Kenangan Terindah

Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda:

ولو يعلم العباد ما في شهر رمضان لتمنى العباد أن يكون شهر رمضان سنة

maksudnya: "kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadhan, nescaya mereka akan bercita-cita supaya bulan Ramadhan berlaku sepanjang tahun"

Riwayat al- Tabarani, Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi.

*****************

Awalnya, saya hanya melihat kalam tersebut secara zahirnya sahaja. Namun, lama kelamaan barulah saya merasa akan kehilangannya. Mungkin disebabkan lumpur dosa di hati sehingga sukar untuk mengamati dan menyedarinya awal-awal. Rugi, alangkah ruginya manusia.

Mengimbau kenangan Ramadhan...

Awal ramadhan lagi saya sudah ditaklifkan untuk memimpin jemaah surau di Nilam Court. Memang tidak disangka, disitulah bermulanya tarawih saya pada tahun ini. Alhamdulillah, Ramadhan disambut riang oleh warga kolej disana. Memutih mata melihat beberapa saf muslimat di belakang kami bermula dari solat Isya' sehingga usai solat witir. Bahkan, suraunya pun bukan di lokasi biasa, tempatnya dihamparkan tikar di atas tar jalan berbumbungkan khemah. Sungguh, jemaah solat memang ramai daripada kebiasaannya. Ruh ramadhan cepat mereka rasai. Mungkin juga mereka yang tidak pernah turun surau sebelum ini pun tergerak hati untuk mengikuti madrasah ramadhan kali ini. Moga-moga semuanya disulam dengan niat yang ikhlas malah mengikut sunnah yang benar.

"Bangun, bangun.. sahur laa..."
Seawal jam 5.00 pagi ada yang sudah bangun untuk melaksanakan sunnah yang dituntut di dalam bulan ramadhan; bersahur. Syukur, sahabat serumah saya juga kurang liatnya untuk bangun bersahur. Sekadar seteguk dua air kosong dan kurma sudah memadai. Pernah juga kami bersahur di sebuah kedai makan berdekatan dengan kolej kediaman. Kagum saya, ramai sungguh manusia yang bangun awal pagi semata-mata untuk melakukan sunnah ini; walaupun ada yang menghisap rokok sebagai sahur mereka. Bahkan, itulah pertama kali saya melihat pelayan kedai makan tersebut memakai kopiah sambil menyediakan makanan. Baru lepas melaksanakan qiam barangkali. Ada juga sahabat lain yang siap dengan baju Melayu berkain pelikat untuk terus ke masjid menunaikan solat subuh pada awal waktunya. Hebat, mereka semua semakin berubah ke arah yang terang. Malu makin menebal dalam diri.

Suasana di kampus juga berubah wajah. Rata-rata mahasiswa akan membawa al-quran kecil beserta terjemahannya untuk dibaca ketika selang waktu kosong. Malah mereka yang bersongkok pun bertambah ramai. Walaupun kafe kosong dengan makanan, namun ada yang mengisi ruang itu dengan berdiskusi ilmu, membaca al-quran, menambah ilmu pengetahuan dan mengeratkan persaudaraan. Suatu suasana yang tidak pernah wujud sebelum ini. Mereka yang melakukan solat Dhuha juga bertambah. Suasana selepas solat zuhur juga berubah. Kalau dahulu usai sahaja solat zuhur maka ada yang terlena di surau fakulti. Namun, ramadhan telah memberi mereka suntikan keimanan untuk membuat satu halaqah kecil dan bertadarus al-quran bersama-sama. Subhanallah, jiwa mereka kenyang dengan kalam Allah. Makin bertambah segan saya dengan mereka.

Kelas tutorial juga terasa makin seronok. Saya begitu menyayangi seorang ustaz yang telah menyedarkan diri yang lena dengan hanya membaca al-quran namun jarang sekali mentadabbur ayat-ayat yang terdapat di dalamnya.
"Bacalah, apa yang mudah dari al-quran.." Seorang ustaz memulakan kelas pada hari itu dengan kalam yang begitu berhikmah. Maka saya telah membaca beberapa potong ayat al-quran. Ustaz berpesan, bahawa bulan yang istimewa ini perlu diperbanyak amalan sunat dan antaranya ialah membaca al-quran. Bahkan, tidak cukup dengan membaca perlunya kita bertadabbur dengan ayat-ayat al-quran. Ulama telah menyusun beberapa cara untuk bertadabbur al-quran dan antaranya ialah dengan melihat tiap-tiap ayat al-quran itu ditujukan kepada kita sendiri walaupun lafaznya khusus. Dengan cara ini kita akan dapat merasa al-quran itu benar-benar dekat dengan jiwa kita. Daripada tadabbur, akan membuahkan amalan-amalan yang mengikut suruhanNya serta meninggalkan laranganNya.

Tazkirah, kuliah, majlis ilmu bercambah dengan laju di dalam fatrah ramadhan ini. Iftar jamie pula tidak kurangnya. Ukhwah semakin dieratkan supaya perasaan mahabbah sesama insan semakin bercambah tanpa mengira pointer, tahap kecerdikan, status keturunan dan pandangan politik. Amalan bersedekah disuburkan. Akhlak mahmudah semakin berbuah. Semua itu didasarkan agar ramadhan dapat dihayati dan diisi dengan amalan yang akhirnya menatijahkan ketakwaan yang menyuluh di sanubari. Senyuman dapat diukir di bibir pada bulan ramadhan ini; tanda bersyukur dengan perubahan yang berlaku.

Namun, mungkin senyuman ini akan terus menipis di saat menempuhi bulan-bulan selepas bulan Ramadhan ini. Itulah hakikatnya.

Tikar sudah mula disimpan untuk digunakan tahun hadapan pula. Al-quran dizip rapat supaya habuk tidak terlalu tebal untuk dibuka beberapa bulan lagi. Surau akan disampahkan dengan manusia yang tidur diulik mimpi nan indah. Perut dikenyangkan dengan makanan sedangkan jiwa dan rohani terus mengadu kelaparan dan 'berpuasa' untuk beberapa bulan seterusnya.

Semuanya sudah tinggal kenangan. Kenangan yang terindah. Sebuah kenangan yang akan diselak kembali apabila tiba waktunya nanti.

Ingatlah, ramadhan telah pergi. Namun Tuhan kepada ramadhan tetap hidup dan kekal abadi. Dia juga tuhan kepada bulan Syawal, Zulkaedah dan seterusnya. Seorang muslim itu menyembah Tuhan, bukan makhluk Tuhan. Ingatlah, jika kamu benar-benar beriman.

Maka takbir raya sudah hilang maqasid dan matlamat sebenarnya. Takbir raya yang hanya merugikan air mata yang mengalir dan mengeringkan tekak yang melaungkan. Mengapa takbir raya yang sepatutnya menjadi tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana petunjuk hidayah yang diperolehi di saat ramadhan, bertukar menjadi perhiasan di kaca televisyen sahaja???

Takbir hanya layak bagi mereka yang mendapat petunjuk di bulan yang mulia itu, yang mampu istiqamah dengan amalannya terdahulu, serta menambahbaik segala perlakuannya yang dahulu. Lahir sebagai 'insan baru'.


Sungguh, aku inginkan ramadhan berpanjangan...




 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger