini dibawa dalam khutbah Jumaat. Alhamdulillah..

Saya yang tidak punyai motor, meminjam dari sahabat baik saya untuk bergegas ke kampus. Walaupun sedikit hujan, janji perlu ditepati.
"hati-hati ye"
kurang lebih begitu pesanan 'akhir' beliau kepada saya.

Motor KAG itu saya pandu dengan kadar yang sederhana. Perjalanan seperti biasa di awal dan pertengahannya. Cuma di garisan 'penamat', bertukar luar biasa.
Tayar belakang mula tidak seimbang bila brek kaki ditekan. Makin tekan makin menjadi-jadi. handle motor dipusing ke kiri. Saya tidak mencium bau malang ketika itu. Betullah, malang tidak berbau.

Diri saya tercampak ke sebelah kanan. Motor ke sebelah kiri. tergolek sekali juga seingat saya. Hujan membasahi ruang kejadian.

Kita merancang, Allah juga merancang, maka perancangan Allah sentiasa yang terbaik.

Alhamdulillah. Ada guards yang tolong saya ditempat kejadian.
Alhamdulillah. Tiada kereta di tempat kejadian, hanya saya rebah bersendirian.
Alhamdulillah. Helmet saya pakai dengan cara yang betul.
Alhamdulillah. tiada luka luar kecuali sedikit di tangan. Saya juga tidak pengsan.

ringkas cerita....

5 mac 2010, kurang lebih pukul 11pm..

Kaki saya siap disimen. terdapat sedikit keretakan pada tulang kaki. tangan pula bengkak dan tak boleh diluruskan buat sementara waktu. hanya dibalut sahaja. Terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang membawa saya ke hospital. Allah sahaja yang akan membalas jasa kalian.

Tipulah jika saya kata tidak sakit dengan ujian ini. Pahit juga hendak menelannya buat kali pertama. Gelisah juga hati menerimanya.

Namun, 'teguran' Allah itu ada nilainya. Pasti ada.

seminggu berlalu

pejam celik, celik pejam, sudah seminggu berlalu daripada peristiwa 'teguran' itu.

Terlalu banyak perkara yang berlaku, dan saya pun tidak berhajat untuk merungkaikannya. Bukan saya tidak ingin, namun saya tidak mampu untuk merungkaikannya.

Bagaimana mungkin saya mampu mendifinisikan nilai ukhwah yang terjalin rapat setelah kejadian yang menimpa saya ini. Hatta sahabat dari Pandan Indah pun melawat saya. Dalam 1 minggu ini juga tidak putus yang bertanyakan khabar tentang diri saya, samada telefon atau sms, dan saya juga tidak putus menceritakan perkara yang sama berulang kali. (bukan mengeluh)

Bagaimana mungkin saya bisa menterjemahkan nilai mahabbah dan mawaddah yang ternyata zahir pada kedua ibu bapa saya yang datang dari kelantan ke sini. perjalanan yang memakan masa hampir 9jam untuk bertemu anaknya yang kalau dihitung tidak sampai 4jam.

Bagaimana saya mampu menghitung doa-doa yang adik beradik serta sahabat yang mendoakan kesejahteraan saya. Tidak kurang juga yang memberikan nasihat dan taujihat supaya saya tetap teguh dalam menghadapi segala ujian dari Allah.

Tidak. Sudah tentu saya tidak mampu menghitungnya. Bahkan saya tidak mahu berkongsi dengan orang lain, kerana ini sebahagian dari 'Intelectual Property'; atau harta intelek saya yang telah saya patenkan dalam hati dan jiwa saya.

Inilah pengalaman yang telah menjadi 'guru' saya. Guru yang tidak bercakap tetapi ia sangat mengajar dan mentarbiah diri saya. Mendorong diri agar sentiasa menilai diri dengan panduan Kebenaran, agar tidak sesat di perjalanan.

Sesungguhnya saya telah mendapat 'rehat', namun ia hanya rehat fizikal sahaja. Selebihnya, tidak akan pernah berehat walaupun sekejap. Segalanya perlu laju sekarang, isu ekonomi, politik dan sosial bergerak seperti air mengalir, dan saya tidak seharusnya bertakung di dalam kolam sahaja.

Mana mungkin perjuangan ini berehat, kerana ia nadi kita. Nadi perjuangan pejuang Islam.
'Kerja ini' akan diteruskan, kerana ia denyut nadi perjuangan.






 

Sekular yang Sembunyi...

Di suatu malam..

Sudah agak lama saya tidak 'memberi' (dibaca:berkongsi) tazkirah di celah ruang-ruang hidup ini kepada masyarakat sekeliling. Bukan kerana futur pada kalam lidah, tapi seindah manapun mulut berbicara kalau tidak disertakan dengan anggota yang menggerakkannya, mengundang murka Allah Jalla Jalallah.

Namun, di atas permintaan (dibaca: tugas) oleh SPMM kerana mengikut giliran jadual tazkirah, maka saya gagahkan diri untuk menghadiri taman syurga di Nilam Court, mengisi antara waktu Maghrib dan Isya' ditemani oleh dua sahabat saya. Hampir tidak sempat saya membuat sedikit persediaan sebelum berkongsi sesuatu yang bermanfaat di sana kerana bergegas pulang dari Selangor atas sedikit urusan.
Tajuk untuk tazkirah malam itu agak penting, tapi dipandang remeh oleh sesetengah (dibaca:kebanyakan) manusia. "doa sebagai manifestasi kejayaan muslim", kurang lebih begitulah tajuknya.

"doa itu senjata orang mu'min"-mafhum sabda nabi sallallahualaihiwasallam.

Senjata; satu 'peralatan' yang berkuasa tatkala manusia berasa lemah, pertahanan yang ampuh untuk menghadapi 'musuh' diri. Kekuatannya terserlah melindungi kelemahan yang ada.

Akan tetapi, manusia menjadikan 'senjata' tersebut sekadar 'perhiasan' sahaja. Kontang daripada khauf dan raja', sekadar pelengkap sesudah usai dari solat.

Bila ibadah dijadikan adat. Perlakuan yang diikut tanpa diikat dengan sumber Kebenaran.

Inilah yang menjadi kerugian kepada kebanyakan manusia. Itu senjata kita! Senjata para mukmin! Kerana tidak menggunakannya dengan betul, pasti lemah ruh kita!

Melihat cara mengangkat tangan sahaja, secara personalnya saya berasa mereka itu tidak menghayati doa yang dilafazkan. Mungkin juga mereka tidak memahami doa tersebut. Ungkapan 'ameen' ditarik panjang-panjang, sedangkan hati lalai dari mengingatiNya. Astaghfirullah...astaghfirullah..

Saya merungkaikan beberapa hikmah berdoa berdasarkan beberapa pembacaan saya, serta adab-adab yang perlu dipelihara dalam memastikan 'senjata' itu berfungsi dengan optimumnya dalam melahirkan peribadi mukmin yang khalis kepada Rabbnya. Doa itu perlu menngambil intipati hadis yang menyatakan 'seperti kita melihat Allah, jika kita tidak dapat, yakinilah Allah melihat kita." Jangan dimimpikan maqam musyahadah, jika maqam muraqabah (yakini Allah melihat kita) pun tidak kita hadam dengan elok.
Selesai. Itu fokus pertama saya. Tetapi masih ada fokus utama yang perlu saya kemukakan.

sekular yang sembunyi

Amar ma'ruf menjadi cacat bila tidak disertakan dengan nahi mungkar, sekecil nahi mungkar ialah dengan hati kecil kita.
Namun, saya gunakan peluang untuk menjalankannya(nya itu kembali kepada nahi mungkar) dengan kalam lidah saya ini.

Entah bagaimana binding dari perkongsian pada malam itu, saya menyentuh soal aurat. Isu yang susah untuk luput kalau dikaitkan dengan muslimat a.k.a perempuan.

"sekadar bertanya, kalau aurat wanita ketika hendak solat, bagaimana??" gaya seperti guru bertanya pada anak murid. Dengan sopan 'anak muridnya' menjawab.
"kesemua kecuali muka dan tapak tangannnn..." begitulah gayanya lebih kurang.
"Betull.. Bahkan kalau kain telekung kita (semestinya 'kita' itu bukan saya) jarang sampai menampakkan tengkuk pun, tidak sah solat kita kan??"

Saya melanjutkan persoalan yang sudah pasti jawapannya..
"Jadi, adakah aurat dalam solat, tidak sama dengan aurat luar solat??" masing-masing cuba menjawab dengan suara hati kecil.

Ini persoalan yang perlu kita ajukan dalam diri kita. Persoalan yang serius yang perlu difahamkan dan dimaksudkan perubahannnya.
Kita tahu akan idelogi dan konsep sekularisme, yang memisahkan urusan dunia dan urusan akhirat. Seolah-olah kedua-duanya ibarat minyak dan air, tidak akan bercampur sama sekali. Walhal, Islam menggariskan kedua-duannya saling berkaitan, kerana dunia itu ladang untuk tuaian akhirat kelak.

Namun, kita gagal dalam memahaminya. Sekadar tahu, tidak faham, dan tidak diperhalusi.
Sedar atau tidak, segelintir (dibaca:kebanyakan) daripada umat sekarang mendokong ideologi ini. Pemisahan antara dunia dan akhirat. Litup elok dalam solat, dedah sana sini di luarnya. Santun bahasa di dalam solat, meratah daging sahabat di luarnya. Tunduk patuh dalam solat, bongkak dan angkuh di luarnya.

Maka, solat juga sudah tinggal adat, bukan dihayati sebagai ibadat.

"dan jangan kamu mempercampuradukkan perkara haq dengan yang batil, dan kamu menyembunyikan haq, sedangkan kamu mengetahuinya."

"wahai orang yang beriman, masuklah kamu semua dalam islam secara keseluruhan, dan jangan kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu"

Amaran dari Allah telah jelas kepada kita. Kita yang mengaku islam dan beriman kepada Allah dan Hari Kebangkitan, yang menunaikan solat lima kali sehari semalam. Ya, kita inilah. Tetapi malang sekali kerana masih jahil dalam meneliti ayat-ayat tahrib dan taghrib, sehingga jiwa khali dari khauf dan raja' kepada Allah.

Inilah yang saya sifatkan sekular yang sembunyi. Seperti selumbar yang terperosok di dalam jari, sukar dilihat tetapi sakitnya dirasa. Mana mungkin haq bisa bercampur dengan batil, sebagaimana tidak berhimpunnya malam dan juga siang.


Maka, adakah kita ini hamba kepadaNya???


 

bukan aku seorang....

saya tidak mampu berkata apa-apa lagi, hatta menulis sekalipun.
fikiran saya agak 'tersekat', kerana banyak perkara yang ingin diulas tetapi tidak tahu hendak bermula dari mana. Seolah-olah saya kembali bertatih dalam menulis di ruang pinjaman ini.
mengensot, merangkak, dan bertatih.

Saya perlu aturkan langkah dengan elok supaya tidak tersadung sekali lagi.

Mutakhir ini, saya terlalu banyak menumpukan kepada input yang diperlukan diri yang kontang dengan ilmu, sehingga terpaksa menangguhkan penulisan saya (output) dalam muddah yang agak lama. Sedangkan, kedua-duanya perlu bergerak dengan serentak agak perjalanan hidup seorang daie tidak lumpuh. apa-apapun, ucapan terima kasih dan kemaafan kepada sahabat-sahabat yang sudi singgah dan menegur.

Tambahan pula, bebanan amanah yang terpaksa dipikul semakin bertambah. Dalam semester kedua ini, merupakan satu perubahan kepada diri saya. Inilah kali pertama saya mula menyusun aktiviti harian saya dalan 'planner' yang agak ringkas. Itupun setelah mendapat nasihat dari senior. Maka ber'planner' lah saya untuk memastikan tiap agenda dapat saya selesaikan sekadar yang saya mampu.

Bulan Januari hingga Mac ini sememangnya membuatkan nafas saya tersempit.
Jaksa.
Sekreteriat Pendakwah Muda.
Kuliah Fiqh dan Fatwa.
...

setiap kali berhenti di ruang kafe atau surau, pasti buku merah dari beg merah saya itu dikeluarkan.
membelek dan meng'update'.

"TAKE NOTE:...."
itulah tulisan yang akan diulang-ulang dalam buku kecil saya itu berserta tanda seru di akhirnya. tanda penting setiap tugasan. Tiap kali update, pasti ada tanda serunya. kiranya semua penting.

itulah konsep AMANAH. tiada yang tidak penting melainkan semuanya penting.

bohonglah jika saya katakan saya mampu melakukan semua itu tanpa sebarang keluhan dan rungutan. Kalau tidak diterjemah di bibir, hati yang berbicara sudah cukup bagi saya.

Sibuk.
Tidak sempat.
Ada kerja lain yang lagi penting ni.

Namun, tiap kali rungutan panas itu, saya sejukkan kembali dengan ungkapan yang ringkas.

'bukan aku seorang...'

apalah sangat nak dibandingkan kerja saya dengan sahabat-sahabat dalam Majlis Perwakilan Pelajar. Jika saya pernah tidur jam 4 lebih membantu kerja MPP semasa KARSIS dahulu, pengarahnya sudah 2hari tidak tidur cukup. Bahkan, keesokannya perlu menghadiri mesyuarat pula.

Jika saya menahan mata menyiapkan kertas kerja, maka sahabat saya menahan mata, telinga, kaki san sewaktu dengannya untuk meluluskan kertas kerja dengan pihak atasan.

Jika saya hanya sempat pulang 3 hari untuk mengubat kerinduan keluarga disamping urusan di kelantan, maka sahabat saya tidak sempat pulang kerana rasa tanggungjawab mengikat kakinya untuk terus berada di kampus.

Maka, siapa saya untuk terus merungut??

Menjenguk Sirah

Ar-rasul pernah ditimpa satu tempoh yang begitu mengasak jiwanya untuk terus bertenang. tempoh dukacita. Pemergian orang yang dikasihi dan dicintai baginda bertemu dengan janji Allah melemahkan semangat baginda sallallahualaihiwasallam. Baginda juga manusia biasa. Asakan musyrikin menentang baginda juga tidak henti-henti. Baginda berdukacita.

Mu'jizat Isra dan Mi'raj meleraikan segalanya.

Disebalik pensyariatan solat 5 waktu diterima, taujihah teragung mengubat dukacita rasul tercinta.

Muhammad sallallahualaihiwasallam tidak keseorangan. Para anbia terdahulu juga menghadapi perkara yang sama.

Ujian, cabaran, dugaan, pengorbanan.

semua itu telah berdaftar dalam kamus hidup 'manusia yang berjuang'.

Keyakinan bahawa perjuangan hakiki tidak ditabur dengan wangian dan bungaan, bahkan ditabur dengan duri dan haruman darah memberi suntikan dalam jiwa para pejuang. Dengan keyakinan inilah, perjuangan tetap diteruskan.

Dari zaman nabi Nuh sehingga nabi Isa, disusuli dengan perjuangan Nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam, sehingga kepada para sahabat, begitulah rentetannya.
tiada istilah rehat, jauh sekali tidur. Yang ada hanyalah lelah dan penat.

itulah rantai-rantai perjuangan yang perlu dilalui.

sebagaimana perjuangan tidak bermula disini, dan ianya tidak akan berakhir disini.

Kita hanyalah mata-mata rantai yang menyambung perjuangan ini.

Saya mahu menjadi sebahagian dari simpulan itu. Saya tekad dan berusaha supaya hidup saya akan terikat dengan simpulan yang hakiki itu. Maka tiada pilihan melainkan fitrah yang sama yang perlu saya lalui, sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu.
Fitrah seorang pejuang.

Saya juga perlu pastikan yang saya bukanlah mata rantai yang akan terus berkarat hingga memutuskan saya dari perjuangan ini. berkaratnya mata rantai itu dengan melebihkan dunia dari agenda akhirat. Bukanlah bimbang perjuangan ini akan terhenti kerana kedhaifan saya, kerana perjuangan yang suci ini tidak memerlukan diri yang hina ini. Namun, saya yang memerlukan perjuangan ini, jika mahu hidup saya ini kekal 'hidup'.

"biarlah hidupmu lelah dengan urusan akhirat sehingga letih untuk melakukan maksiat dunia"..

ALLAHUMMA IJ'ALNI MINHUM.....
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger