Latest Post

belajar dari 'syajarah'....

Menulis untuk menafsir kehidupan...



Meniti hari demi hari dalam kehidupan di dunia ini, tidak salah kiranya kita menoleh kebelakangan. Menoleh bukan untuk berhenti dan kembali ke zaman itu, tetapi untuk meneliti liku-liku kehidupan yang telahpun dilalui, sebagai panduan dan pedoman. Walaupun mungkin sudah kabur pada penglihatan dan ingatan kita, namun ia tetap segar pada ‘penglihatan’ dan ‘ingatan’ Pencipta kita.


Teringat saya kepada zaman persekolahan saya dahulu, yang mana antara subjek yang saya agak meminatinya iaitu subjek sejarah. Saya masih lagi ingat satu bait perkataan yang sering diulang-ulang dalam buku teks tersebut :


“Those who cannot remember the past are condemned to repeat it....”


Walaupun sejarah agak membosankan bagi sestengah pelajar, namun pada saya sejarah amat penting. saya tidak nafikan diri ini juga beberapa kali tertidur semasa guru asyik dengan kata-katanya dihadapan. Cuma pada pandangan dangkal saya, sejarah patut dilihat dari sudut fiqh sejarah, bukan kepada penceritaannya sahaja. Itulah yang penting dalam memahami sejarah.

Tetapi, bukan sejarah yang saya ingin coretkan pada penulisan kali ini. Jauh sekali dari sejarah, hanya dekat dari segi ejaannya sahaja.


SYAJARAH; atau dalam bahasa melayu disebut sebagai POKOK. Dalam bahasa inggeris disebut tree, dan apa-apa bahasa yang sama waktu dengannya. Jadi, ada apa dengan pokok sebenarnya??


Permulaan yang baik bagi sebatang pokok terletak pada benihnya yang baik. Sudah tentu seorang yang bijak akan memilih benih yang baik untuk ditanam. Benih yang baik perlu ditanam dalam tanah yang baik, supaya boleh bercambah dengan elok nanti. Sesudah itu, apa yang perlu kita lakukan untuk memastikan benih itu bertambah dengan baik?? Pada asasnya, benih memerlukan kepada air, baja, cahaya matahari yang secukupnya serta peredaran angin yang elok untuk memastikan benih tersebut dapat bercambah dengan elok. Inilah mekanisme yang perlu kita ambil perhatian supaya benih tadi dapat hidup dengan ‘sempurna’.

Bermula dari benih tadi, akarnya mula bertunjang meluru ke dalam tanah. Setelah beberapa peringkat, pucuk pertama mulai terbit. Dari masa ke masa, kita mengharapkan akan tumbuhnya batang, daun, bunga dan buah yang elok nanti. Itulah pengharapan kita. Itulah matlamat kita. Akan tetapi, hasilnya tidak seperti

yang kita gambarkan. Kenapa perkara sedemikian berlaku??


Kalau kita lihat dari zahirnya, semuanya sudah elok,-batangnya cukup baik, daunnya tumbuh sehelai dua, akan tetapi kita perlu perhati secara keseluruhan, iaitu keadaan AKARNYA. Rupa-rupanya akarnya telah dirobek serangga perosak, ataupun tidak dapat mencengkam tanah dengan baik, ataupun mungkin tidak mendapat mekanisme yang sempurna. Bagaimana mungkin pokok itu akan menghasilkan buah yang elok, bunga yang cantik, daun yang menghijau jika akarnya sudah rosak, ataupun rosak teruk??


Habis sudah sesi analogi, berbalik kita kepada realiti sekarang.


Benih itu merupakan insan dan manusia itu sendiri. Manakala tanah yang saya maksudkan itu merupakan ISLAM. bersyukur kita, kerana kita ‘benih’ yang baik telah ditanam pada ‘tanah’ yang baik. Tetapi tiada guna jika tanah(ISLAM) sahaja yang elok jika tidak diberi mekanisme yang yang sempurna : iaitu TARBIAH ISLAM YANG SYUMUL. Dalam penjagaan ‘pokok’(manusia) itu tadi, apa yang paling penting penjagaan terhadap apa yang tertanam di dalam tanah tadi, iaitu AQIDAH KEPERCAYAAN YANG HAKIKI. Sekali lagi saya tekankan, apa yang penting ialah penjagaan kita terhadap akar tadi, iaitu AQIDAH KEPERCAYAAN YANG HAKIKI. Dari sini akan menumbuhkan ibadah yang sempurna, akhlak yang terpuji dan secara yang baik terpancar,-bermula dari AKAR tadi.



AQIDAH ialah perkara utama yang perlu dijaga. Jangan kita mengharapkan akhlak yang baik, jika pegangan AQIDAH kita goyah dek kerana bermacam perkara sekarang, seperti ‘serangga’ perosak yang cuba mengigit dari dalam diri manusia muslim. Ia perlu kepada penjagaan yang berterusan dan sempurna, dan bagaimana cara untuk kita mengetahuinya tidak lain ialah dengan kembali kepada buku panduan yang telah disediakan; AL-QURAN DAN AS-SUNNAH YANG SAHIH. Bertanyalah kepada pakar-pakar(ulama) untuk mengetahui dengan lebih mendalam.


Belajarlah dari pokok, untuk menilai diri kita, menilai cara dakwah kita, menilai pemikiran kita. Tidak ada gunanya jika seorang yang ibadahnya begitu banyak akan tetapi aqidahnya bercelaru. Fikir-fikirkanlah..


Jika guru berpesan supaya belajar dari sejarah, saya bawakan belajarlah dari syajarah(pokok).

Apa yang baik dari Allah, yang kurang dari kelemahan diri sebagai hamba yang hina.

 

Tahu, faqih, iman (2)

Assalamualaikum warahmatullah

Menulis untuk menafsir perjalanan....

Menyambung tulisan saya mengenai perkataan TAHU yang telah saya cuba bawakan pada posting yang dahulu. Tahu merupakan satu permulaan yang penting dalam mencapai beberapa perkara yang lebih penting, khususnya bagi seseorang muslim. Bahkan, bukan muslim juga mampu untuk sampai kepada satu peringkat yang tinggi sedikit daripada peringkat TAHU sahaja.

Suka saya untuk mengfokuskan TAHU ini kepada skop ilmu, dan jangan pula kita mengecilkan dimensi ilmu itu yang berkisar pada coretan penulisan atau syarahan semata –mata. Mengetahui sesuatu khususnya dalam ilmu cukup menyenangkan sanubari para pecinta ilmu. Sama seperti saya, saya menjadi senang apabila ada yang ingin berkongsi ilmu dengan diri yang serba kerdil ini.mudah-mudahan, diri kita masih tergolong dalam golongan yang nabi unjurkan; orang yang tahu, orang yang belajar untuk tahu, orang yang mendengar akan ilmu, atau orang yang cinta akan ilmu.

apabila kita cuba untuk mendalami sesuatu ilmu itu, maka lahirlah satu peringkat yang tinggi daripada sekadar tahu,-FAQIH.Terdapat perbezaan antara TAHU dan FAQIH. Tahu merupakan peringkat kita meMAHAMI sesuatu, tetapi FAQIH ini melahirkan keFAHAMan yang lebih mendalam. Sebagai contoh, orang yang tahu agama, kita panggil sebagai ulama. Adapun pada mereka yang tahu dengan mendalam, dan faham dengan sebaiknya, maka kita panggil sebagai fuqaha. Terdapat perbezaan antara keduanya dari segi keilmuan mereka. Sama seperti saya yang hanya tahu mengenai beberapa perkara, berbanding dengan insan yang lain yang sarat dengan keilmuan dan kefaqihan mereka terhadap perkara yang saya hanya mampu TAHU sahaja.

Bagaimana pula dengan IMAN???

Inilah antara perkara utama yang saya ingin timbulkan, tatkala ia tenggelam dalam bah kejahilan masyarakat sekarang. Bermula daripada TAHU, beralih kepada FAQIH dan akhirnya mencapai tahap yang paling bernilai, IMAN... kenapa saya katakan demikian???


Ketahulah, bahawa tiap-tiap sesuatu yang kita lakukan pasti punyai matlamat tertentu. Dan pada landasan yang betul yang saya cuba kongsikan, matlamat kita TAHU sesuatu terutama dalam bab ilmu ialah untuk menambah IMAN dalam diri kita. Sekali lagi saya katakan, matlamat ilmu itu untuk bertambahnya IMAN kita. Jadi, setiap ilmu yang kita tuntut tapi tidak berhasil menambahkan iman dalam diri, maka tidak selayaknya ia dipanggil ILMU. Inilah yang saya katakan tadi, satu benda yang makin tenggelam dalam lapangan masyarakat, mengenai hakikat ILMU yang sebenar.

Akan tetapi, barangsiapa yang bertambah ilmu dalam dirinya dan bertambah juga cintanya kepada dunia serta isinya, maka tiada tambah pada dirinya melainkan bertambah jauh dia dari ALLAH... ini bukan sekadar renungan, tapi perlukan kesedaran...

Jika dilihat dari konteks al-Quran, Allah mengaitkan antara TAHU, FAQIH & IMAN. Bermula daripada mengetahui akan timbul kefahaman mendalam mengenai Kebesaran Kekuasaaan Sang Pencipta. Lantas, lahirlah KEIMANAN dalam diri seseorang.


Iman merupakan tahap yang diidamkan dalam diri muslim, kerana golongan inilah yang punyai ‘tiket’ masuk ke Syurga nanti.

 

kenapa kita perlu solat????

Assalamualaikum...

menulis untuk menafsir kehidupan...

saya sedikit kurang sihat sekarang. Nak tidur, tak rasa mengantuk pula. Laptop saudara saya pula ditinggalkan di dalam bilik. Daripada tiada orang guna, lebih baik saya gunakan sebentar. Mengisi masa lapang adalah tuntutan yang perlu saya lakukan sentiasa. Kerana salah satu nikmat telah ditarik sementara waktu-KESIHATAN saya. Namun, saya masih lagi punyai satu nikmat yang masih lagi bersama saya-MASA LAPANG. Dan kedua-dua nikmat ini telah diucapkan baginda s.a.w, mafhumnya :

“dua nikmat yang seringkali dilupakan (menjadi leka) oleh kebanyakan manusia:- KESIHATAN DAN MASA LAPANG...”

Itulah kebanyakan manusia sekarang, suka me’lapang’kan masa yang lapang itu. Apapun, saya hanya ingin mengingatkan sahabat sekalian, bukan niat untuk menyinggung perasaaan. Setidak-tidaknya, anda membaca posting blog yang membina pemikiran kritis anda semua; dan sudah tentu bukan blog saya...hihi..

Pernah saya mengikuti satu seminar. Walaupun bayarannya sedikit mahal, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan ilmu yang saya dapat. Pelbagai soalan dan persoalan yang dilontarkan, dan dilontar pula kepada kami dengan jawapan yang begitu memuaskan. Ingin sekali saya berkongsi dengan anda sekalian. Antara soalan yang menarik ialah:
Kenapa kita perlu solat???

Akuilah, jika soalan ini yang ditanyakan kepada kita, mungkin agak terketar-ketar untuk menjawabnya. Masakan tidak, ada yang solat selama ini, tetapi tidak mengetahui sebab kenapa perlu solat. Bukanlah semua, cuma bak kata Allahyarham P.Ramlee, ‘kadeng-kadeng’. Kalaupun tidak ada yang bertanya, tanyalah kepada diri sendiri kenapa perlu kita solat???

Andai kata sahabat sekalian punyai kawan bukan islam bertanya soalan yang sedemikian rupa, apa yang dapat anda katakan??

“kamu semua tidak fikirkah, solat sebenarnya menyusahkan kamu. kamu perlu bangun pagi-pagi untuk solat subuh, walhal waktu itu ialah ‘best time’ untuk kamu tidur. Kamu orang islam juga katakan, Allah itu Maha Kuasa, adakah Dia perlu kepada manusia??? Kenapa mesti ‘manyak’ kali dalam satu hari?? Tak boleh ke satu kali sahaja???pening2..” ni mungkin dialog yang akan diluahkan kepada kita.. bukan semua, kadang-kadang..

Ini yang saya ingin kongsikan, dan sama-sama fikirkan...



Kenapa kita perlu solat??? Sudah tentu ini ialah perintah dari ALLAH kepada kita. Dan sebenarnya, solat itu bukan untuk ALLAH, tetapi untuk diri kita. Maka, Dia tidak pernah sesekali berhajat kepada kita. Hakikatnya, ALLAH sayang kepada hambanya, lalu memberi perintah solat. Mengapa saya berkata demikian?? Kerana solat itu sebenarnya-
PETA UNTUK MANUSIA...

Analoginya, kalau diberikan satu peta kepada kamu. Peta ni memberi arah kepada harta karun yang begitu banyak. Jalannya panjang sekali, ke sana ke sini. Jadi kamu akan berpandukan kepada peta tersebut untuk sampai ke sana . baiklah, agak-agak berapa kalikah kamu akan melihat peta itu; satu kali atau ‘manyak-manyak’ kali?? Sudah pasti banyak kali. Lagi kerap kamu tengok, lagi senang laluan kamu ke sana. Akhirnya, dapatlah kamu bertemu harta tersebut...

Begitulah juga dengan solat. Solat sebenarnya satu PETA yang akan membawa kita ke jalan yang betul, dan bertemu dengan ‘harta karun’ yang hakiki. Oleh sebab itu, kita perlu solat lima kali sehari paling tidak, untuk kita melihat balik diri kita adakah kita menuju ke jalan kesesatan atau jalan yang betul.. lagi banyak kita solat, lagi pantas kita bertemu dengan cahaya iman. Tengoklah, begitu sayang ALLAH kepada kita, memberi peluang kepada kita untuk nilai diri sendiri dahulu, sebelum dinilai di Sana nanti. Kalau hendak dilihat realiti sekarang, orang yang banyak solatnya, adakah mereka ini melakukan jenanyah dan kekacauan kepada masyarakat?? Sekali lagi saya mengambil kata-kata P.Ramlee-‘jarang-jarang’ sekali..
Orang yang banyak melakukan jenanyah ialah mereka yang tidak solat, bahkan banyak membuat dosa. Tanyalah kepada mereka adakah betul dakwaan saya ini.

Justeru itu, agama islam amat menjaga umatnya, dan memerintahkan solat untuk diri seseorang muslim itu sendiri. Indah sungguh agama Islam.. indah sungguh Pencipta alam ini.. kasih sungguh Dia kepada kita...

Owh, indah sungguh agamaku....
 

Tahu, faqih, iman...(1)

Assalamua’laikum...

Menulis untuk menafsir kehidupan...

Hari yang agak tenang bagi diriku. Biasalah, hari minggu beginilah dapat ana berehat di rumah. Tapi rumah ana hari ini sunyi sepi. Masakan tidak, ‘abang-abang’ ana pergi lawatan ke Langkawi, anjuran tamhidi perakaunan dan muamalat. Tidak mengapalah, harap mereka baik-baik sahaja di sana. Sementara ana, mencari ruang untuk meluaskan pemikiran.


Ana membelek-belek lipatan ilmu secebis di dada ini, untuk dikongsikan di halaman blog ini. Sekadar berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian tentang lapangan kehidupan ini.
Pengetahuan: itu merupakan perkara yang penting dalam hidup kita. Tanpa pengetahuan, apa guna manusia yang berakal. Pengetahuan meliputi banyak benda, malahan semua benda. Tahu makan, tahu tidur, tahu berjalan-maka itu juga disebut sebagai pengetahuan yang fitrah. Namun apa yang ingin ana tarkizkan (tekankan) tentang pengetahuan kita tentang hakikat kehidupan. Kalau dibicarakan dari sudut ilmiah, bukanlah ana yang aula bagi menyatakan secara terperinci. Ana cuma ingin mengingatkan, kita perlu sedar dan TAHU tentang tujuan hidup kita di dunia ini....


Jika hendak dibuat analogi, seorang pemain golf yang bermain di atas padang golf yang cukup cantik. Hayunannya yang hebat, kayu golfnya juga cukup mahal, tapi ada satu kekurangan, APAKAH TUJUANNYA BERADA DI SITU?? Bagaimana hebat pukulan pemain tadi, dia amat berhajatkan kepada satu benda: LUBANG GOLF. Pukullah sampai ke langit sekalipun, mesti kembali kepada lubang golf juga sebagai pengakhirannya. Itulah aimnya yang sebenar.


Begitulah juga dengan manusia sekarang. Manusia ibarat pemain golf itu tadi, padang yang cantik itulah dunia dan segala perhiasannya. Tetapi, oleh kerana dilekakan dengan kecantikan dan ke’tenang’an padang dan kayu golfnya, maka manusia itu terlupa akan aimnya yang sebenar. Maka bermainlah dia dengan kayu golfnya, tanpa sedar yang dia telah ‘kalah’ dalam pertandingan di padang golf itu.


Itulah yang banyak terjadi kepada manusia sekarang. Saat gembira berada di dunia, tidak sedar diri telah dilekakan dengan benda yang bersifat sementara ini. Maka, perlulah kita tahu, di manakah tujuan kita sebenarnya, dimanakah ‘lubang golf’ itu tadi. Untuk itu, kita perlu cari yang arif tentangnya. Bagaimana??? Bertanyalah kepada yang telah menjumpainya; alim ulama dan orang-orang soleh. Maka mereka pun akan menceritakan tentang resepi kejayaan mereka, yang telah terdapat dalam satu buku:- AL-QURAN.


Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu...
~Mafhum surah al-zariyyat, 56
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi...
~mafhum surah Al-Baqarah, 30


Inilah antara matlamat sebenar kita hidup di bumi ini
untuk mengabdikan diri dan menjadi khalifah di bumi ini.
Itulah yang perlu kita capai. Itulah yang perlu kita tahu dan
itulah yang perlu kita amalkan. Sesungguhnya ‘lubang golf’ itu sudah ada, Cuma
manusia yang kabur mata hatinya. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan
yang gelap hatinya.

Jangan pula ada yang telah tahu, tapi buat-buat tidak tahu, kerana ingin
merasakan kenikmatan di dunia ini, lantas mengorbankan saham akhirat kita.
Jangan sama sekali.

dan buat mereka yang mendakwa diri sebagai da'ie, fikirkan balik kemana kamu
membawa 'bola golf' kamu itu, jangan sekadar pandai mengajar orang, tetapi diri
kita pula yang leka...matlamat kita kepada Allah, bukan kepada selain darinya...


bukan untuk memberitahu, sekadar mengingatkan teman2 sekalian...

Bersambung....
 

Biarlah keletihanku bermakna...

Assalamua’laykum...

Menulis untuk menafsir kehidupan..

Malam merupakan satu waktu yang amat beerti buat saya. Bukan bermakna waktu lain tidak membawa apa-apa erti pada diri ini, tetapi malam merupakan waktu yang lebih sedikit maknanya. Ini kerana malamlah waktu saya dapat meluangkan masa, menyusun jari jemari untuk dicoretkan dalam blog ini. Perlu saya akui, 2-3 minggu ini saya amat sibuk dengan tugas-tugas yang telah dipertanggungjawabkan; menyebabkan jarang sekali saya hendak bersama-sama sahabat yang lain di rumah. Masakan tidak, pergi kuliah matahari sebelah timur, balik kuliah matahari sudah sebelah barat. Pun begitu, saya teringat syair arab yang saya pelajari:

Berletihlah kamu (dalam pekerjaanmu)!! Maka sesungguhnya kenikmatan hidup itu pada keletihan kam...

~ Al-imam As-shafie

Keletihan merupakan kawan saya sekarang, kemana saya pergi pasti dia akan bersama saya. Nak pula seminggu dua ni, kerap pula dia singgah berjumpa dengan saya. Memang itulah hakikatnya, jika ingin diri dinamakan pejuang, maka letihlah yang perlu dia hadapi. Layan sikit-sikit sahaja kawan yang satu ini, jangan lama sangat. Nanti habis kita dilayannya.

Saya baru sahaja selesai dengan pertandingan debat piala naib canselor. Tak pernah sebelum ini dipanggil untuk berdebat, kalau sekadar tazkirah ringkas pernah juga diajak orang. Debat sangat asingdengan saya, kerna saya cuba untuk berpeganag dengan wasiat hassan al-banna, antaranya:


Jangan memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang perbicaraan kerana hal ini semata-mata tidak mendatangkan kebaikan.."


Adapun dengan debat NC kali ini, alhamduliLlah, banyak juga faedah dan hikmah yang saya dapat. Setidak-tidaknya, dapat juga saya berjumpa dengan kakak saya dari jauh melihat saya berdebat. Haha..

Tapi entah apa-apa yang saya lakukan pada pusingan pertama, gugup saya dibuatnya. Intonasi saya tidak seperti debat, kata senior saya seperti intonasi penceramah. Memang, sebab saya tidak pernah berdebat. Tapi saya cuba dan terus mencuba, kerana saya sangat suka untuk mencuba benda yang baru. Ya, itulah saya. Mencuba sesuatu yang menatijahkan perkara yang positif pada pelakunya, tidak seperti cuba merokok yang memang tiada khilaf tentang bahayanya. Dari aliran sains tulen, saya menceburi bidang sastera (syariah &undang-undang), dari pentazkirah kepada pendebat, mungkin apa nanti yang saya akan lakukan-insya Allah pelajar kepada pejuang saf hadapan dalam Islam. Itulah cita-cita saya..

Keletihan menerpa saya lagi sekali...

Menjadi urusetia pelajar untuk program anjuran universiti, satu lagi perkara yang agak baru. Saya diamanahkan untuk memberi pengisian untuk slot sebelah malam peserta di kolej kediaman bersama sahabat yang lain. Maka adalah sedikit pengisian yang dibuat. Peserta ini merupakan pelajar spm yang menunggu keputusan yang akan keluar tidak lama lagi. Sedikit perkongsian dengan mereka tentang kehidupan di kampus membuatkan saya teringat diri saya dahulu yang pernah berada dalam keadaan mereka. Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang lain yang sememangnya lebih bertanggungjawab dari saya. Terima kasih semuanya.


Pernah satu hari saya begitu tertekan, disebabkan masa berlari sedangkan saya berjalan. Kalaupun saya berlari, maka masa merupakan pelari pecut. Tidak terkejar saya dibuatnya. Sibukla katakan, kerja sana sini. Assingment lagi, taqdim lagi. Masa terus berlari. Saya sedikit kecewa dengan dengan diri saya. Kepenatan dan keletihan. Seorang sahabat datang mengingatkan saya dengan kalam Allah :

...dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan pula bersedih hati.. kerna kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman...

Mafhum surah Ali imran, 139

Saya tunduk dengan kalam Allah. Kerana saya bercita-cita menjadi orang beriman, maka inilah saya yang perlu saya hadapi. Siapalah saya nak dibandingkan dengan pemimpin Islam yang dahulu yang malamnya tak pernah lena, petangnya pula dengan kepenatan yang berpanjangan. Sungguh saya katakan, prinsip pejuang ’mujahid di siang hari, sufi di malam hari’, belum lagi saya tatbiqkan secara sepenuhnya, seperti kata orang- belum lagi membudayakannya. Dan tidak akan dan selamanya tidak dapat saya bandingkan dengan kisah anbia dengan saya yang sekecil biji sawi ini. Nabi Ibrahim a.s pmerintah yang paling ulung di dunia, dengan segenap kuasa ketenteran miliknya –jin, syaitan, haiwan, manusia; akan tetapi dahinya tidak pernah lupa tunduk di atas tanah yang hina menyembah Rabb yang Maha Agung.

Ya, keletihan satu perkara biasa. Itulah syarat sebagai seorang pejuang. Maka kalau keletihan tidak menjadi barang permainannya, tidaklah dinamakan pejuang pada dirinya. Saya juga gembira pabila keletihan menerpa, kerana ia membawa erti saya hidup di dunia; lebih-lebih lagi dalam gerak kerja islam. Maka sesiapa yang menyibukkan dirinya dengan akhirat, dia tidak akan tertipu dengan kehidupan dunia.

Biarlah letih di dunia, jika syurga ganjarannya nanti...

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger