IKHTILAT; SIAPA KATA TAK BOLEH??




-artikel ringkas ini telah dahulu disiarkan di dalam sebuah risalah ringkas.


"Kenapa mesti marah kat aku?? Bukannya aku buat benda salah. Nak kenal saudara islam je pun..." tutur seorang sahabat. Murni niatnya itu.
"Anta jangan salah faham. Ana nak kenal dia je. Bukankah al-quran menyuruh kita untuk berkenal-kenalan? Rujuk surah al-hujurat.." Ujar seorang sahabat dengan tegas. Bukan calang-calang, ditompang keinginannya itu dengan dalil yang meng'halal'kan hasratnya itu.

Ramai yang kebuntuan. Mereka yang tahu semakin melawan. Mereka yang jahil semakin menyimpang. Dunia tanpa batasan sudah mula ditafsir dengan ilmu sendiri. IKHTILAT DIBUDAYAKAN!!

IKHTILAT; ANDA MAMPU MENGUBAHNYA.

Ikhtilat (pergaulan) kurang dituturkan oleh kebanyakan masyarakat, namun perbuatannya kian membiak dengan derasnya. Malah, mereka yang tahu agama juga tidak terlepas dari melewati batasan syariat ini. Syariatullah tidak pernah menghalang firtah manusia, bahkan ia selalu mengawal manusia supaya menterjemahkan fitrah itu dengan sebaiknya.

"demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan.." -As-Shams, 7&8.

Allah telah mengilhamkan dalam diri hambaNya sukma kefasikan dan ketakwaan, maka adalah menjadi pilihan manusia untuk memilih antara dua persimpangan ini. Tiada yang ketiga.

Dalam perkara ini--pergaulan antara lelaki dan perempuan, syariat telah membina batasan demi menjaga maruah diri, kesucian hati, dan rabitah imaniah dengan Ilahi. Batasan itu bukanlah sesuatu yang menyusahkan, jelas ia menjadi pemandu ke arah jalan ketakwaan.

Tegahan supaya menundukkan pandangan-ghadul basar (an-nur,30-31), sebagaimana nabi s.a.w juga menegah pandangan kedua mengiringi yang pertama, justeru bagi mengelakkan dari panahan syaitan yang merosakkan jiwa insan dari mengenal cinta Tuhan. Hamba Allah yang beriman juga diharamkan dari melunakkan suara dalam berbicara dengan bukan mahram (al-ahzab, 32) kerana suara mampu mencairkan benteng iman yang rapuh itu. Malah, sudah jelas garis panduan yang boleh disemak dalam dalil yang sarih. Jika diikut, muamalat yang baik dapat dipupuk.

Tegahan itu untuk mengelakkan mudarat lebih besar dari berlaku. Allah bukan sekadar menghalang ZINA, bahkan JALAN untuk mendekatinya pun ditutup rapat tanpa kompromi. Semua itu demi memupuk fitrah insan yang suci dari terus dikotori, dan menjaga masyarakat dari kefasadan yang pasti.
Namun, yang dirisaukan sekarang bukan pada mereka yang jahil sahaja, malah mereka yang bakal memegang title ustaz dan ustazah, protaz dan sebagainya juga terjebak dengan semua ini. Dengan alasan study group, 'ukhwah fillah', mesyuarat, belanja makan tanda penghargaan dialas supaya mengindahkan lagi ikhtilat haram mereka itu. Jelas, perkara haram tidak boleh bercampur dengan halal!

"dan jangan kamu campurkan hak dengan batil, dan kamu menyembunyikan hak sedangkan kamu mengetahuinya.."-al-baqarah, 42.

Niat yang baik tidak dapat menghalalkan ikhtilat yang ditegah dalam Islam. Ingatlah, syaitan mampu memesongkan niat mulia kita untuk 'ukhwah' itu dengan pergaulan yang berakhir dengan murka Allah. Walaupun ilmu agamamu tinggi melangit walau digelar ustaz sekalipun! (al-ankabut, 38)

PENTINGKAH TUHAN DALAM HIDUPMU?

Sebagai hamba Allah, jangan teruskan beralasan dalam melaksanakan hukum dan peraturan yang telah ditetapkan.
Namun, jika kamu mampu membawa segala alasan itu untuk berlepas dengan azab Allah kelak, persilakanlah!!
Tunduk dengan perintah Allah mampu membuktikan akur dan patuh kita sebagai hamba yang kerdil disisiNya. Banyak beralasan menumbuhkan benih kesombongan dan itu bukan selayaknya hamba yang beriman dan yang menambakan syurga.

Siapa kata ikhtilat itu tak boleh, maka bukalah al-quran dan as-sunnah untuk mengetahuinya.

Dan bermuhasabahlah, di mana Allah dalam prioriti kamu??

 
Assalamualaikum....

Persinggahan sementara seorang rakan sekolah dahulu ke ruangan ini memesan sesuatu. Satu pesanan dari saudara seislam. Mengenai seorang manusia yang bernama Dr. Aafia Siddique/Siddiqui. Saya letakkan linknya di sini. Maklumat tentangnya pun tidak banyak saya dapat. Mungkin boleh diselidik di laman sesawang yang banyak seperti wikipedia, youtube dan sebagainya.

Sekian.
 

Doakan aku tidak dusta!!

Pembacaanku pada suatu hari terhenti seketika. Terhenti pada lampu merah; peringatan di perjalanan hidup sebelum meneruskan langkah seterusnya. Hentiku bukan lelah, namun henti pada teguran Murabbi Agung yang tulus dalam kalam ma'sumnya. Aku tatap hadis itu sekali lagi supaya dapat aku maksudnya 'al-ikhlas' itu dalam tiap amalanku...

buat renungan kalian...

Syuhada, Ulama, dan Dermawan

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya manusia yang pertama kali diadili pada hati Kiamat adalah orang yang mati syahid. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?" Orang itu menjawab, "Saya berperang di jalan-Mu hingga mati syahid." Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu berperang, agar kamu dikatakan pemberani, seorang pahlawan!" Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilempar ke dalam neraka.

Selanjutnya, didatangkan ulama; orang yang belajar ilmu, mengajarkannya, serta membaca Al-Qur'an. Maka, didatangkanlah orang tersebut lalu diperlihatkan nikmat-Nya. Dia pun tahu akan nikmat-nikmatitu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?" Orang itu menjawab, "Saya belajar ilmu dan mengajarkannya, serta membaca Al-Qur'an untuk-Mu." Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu belajar dan mengajarkan ilmu serta membaca Al-Qur'an supaya kamu dikatakan alim, supaya kamu dikatakan seorang qori!" Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

Berikutnya. didatangkan orang yang diluaskan rezekinya oleh Allah dan Allah memberikannya semua bentuk harta kekayaan yang beraneka ragam. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apa yang kamu lakukan dengan hartamu yang melimpah itu?"
Orang itu menjawab, "Saya gunakan seluruh harta itu untuk berbelanja di jalan-Mu, ya Allah!" Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu kerjakan semua itu supaya kamu dikatakan sebagai seorang dermawan!"
Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka. (mafhum HR. Muslim)


Pesanan Buat Kita

Kisah itu melibatkan mereka yang bukan calang-calang.
Seorang mengugurkan darahnya di medan perang.
Seorang lagi bertaraf ulama yang padanya telaga ilmu untuk dicurahkan.
Seorang lagi kekayaannya diagih kepada mereka yang memerlukan.

Namun, aku pula??
Bukannya bertaraf syuhada. Sekadar blogger yang mencoretkan dakwat di atas papan maya.
Bukan juga ulama. Tintaku bukan kalam ma'rifat yang tajam untuk dikongsikan.
Jauh juga dari taraf derwawan. Hartaku tidak cukup untuk dikeluarkan zakat sekalipun.


Mereka hebat pada pandangan manusia. Namun dihina disisi Tuhan.
Mereka menyangka amal mereka berlimpah dengan berkat dan rahmat, hakikatnya semua itu kontang dari sifat al-ikhlas. Maka mereka dihitung sebagai pendusta. Pendusta dalam 'amal soleh' mereka!!

Kebimbangan mula menjalar dalam nadi perjuangan ini....
Takut bila ditanya, apa yang kamu buat dengan ruang dakwah kamu di blog semasa kamu hidup dulu??

Adakah kerana inginkan pujian dan sanjungan ramai??
Atau mengharapkan comment dari pembaca-pembaca??
Atau memenuhkan shoutbox dengan kata-kata indah dan pujian??dan sekadar mengisi masa lapang??

Atau benar-benar IKHLAS mengharapkan Redha Allah dalam setiap amalan??
Menjadikan Allah sebagai tujuan hidup kita?? tanpa mengharapkan keuntungan dunia yang seberat sayap nyamuk ini??

Doakan aku tidak dusta!!!
 

Mereka yang saya kenal

Menyulusuri hikmah al-ghazali membuatkan aku termenung seketika. Mencari erti disebalik kata-kata tersebut. Kata-katanya cukup indah untuk dinilai kembali, juga sebagai muhasabah diri.

"Antara tanda seorang yang soleh itu ialah, apabila melihat wajahnya maka akan teringat kepada Allah..."

Astaghfirullah..astaghfirullah...astaghfirullah...

Saya mengeluh sendirian. Hakikat kalam hikmah itu belum saya capai. Namun, saya bersyukur kerana dapat mencium tandanya dari sahabat-sahabat serta teman sekeliling saya. Saya masih mampu tersenyum kerana punyai sahabat sedemikian. Malah saya cukup bertuah jika orang bertanyakan saya tentang sahabat saya, dan saya mampu mengatakan "beliau adalah sahabat saya".

Mereka yang saya kenal

Perkenalan saya dengannya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Saudara Arislan Nasrullah merupakan satu nama yang tidak asing di sekolah dahulu sewaktu zaman saya. Aktif dalam nasyid, merupakan presiden badar dan juga mahir dalam qiraat menjadikan saya bangga memiliki sahabat sedemikian. Riak wajahnya juga selalu tenang, bahkan kami di sekolah dahulu mengkagumi beliau kerana dirinya yang selalu tenang walaupun kerja sekolahnya lebih kurang seperti saya juga. Seorang anak yang patuh kepada ibubapanya, telah membawa dirinya ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran, dan saya masih di sini. Doa dan rindu saya mengiringi beliau di sana. Beliau mengajar saya tentang manisnya bersedekah pada jalan Allah.

Saudara Rasyadan
pula merupakan insan yang saya kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di bumi USIM. Perkenalan kami secara tidak berapa langsung masih lagi utuh sehingga kini. Entah apa yang mengikat kami masih lagi bersama, namun saya kira mungkin kesatuan fikrah yang saya dan beliau miliki menyatukan kami dalam kebanyakan perjumpaan kami (beliau juga orang kelantan). Wajahnya tenang amat, sentiasa mengukirkan senyuman, dan sering juga membetulkan kacamata lama yang kian pudar itu. Kacamata perjuangan saya kira. Kunjungannya bertemu dengan saya, akan saya berikan perhatian sepenuhnya walaupun saya di tengah pembacaan, walaupun di tengah malam; kerna saya tahu, jika saya letih, maka beliau pasti letih dan penat. jika saya mengantuk, maka beliau pasti mengantuk dan lelah. Beliau akan sentiasa mendahului saya dalam perjuangan ini.

Tiap kali bertemu dengannya, senyuman didahulukan dan salam dijambatkan. Saudara Basri membesar bersama dengan saya sejak awal pengajian di tamhidi lagi. Namun bila mengenangkan peristiwa semasa di ihtifal smka dahulu, saya akan tergelak sendirian. Disangkaan orang luar rupa-rupanya kelantan pekat; apatah lagi asalnya dari Paloh Rawa, Machang (metropolitan katanya). Dalam senyuman manis dan tenangnya, ada juga teguran yang membina. Masa bukan barang mainannya, maka kami mesti menepati masa kalau sudah berjanji untuk bertemu pada pukul sekian-sekian. Saya merasai jatuh bangunnya beliau, saya juga merasai perit manis beliau. Walaupun bukan semua, tapi mata yang memandang turut merasai tempiasnya, sekalipun badan yang menanggung pasti melaluinya dengan penuh kecekalan. Bertemu dengannya pasti bukan pertemuan yang sia-sia, pasti ada perbincangan yang bermanfaat dikongsi, diselit dengan gurau senda yang menambahkan manis dalam tali perhubungan kami.

Nama yang unik di bumi malaysia ini membuatkan dirinya senang untuk dikenali,- Ibrahim Hussin Ibrahim. Namanya sudah harum di maahad, dan sedang mekar mewangi di tanah Nilai ini. Hijrahnya dari bidang sains kepada syariah merupakan hijrah yang bermakna buat dirinya, juga buat diri saya. Wajahnya kacak, tubuh badannya segak (walaupun sedikit kurus). Tetapi itu semua bukan ukuran sebenar, bahkan itu tidak sesekali membanggakan saya. Sifatnya yang bersemangat, istiqamah, dan sabar menghadapi tekanan sering saya jadikan ukuran untuk terus maju bersamanya. Tabiat pembersihnya juga memberi kesan kepada diri saya ini. Moga dirinya sehebat abuya nya.

Nasiruddin
, batang tubuhnya tetap segar dalam ingatan ini, walaupun hampir 2tahun tidak bersua muka dengannya. Baru beberapa minggu lalu beliau menelefon saya dari mesir, loghat kedahnya itu masih jati dalam dirinya. Kelahiran blog saya dan beliau sama, namun kalamnya makin lama makin berisi dari saya, meskipun desakan pengajian dalam bidang kedoktoran sentiasa menghimpit masanya. Malu untuk saya mengaku, namun dirinya sentiasa terkehadapan berbanding saya. Jika saya dalam bidang syariah, maka dia telah merancang untuk faqih dalam ilmu kedoktoran dan syariah. Jika saya ingin berjinak dalam ilmu mantiq, maka beliau telah menekuninya dari bangku sekolah lagi. Beliau mengajar saya tentang peri pentingnya menekuni ilmu, bukan sekadar berjuang namun diri kontang dari bekalan ilmu.

Saudara Mansur juga rakan seperjuangan yang usianya muda namun makin hari makin cuba menampakkan matangnya dalam perjuangan, samada dalam pelajaran ataupun dalam bidang dakwah. Orangnya sentiasa sibuk, agak sukar untuk mencarinya pada hari-hari minggu. Saya mengenali dirinya sejak dari tamhidi lagi, dan hidupnya pasti terus menuju kepada peningkatan; suatu yang pasti tersemat dalam diri setiap mukmin. Senang menerima teguran, sabar dalam pergaulan menyebabkan saya juga perlu cermin diri dengan segala sifat kekurangan saya.

Perkenalan dengan Saudara Syihan tidaklah terlalu lama, masa masih terlalu muda untuk saya menilai beliau. Sikapnya juga sentiasa riang, ramah dan senang untuk dibawa berbincang. Ada yang mengatakan beliau sedikit agresif, namun saya katakan beliau sebenarnya reaktif. Seorang yang prihatin, berinformasi dan juga tegas meyerlahkan sifat-sifat kepimpinan dalam dirinya. Bicaranya bermanfaat, penulisannya berisi, pasti dalam dirinya terkandung semangat juang yang tinggi. Maka Allah jualah yang lebih mengenali diri dan cita-citanya.

Masih terlalu ramai untuk disusun, namun nama kalian semua kususun dalam doa aku setiap hari. Mungkin sahaja nama kalian sunyi di bumi ini, namun kuharap nama kalian disebut-sebut di angkasa langit sana.

****************************

Mereka itulah yang saya kenal.
Ada yang mengingatkan saya tentang kesabaran dalam hidup.
Ada yang mengingatkan saya tentang erti penat dan lelah dalam perjuangan.
Ada yang mengingatkan saya tentang semangat ukhwah fillah yang perlu disemai dalam perhubungan sesama insan.

Peringatan itu amat bermanfaat. Bermanfaat bagi orang yang beriman.
Peringatan yang mendekatkan diri kepada Rabbul Jalal. Mengingatkan tentang diri merupakan hamba yang hina di hadapan Tuhan Segala-galanya.

Maafkan aku wahai sahabat. Aku mungkin tidak mampu memberi banyak manfaat kepada kalian, namun aku akan pastikan aku tidak akan menjadi penghalang kepada jalan untuk kalian dekat dengan Tuhan.

Berjuang pada jalan Tuhan perlu suci, kerana sesungguhnya suci tidak akan bisa selesa dengan kekotoran.

Para pejuang sentiasa merintih dan berteleku, "siapakah yang akan bersamaku dalam perjuangan ini??"

Aku tunduk malu sendirian, "adakah aku yang hina berada dalam perjuangan ini??"....

Umar r.a masuk ke masjid dan melihat Mu'adz bin Jabal sedang menangis di sisi kuburan Rasulullah s.a.w.. Umar bertanya, "Apa yang membuatmu menangis wahai Mu'adz?" Mu'adz menjawab bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya sedikit dari riya' adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa yang tersembunyi, yaitu orang-orang yang apabila mereka tidak ada maka orang merasa kehilangan dan apabila mereka hadir mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat." ( mafhum HR. Thabrani)
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger