Latest Post

Bersedia untuk apa sahaja.

Saya masih ingat sewaktu di sekolah menengah dahulu, ada satu baris ayat bahasa inggeris yang menjadi mainan di dalam fikiran saya, hanya 3 perkataan:


“expect the unexpected”


Tak silap saya, ayat ini terdapat pada sebuah buku nota kecil saya dahulu yang saya jadikan catatan kuliah agama kerana buku itu kecil tapi mudah dibawa. Sudah hampir beberapa tahun saya mengetahui ayat itu, namun baru saya memahami maksudnya.

Banyak benda yang dulunya saya tahu, sekarang saya faham. Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya memahami beberapa nikmat dalam hidup ini sebelum saya betul-betul melupakannya. Semakin banyak perkara yang saya tahu bertukar menjadi faham, semakin saya kenal siapa diri saya. Astaghfirullah…astaghfirullah….


“expect the unexpected”; satu baris ayat yang ringkas, seringkas cara sebutannya. Dengan 3 perkataan inilah juga hampir 10minit sebelum kuliah bermula telah saya kongsikan sedikit tazkirah ringkas kepada sahabat-sahabat sekuliah dahulu, semasa saya masih lagi di tamhidi syariah dan undang-undang. Selaku ketua tamhidi yang kurang ilmu, saya hanya mampu melakukan sedikit perkongsian dengan sahabat yang lain hampir setiap kali sebelum kuliah bermula, namun aktiviti tersebut agak kendur ketika di semester dua kerana alasan yang kurang kukuh dari saya. Maafkan saya sahabat sekalian….


Berbalik kepada ayat tadi, saya mengaitkan sesuatu dengan realiti, kerana saya tidak suka berbicara benda yang panjang lebar tapi bak kata orang kelantan “kecek atas angin". Jadi seringkas yang mungkin saya kongsikan dengan sahabat-sahabat saya.

“Apa yang saya ingin katakan ialah kita kena sentiasa bersedia untuk apa sahaja yang boleh berlaku, expect the unexpected. Hidup kita ni kena sentiasa bersedia” saya mengulangi ayat yang sama.


“Kenapa saya berkata demikian?? Baiklah, cuba kita kaitkan dengan realiti kita. Contohnya dalam berkawan. Kalau kita sudah berkawan, bererti kita rasa kita serasi dengan dia dan si dia juga selesa berkawan dengan kita. Walaubagaimanapun, kita harus bersedia kerana tidak selamanya dia akan serasi dengan kita. Mungkin suatu hari kita akan berselisih faham dengan dia, atau mungkin bergaduh dengan dia. Jadi, kalau dalam keadaan ini kita tidak menyatakan kesediaan kita, perbalahan yang kecil mungkin boleh menjadi parah.” Lebih kurang beginilah apa yang saya telah sampaikan di hadapan dewan hari itu. Saya menelan air liur sebentar.


“ jadi, saya sendiri cuba menetapkan dalam diri saya, apabila saya telah menyatakan kesediaan saya untuk berkawan atau bersahabat dengan dia, saya juga perlu menyatakan kesediaan saya untuk bergaduh atau berselisih pendapat dengannya. Sudah tentu saya tidak akan terlalu marah atau sedih bila saya telah berbalah dengannya.”


“Contoh lagi, jika saya membeli sesuatu barang, saya mesti bersedia menghadapi kemungkinan bahawa barang itu akan rosak nanti. Memang sudah tabi’e makhluk yang tidak bersifat sempurna dan sementara. Jadi, bila barang itu rosak, hilang atau sebagainya, tidaklah saya asyik bersedih dan seolah-olah menyalahkan taqdir.” Na’udzubillah….

sahabat-sahabat saya makin memahami apa yang cuba saya sampaikan.


Kamu semua pun pernah dengar pepatah melayu, “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri..” terukir senyuman di wajah segelintir mereka apabila mendengar pepatah ini. Ya, ini sudah masuk bab lain ni…


Apabila kita sudah ikrarkan kesediaan kita untuk bersama dengan suami atau isteri (isteri-isteri) kita, bukan sahaja kesediaan untuk berkongsi kebahagiaan dengannya, malah untuk berselisih pendapat dengannya. Barulah bahtera perkahwinan kita itu dapat diselamatkan. Kuranglah berlaku penceraian. Sebab itulah, kata kunci diri saya


“expect the unexpected”.- menyangka apa yang tidak disangka, atau dengan kata lain bersedia dengan apa yang tidak diingini.


“Wahai bakal isteriku, walaupun abang nanti akan menyatakan kesediaan abang untuk mengahwinimu, namun bersedialah, kerana mungkin kita akan berselisih pendapat nanti. Bersedia untuk apa sahaja yang bakal tiba…”

Pesanan buat bakal isteri saya nanti, yang saya sendiri pun tidak tahu lagi siapakah dia….



Al-faqir ilallah.

Kg.perol,

16010 kota bharu, kelantan.

10 June 2009

 

KITA SUDAH 'TUA'!!

Menulis untuk menafsir kehidupan….


"assalamualaikum syeikh, apa khabar??" Ustaz Tajol menyapa saya yang baru selesai berbicara dengan seseorang. Penggunaan 'syeikh' itu menjadi kebiasaan kami di sini berbahasa.

"wa'alaikumussalam, sihat sahaja."

" kuat betul anta study"

"eh, sikit-sikit je. Study week la katakan."

"dengan siapa anta berbual tadi tue??"

"oh, tu kak ana yang ambil kos biotek"

"oh, kakak anta ke.. ana ingatkan zaujah anta tadi"


Saya terkedu seketika. Tergelak saya mendengar ustaz Tajol bergurau sebegitu rupa. Namun, bukan sekali saya mendengar gurauan begitu. Mungkin ustaz Tajol bergurau atau mungkin tidak. Kalau hendak dibandingkan, memang kakak saya kelihatan lebih muda dari saya, atau dengan kata lain saya kelihatan terlalu tua.

Pernah saya bersama kakak sulung saya ke pesta buku di PWTC, kerana keinginan diri yang membuak-buak untuk mencari buku-buku ilmiah dan peluang sebegitu rupa tidak saya lepaskan. kami meluangkan masa di ruang buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd dan 'bertemu' Ummu Hani, seorang penulis buku.

"erm, yang tu suami ke??" soalan bonus menerjah kakak saya sambil mata terarah ke batang tubuh saya.

"eh, tu adik saya!" kakak memberi penjelasan ringkas sambil ketawa. Sebetulnya saya kurang mendengar perbualan mereka, namun ketawa kakak menyebabkan saya dapat mengagak apa

soalan yang ditanyakan oleh Ummu Hani.


Jadi sudah jelas, bukan kakak saya yang awet muda, namun saya yang 'awet tua'!


Usia muda pemikiran 'tua'


Kadang-kadang tergelak sendirian juga. Ramai juga tidak menyangka umur saya baru sahaja 19 (tapi masih belum cukup umur 19 tahun lagi), kerana raut wajah saya seakan-akan berumur 20 lebih. Tidak sedih dan tidak gembira, ada yang mengatakan itu satu kelebihan, ada juga yang kata itu sesuatu yang 'merugikan', namun jika kita melihat segalanya datang dari Allah, tidak ada yang perlu kita ungkitkan. Kita hanyalah hamba.

Bukan persoalan ini yang saya ingin timbulkan, Cuma fikiran saya sekali lagi disentak. Apa persepsi kita terhadap umur kita yang 'muda' ini?? Apa yang seringkali dikaitkan dengan umur, sehingga terbinanya tembok-tembok yang membataskan diri kita??


"farid, kita ini muda lagi. Tak payah la fikir pasal kahwin-kahwin ini. Lepas habis belajar, boleh lah kalau nak fikir

pun."


Di sini saya menyatakan ketidaksetujuan saya dalam bentuk pemikiran sebegini. bukan bermakna saya ingin berkahwin pada usia semuda ini, (walaupun hasrat tetap ada), namun saya melihat adanya tembok-tembok yang kita bina dalam diri ini sehingga membataskan perkara-perkara yang begitu besar. Tembok yang tidak seharusnya terbina, namun dek kerana kebiasaan kita yang melingkungi kehidupan seharian, maka ini yang saya rasa apa yang dimaksudkan dengan pemikiran 'dalam kotak'.


Ini baru bab perkahwinan. Isu ekonomi, politik, kemasyarakatan, antarabangsa dan sebagainya, tidak akan difikirkan oleh golongan-golongan 'muda' ini. Tembok yang dibina menghalang sinar kehidupan yang sebenar. Bila dihidangkan hiburan, gossip, rancangan reality, komedi, dan sebagainya, nah, ini yang kita katakan yang layak bagi golongan muda.


Kita bukan di tahap yang kecil sahabatku sekalian. Dalam Islam, bilakah seseorang itu memegang tanggungjawab agama?? laki-laki selepas bermimpi dan perempuan tatkala datang bulan. Rata-rata yang mencapai tahap akil baligh ini sekitar umur 12-14 tahun, malah ada yang lebih muda. Jadi, kita semua telah memegang tanggungjawab agama seawal usia tersebut. Mana lagi yang lebih besar daripada memikul agama, kerana dengan kata mudah membela agama ertinya syurga dan menentang agamanya ertinya neraka. Kalau usia 11 tahun taklif atas diri, umur 15 tahun Saidina Ali tidur atas katil nabi dalam riwayat yang masyhur, Usamah memimpin gerombolan tentera pada usia sekitar 17(terdapat khilaf), jadi di manakah kedudukan kita dalam membela

agama??? ini yang saya cuba renungkan dalam diri saya sendiri.


Saya mendapat maklumat, Eropah sekarang telah berjaya melahirkan engineer berusia sekitar 15 tahun!! Hal ini didasari dengan kajian pakar yang mengatakan, perkembangan otak bagi dari umur 0-3 tahun ialah sebanyak 85%, dan selebihnya umur selepas itu, maka mereka menggunakan kesempatan usia seawal itu untuk mencapai tahap maksimun perkembangan otak. Dengan kata lain, kita ketinggalan dalam menggunakan peluang yang ada dahulu. Tidak mustahillah, kalau ulama-ulama terdahulu dapat hafaz al-quran seawal usia 9 tahun. Usia perkembangan yang paling baik. Aduh, betapa jauh ketinggalannya kita membicarakan soal kematangan berfikir.

Berfikirlah dengan lebih luas, perkembangkan keupayaan diri seorang muslim sebenar. Kita masih terperangkap dengan acuan yang lama yang sudah lusuh, sedangkan acuan Islam ini sentiasa hebat dan jitu tidak kita jadikan rujukan kita. Mana tidaknya, saya membiasakan diri untuk bercakap mengenai hal-hal perkahwinan sebagai contoh, namun ramai yang mengatakan saya 'gatal'. Saya berbicara soal perkahwinan yang halal lagi dituntut dalam Islam dikatakan 'gatal', mereka yang asyik-masyuk dengan cinta remaja dan couple2 tidak dikatakan 'gatal', jauh sekali mengatakan haram. AstaghfiruLlah…


Jadi, bukanlah terlalu muda usia daan umur Sultan Muhammad Al-Fateh menawan kota Constantinople, tapi kita yang terlalu 'tua' untuk tidak berfikir sedemikian.


Apapun, hasrat untuk kahwin muda saya perlu timbang-timbangkan.

 

Tahniah akhi Sobri!!

Menulis untuk menafsir kehidupan…


Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Dan diantara tanda-tanda(kebesaranNya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya, dan Dia jadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir..

(al-rum, 21)


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada yang separuh lagi.

(riwayat at-tabarani)


Tanggal 9 mei 2009, satu tarikh yang amat bermakna buat saya juga, lebih-lebih lagi buat sahabat saya yang telah berjaya mendirikan masjid bersama isteri tercinta, kak akmal. Ternyata akh sobri telah menyempurnakan separuh imannya bersama kak akmal, dan ternyata telah masuklah mereka berdua dari golongan yang meraikan sunnah nabi s.a.w walaupun usia masih muda. Ternyata juga sahabat sekelas beliau menanam rasa cemburu kepada akh yang berjaya melangsungkan perkahwinan seawal usia 22 tahun. Masya Allah, hebat sungguh enta. Ana kagum dengan enta ya akhi..hi3


Perkahwinan berlangsung di rumah pengantin perempuan pada tarikh tersebut dengan kadar yang sederhana saya kira. Saya bersama kakak sulung saya yang juga rakan sekelas dengan sobri dan kak akmal tiba di kuala terengganu hari semalamnya kerana upacara akad nikah akan berlangsung kira-kira 9.30 keesokan paginya. Saya telah bermalam di rumah sahabat saya akhi mansur yang tinggal berdekatan dengan lokasi pernikahannya.


"Sobri kahwin??? Betul ke ni??"

Berita perkahwinan Sobri yang dikhabarkan oleh kakak saya beberapa minggu sebelum itu benar-benar mengejutkan saya dan mencabar kelelakian saya. Namun, rezeki beliau tiba dahulu sebelum saya dan saya begitu gembira mendengarnya. Perkenalan saya dengan akh sobri yang begitu singkat menolak kemungkinan yang beliau akan berkahwin awal, namun perancangan Allah terhadapnya ternyata indah. Hanya doa dari saya mengiringi kalian.


Ini juga merupakan kali pertama saya melihat upacara akad nikah seorang sahabat yang saya kenali. Dengan berpakaian baju melayu putih susu bersongkok, akh Sobri ternyata tenang sekali. Namun, berdebar di hati siapa yang tahu. Saya dapat rasakan, perasaan berdebar turut menyelubungi akh firdaus yang menjadi saksi bagi perkahwinan mereka. Sabar akhi, nanti giliran enta pula dok atas bantal empuk itu..hihihi


…dengan mas kahwin tersebuttttt…"

setelah kalimah keramat itu dilafazkan Sobri dengan penuh yakin dan confident nya, kelegaan semua pihak dizahirkan dengan senyuman dan doa, tanda kesyukuran di atas segala pemberianNya. Sebetulnya, saya sendiri kaget diselimuti gembira melihat gelagat Sobri semasa melafazkan lafaz akad nikah itu. Sobri sendiri pun seolah-olah tidak percaya yang dia berkahwin sebegini awal. Apa pun, segala ikatan telah dijalinkan. Segala ketentuan telah dilangsungkan. Yang tinggal sekarang, bagaimana cara kalian mengendalikan bahtera rumah tangga supaya sentiasa dalam Redha Ilahi.


Bila namanya bahtera, sudah pasti akan ada ombak yang datang melanda. Tidak kira kecil atau besar, semua ombak itu perlu kalian hadapinya bersama. Sudah pasti perjuangan kalian tidak lagi seperti dahulu, mungkin bertambah cabarannya sekarang. Yakinlah dengan janji Allah, jika terbinanya baitul muslim ini dengan dasar iman yang taqwa, pahit manis perjuangan semua ditelan bagaikan madu sahaja.


Saya membelek-belek khazanah ilmu dalam rumah dan terjumpa satu buku yang bertajuk, 'Perkahwinan Dalam Islam' tulisan Tariq Ismail Kakhia, beliau menyelusuri kalam Allah yang tersebut di atas tadi dengan berkata :

"Bukanlah bermaksud dengan As-Sakinah di dalam ayat itu hanya semata-mata untuk mendamaikan perasaan berahi yang menjalar dan membara di dalam jiwa manusia itu sahaja, malahan As-Sakinah itu adalah untuk mendamaikan daripada rahsia-rahsia kerunsingan yang sentiasa bergolak di dalam jiwa raga setiap individu. Rahsia ini sungguh sensitif. Sebab manusia merasai kekosongan, kekurangan dan kelemahan yang prlu dibantu dengan bantuan moral dan spiritual. Justeru inilah dia memerlukan seorang teman hidup..! sesungguhnya inilah Assakinah dan ketenteraman rohani." Lihat sahaja contoh Assakinah yang ditonjolkan Saidatina Khadijah kepada Rasulullah ketika baginda mula-mula menerima wahyu dari Allah.


Semoga akh Sobri dan kak Akmal berbahagia hendaknya, dan dicucuri rahmat dan inayah dari Rabbul Alamin….

Wahai tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri kami serta zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata(penyenang hati), dan jadkanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa.

(al-furqan, 74)


Saya perlu khatam buku tadi sebelum bersedia mendirikan masjid nampaknya…

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger