Mendepani 2011; bersediakah kita??

artikel ini dipetik dari hasanhusaini, boleh lawati alam mayanya di sini.

Saat artikel ini ditulis, 2010 berbaki kurang sepurnama. 2010 bakal melabuhkan tirai dengan seribu suka duka yang telah dipotretkan dalam helaian memori hidup kita. 2011 pula bakal menyelak tabir baru kepada penduduk dunia. Hidangannya pasti lebih mengejutkan berbanding dengan apa yang telah dihidangkan pada 2010. Menu baru yang punyai pelbagai rencah dan rasa.

Pada asasnya, beberapa kebimbangan timbul hasil penyelidikan dan analisa ringkas yang saya buat sepanjang tempoh 2010. Kebimbangan yang ditimbulkan ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan kita. Bahkan supaya kita lebih sedar dan bersedia untuk mengambil sikap yang tepat selaku mahasiswa yang mempunyai minda kelas pertama.


Perkembangan Isu keagamaan dan Cabaran kepada Islam

Perkembangan isu berkaitan dengan syariah dan akidah semakin bercambah. Isu-isu seperti penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim, penubuhan sekolah hamil, konsert artis lucah dan gay, judi sukan, penyertaan bukan Islam ke dalam parti Islam dan sebagainya memerlukan cerdik pandai yang realistik dalam memberi pandangan malah kritikan. Prosedur perubatan yang kontemporari juga memerlukan pakar syariah untuk memberikan satu garis panduan yang patuh syariah. Periuk kewangan dan perbankan Islam juga kembali menghangat. Lava-lava isu semakin memuntah dari gunung intitusi yang baru berusia 20 tahun.

Harus disedari bahawa, perbuatan mengkritik itu bukanlah bermakna penentangan, bahkan kritikan itu menjadi lambang bahawa kita sedang menghulurkan tangan memberi bantuan.

“Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik".

Dalam tempoh getir ini, pemergiaan ulama’ besar dunia yang telah banyak memberi jasa amat menyedihkan kita. Pemergian mereka seakan tidak lagi berganti. Lebih menyedihkan, pandangan sebahagian ulama’ mukhlisin yang masih berbaki selamat bernafas melalui badan berautoriti seperti Majlis Fatwa yang cuba menjadi penyelamat keadaan tidak diendah oleh pihak yang terlibat.

Kita, selaku generasi penerus tradisi ilmu Islam pastinya perlu menghulurkan tangan untuk menyelesaikan pandemik ini. Proses tegur perlu dikahwinkan dengan elemen ‘ubah.’ Untuk mengubah, generasi mudalah yang lebih layak dan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan.

Hedonisme

Generasi muda hari ini melambangkan negara di masa depan. Rata-rata generasi muda hari ini sudah bermaklumat. Informasi dan maklumat yang singgah di minda anak muda menyebabkan mereka lebih sedar dan segar. Kesedaran anak muda mampu merubah dunia. Kesedaran Mus'ab Bin Umair mampu mewujudkan negara Islam pertama, Madinah. Justeru, ada pihak yang bimbang dengan transformasi dan perubahan anak muda. Mereka bimbang anak-anak muda akan menjatuhkan mereka dari kerusi-kerusi empuk yang mereka duduki sekarang. Justeru, hedonisme ditabur untuk memabukkan anak muda.

Hedonisme akan menjadikan manusia kebas maksiat, kebas dosa dan kebas azab malah kalis teguran mahupun nasihat. Peringatan yang diberikan tidak akan didendahkan. Isu-isu sekeliling pastinya tidak diambil berat. Inilah hasil yang diimpikan oleh para orientalis dan para sekularis. Umat Islam hilang sensitiviti keagamaan seterusnya hilang ketuanan Islam. Apabila hilangnya ketuanan Islam maka timbullah sejuta kerosakan.


Budaya hedonisme yang kian membarah di kalangan generasi muda. Bahkan pandemik ini telah pun merebak dan menjangkiti generasi pertengahan. Fanomena ini boleh jadi semakin membarah dan merebak lebih luas dengan pemangkin Hub Hiburan yang telah dicadangkan oleh Memanda Perdana Menteri.

Hiburan melampau-lampau dihidangkan kepada rakyat Malaysia. 80% rancangan di kaca tv adalah berbentuk hiburan yang tidak memberikan apa-apa pelajaran mahupun pengajaran. Penagihan dadah dan ganja semakin meruncing. Statistik pembuangan bayi yang dilaporkan amat menggerunkan.

Kes buang bayi antara kes yang paling hebat didebatkan pada 2010. Respon yang diterima dari banyak pihak pula bercanggah antara satu sama lain menjadikan isu ini semakin rumit. Sebelah pihak melihat mereka adalah golongan bermasalah dan punca masalah. Manakala Melaka melihat mereka sebagai mangsa keadaan lalu menubuhkan Sekolah hamil yang boleh jadi berperanan sebagai pusat pemulihan. Sejauhmanakah kesannya dalam membendung gejala yang maha buruk ini? Ataupun ianya menjadi penyokong moral kepada para pesalah untuk terus bergaul bebas tanpa menghiraukan batas syariat dan risiko yang bakal ditanggung? Hakikatnya, kitalah yang akan menanggung beban ini kelak.

Jalan keluarnya bagaimana? Pastinya, tidak mudah jalan itu ditemui. Namun, saya cukup tertarik dengan cadangan untuk memudahkan proses perkahwinan demi membendung gejala yang amat teruk ini. Bukankah kembali kepada ajaran Allah itu adalah jalan keluar yang terbaik…?

Ekonomi

Kenaikan harga minyak pula bakal melambungtinggikan harga barangan runcit di pasaran harian. Harga barang keperluan harian pastinya cepat meningkat naik hasil kenaikan harga cecair emas tersebut. Kenaikan ini kebiasaannya mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi terutamanya di kalangan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah. Hasilnya, inflasi mungkin akan terjadi dan seterusnya, mengakibatkan kestabilan ekonomi Negara juga akan terjejas.

Ketidakstabilan ekonomi Negara akan memberi kesan langsung kepada kita, mahasiswa yang sedang menuntut. Kesan langsung yang seharusnya menjadikan kita lebih peka dan teliti lantas pandai pula mengabil sikap yang selayaknya. Bajet kewangan yang kebiasaannya dibekalkan mungkin akan ditarik balik atau dikurangkan dari kebiasaannya. Kesan langsung lebih mudah dirasai oleh persatuan zon dan MPPMJ yang sumber kewangannya hampir 90% dari perbendaharaan Negara Malaysia melalui Jabatan Penuntut Malaysia.

Selain itu, imej negara di peringkat antarabangsa juga akan turut terjejas. Kehadiran pelabur berkemungkinan akan berkurangan dan terus berkala dengan kurangnya juga peluang pekerjaan. Indeks FDI [Foreign Direct Investment] menjadi indikator yang baik untuk dirujuk. Hutang tanggungan Negara yang dibebankan ke atas kita semakin hari semakin bertambah.

Ironisnya, dalam kesempitan begini, masih ada manusia yang sanggup mengambil kesempatan. Projek Maha Mega seperti Menara Warisan yang dilancarkan bakal menelan duit Negara berbilion ringgit. Projek Istana Negara juga dilihat merugikan dana Negara yang seharusnya dilaburkan kepada perkara yang lebih penting dan bermanfaat. Kita semacam ketinggalan puluhan tahun kebelakang. Ketika Negara besar dunia sedang bersiap sedia berlumba-lumba untuk mendominasi teknologi kimia, biologi dan bio kimia, kita pula masih terkial-kial melaburkan billion ringgit untuk menonjolkan kemewahan fizik dan fizikal yang hanya indah di mata. Ketika Amerika Syarikat merobohkan bangunan World Trade Center untuk dijadikan modal pusingan dalam usaha menguasai kimia, biologi dan bio kimia, kita pula melaburkan berbilion ringgit untuk mengejar fizikal Menara Warisan.

Sirah Nabi Yusuf mengajar kita, bahawa kedayusan Perdana Menteri Mesir pada waktu itu dan dominasi FLOM [First Lady Of Mesir] yang kita kenali sebagai Zulaikha dalam urusan pentadbiran baginda telah membawa banyak masalah kepada Negara. Pengurusan kewangan menjadi tempang, rakyat dihimpit kemiskinan melampau. Namun, kualiti Qawiyy dan Ameen yang ada pada Yusuf Alayhissalam mampu menyelamatkan Mesir dari terus bankrap bahkan berubah menjadi Negara berkebajikan kerana mampu membantu rakyatnya yang susah dengan membekalkan gandum dan bijirin secara percuma.

Persoalannya, di Malaysia, apakah kita tak punyai seorang warganegara yang berkualiti Yusuf atau si Yusuf itu pernah bersuara, namun suaranya tenggelam tidak [mahu] didengari? Saya pernah terbaca akan model ekonomi hebat seperti Mazhab Malazi dan Konsep Maliziah yang mana pembina dan pemulanya adalah warganegara Malaysia. Saya juga pernah terdengar akan kospen Madinabank yang pernah dibentangkan di Malaysia suatu ketika dahulu.

Moga masih ada di Malaysia, insan yang mempunyai kualiti Yusuf Alayhissalam. Moga dengan kehadiran watak Yusuf, ETP [Economic Transformation Programme] yang salah satu isinya adalah hasrat menjadikan Malaysia sebagai HUB HIBURAN dikuburkan dengan segera.

Pertahanan dan Keselamatan

Ugut bunuh dan statistik kes bunuh juga amat menggerunkan. Cara teknik pembunuhan semakin rumit dan kompleks, seakan adaptasi dari Drama CSI di Fox Movies. Kes kehilangan dan lari rumah juga membimbangkan ramai pihak. Graf kes rompakan dan kecurian malah ragut mendaki tinggi ke puncak papan tanda.


Kementerian Pertahanan Malaysia pula dibom dengan isu kehilangan Enjit Jet. Sebelum itu, isu kapal selam yang hilang fungsi setelah jutaan ringgit dilaburkan masih belum dijawab dengan konsisten.

Keselamatan umat Islam juga telah semakin terancam. Isu-isu negatif seperti isu JI dan militan kembali dihidupkan. Isu JI yang dicanangkan hampir sedekad lalu telah hampir melumpuhkan institusi pengajian agama di Malaysia. Moga ianya tidak berulang lagi pada tahun yang mendatang.

Apabila berbicara soal keamanan dan keselamatan, maka kita juga seharusnya teranggil untuk turut menilik graf keselamatan umat Islam dunia. 31 Mei 2010 menyaksikan Israel sekali lagi dengan rakus meneguk darah aktivis keamanan yang sedang dalam perjalan ke Pelabuhan Gaza untuk menyampaikan bantuan misi kemanusiaan.

Saya secara peribadi, berpendapat bahawa, ketiadaan militansi di kalangan umat Islamlah menyebabkan Israel dan musuh Islam cukup mudah memijak-mijak maruah kita. Agama Islam dihina dan direndah-rendahkan. Karikatur menghina Rasulullah dilukis dan disebarkan. Hari membakar Al-Quran dicadangkan. Namun, perkataan ‘militan’ kini telahpun dinegatifkan penggunaannya. Sebaliknya, zina yang buruk ditukar istilahnya kepada hubungan luar nikah yang semacam halal saja bunyinya.

Justeru, kalau anda telah menyembelih miltansi umat Islam, maka tak perlulah menunjuk simpati dan bermuka-muka sebagai hero untuk membela umat Islam.

Di mana posisi kita…?

Justeru, posisi pelajar syariah secara khususnya dan pelajar timur tengah secara umumnya adalah posisi penyelamat. Kita tidak seharusnya keliru, terkeliru dan dikeliru lantas tertukar posisi sehingga terpaksa diselamatkan. Terlampau ramai ummat diluar sana yang perlu kita selamatkan, sehingga kita tidak lagi layak untuk berfantasi dengan falsafah kosong dan berpura-pura lemah tak berdaya lalu meminta-minta untuk diselamatkan.

Kita tidak seharusnya lagi menjadi generasi yang dicucuk hidungnya. Tidak patut bagi kita untuk hanya mengikuti jejak langkah generasi terdahulu. Jalan yang mereka lalui bukanlah syariat yang wajib kita ikuti. Bahkan, seharusnya, minda kita sentiasa sedar dan segar untuk menjawab seribu persoalan hanya dengan satu kalimah, “ Kami Boleh!”

Kita boleh kerana kita pemuda yang mempunyai nilai kepemudaan. Kita boleh kerana kita punyai jatidiri yang jitu, mantap dan terpuji.

Hasanhusaini,
Darul Muttaqin, Mu’tah, Jordan
 

Sertai LIQO' USIM!!!



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan hidayah serta taufiq dan limpah kurniaNya kerana kita masih diberi peluang untuk merasai nikmat Iman & Islam. Di sini, kami ingin menyampaikan satu berita gembira buat semua warga Universiti Sains Islam Malaysia yang sering mendambakan program tarbiah di kampus tercinta, bahawasanya satu program Pembinaan Insaniah Pelajar akan diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia bermula pada Semester baru ini.


Program yang bercirikan Muzakarah berkelompok dan Mentor-mentee ini diberi nama Program Liqo' bertujuan untuk membantu pelajar ke arah mencapai pembangunan yang seimbang antara material dan kerohanian. Seterusnya melahirkan warga pelajar yang bersifat al-Abrar, iaitu manusia yang sentiasa melakukan kebaikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan selain daripada Allah SWT.

OBJEKTIF
Antara objektif pelaksaanan yang ingin dicapai:
  • Membantu pelajar untuk membina keyakinan diri,kepimpinan, dan pengurusan.
  • Membantu pelajar membentuk pandangan alam yang selari dengan Islam.
  • Membantu pelajar untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari
  • Modul ini menjadi ruang untuk merapatkan ukhuwah dikalangan pelajar USIM seterusnya mengukuhkan jalinan dengan USIM biarpun selepas bergelar alumni.
  • Membentuk pemikiran pelajar yang global dan prihatin.


RAIS/RAISAH & MENTOR-MENTEE
Program ini akan dikendalikan oleh Mentor-mentor yang diberi gelaran (Rais/raisah) dalam kalangan pelajar senior Tahun 2 ke atas dan pihak HEP USIM telah pun memutuskan untuk mewajibkan ke semua Pelajar Tahun 1 yang menuntut di Kampus Induk USIM di Nilai untuk menjadi mentee bagi program ini.

PERLAKSANAAN
Diwajibkan kepada semua Pelajar TAHUN 1 ambilan (2010/11).
Modul perlaksanaan Program MODUL PEMBANGUNAN INSANIAH PELAJAR MUSLIM telah disusun oleh Ustaz Radhi Ibrahim, Pensyarah FKP juga Pegawai Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM.
Manakala waktu perlaksanaan yang ditetapkan ialah pada setiap hari Rabu, setiap minggu. Bermula dari selepas Waktu Maghrib sehingga Waktu Isyak namun, masa tersebut boleh berubah bergantung pada setiap kumpulan Liqo' tersebut.

FAEDAH YANG DIPEROLEHI
-Tarbiah dan ilmu dunia akhirat.. insyaAllah..
-Peserta(tahun 1) diberi sijil penyertaan bagi mereka yang lulus di dalam penilaian.
-Rais/raisah diberi Sijil penghargaan


Ayuh semua PENDAKWAH MUDA, Ayuh sertai sebagai RAIS/RAISAH... islah nafsak wad'u ghoirak!

"PROAKTIF DALAM MEMBERI"


Oleh,

Mohd Farid Hadhari Mahamed Rusdi
Exco Dakwah & Khidmat Masyarakat SPMM

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger