Perutusan Aidiladha SPMM 2011/2012




Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Allahuakbar, walillahilhamd.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa'kan ke hadrat Allah, Tuhan seisi langit dan bumi, yang menguasai tiap-tiap sesuatu dan tidak ada yang terlepas daripada IlmuNya.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w di atas setiap keringat dan tawakal serta mahabbah dari baginda, nikmat Islam, Iman dan ruh jihad sampai kepada kita, umat Islam sehingga ke hari ini. Bersinarnya dunia bukan sahaja kerana mentari merah di langit, akan tetapi sinar di atas sinaran itu datang daripada dakwah mahabbah Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya yang mulia, semoga rahmat ini sentiasa bertapak dalam sanubari umat islam.

 

Ilmu dan Pendidikan; Dimana Silapnya?



Pertama kali saya diminta untuk menyiapkan kertas kerja berkenaan dengan isu pendidikan di Malaysia. Senak perut dibuatnya. Selayaknya, kertas kerja yang begitu bernilai tajuknya ini perlu dikendalikan oleh mereka yang 'ahli' dalam bidangnya. Kalau inginkan ilmu kedoktoran, pasti bukan nelayan yang menjadi pilihan. Dan kalau ingin mengetahui ilmu di lautan, maka ilmu kedoktoran menjadi sia-sia sahaja.

Tanpa sebarang huraian objektif, hanya berbekalkan nama tajuk sahaja. Sejumlah buku dicapai untuk ditekuni semampu mungkin. Bantuan seorang sahabat saya memudahkan lagi laluan untuk menggali lautan ilmu ini, walaupun kami ketiadaan masa yang banyak. Falsafah pendidikan merupakan 'mainan'nya di dalam pengajian, digabungkan dengan minda fiqh dan usul dalam kerangka minda saya, menatijahkan hasil yang serba sedikit memberi cetusan untuk manusia; paling tidak untuk diri saya.



 

Maqasid Daie & Dakwah (I)

kredit to here

Pernah satu ketika, sekumpulan sahabat saya berbincang mengenai dakwah. Selari dengan kempen bulan penghayatan islam yang sedang dijalankan, maka jiwa anak-anak muda yang gemarkan dakwah ini pastinya tidak akan melepaskan ruang dan peluang yang ada untuk gerak kerja dakwah. (Saya juga masih berjiwa muda, walaupun raut wajah bagaikan bapa anak tiga).

Sesi brainstorming ringkas berlangsung. Macam-macam perkara dan uslub dakwah yang diletakkan. Daripada edaran risalah, sehingga media di alam maya. Semuanya fokus untuk mewujudkan biah yang baik. Saya mengiyakan sebahagian, dan menolak sebahagian pandangan.

 

Adakah kita bersedih??

Catatan ini sudah lewat untuk dinukilkan. Namun, adalah lebih baik sekiranya kudrat yang ada ini digunakan untuk dicoret sedikit peringatan terutamanya untuk diri sendiri dan untuk ummah kesemuanya.

Di saat bait kata-kata ini ditulis, jendela Syawal sudah terbuka. Menunggu takbir raya pada keesokan paginya. Sekira-kiranya, pasti para ibu sibuk didapur memasak resipi untuk hidangan pagi esok, dibantu anak-anak kesayangannya yang juga riang menggosok baju raya untuk dipakai esok, meraikan sunnah-sunnah yang dianjurkan oleh kekasih tercinta Muhammad s.a.w. Tidak kurang juga bom'kecil' menghiasi ruang udara dengan gemercik apinya, walaupun bunyinya menyakitkan hati dan telinga. Gambaran kegembiraan terpancar di wajah mereka.

Namun, masih adakah insan yang berduka?

 

Memori: Catatan 1: Kembara Al-Mubarak 1432

Diambil dan diedit sedikit dari blog Pena Fakir
Pertemuan kami bersama-sama guru mursyid fadhilatul syeikh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diatur seawal tengah hari lagi. Bimbang kalau-kalau ada aral yang menghalang hajat kami untuk menemui beliau. Ustaz akhirnya sudi menerima kunjungan yang lebih dinamakan sebagai ziarah ilmuan di sore Ramadhan.

Tepat jam 6 suku petang, kediaman agam yang tersergam menyambut kedatangan tetamu kecil. Hujan yang sedikit lebat mengiringi perjalanan kami, kembali reda sebaik tiba di sana. Kelihatan susuk tubuh persih dan redup wajah setia menanti di pintu rumah, melambai-lambai agar segera menggamit beliau.

Tangan bersambut, salam bersahut dan senyuman diukir, mengisi rasa rindu dan kasih dalam hati. Tiga pembantu peribadi Ustaz yang turut berada di sisi beliau, juga menerima kehadiran kami dengan tangan terbuka.

 

Akhi, Semoga anda tabah.



Assalamualaikum warahmatullah. Bismillah, dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha mengasihani. Kepada Allah kita bertawakal, dan kepada Allah kita kembali.

Saya mulakan catatan ringkas ini dengan ayat al-quran mafhumnya:
" sesungguhnya orang-orang mu'min itu bersaudara maka damaikanlah antara mereka itu, dan bertaqwalah kepada Allah, moga-moga kamu dirahmati Allah Taala."

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, maka berhukumlah dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat."

Nabi s.a.w juga pernah bersabda:
" Mu'min itu seperti satu binaan, yang saling melengkapi antara satu sama lain"


 

Perutusan Ramadhan SPMM 2011/2012

Salam Ramadhan.

Assalamu'alaikum warahmatullah, dan salam ramadhan buat semua ahli kepimpinan Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) sesi 2011/2012, ahli-ahli jawatankuasa, serta ahli SPMM yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah, puja dan puji kita panjatkan kepada Allah 'azza wajalla di atas kurniaan nikmat kehidupan di dunia yang sementara ini, dalam kita merasai dan berteduh di bawah langit Ramadhan. Sesungguhnya, inilah doa yang telah kita panjatkan bermula seawal bulan Rajab lagi dengan doa yang mashyur di kalangan kita:

"Ya Allah ya Tuhan kami, berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan..."


 

Moga kita bersama Mereka..




Detik yang ditunggu akan kunjung tiba.
Syaaban bersedia melabuhkan tirainya, sama seperti bulan-bulan yang terdahulu.
Putaran bumi tidak pernah ingkar dengan aturannya, selagi diizinkan yang Menciptakannya.

Maka manusia juga perlu sentiasa meratib dalam doa sehariannya:
"Ya Allah, berkatilah aku dalam bulan Syaaban, dan datangkan kepadaku Ramadhan..datangkan kepadaku Ramadhan..."



 

Bicara Bisu Kembara Ilmu



Bismillah...

Aku cuba mencari ruang-ruang masa untuk mencoret di alam maya ini, setelah lama bermuhasabah di alam nyata. Sungguh, hidup apabila berselut dengan dosa membuatkan dada rasa sempit untuk mencoret untaian hikmah, pesanan rabbani, mauidzah pemurni fikrah dan jiwa, kerana diri masih hina.

Moga Allah masih menerima taubat daku...

Namun, coretan kali ini aku tekadkan dan persembahkan untuk sahabat pimpinan SPMM, yang telah sepakat untuk menjayakan langkah awal dalam perancangan dakwah dan tarbiah; PENULISAN.


 

catatan taubat

Setiap manusia punya hari-hari yang bermakna bagi diri mereka. Tarikh lahir, ulang tahun perkahwinan, hari pertama masuk university; semua itu direkodkan dan dijadikan ingatan untuk kemudian hari.

Sambutan akan diadakan, samada kecilan atau besar-besaran, bergantung kepada individu tersebut. Yang penting, sesuatu akan dilakukan pada hari ‘peringatan’ tersebut.

Namun, pandangan saya mungkin
berbeza.



 

Kutiplah Hikmah itu (1)




Assalamualaikum, salam perantau malam.

Catatan ringan ini sekadar menukilkan bicara yang terpendam dalam seminggu lebih. Waktu itu, kesibukan menyiapkan kertas kerja dan persediaan untuk menghadapi imtihan (peperiksaan) mengekang masaku untuk menulis walaupun sedikit.

Waktu ini juga, sebahagian besar sahabat sekuliah (fiqh dan fatwa) sedang menikmati safar ilmi ke sebelah utara. Moga-moga safar mereka mampu merubah fikrah dan jiwa. Daripada tumpul kepada tajam, daripada kosong kepada 'mulim' (penuh) dengan pengalaman dan pengetahuan.


 

Suburkan Nilai Ukhwah...



posting ini disumbangkan untuk pengisian blog alumni semekar (yang masih lagi dalam renovation) di sini.

Assalamualaikum, salam kepada penghuni bumi..

Insan Agung, Muhammad s.a.w pernah berpesan kepada kita umat islam:

"tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudara seislamnya, sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"- mafhum hadis nabi s.a.w.

Hadis nabi itu mendalam maknanya. Kalamnya bukan kalam biasa, semuanya wahyu dari Ilahi.

Pesanan Rasulullah itu perlu diteliti. Kaitannya bukan dengan perkara material, ini kaitannya dengan iman manusia, yang terbit hasil dari pasakan di dalam hati, untaian kata-kata kebenaran dari lisan serta pengamalan yang sunni dengan tubuh badan. Gabungan tiga serangkai yang tidak dapat dipisahkan bagi setiap insan yang bergelar mu'min.

 

Semailah Benih Ini...



Assalamualaikum, salam tarbiah dan dakwah.

Untaian kata-kata kali ini aku padukan untuk mereka yang telah mendahului aku dalam bidang kepimpinan khasnya, dan amnya untuk mereka yang akan bersama-samaku dalam bahtera kepimpinan sesi akan datang.

Benarlah, setiap apa yang kita perkatakan akan diuji. Makin banyak kita berbicara, makin bertambah liku ujian yang perlu kita hadapi untuk melaksanakan kata-kata dan bicara kehidupan kita. Perkara inilah yang perlu diberikan inzar kepada manusia, supaya tidak mengundang murka Allah Tuhan yang Maha Agung.

"kemurkaan besar di sisi Allah terhadap kamu yang berkata-kata pada perkara yang kamu tidak laksanakan..." (mafhum surah as-saff, ayat 3)

Tiada murka yang membuahkan suka, dan tiada lagi kesukaan jika hidup sentiasa dinaungi kemurkaanNya.


 

DISKUSI ILMIAH: DI MANA BATASAN KITA

 

Warkah Cinta buat Pemimpin.





Assalamualaikum warahmatullah.
Bismillah, dengan nama Tuhanku yang Maha Agung.

Aku titipkan warkah perjuangan ini buat para sahabat mahasiswa di USIM khususnya yang akan bertanding untuk mewakili pelajar dalam Majlis Perwakilan Pelajar sesi kali ini. Tulisan ini tidak didasari dengan apa jua status di kampus yang aku masih lagi pegang, tidak juga berpihak kepada mana-mana individu yang akan bertanding esok. Coretan ini lahir dari dalam diriku selaku anak muda yang ingin melihat kalian membawa bahtera kepimpinan dengan cara yang paling Allah sayangi;- di atas 'basirah' suluhan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sahabat-sahabat yang aku kasihi sekalian,
Aku percaya kalian punya jiwa yang besar untuk mewakili mahasiswa di sini memimpin dengan sebuah platform yang cukup besar ini. Namun kalian perlu ingat, undi yang kalian bakal terima itu, terkandung harapan dan impian tiap mereka yang mengundi pada hari tersebut. Kalian perlu bayangkan, betapa banyak harapan yang kalian perlu pikul dengan empat kerat tulang yang kalian miliki. Betapa hinanya kalian jika amanah yang kalian dapat nanti dibakulsampahkan dengan perangai dan sikap kalian yang tidak cakna dengan isu yang berlaku, malah memekakkan telinga, bersandar pada kerusi empuk di kamar MPP itu, dan selesa bergaya dengan kot hitam milik kalian. Aku percaya kalian bukan golongan tersebut.

"..dan ia (amanah kepimpinan) pada hari akhirat menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan benar, dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan kepadanya."-mahfum hadis sahih.

Wasiat buatmu pemimpin.

Maka, di atas rasa kesedaranku, di sini aku titipkan beberapa pesanan daripada akalku yang dangkal ini, namun jika bermanfaat kutiplah ia untuk dijadikan cermin muhasabah kalian nanti.

Pertamanya, aku menyeru diriku serta dirimu supaya berterusan dengan Taqwa kepada Allah, dengan sebenar-benar Taqwa. Kalian lihat dan teliti sahaja tiap kandungan di dalam Al-Quran dengan mata hati yang kalian miliki. Khatib pada hari Jumaat tidak jemu berwasiat supaya meningkatkan ketaqwaan kita kepada Tuhan sekalian Alam ini. Taqwa sahaja yang dapat menyelamatkan kalian daripada menyeleweng dalam menjalankan tugas-khususnya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Setiap tindakan kalian nanti perlu diasaskan dengan jiwa dan fikiran yang hanya memandang segalanya untuk mencapai keredhaan Allah, dan menambahkan ketaqwaan diri kepadaNya.

Jadikan pesanan dari Ka'ab bin Malik kepada Saidina Umar tentang Taqwa itu sebagai landasan kalian. Umar yang menjawab pertanyaan Ka'ab; ditanya pernahkah beliau melalui jalan yang berduri. Maka Saidina Umar mengatakan pernah dan beliau akan menyinsing jubahnya dan berjalan dengan hati-hati, khuatir jika tercarik dan terkoyak. Jawab Ka'ab, "itulah Taqwa"-yakni kita melaksanakan perkara dengan teliti dan hati-hati, sentiasa memelihara hukum Allah.

Kedua, eratkan persaudaraan (ukhwah) sesama kalian di dalam barisan kepimpinan yang bakal naik tidak lama lagi. Kepimpinan kalian bukan bersifat individualistik, tetapi secara kolektif dan bersama. Siapa lagi yang lebih memahami bebanan dan sepak terajang dalam memimpin masyarakat melainkan rakan serta sahabat dalam barisan pimpinan kalian sendiri. Dengan ukhwah, hidup sangat bahagia walau tidak berduit. Dengan ukhwah, iman di dada bisa bertambah walau cubaan datang melanda.

Namun, kalian jangan tergoda dengan 'manis'nya ukhwah sehingga dosa sahabat kalian dipandang sebelah mata. Bukan itu yang dinamakan ukhwah, akan tetapi ukhwah itu dengan cara kalian sentiasa berpesan dengan kebenaran, dan berpesan dengan sifat kesabaran.

Ketiga, kukuhkan prinsip kalian dengan acuan Islam yang sebenar. Prinsip akan mencerminkan gaya kepimpinan yang bakal kalian terajui. Harus bagi kalian untuk membezakan perkara yang bersifat prinsip fundemental (tsawabit) dan perkara yang sifatnya anjal (mutaghayirat), supaya kepimpinan dilihat mampu memenangi pandangan mahasiswa khususnya, namun tetap di atas pendirian menjalankan kerja yang baik serta menolak pandangan, pemikiran serta perbuatan yang kotor serta jijik pada pandangan Islam.
Apabila kalian berikrar dengan prinsip ini, kalian pasti diuji dengan apa yang kalian tegakkan. Bersiap sedialah, hidup sebagai pemimpin tidak akan pernah sunyi daripada mehnah dan ujian yang terhampar di hadapan kalian.

Keempat, amalkan ilmu bermanfaat yang kalian miliki. Pemimpin itu perlu berilmu, dan mengamalkan ilmunya itu sedaya upaya yang kudrat mampu tanggungi. Ayat pertama wahyu dari Tuhan kepada kekasihnya Muhammad s.a.w itu menekankan bahawa Islam itu dilandaskan dengan ilmu dari Allah yang Maha Mencipta. Manakala penekanan beramal dengan ilmu pula dinyatakan dalam wahyu keseterusnya-surah al-muddatsir; yakni amal yang berkait dengan manusia, dengan Allah Taa'la, diri sendiri, amal yang berkait dalam soal meninggalkan kotoran dosa dan mengerjakan pahala; dan dibingkai dengan sifat sabar dalam menunaikan kesemuanya itu. [lihat surah al-muddastir, 1-7]

Akhirnya, aku mewasiatkan kalian agar sentiasa mengekalkan disiplin dalam gerak kerja yang bakal kalian tempuhi. Ilmu yang melangit tinggi, dada yang sarat dengan semangat, serta perancangan yang hebat di atas kertas tidak mampu untuk dijalankan andai kata disiplin kalian longgar dan rapuh!

Disiplin yang aku bicarakan ini berkait dengan soal masa dan pengurusan jadual kalian. Di saat kerja kalian yang bertimbun nanti, ditambah dengan 'assignment' dan 'buhus' pengajian, jangan pernah mimpikan tidur yang lena dan panjang. Jauh sekali untuk kalian duduk goyang kaki menikmati kopi panas sambil menonton cerita di dalam laptop kalian itu. Simpan sahaja mimpi itu! Kewajipan kalian lebih banyak daripada masa yang ada. Disiplinkan diri dalam mengurus jadual belajar dan aktiviti persatuan; korbankan perkara yang sia-sia itu demi amanah yang kalian pikul ini. Ingat, rehat kita semua nanti di Syurga sana, bukan penjara dunia ini.

Disiplin melahirkan insan yang hebat. Saidina Umar begitu berdisiplin dalam pengambilan hadis dan tidak menerima hadis yang berstatus 'ahad', begitu juga anaknya Abdullah yang begitu teliti dan disiplin dalam memahami ayat-ayat hukum. Ternyata, disiplin melahirkan insan yang hebat!

Justeru, aku simpulkan disini wasiatku untukmu wahai teman dan sahabatku sekalian dengan TEKAD:- Taqwa kepada Allah, Eratkan Persaudaraan, Kukuhkan Prinsip, Amalkan Ilmu dan Disiplin dalam Perjuangan. Semoga teraju kepimpinan kali ini mampu melakar nama dalam kalangan penduduk di langit sana.

Aku tinggalkan kalian dengan ayat quran yang sering aku sebut-sebutkan:



Sekian, dari sahabat seperjuanganmu..
Abu Idris.
 

Retorika Perjuangan II



Bismillah..

Setelah lama saya memikirkan, saya mengambil keputusan untuk melontarkan beberapa cetusan yang seringkali bermain dalam kotak pemikiran saya ini. Ternyata ia bukan sesuatu yang baru, akan tetapi saya tidak mahu lagi melihat bentuk perjuangan yang retorik semata, kerana tidak dinamakan perjuangan jika sekadar bermain di bibir-bibir yang manis sahaja. Saya bukanlah yang selayaknya untuk menjustifikasikan sesuatu dengan pemikiran yang dangkal ini, namun saya juga tidak akan biarkan kelemahan yang nyata terus berlaku dek kerana dipandang enteng beberapa pihak.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang dilalui, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh para pendakwah dan penggerak islam. Sekali lagi saya nyatakan, saya bukanlah yang selayaknya untuk membentangkan perkara ini, namun jiwa kecil ini tidak tenang kalau hanya disimpan dan tidak dikongsikan bersama mereka yang lebih faham dari saya.

KELEMAHAN PERTAMA: Kelompangan dalam penggabungan aqidahnya (itima' aqidi)

Perjuangan Islam tidak dapat lari dari penggabungan manusia sepenuhnya terhadap perjuangan Aqidah Islamiah ini. Ini merupakan fondisi utama dalam kehidupan Muslim. Tiada istimewanya pada kehidupan manusia tanpa aqidah yang utuh ini. Memang menjadi keperluan kita; menunggalkan segala perbuatan dan ibadah seharian kita kepada Allah Taala sehingga tidak ada yang disembah selain Allah dan tidak ada sandaran untuk meminta pertolongan melainkan Dia. Seringkali kita memohon dalam tiap bacaan ketika solat:

"hanya kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkau jualah kami meminta pertolongan"- mafhum surah al-fatihah: 5

Saya menjadikan satu tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi sebagai pedoman. Terdapat empat unsur penting yang dirangkumkan di dalam surah al-an'am, berkaitan dengan aqidah dan tauhid.

Pertama: tidak mencari Tuhan selain Allah.
"katakanlah, apakah aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu"-mafhum surah al-an'am:164.

Kedua: tidak mencari pelindung selain Allah.
"katakanlah, Apakah akan aku jadikan pelindung selain Allah yang menjadikan langit dan bumi"-mafhum surah al-an'am: 14.

Ketiga: tidak mencari hakim selain Allah.
"Maka patutkah aku mencari hakim selain Allah, padahal Dialah yang telah menurunkan Kitab (al-Quran) kepadamu dengan terperinci?"-mafhum surah al-an'am:114.

Keempat: tidak menjadikan tujuan selain redha Allah.
"Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam, tiada sekutu baginya.."-mafhum surah al-an'am: 162.

Kesemua yang disebut perlu diletakkan sebagai asas dalam menilai pokok perjuangan yang kita seringkali uar-uarkan, sehingga kesemua itu menjadi ruh utama perjuangan ini.

Apa yang berlaku, terdapat sebilangan yang menjadikan persatuan mereka sebagai penggabungan total kehidupannya (intima jamaie). Harus difahami ini bukan termasuk dalam konteks kepatuhan yang sering dibincangkan, namun ini berkaitan dengan pandangan mereka yang melihat persatuan itu adalah 'segala-galanya'. Hingga boleh merosakkan tujuan utama perjuangan islam itu sendiri. Walhal, semua yang terdapat di bumi ini ialah alat dan wasilah, bukan tujuan dan wadah hakiki.

Sudah tentu, kita perlu memilih alat terbaik untuk membawa islam dengan cara terbaik. Namun sikap yang menjadikan persatuan itu satu-satunya pegangan hidupnya menyebabkan kesucian itu dikotori dengan golongan seperti ini. Lebih malang apabila sasaran dakwah kita makin menjauhi dakwah ini kerana label-label pincang yang dibawa bersama oleh 'penggerak' dakwah ini.

Bagaimana mungkin kita mampu merealisasikan 2 puncak perjuangan yang suci ini; iaitu puncak ketundukan kepada yang disembah dan puncak kecintaan kepadaNya??

Kg. Perol
Kota Bharu, Kelantan.
04-02-2011|jam1951.


 

Retorika Perjuangan



Bulan januari 2011 sudah berakhir. Februari datang menjengah tahun ini yang sarat dengan harapan dan impian, sekalipun kita tidak pernah menafikan sunnatullah dalam kehidupan yang penuh dengan mehnah tribulasi yang bakal dan perlu dihadapi oleh setiap manusia; khususnya mereka yang berdarah dagingkan islam dan iman.

Namun seakan-akan januari ditutup tidak berpintu, berakhir tiada bernoktah. Sebulan yang singkat itu seolah memberikan gambaran masa depan yang akan datang. Dari luar negara hingga ke dalamnya, pelbagai kejadian berlaku dek tangan-tangan manusia telah menggoncangkan dunia yang masih berbaki nyawa ini, hanya Maha Kuasa tahu bilakah umur dunia ini akan berakhir.


Belum sejuk isu kebangkitan berlaku di Tunisia, Bumi Kinanah sudah menyahut seruan kebangkitan memijak pemimpin yang zalim berdekad lamanya. Ma****a (tidak layak digelar manusia) yang bersifat diktator itu memerintah Mesir selama 30tahun, perampas harta rakyat, sekutu kepada US serta Israel; akhirnya ditundukkan oleh kuasa rakyat. Khabar berita menyatakan revolusi yang bermula di Tunisia itu akan merebak ke serantau timur tengah- menunggu masa untuk tiba. Kita mendoakan keselamatan bakal doktor serta bakal ulama rakyat Malaysia yang masih berada di sana.

Itu perjuangan yang berlaku di luar sana. Membangkitkan nafas jihad yang sebelum ini ditimpa lelah tak bermaya.

Gegaran di dalam negara (Malaysia) pula lain keadaannya. Banjir telah melanda di hujung Malaysia-negeri Johor. Dalam masa yang sama, pilihanraya kecil yang menampilkan pertembungan tradisi haq dan batil turun sama melanda di kawasan DUN Tenang. Sewaktu kempen yang telah berlaku itu, DUN Merlimau pula mengisytiharkan 'perang' yang akan berlangsung tidak lama lagi. Maka saya kira, belum sempat pejuang menanggalkan 'baju perang', terpaksa mengerah tenaga untuk persiapan yang keseterusnya. Keyakinan mereka bukan pada kemenangan di dunia, namun keyakinan itu ialah yakinnya mereka dengan janji Tuhannya dalam menegakkan kebaikan dan melumpuhkan kemungkaran di atas bumi ini.

Itu pula penjuru perjuangan Islam yang berlaku di dalam negara.


Menyingkap sisi perjuangan di bumi Nilai yang 'damai' ini.

Malu untuk aku mengungkapkan perkataan perjuangan ini. Yang pasti, ia bukan perkataan yang ringan untuk dibicarakan. Tambahan pula, isu yang timbul sepanjang bulan lalu tidak mampu ditangani secara berkesan. Dari isu boria USIM sehingga kepada isu khilafiah yang tidak berkesudahan ini merimaskan lagi tengkukku untuk berbicara sudut perjuangan yang lebih besar daripada ini. Mahasiswa yang dikatakan matang ini masih bersifat kebudak-budakan untuk menilai dan membuat timbang tara terhadap isu 'air suam' ini, sehingga menimbulkan krisis yang akhirnya memecahbelahkan batu-bata yang disusun rapi sebelum ini. Kalau diikutkan, bertimbun lagi fail-fail berkaitan isu sosial, ekonomi dan politik yang masih belum dibuka oleh mahasiswa yang-dikatakan belajar- bidang profesional dan agama ini.

Kalau ingin dikatakan rimas, mahu sahaja aku mengambil tali dan mengikat tubuhku ini. Ingin sahaja mataku terus mengadap kitab-kitab pembelajaranku yang saban tahun bertambah tanpa mengambil peduli hiruk pikuk dunia.

Namun, apa erti hidup jika aku berbuat demikian??




tidaklah sama antara orang yang beriman yang duduk (yang tidak turut berperang) tanpa mempunyai uzur (halangan) dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darajat orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang yang duduk (yang tidak turut berperang tanpa halangan). dan kedua-duanya dijanjikan Allah kebaikan (pahala dan Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar.

(mafhum firman Allah: surah annisa|95-96.


Moga dijauhkan daripada retorik perjuangan semata.

 

Mendepani 2011; bersediakah kita??

artikel ini dipetik dari hasanhusaini, boleh lawati alam mayanya di sini.

Saat artikel ini ditulis, 2010 berbaki kurang sepurnama. 2010 bakal melabuhkan tirai dengan seribu suka duka yang telah dipotretkan dalam helaian memori hidup kita. 2011 pula bakal menyelak tabir baru kepada penduduk dunia. Hidangannya pasti lebih mengejutkan berbanding dengan apa yang telah dihidangkan pada 2010. Menu baru yang punyai pelbagai rencah dan rasa.

Pada asasnya, beberapa kebimbangan timbul hasil penyelidikan dan analisa ringkas yang saya buat sepanjang tempoh 2010. Kebimbangan yang ditimbulkan ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan kita. Bahkan supaya kita lebih sedar dan bersedia untuk mengambil sikap yang tepat selaku mahasiswa yang mempunyai minda kelas pertama.


Perkembangan Isu keagamaan dan Cabaran kepada Islam

Perkembangan isu berkaitan dengan syariah dan akidah semakin bercambah. Isu-isu seperti penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim, penubuhan sekolah hamil, konsert artis lucah dan gay, judi sukan, penyertaan bukan Islam ke dalam parti Islam dan sebagainya memerlukan cerdik pandai yang realistik dalam memberi pandangan malah kritikan. Prosedur perubatan yang kontemporari juga memerlukan pakar syariah untuk memberikan satu garis panduan yang patuh syariah. Periuk kewangan dan perbankan Islam juga kembali menghangat. Lava-lava isu semakin memuntah dari gunung intitusi yang baru berusia 20 tahun.

Harus disedari bahawa, perbuatan mengkritik itu bukanlah bermakna penentangan, bahkan kritikan itu menjadi lambang bahawa kita sedang menghulurkan tangan memberi bantuan.

“Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik".

Dalam tempoh getir ini, pemergiaan ulama’ besar dunia yang telah banyak memberi jasa amat menyedihkan kita. Pemergian mereka seakan tidak lagi berganti. Lebih menyedihkan, pandangan sebahagian ulama’ mukhlisin yang masih berbaki selamat bernafas melalui badan berautoriti seperti Majlis Fatwa yang cuba menjadi penyelamat keadaan tidak diendah oleh pihak yang terlibat.

Kita, selaku generasi penerus tradisi ilmu Islam pastinya perlu menghulurkan tangan untuk menyelesaikan pandemik ini. Proses tegur perlu dikahwinkan dengan elemen ‘ubah.’ Untuk mengubah, generasi mudalah yang lebih layak dan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan.

Hedonisme

Generasi muda hari ini melambangkan negara di masa depan. Rata-rata generasi muda hari ini sudah bermaklumat. Informasi dan maklumat yang singgah di minda anak muda menyebabkan mereka lebih sedar dan segar. Kesedaran anak muda mampu merubah dunia. Kesedaran Mus'ab Bin Umair mampu mewujudkan negara Islam pertama, Madinah. Justeru, ada pihak yang bimbang dengan transformasi dan perubahan anak muda. Mereka bimbang anak-anak muda akan menjatuhkan mereka dari kerusi-kerusi empuk yang mereka duduki sekarang. Justeru, hedonisme ditabur untuk memabukkan anak muda.

Hedonisme akan menjadikan manusia kebas maksiat, kebas dosa dan kebas azab malah kalis teguran mahupun nasihat. Peringatan yang diberikan tidak akan didendahkan. Isu-isu sekeliling pastinya tidak diambil berat. Inilah hasil yang diimpikan oleh para orientalis dan para sekularis. Umat Islam hilang sensitiviti keagamaan seterusnya hilang ketuanan Islam. Apabila hilangnya ketuanan Islam maka timbullah sejuta kerosakan.


Budaya hedonisme yang kian membarah di kalangan generasi muda. Bahkan pandemik ini telah pun merebak dan menjangkiti generasi pertengahan. Fanomena ini boleh jadi semakin membarah dan merebak lebih luas dengan pemangkin Hub Hiburan yang telah dicadangkan oleh Memanda Perdana Menteri.

Hiburan melampau-lampau dihidangkan kepada rakyat Malaysia. 80% rancangan di kaca tv adalah berbentuk hiburan yang tidak memberikan apa-apa pelajaran mahupun pengajaran. Penagihan dadah dan ganja semakin meruncing. Statistik pembuangan bayi yang dilaporkan amat menggerunkan.

Kes buang bayi antara kes yang paling hebat didebatkan pada 2010. Respon yang diterima dari banyak pihak pula bercanggah antara satu sama lain menjadikan isu ini semakin rumit. Sebelah pihak melihat mereka adalah golongan bermasalah dan punca masalah. Manakala Melaka melihat mereka sebagai mangsa keadaan lalu menubuhkan Sekolah hamil yang boleh jadi berperanan sebagai pusat pemulihan. Sejauhmanakah kesannya dalam membendung gejala yang maha buruk ini? Ataupun ianya menjadi penyokong moral kepada para pesalah untuk terus bergaul bebas tanpa menghiraukan batas syariat dan risiko yang bakal ditanggung? Hakikatnya, kitalah yang akan menanggung beban ini kelak.

Jalan keluarnya bagaimana? Pastinya, tidak mudah jalan itu ditemui. Namun, saya cukup tertarik dengan cadangan untuk memudahkan proses perkahwinan demi membendung gejala yang amat teruk ini. Bukankah kembali kepada ajaran Allah itu adalah jalan keluar yang terbaik…?

Ekonomi

Kenaikan harga minyak pula bakal melambungtinggikan harga barangan runcit di pasaran harian. Harga barang keperluan harian pastinya cepat meningkat naik hasil kenaikan harga cecair emas tersebut. Kenaikan ini kebiasaannya mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi terutamanya di kalangan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah. Hasilnya, inflasi mungkin akan terjadi dan seterusnya, mengakibatkan kestabilan ekonomi Negara juga akan terjejas.

Ketidakstabilan ekonomi Negara akan memberi kesan langsung kepada kita, mahasiswa yang sedang menuntut. Kesan langsung yang seharusnya menjadikan kita lebih peka dan teliti lantas pandai pula mengabil sikap yang selayaknya. Bajet kewangan yang kebiasaannya dibekalkan mungkin akan ditarik balik atau dikurangkan dari kebiasaannya. Kesan langsung lebih mudah dirasai oleh persatuan zon dan MPPMJ yang sumber kewangannya hampir 90% dari perbendaharaan Negara Malaysia melalui Jabatan Penuntut Malaysia.

Selain itu, imej negara di peringkat antarabangsa juga akan turut terjejas. Kehadiran pelabur berkemungkinan akan berkurangan dan terus berkala dengan kurangnya juga peluang pekerjaan. Indeks FDI [Foreign Direct Investment] menjadi indikator yang baik untuk dirujuk. Hutang tanggungan Negara yang dibebankan ke atas kita semakin hari semakin bertambah.

Ironisnya, dalam kesempitan begini, masih ada manusia yang sanggup mengambil kesempatan. Projek Maha Mega seperti Menara Warisan yang dilancarkan bakal menelan duit Negara berbilion ringgit. Projek Istana Negara juga dilihat merugikan dana Negara yang seharusnya dilaburkan kepada perkara yang lebih penting dan bermanfaat. Kita semacam ketinggalan puluhan tahun kebelakang. Ketika Negara besar dunia sedang bersiap sedia berlumba-lumba untuk mendominasi teknologi kimia, biologi dan bio kimia, kita pula masih terkial-kial melaburkan billion ringgit untuk menonjolkan kemewahan fizik dan fizikal yang hanya indah di mata. Ketika Amerika Syarikat merobohkan bangunan World Trade Center untuk dijadikan modal pusingan dalam usaha menguasai kimia, biologi dan bio kimia, kita pula melaburkan berbilion ringgit untuk mengejar fizikal Menara Warisan.

Sirah Nabi Yusuf mengajar kita, bahawa kedayusan Perdana Menteri Mesir pada waktu itu dan dominasi FLOM [First Lady Of Mesir] yang kita kenali sebagai Zulaikha dalam urusan pentadbiran baginda telah membawa banyak masalah kepada Negara. Pengurusan kewangan menjadi tempang, rakyat dihimpit kemiskinan melampau. Namun, kualiti Qawiyy dan Ameen yang ada pada Yusuf Alayhissalam mampu menyelamatkan Mesir dari terus bankrap bahkan berubah menjadi Negara berkebajikan kerana mampu membantu rakyatnya yang susah dengan membekalkan gandum dan bijirin secara percuma.

Persoalannya, di Malaysia, apakah kita tak punyai seorang warganegara yang berkualiti Yusuf atau si Yusuf itu pernah bersuara, namun suaranya tenggelam tidak [mahu] didengari? Saya pernah terbaca akan model ekonomi hebat seperti Mazhab Malazi dan Konsep Maliziah yang mana pembina dan pemulanya adalah warganegara Malaysia. Saya juga pernah terdengar akan kospen Madinabank yang pernah dibentangkan di Malaysia suatu ketika dahulu.

Moga masih ada di Malaysia, insan yang mempunyai kualiti Yusuf Alayhissalam. Moga dengan kehadiran watak Yusuf, ETP [Economic Transformation Programme] yang salah satu isinya adalah hasrat menjadikan Malaysia sebagai HUB HIBURAN dikuburkan dengan segera.

Pertahanan dan Keselamatan

Ugut bunuh dan statistik kes bunuh juga amat menggerunkan. Cara teknik pembunuhan semakin rumit dan kompleks, seakan adaptasi dari Drama CSI di Fox Movies. Kes kehilangan dan lari rumah juga membimbangkan ramai pihak. Graf kes rompakan dan kecurian malah ragut mendaki tinggi ke puncak papan tanda.


Kementerian Pertahanan Malaysia pula dibom dengan isu kehilangan Enjit Jet. Sebelum itu, isu kapal selam yang hilang fungsi setelah jutaan ringgit dilaburkan masih belum dijawab dengan konsisten.

Keselamatan umat Islam juga telah semakin terancam. Isu-isu negatif seperti isu JI dan militan kembali dihidupkan. Isu JI yang dicanangkan hampir sedekad lalu telah hampir melumpuhkan institusi pengajian agama di Malaysia. Moga ianya tidak berulang lagi pada tahun yang mendatang.

Apabila berbicara soal keamanan dan keselamatan, maka kita juga seharusnya teranggil untuk turut menilik graf keselamatan umat Islam dunia. 31 Mei 2010 menyaksikan Israel sekali lagi dengan rakus meneguk darah aktivis keamanan yang sedang dalam perjalan ke Pelabuhan Gaza untuk menyampaikan bantuan misi kemanusiaan.

Saya secara peribadi, berpendapat bahawa, ketiadaan militansi di kalangan umat Islamlah menyebabkan Israel dan musuh Islam cukup mudah memijak-mijak maruah kita. Agama Islam dihina dan direndah-rendahkan. Karikatur menghina Rasulullah dilukis dan disebarkan. Hari membakar Al-Quran dicadangkan. Namun, perkataan ‘militan’ kini telahpun dinegatifkan penggunaannya. Sebaliknya, zina yang buruk ditukar istilahnya kepada hubungan luar nikah yang semacam halal saja bunyinya.

Justeru, kalau anda telah menyembelih miltansi umat Islam, maka tak perlulah menunjuk simpati dan bermuka-muka sebagai hero untuk membela umat Islam.

Di mana posisi kita…?

Justeru, posisi pelajar syariah secara khususnya dan pelajar timur tengah secara umumnya adalah posisi penyelamat. Kita tidak seharusnya keliru, terkeliru dan dikeliru lantas tertukar posisi sehingga terpaksa diselamatkan. Terlampau ramai ummat diluar sana yang perlu kita selamatkan, sehingga kita tidak lagi layak untuk berfantasi dengan falsafah kosong dan berpura-pura lemah tak berdaya lalu meminta-minta untuk diselamatkan.

Kita tidak seharusnya lagi menjadi generasi yang dicucuk hidungnya. Tidak patut bagi kita untuk hanya mengikuti jejak langkah generasi terdahulu. Jalan yang mereka lalui bukanlah syariat yang wajib kita ikuti. Bahkan, seharusnya, minda kita sentiasa sedar dan segar untuk menjawab seribu persoalan hanya dengan satu kalimah, “ Kami Boleh!”

Kita boleh kerana kita pemuda yang mempunyai nilai kepemudaan. Kita boleh kerana kita punyai jatidiri yang jitu, mantap dan terpuji.

Hasanhusaini,
Darul Muttaqin, Mu’tah, Jordan
 

Sertai LIQO' USIM!!!



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan hidayah serta taufiq dan limpah kurniaNya kerana kita masih diberi peluang untuk merasai nikmat Iman & Islam. Di sini, kami ingin menyampaikan satu berita gembira buat semua warga Universiti Sains Islam Malaysia yang sering mendambakan program tarbiah di kampus tercinta, bahawasanya satu program Pembinaan Insaniah Pelajar akan diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia bermula pada Semester baru ini.


Program yang bercirikan Muzakarah berkelompok dan Mentor-mentee ini diberi nama Program Liqo' bertujuan untuk membantu pelajar ke arah mencapai pembangunan yang seimbang antara material dan kerohanian. Seterusnya melahirkan warga pelajar yang bersifat al-Abrar, iaitu manusia yang sentiasa melakukan kebaikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan selain daripada Allah SWT.

OBJEKTIF
Antara objektif pelaksaanan yang ingin dicapai:
  • Membantu pelajar untuk membina keyakinan diri,kepimpinan, dan pengurusan.
  • Membantu pelajar membentuk pandangan alam yang selari dengan Islam.
  • Membantu pelajar untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari
  • Modul ini menjadi ruang untuk merapatkan ukhuwah dikalangan pelajar USIM seterusnya mengukuhkan jalinan dengan USIM biarpun selepas bergelar alumni.
  • Membentuk pemikiran pelajar yang global dan prihatin.


RAIS/RAISAH & MENTOR-MENTEE
Program ini akan dikendalikan oleh Mentor-mentor yang diberi gelaran (Rais/raisah) dalam kalangan pelajar senior Tahun 2 ke atas dan pihak HEP USIM telah pun memutuskan untuk mewajibkan ke semua Pelajar Tahun 1 yang menuntut di Kampus Induk USIM di Nilai untuk menjadi mentee bagi program ini.

PERLAKSANAAN
Diwajibkan kepada semua Pelajar TAHUN 1 ambilan (2010/11).
Modul perlaksanaan Program MODUL PEMBANGUNAN INSANIAH PELAJAR MUSLIM telah disusun oleh Ustaz Radhi Ibrahim, Pensyarah FKP juga Pegawai Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM.
Manakala waktu perlaksanaan yang ditetapkan ialah pada setiap hari Rabu, setiap minggu. Bermula dari selepas Waktu Maghrib sehingga Waktu Isyak namun, masa tersebut boleh berubah bergantung pada setiap kumpulan Liqo' tersebut.

FAEDAH YANG DIPEROLEHI
-Tarbiah dan ilmu dunia akhirat.. insyaAllah..
-Peserta(tahun 1) diberi sijil penyertaan bagi mereka yang lulus di dalam penilaian.
-Rais/raisah diberi Sijil penghargaan


Ayuh semua PENDAKWAH MUDA, Ayuh sertai sebagai RAIS/RAISAH... islah nafsak wad'u ghoirak!

"PROAKTIF DALAM MEMBERI"


Oleh,

Mohd Farid Hadhari Mahamed Rusdi
Exco Dakwah & Khidmat Masyarakat SPMM

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger