ISU PENEMPATAN MAHASISWA/I

Salam kebajikan,

Lebih seribu mahasiswi hilang tempat penginapan untuk semester hadapan. Hal ini menyebabkan kekecohan dan kelam kabut kepada mahasiswi untuk mencari tempat penginapan baru. Tambahan lagi bercampur aduk dengan final exam yang sedang berjalan sekarang.

Semalam jawapan daripada pihak pengurusan asrama supaya mencari sendiri rumah sewa adalah jawapan yang tidak bertanggungjawab. Sedangkan tempoh yang diberikan untuk pengosongan asrama adalah sehingga 9 Mei ini dan tarikh akhir final exam adalah 7 Mei ini. Jika ditanya kepada pegawai universiti untuk berfikir pun mereka tak kan sempat melaksanakan 2 kerja dalam satu masa, satu masa untuk fokus kepada exam, dan dalam masa yang sama sibuk mencari rumah kosong untuk menyewa.

Semalam juga, pihak ejen rumah sewa mula mengambil kesempatan menaikkan harga rumah sewa sehingga mencapai harga ribuan ringgit. Harga yang tidak masuk akal ini telah menyebabkan ramai mahasiswi mencari-cari rumah yang termurah dan ada jua yang sudah sanggup membayar deposit walau sedar harga sewa yang tinggi itu.

Jika saya ditanya siapakah yang lebih berkebajikan antara pengurus asrama pekerja kilang dengan pengurus asrama universiti. Saya ingin katakan pengurus asrama kilang lebih terurus dan berkebajikan berbanding pengurus asrama universiti. Dan pekerja kilang lebih bernasib baik berbanding mahasiswi universiti.

Bersama dengan ini saya bawakan 5 usul segera untuk dilaksanakan pihak pengurusan.

1- Pihak pengurusan asrama hendaklah mengadakan taklimat khas kepada mangsa yang terlibat. Bagi panduan jelas apa yang sepatutnya mereka lakukan selepas mereka sewenang-wenangnya dihambat keluar.

2- Panjangkan tempoh pengosongan asrama sehingga penghujung bulan Jun. Terutamanya kepada pelajar yang akan tinggal dalam masa cuti (short sem). Kerana fatrah exam ini tidak memungkinkan mereka dapat mencari rumah sewa untuk tinggal semasa short sem nanti.

3- Sediakan wakil atau penyelia menguruskan penempatan asrama. Kerana mangsa adalah kaum muslimat dan kesukaran untuk bermuamalat bersama masyarakat awam di sini perlu ditimbangkan. Semalam sahaja seorang cina botak sebagai ejen asrama menaikkan harga sewa rumah berlipat kali ganda. Sebulan sebelum itu pelajar USIM juga menjadi mangsa cina botak ini, apabila selepas sebulan menyewa baru semalam air disalurkan.


4- Beritahu kawasan black area untuk disewa. Kerana di sini popular dengan pekerja asing dari Nepal, Indonesia dan Bangladesh. Di sekitar Sutera Indah juga tersohor dengan pusat hiburan dan rumah urut sekeliling Sutera Indah. Kerana semalam ada pihak yang menawarkan rumah kedai untuk disewa oleh muslimah. Rumah kedai itu di belakangnya adalah asrama pekerja kilang warga asing, manakala dibawahnya adalah bengkel servis bas Sidik Canopy. Bimbang sekali jika mereka menyewa di sana keselamatan yg tak terjamin serta kedudukan yang tidak sesuai.


5- Tetapkan harga semasa rumah sewa. Kerana masa inilah, pihak ejen rumah sewa menaikkan harga rumah setinggi mungkin. Terbaru ada yang meletakkan harga sehingga RM1500 sebulan di Desa Anggerik. Harga munasabah perlu diletakkan berdasarkan ekonomi mahasiswa bukan berdasarkan harga awam.


Saya pohon dengan sesungguhnya agar pihak bertanggungjawab ambil cakna tentang kebajikan mahasiswi seramai seribu lebih ini. Saya menyampaikan cadangan kerana saya melihat kedudukan pelajar universiti harus dilayan lebih baik berbanding pekerja kilang Nepal atau buruh binaan asing. Kerana saya lihat mereka diurus tepat peninggalan dengan baik, setara dengan kedudukan mereka sebagai pekerja kilang. Kami adalah mahasiswa terpelajar yang perlu diberi layanan yang sebaiknya, bukana layanan angkuh pegawai universiti dengan mudah menghambat lebih seribu mahasiswa dalam masa teringkas dan terpantas ini.


Orang kata universiti ini populardengan perkara-perkara pelik. pohon pertimbangan seadilnya. Atas dasar ukhuwwah Islamiah atau kalau tidak pun atas dasar kemanusiaan yang sedia ada pada semua insan yang punyai akal berfikir dan hati yang menimbang.


Salam kebajikan, dari mahasiswa untuk mahasiswa.

kredit untuk tok pulai chondong
 

Fathiyah

Saya sedang asyik membaca karya Muhammad Ahmad al-Rasyid ketika anak saya Fathiyah bertanyakan soalan, “Papa, mengapa papa dan mama selalu bangun pagi-pagi hari untuk solat? Papa dan mama tak mengantuk ke?”

Saya tersenyum melihat telatah anak saya yang baru memanjat usia empat tahun. Ia gemar sekali bertanya. Macam-macam yang ditanya. Pernah juga anak kesayangan saya bertanya dari mana adiknya Faqih keluar. “Mama tak sakit ke masa perut mama dibelah untuk ambil adik?” Saya dan isteri hanya mampu tertawa mendengar soalan anak kami yang tidak pernah putus dengan soalan.

“Along rasa papa dan mama mengantuk tak?” saya bertanya balik. Saya sendiri masih dalam proses belajar menjawab persoalan kanak-kanak kecil agar sesuai dengan citarasa saya. Pernah abah dulu marahkan saya sebab tidak pandai melayan karenah adik saya Sumaiyah ketika dia berumur umur enam tahun.




“Along rasa tak. Mesti papa dan mama seronok kan. Tapi kan papa…” anak sulung saya terdiam. Berkerut-kerut dahinya, semacam ingin bertanyakan sesuatu. “Kenapa along?” saya bertanya mendapatkan kepastian.

“Kalau along tanya, papa jangan marah ye. Papa, papa janji jangan marah ye,” macam-macam karenah anak kesayangan saya ni. Saya mengangguk-angguk kecil sambil menghulurkan jari kelingking ke jari kelingkingnya. Kami tersenyum. Isteri saya yang sedang menelaah al-Quran memasang telinga dari kejauhan.

“Tadi along tengok papa dan mama nangis. Kenapa papa dan mama nangis? Allah marah papa dan mama ke?” terkejut saya mendengar pertanyaaan sebegitu. Astaghfirullah, berat sungguh persoalan tu. Saya langsung tidak menyangka anak sulung kami itu mengintai kami dari jauh. Isteri saya kelihatannya turut tersentak.

“Along tengok ke?” saya bertanya balik. Fathiyah mengiyakannya. “Tiap-tiap malam along tengok. Papa sebut, Ya Allah, kami banyak berdosa pada-Mu. Papa dan mama buat banyak dosa ke? Along taknak papa dan mama masuk neraka. Along nak kita semua masuk syurga. Sebab tu along baca quran banyak-banyak. Along nak doa pada Allah supaya Allah masukkan papa dan mama masuk syurga. Along masuk neraka takpe, asal orang yang along sayang masuk syurga.”

Dan saya terdiam seketika.

Teringat saya ketika saya berbincang dengan isteri suatu hari, di awal-awal perkahwinan kami. “Kalau awak, awak mahu anak yang macam mana?”

Isteri saya berfikir sejenak. Kami gemar sekali berbincang. Biasa bagi kami untuk mengulang al-Quran bersama-sama. Sebelum tidur, paling kurang dua kali dalam seminggu saya akan menceritakan kisah para anbiya’ dan kisah-kisah teladan lain kepadanya.

Dalam dua kali seminggu juga, saya akan mengajarkannya kitab tafsir, hadis dan sedikit berkaitan tazkiyah jiwa. Yang lain, saya terpaksa menghabiskan masa dengan masyarakat. Isteri hanya sempat mengikut saya menyampaikan kuliah berdasarkan kelapangan yang ada.

Beliau juga ada tugas tersendiri. Rumah kami juga telah dijadikan kelas fiqh Wanita yang dikelolakan oleh isteri saya sendiri. Hidup kami sarat dengan ilmu dan ibadah serta jihad. Kami tidak mahu menyia-nyiakan hidup kami dengan bercinta semata-mata. Itu adalah asas untuk kami bergerak lebih laju dan mantap dalam mengejar redha dan ampunan Allah.
“Saya mahukan seorang anak yang berilmu dan takut melakukan maksiat,” kata isteri saya dengan penuh harapan. Isteri saya sendiri sebenarnya seorang yang sangat takutkan maksiat. Acap kali saya melihat ia menangis dalam munajatnya. Saya sendiri terdidik dengan akhlak isteri saya itu.

“Abang juga mahukan anak kita seorang yang sangat rajin melakukan ketaatan kepada Allah, takut melakukan maksiat dan berilmu. Impian kita adalah sama,” kami tersenyum.

Anak kita mesti menghafal al-Quran dan hadis. Ia mesti dididik dengan tawadhu’ dan takutkan Allah. Maka jika kita mahukan anak yang begitu, kita mesti rajin bertahajud, berdoa, menjaga makanan, menjaga hubungan dengan orang alim dan masyarakat dan sebagainya.

“Papa, mengapa papa diam je? Along tanya ni,” saya terjaga dari lamunan. Fathiyah masih menanti dengan penuh harapan. Saya menarik tangan anak saya ke ribaan dan memeluknya erat. Sambil mencium ubun-ubunnya, saya berbisik perlahan,

“Papa dan mama takutkan Allah, nak,” dan saya tidak mampu menahan deraian air mata.

kredit buat abang dzulkhairi
 

salam peperiksaan

~beruzlah sementara.....
 

renungan 'Nur Malam'...

aku pejamkan mata, dan kuhayati bait lagu ini....
ku biarkan liriknya berkata-kata....
dengarkanlah, dari dasar hati kalian, dan hatiku...

Nur Malam

Renungi malam ini rasa kesangsian
Ku kini berada di alam yang sunyi
Hanya bertemankan bintang dan bulan
Di malam kelam

Hembusan angin bayu pastikan berlalu
Seiring dosa lalu yang membelengguku
Moga semalam jadi pedoman
Dan pengajaran

Langkah kaki kananku
Menyusuri rumah suci
Bermula episod baru
Dalam ketulusan hati

Bila hati menghadap Tuhan
Baru kusedar ada kelemahan
Terasa kerdil berbanding yang Esa
Terharu, terfikir betapa Agungnya Tuhan.....

Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu
NAmun tak berupaya menghadapi api neraka-Mu
Terima taubatku dan ampunkan dosa-dosaku

Inginku ubah cara hidupku yang lalu
Menjadi hamba yang diredhai selalu
Tiada palsu wahai Tuhanku
Allah yang satu

Kuakhiri sujud dengan doa
Semoga dikabulkan hajat
Dijauhkan duka lara
kuharap terimalah taubat...

"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji (Allah), yang berhijrah, yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah perbuatan mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembiralah orang-orang mukmin itu."

~mafhum surah at-taubah; 9:112)
 

keperluan hidup ini (1)...

"jika iman dan keyakinannya tidak kokoh, seorang hamba akan dikepung syubhat dari seluruh arah, dan dikelilingi sifat ragu dari semua penjuru. Semua ini akibat lemah ilmu dan ketidaktajaman mata hatinya..."-hukama.

Saya mulakan perkongsian pada kali ini dengan satu hikmah yang cukup bernilai, apatah lagi kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang memikul pena dan buku dalam meneruskan hidup sebagai pencari ilmu- ilmu dunia dan akhirat, insya Allah. Bahkan, ini juga merupakan teguran buat diri yang masih lagi jahil dalam erti kata memenuhi tanggungjawab seorang pelajar jurusan agama. Doa dari sahabat amat saya harapkan untuk terus istiqamah dalam sabar dalam menempuh mehnah perjuangan hidup ini.

Pernah saya kongsikan dalam pertemuan dengan para duat yang berwibawa pada satu program anjuran Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) di bawah unit Dakwah dan Khidmat masyarakat berkenaan dengan keperluan seorang pendakwah masa kini. Pertemuan yang dirancang satu jam sahaja berlanjutan hampir dua jam.

Saya mengingatkan, keperluan seorang pendakwah itu bukan sekadar bersemangat (hamasah) semata. Hamasah itu pada hemat saya banyak dibentuk oleh faktor sekitar (biah). Biah yang baik mampu untuk mempengaruhi jiwa yang lemah untuk bersemangat dalam melakukan apa jua perkara, dan dalam konteks ini seorang pendakwah itu bisa menjadi bersemangat jika biah yang baik itu membentuknya. Realitinya, jika kita lihat di alam persekolahan dahulu, dengan arahan yang tegas dari pihak guru, dan juga dorongan rakan-rakan dan sebagainya, kita mampu untuk istiqamah dengan solat berjemaah, mampu membaca al-ma'tsurat pagi dan petang bahkan qiamullail hujung minggu menjadi rutin.

Namun, jika biah solehah itu sudah hilang, maka dibawa pergi bersamanya sifat hamasah itu tadi. Maka segala amalan yang baik itu tadi mula pudar dalam diri. Ibadatnya berkurang, akhlaknya merudum, jiwanya kontang tanpa zikir dan aurad. astaghfirullah....

Situasi yang berlaku sekarang, tiap-tiap daie itu perlu dan pasti turun ke medan dakwah yang penuh dengan cabaran dan mehnah, yang akan menguji kesabaran, keikhlasan, dan kesungguhan mereka. Maka mereka butuh lebih dari sekadar semangat. Mereka butuhkan sesuatu yang mampu membangkitkan jiwa-jiwa yang lemah itu. Mereka butuhkan ILMU!!!

Keperluan Pertama- Ilmu yang membuahkan Amal.

Dalam beberapa siri pertemuan dengan beberapa ustaz, saya mendapat satu sentuhan berharga, dan boleh saya kongsikan bersama-mana tahu, mungkin ada manfaat padanya.

Keperluan utama yang perlu ada pada diri seorang aktivis dakwah itu ialah ilmu. Penguasaan ilmu yang betul akan melahirkan amat yang soleh dan baik.

Umum mengetahui, salah satu perkara yang diketahui umat islam secara mutawatir adalah wahyu pertama Allah yang turun ke hati Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam(s.a.w) berupa ayat-ayat pertama surah al-'alaq, disampaikan malaikat Jibril alayhi salam pada pertemuan pertama mereka di Gua Hira. Ayat-ayat ini adalah firman Allah taala, maksudnya:

"Bacalah dengan (menyebut ) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya" (al-alaq, 1-5)

Turunnya ayat-ayat ini pada awal kerasulan mengandungi tujuan tersendiri- untuk menunjukkan keutamaan dan keharusan memprioritaskan ilmu. Dengan ilmu semua hal dimulai, dan dengan ilmu semua amal dibuka. Perintah membaca diulang sebanyak dua kali, maka kita dapat fahami membaca itu kunci kepada ilmu.

Sesudah itu turun ayat-ayat berikut:


"Hai orang yang berselimut, bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah. Dan pakaianmu bersihkanlah. Dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah. Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah"
-mafhum firman Allah, Al-muddattsir, (74:1-7)

Ayat-ayat al-muddatsir menyuruh beramal; amal yang terkait dengan manusia,-bangunlah, lalu berilah peringatan!, amal yang terkait dengan Allah- Dan Tuhanmu agungkanlah, dan amal yan berkait dengan diri sendiri- dan pakaianmu bersihkanlah.

terdapat ayat yang menyuruh beramal dengannya, ada juga ayat yang terkait dengan meninggalkan- dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah,
Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Lalu semua ayat itu dibingkai dengan sabar kerana Allah Taala- Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah..

Dapat kita fahami, bahawa ilmu lebih dahulu mendahului dari amal. Kerana ilmu yang meluruskan amal serta mengajarkan syarat dan rukunnya. Hukama juga mengatakan "ilmu tanp amal itu gila, dan amal tanpa ilmu itu buta"..

Bahkan, perlu juga kita fahami dari ilmu itu akan membuahkan amal. Fudhail bin 'Iyadh dalam menafsirkan ayat al-mulk, "amal yang paling baik', maka beliau mengatakan amal yang paling baik ialah amal yang ikhlas dan benar. Adapun amal ikhlas tapi tidak benar tidak diterima, dan amal yang benar tapi tidak ikhlas juga tidak diterima. Beliau mengatakan:

"amal yang ikhlas itu amal kerana Allah, dan amal yang benar amal yang sesuai dengan as-sunnnah".

Maka, seseorang yang ingin beramal perlu kepada kedua syarat ini, dan yang mampu menghimpunkan dia syarat ini lantas dengan ILMU. Ya, persis sekali!


Jika sese
orang tidak mengetahui apa yang dibawa Rasulullah, tentu dia tidak mampu melaksanakan amal yang benar. dan jika seseorang tidak mengetahui Tuhannya, mana mungkin dapat mengikhlaskan amalnya kerana Allah, Tuhannya. Justeru, ilmu adalah penuntun keikhlasan dan penuntun mengikuti sunnah dan manhaj baginda s.a.w.

SubhanaLlah...

Saya menasihati diri dan juga sahabat supaya terus menyibukkan diri mencari ilmu. bertebarkan di muka bumi menggali telaga ilmu lalu mencedoknya untuk terus hidup dalam lingkungan rahmat dan inayah dariNya. Bagi mereka yang ingin menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemaksiatam-yakni berdakwah, juga memerlukan ilmu dalam amalnya itu. Jangan hanya beralaskan emosi dan akal dalam menjalankan kerja islam, sehinggakan dalil pun tidak pernah dituntunnya dari al-quran mahupun dari sunnah Ar-rasul. Bangkitkan kesedaran mereka dengan kefahaman islam yang ampuh, supaya amal yang kita lakukan ikhlas dan benar di sisiNya...

Mustahil kita dapat berjalan dalam gelap tanpa pelita ditangan tidak menyala....

 

saya menjadi malu...

3minggu berlalu..

sebulan yang 'penat' perlu ditempuhi dengan syukur, sabar atas sabar, ikhlas, redha dan sebagainya..
Alhamdulillah, saya telah dapat kembali ke kampus untuk terus meneruskan pengajian yang tertangguh hampir 3minggu. Terima kasih, syukran, arigato, shey shey kepada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan kesejateraan saya. Doa saya titipkan kepada Allah buat kalian semoga berada dalam keadaan sihat dan dibawah rahmat dan 'inayah dari Allah sentiasa.

Berbekalkan dua 'kaki' tambahan, saya berkaki 3 ke kuliah ditemani oleh rakan sekelas dan sekuliah. Dilayan sebegitu baik dan cermat bagaikan 'dato' membuatkan saya menjadi segan dengan rakan-rakan. Moga nanti saya dikurniakan kekuatan untuk menolong mereka jikalau mereka juga menghadapi kesusahan.

"Baik-baik syeikh, Allah nak bagi anta rehat tu.."
"Ada hikmah semua tu.. anta bersabar la syeikh.."
"kafarah dosa untuk enta la tu..."

Itulah yang menjadi antara pemangkin untuk saya terus berdiri (walaupun sebelah kaki) menghadapi apa jua rintangan dan ujian yang Allah hadiahkan kepada saya. Malah makin sejuk hati ini bila saya bertemu dengan kalam nabi yang sememangnya memahami umatnya:

"diuji manusia itu berdasarkan agamanya...."
"jika pada agama itu teguh, maka ditambahkan ujian kepadanya"
-mafhum hadis

Moga-moga saya sudah hampir dengan 'manusia' itu...

Cuma saya terkadang malu dengan pandangan orang terhadap saya. Malu sangat.
terdapat rakan-rakan memuji saya dengan pujian yang 'keterlaluan' untuk saya terima. Keterlaluan untuk diri saya menanggungnya kerana masih lagi jauh dari apa yang dituturkan mereka.

Siapa yang tidak senang telinga bila mendengar pujian dari rakan-rakan terdekat. Kata-kata seperti 'hebatlah awak', 'bisolah mu ni', ' anta terlalu baik syeikh', dan sebagainya membuatkan diri sesorang bisa menjadi senang dan tenang.

Namun, saya lakarkan satu muqadimmah kitab ilmiah yang begitu menyentuh perasaan dan hati. Satu hikmah yang saya temui pada tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi, yang membuatkan saya membacanya beberapa kali. Sahabat saya sependapat dengan saya, bila membacanya membuatkan meremang roma badan ini, bertakung air di lopak mata.

buat semua sahabat, saya titipkan kalam ini...

*****************************************
...Walau demikian, saya merasa masih memiliki kelebihan-dan kelebihan milik Allah semata. Saya mengenal hawa nafsu dengan baik; ia tetap tidak mampu memalingkan diri saya dari menyelami hakikat dan menyingkap kepalsuan nafsu meski telah berusaha menipu. Pujian dan sanjungan orang lain tidak mampu memperdayaiku untuk tidak menguak hakikatnya kerana manusia menilai berdasarkan lahir-bukan batin, kulit-bukan isi, dan permukaan-bukan inti.

Perkataan Ibnu 'Atha'illah dalam kitab al-hikam selalu terngiang-ngiang dalam ingatan saya,
"Manusia memujimu atasa dasar prasangkanya kepadamu, maka jadilah pencela dirimu kerana pengetahuanmu tentangnya.... orang terbodoh adalah orang yang meninggalkan keyakinannya kerana prasangka orang lain!"

Demi Allah, saya sangat sering malu terhadap diri sendiri ketika orang lain menisbatkan kepadaku sifat-sifat yang tidak layak aku sandang. Inilah kebaikan yang dipergunakan Allah untuk menutup kesalahan hamba-hambaNya. Alangkah indah bait syair yang didendangkan Abu al-'Atahiyah:

Allah telah berbuat baik kepada kita dengan tidak menyebarkan kesalahan kita

Padahal kesalahan yang tersembunyi dari kita terkuak jelas di hadapan-Nya.


Tentang masalah ini Ibnu 'Atha'illah as-Sakandari juga mengatakan:

"Jika dipuji, sesorang mukmin akan malu kepada Allah kerana ia telah dipuji dengan satu sifat yang dilihatnya tidak ada dalam dirinya! Apabila pujian diberikan kepadamu padahal kamu tidak layak mendapatnya, maka pujilah Allah Taala dengan pujian yang layak untuk-Nya! Orang yang memuliakanmu sebenarnya ia memuliakan baiknya penutupan keburukan yang dilakukan-Nya sehingga pujian hanya layak untuk Dzat yang Menutupi keburukanmu, tidak untuk orang yang memuliakanmu atau berterima kasih kepadamu!"

Seringkali saya mendendangkan-ketika dipuji orang yang memujiku, yang berprasangka baik kepadaku- bait-bait syair penyair saleh yang bermunajat kepada Tuhannya:

"Mereka menyangkaku baik, padahal aku sama sekali tidak punya
kebaikan
Aku sebenarnya hanyalah hamba yang zalim seperti yang Engkau
saksikan!
Engkau telah menyembunyikan seluruh keburukanku dari
mata mereka
Dan Engkau telah menganugerahiku pakaian indah yang
menutupinya
Karenanya mereka mencintaiku, padahal aku tidak layak dicinta
Mereka menyerupakanku dengan orang lain yang memang layak
dicinta
Karena itulah pada hari Kiamat jangan kuak kesalahanku
Dan di Hari Pengumpulan, wahai Tuhanku, tutupilah keburukan-
keburukanku."

Rasa maluku kepada Tuhanku dan kepada diriku, juga keteledoranku, telah menghalangiku untuk memasuki tema tasawuf, meskipun sejumlah rekan dan murid telah memintaku menulis sedikit tentangnya untuk orang banyak-siapa tahu Allah memberi manfaat kepadanya.

Lalu tekadku untuk menjadi kuat, sekuat pengharapanku kepada rahmat Allah Ta'ala, ampunan dan kebaikan-Nya. Saya, jika memang tidak layak mendapatkan rahmat-Nya, maka rahmat-Nya kuasa untuk meliputiku.

Seseorang telah menghadap Nabi s.a.w dan bertanya tentang kiamat,

"Apa yang telah kamu siapkan untuknya?" tanya baginda s.a.w.
"Demi Allah, saya tidak menyiapkan untuknya shalat yang banyak, puasa dan sedekah. Tetapi saya mencintai Allah dan Rasul-Nya," jawabnya.

"Kamu akan bersama orang yang kamu cintai."-mafhum hadis.

Para sahabat belum pernah segembira ketika menerima hadis ini, kerana mereka yakin bahawa diri mereka mencintai Allah dan Rasul-Nya.
...

***************************************************
Allah, saya menjadi malu!!

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger