Latest Post
Assalamualaikum....

Persinggahan sementara seorang rakan sekolah dahulu ke ruangan ini memesan sesuatu. Satu pesanan dari saudara seislam. Mengenai seorang manusia yang bernama Dr. Aafia Siddique/Siddiqui. Saya letakkan linknya di sini. Maklumat tentangnya pun tidak banyak saya dapat. Mungkin boleh diselidik di laman sesawang yang banyak seperti wikipedia, youtube dan sebagainya.

Sekian.
 

Doakan aku tidak dusta!!

Pembacaanku pada suatu hari terhenti seketika. Terhenti pada lampu merah; peringatan di perjalanan hidup sebelum meneruskan langkah seterusnya. Hentiku bukan lelah, namun henti pada teguran Murabbi Agung yang tulus dalam kalam ma'sumnya. Aku tatap hadis itu sekali lagi supaya dapat aku maksudnya 'al-ikhlas' itu dalam tiap amalanku...

buat renungan kalian...

Syuhada, Ulama, dan Dermawan

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya manusia yang pertama kali diadili pada hati Kiamat adalah orang yang mati syahid. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?" Orang itu menjawab, "Saya berperang di jalan-Mu hingga mati syahid." Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu berperang, agar kamu dikatakan pemberani, seorang pahlawan!" Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilempar ke dalam neraka.

Selanjutnya, didatangkan ulama; orang yang belajar ilmu, mengajarkannya, serta membaca Al-Qur'an. Maka, didatangkanlah orang tersebut lalu diperlihatkan nikmat-Nya. Dia pun tahu akan nikmat-nikmatitu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apa yang kamu lakukan (amalkan) di dalamnya?" Orang itu menjawab, "Saya belajar ilmu dan mengajarkannya, serta membaca Al-Qur'an untuk-Mu." Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu belajar dan mengajarkan ilmu serta membaca Al-Qur'an supaya kamu dikatakan alim, supaya kamu dikatakan seorang qori!" Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.

Berikutnya. didatangkan orang yang diluaskan rezekinya oleh Allah dan Allah memberikannya semua bentuk harta kekayaan yang beraneka ragam. Maka, didatangkannya lalu diperlihatkan nikmat-Nya, dia pun tahu akan nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, "Apa yang kamu lakukan dengan hartamu yang melimpah itu?"
Orang itu menjawab, "Saya gunakan seluruh harta itu untuk berbelanja di jalan-Mu, ya Allah!" Allah s.w.t berfirman, "Kamu dusta! Kamu kerjakan semua itu supaya kamu dikatakan sebagai seorang dermawan!"
Maka kemudian malaikat diperintah untuk menyeret wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka. (mafhum HR. Muslim)


Pesanan Buat Kita

Kisah itu melibatkan mereka yang bukan calang-calang.
Seorang mengugurkan darahnya di medan perang.
Seorang lagi bertaraf ulama yang padanya telaga ilmu untuk dicurahkan.
Seorang lagi kekayaannya diagih kepada mereka yang memerlukan.

Namun, aku pula??
Bukannya bertaraf syuhada. Sekadar blogger yang mencoretkan dakwat di atas papan maya.
Bukan juga ulama. Tintaku bukan kalam ma'rifat yang tajam untuk dikongsikan.
Jauh juga dari taraf derwawan. Hartaku tidak cukup untuk dikeluarkan zakat sekalipun.


Mereka hebat pada pandangan manusia. Namun dihina disisi Tuhan.
Mereka menyangka amal mereka berlimpah dengan berkat dan rahmat, hakikatnya semua itu kontang dari sifat al-ikhlas. Maka mereka dihitung sebagai pendusta. Pendusta dalam 'amal soleh' mereka!!

Kebimbangan mula menjalar dalam nadi perjuangan ini....
Takut bila ditanya, apa yang kamu buat dengan ruang dakwah kamu di blog semasa kamu hidup dulu??

Adakah kerana inginkan pujian dan sanjungan ramai??
Atau mengharapkan comment dari pembaca-pembaca??
Atau memenuhkan shoutbox dengan kata-kata indah dan pujian??dan sekadar mengisi masa lapang??

Atau benar-benar IKHLAS mengharapkan Redha Allah dalam setiap amalan??
Menjadikan Allah sebagai tujuan hidup kita?? tanpa mengharapkan keuntungan dunia yang seberat sayap nyamuk ini??

Doakan aku tidak dusta!!!
 

Mereka yang saya kenal

Menyulusuri hikmah al-ghazali membuatkan aku termenung seketika. Mencari erti disebalik kata-kata tersebut. Kata-katanya cukup indah untuk dinilai kembali, juga sebagai muhasabah diri.

"Antara tanda seorang yang soleh itu ialah, apabila melihat wajahnya maka akan teringat kepada Allah..."

Astaghfirullah..astaghfirullah...astaghfirullah...

Saya mengeluh sendirian. Hakikat kalam hikmah itu belum saya capai. Namun, saya bersyukur kerana dapat mencium tandanya dari sahabat-sahabat serta teman sekeliling saya. Saya masih mampu tersenyum kerana punyai sahabat sedemikian. Malah saya cukup bertuah jika orang bertanyakan saya tentang sahabat saya, dan saya mampu mengatakan "beliau adalah sahabat saya".

Mereka yang saya kenal

Perkenalan saya dengannya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Saudara Arislan Nasrullah merupakan satu nama yang tidak asing di sekolah dahulu sewaktu zaman saya. Aktif dalam nasyid, merupakan presiden badar dan juga mahir dalam qiraat menjadikan saya bangga memiliki sahabat sedemikian. Riak wajahnya juga selalu tenang, bahkan kami di sekolah dahulu mengkagumi beliau kerana dirinya yang selalu tenang walaupun kerja sekolahnya lebih kurang seperti saya juga. Seorang anak yang patuh kepada ibubapanya, telah membawa dirinya ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran, dan saya masih di sini. Doa dan rindu saya mengiringi beliau di sana. Beliau mengajar saya tentang manisnya bersedekah pada jalan Allah.

Saudara Rasyadan
pula merupakan insan yang saya kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di bumi USIM. Perkenalan kami secara tidak berapa langsung masih lagi utuh sehingga kini. Entah apa yang mengikat kami masih lagi bersama, namun saya kira mungkin kesatuan fikrah yang saya dan beliau miliki menyatukan kami dalam kebanyakan perjumpaan kami (beliau juga orang kelantan). Wajahnya tenang amat, sentiasa mengukirkan senyuman, dan sering juga membetulkan kacamata lama yang kian pudar itu. Kacamata perjuangan saya kira. Kunjungannya bertemu dengan saya, akan saya berikan perhatian sepenuhnya walaupun saya di tengah pembacaan, walaupun di tengah malam; kerna saya tahu, jika saya letih, maka beliau pasti letih dan penat. jika saya mengantuk, maka beliau pasti mengantuk dan lelah. Beliau akan sentiasa mendahului saya dalam perjuangan ini.

Tiap kali bertemu dengannya, senyuman didahulukan dan salam dijambatkan. Saudara Basri membesar bersama dengan saya sejak awal pengajian di tamhidi lagi. Namun bila mengenangkan peristiwa semasa di ihtifal smka dahulu, saya akan tergelak sendirian. Disangkaan orang luar rupa-rupanya kelantan pekat; apatah lagi asalnya dari Paloh Rawa, Machang (metropolitan katanya). Dalam senyuman manis dan tenangnya, ada juga teguran yang membina. Masa bukan barang mainannya, maka kami mesti menepati masa kalau sudah berjanji untuk bertemu pada pukul sekian-sekian. Saya merasai jatuh bangunnya beliau, saya juga merasai perit manis beliau. Walaupun bukan semua, tapi mata yang memandang turut merasai tempiasnya, sekalipun badan yang menanggung pasti melaluinya dengan penuh kecekalan. Bertemu dengannya pasti bukan pertemuan yang sia-sia, pasti ada perbincangan yang bermanfaat dikongsi, diselit dengan gurau senda yang menambahkan manis dalam tali perhubungan kami.

Nama yang unik di bumi malaysia ini membuatkan dirinya senang untuk dikenali,- Ibrahim Hussin Ibrahim. Namanya sudah harum di maahad, dan sedang mekar mewangi di tanah Nilai ini. Hijrahnya dari bidang sains kepada syariah merupakan hijrah yang bermakna buat dirinya, juga buat diri saya. Wajahnya kacak, tubuh badannya segak (walaupun sedikit kurus). Tetapi itu semua bukan ukuran sebenar, bahkan itu tidak sesekali membanggakan saya. Sifatnya yang bersemangat, istiqamah, dan sabar menghadapi tekanan sering saya jadikan ukuran untuk terus maju bersamanya. Tabiat pembersihnya juga memberi kesan kepada diri saya ini. Moga dirinya sehebat abuya nya.

Nasiruddin
, batang tubuhnya tetap segar dalam ingatan ini, walaupun hampir 2tahun tidak bersua muka dengannya. Baru beberapa minggu lalu beliau menelefon saya dari mesir, loghat kedahnya itu masih jati dalam dirinya. Kelahiran blog saya dan beliau sama, namun kalamnya makin lama makin berisi dari saya, meskipun desakan pengajian dalam bidang kedoktoran sentiasa menghimpit masanya. Malu untuk saya mengaku, namun dirinya sentiasa terkehadapan berbanding saya. Jika saya dalam bidang syariah, maka dia telah merancang untuk faqih dalam ilmu kedoktoran dan syariah. Jika saya ingin berjinak dalam ilmu mantiq, maka beliau telah menekuninya dari bangku sekolah lagi. Beliau mengajar saya tentang peri pentingnya menekuni ilmu, bukan sekadar berjuang namun diri kontang dari bekalan ilmu.

Saudara Mansur juga rakan seperjuangan yang usianya muda namun makin hari makin cuba menampakkan matangnya dalam perjuangan, samada dalam pelajaran ataupun dalam bidang dakwah. Orangnya sentiasa sibuk, agak sukar untuk mencarinya pada hari-hari minggu. Saya mengenali dirinya sejak dari tamhidi lagi, dan hidupnya pasti terus menuju kepada peningkatan; suatu yang pasti tersemat dalam diri setiap mukmin. Senang menerima teguran, sabar dalam pergaulan menyebabkan saya juga perlu cermin diri dengan segala sifat kekurangan saya.

Perkenalan dengan Saudara Syihan tidaklah terlalu lama, masa masih terlalu muda untuk saya menilai beliau. Sikapnya juga sentiasa riang, ramah dan senang untuk dibawa berbincang. Ada yang mengatakan beliau sedikit agresif, namun saya katakan beliau sebenarnya reaktif. Seorang yang prihatin, berinformasi dan juga tegas meyerlahkan sifat-sifat kepimpinan dalam dirinya. Bicaranya bermanfaat, penulisannya berisi, pasti dalam dirinya terkandung semangat juang yang tinggi. Maka Allah jualah yang lebih mengenali diri dan cita-citanya.

Masih terlalu ramai untuk disusun, namun nama kalian semua kususun dalam doa aku setiap hari. Mungkin sahaja nama kalian sunyi di bumi ini, namun kuharap nama kalian disebut-sebut di angkasa langit sana.

****************************

Mereka itulah yang saya kenal.
Ada yang mengingatkan saya tentang kesabaran dalam hidup.
Ada yang mengingatkan saya tentang erti penat dan lelah dalam perjuangan.
Ada yang mengingatkan saya tentang semangat ukhwah fillah yang perlu disemai dalam perhubungan sesama insan.

Peringatan itu amat bermanfaat. Bermanfaat bagi orang yang beriman.
Peringatan yang mendekatkan diri kepada Rabbul Jalal. Mengingatkan tentang diri merupakan hamba yang hina di hadapan Tuhan Segala-galanya.

Maafkan aku wahai sahabat. Aku mungkin tidak mampu memberi banyak manfaat kepada kalian, namun aku akan pastikan aku tidak akan menjadi penghalang kepada jalan untuk kalian dekat dengan Tuhan.

Berjuang pada jalan Tuhan perlu suci, kerana sesungguhnya suci tidak akan bisa selesa dengan kekotoran.

Para pejuang sentiasa merintih dan berteleku, "siapakah yang akan bersamaku dalam perjuangan ini??"

Aku tunduk malu sendirian, "adakah aku yang hina berada dalam perjuangan ini??"....

Umar r.a masuk ke masjid dan melihat Mu'adz bin Jabal sedang menangis di sisi kuburan Rasulullah s.a.w.. Umar bertanya, "Apa yang membuatmu menangis wahai Mu'adz?" Mu'adz menjawab bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya sedikit dari riya' adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa yang tersembunyi, yaitu orang-orang yang apabila mereka tidak ada maka orang merasa kehilangan dan apabila mereka hadir mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat." ( mafhum HR. Thabrani)
 

ISU PENEMPATAN MAHASISWA/I

Salam kebajikan,

Lebih seribu mahasiswi hilang tempat penginapan untuk semester hadapan. Hal ini menyebabkan kekecohan dan kelam kabut kepada mahasiswi untuk mencari tempat penginapan baru. Tambahan lagi bercampur aduk dengan final exam yang sedang berjalan sekarang.

Semalam jawapan daripada pihak pengurusan asrama supaya mencari sendiri rumah sewa adalah jawapan yang tidak bertanggungjawab. Sedangkan tempoh yang diberikan untuk pengosongan asrama adalah sehingga 9 Mei ini dan tarikh akhir final exam adalah 7 Mei ini. Jika ditanya kepada pegawai universiti untuk berfikir pun mereka tak kan sempat melaksanakan 2 kerja dalam satu masa, satu masa untuk fokus kepada exam, dan dalam masa yang sama sibuk mencari rumah kosong untuk menyewa.

Semalam juga, pihak ejen rumah sewa mula mengambil kesempatan menaikkan harga rumah sewa sehingga mencapai harga ribuan ringgit. Harga yang tidak masuk akal ini telah menyebabkan ramai mahasiswi mencari-cari rumah yang termurah dan ada jua yang sudah sanggup membayar deposit walau sedar harga sewa yang tinggi itu.

Jika saya ditanya siapakah yang lebih berkebajikan antara pengurus asrama pekerja kilang dengan pengurus asrama universiti. Saya ingin katakan pengurus asrama kilang lebih terurus dan berkebajikan berbanding pengurus asrama universiti. Dan pekerja kilang lebih bernasib baik berbanding mahasiswi universiti.

Bersama dengan ini saya bawakan 5 usul segera untuk dilaksanakan pihak pengurusan.

1- Pihak pengurusan asrama hendaklah mengadakan taklimat khas kepada mangsa yang terlibat. Bagi panduan jelas apa yang sepatutnya mereka lakukan selepas mereka sewenang-wenangnya dihambat keluar.

2- Panjangkan tempoh pengosongan asrama sehingga penghujung bulan Jun. Terutamanya kepada pelajar yang akan tinggal dalam masa cuti (short sem). Kerana fatrah exam ini tidak memungkinkan mereka dapat mencari rumah sewa untuk tinggal semasa short sem nanti.

3- Sediakan wakil atau penyelia menguruskan penempatan asrama. Kerana mangsa adalah kaum muslimat dan kesukaran untuk bermuamalat bersama masyarakat awam di sini perlu ditimbangkan. Semalam sahaja seorang cina botak sebagai ejen asrama menaikkan harga sewa rumah berlipat kali ganda. Sebulan sebelum itu pelajar USIM juga menjadi mangsa cina botak ini, apabila selepas sebulan menyewa baru semalam air disalurkan.


4- Beritahu kawasan black area untuk disewa. Kerana di sini popular dengan pekerja asing dari Nepal, Indonesia dan Bangladesh. Di sekitar Sutera Indah juga tersohor dengan pusat hiburan dan rumah urut sekeliling Sutera Indah. Kerana semalam ada pihak yang menawarkan rumah kedai untuk disewa oleh muslimah. Rumah kedai itu di belakangnya adalah asrama pekerja kilang warga asing, manakala dibawahnya adalah bengkel servis bas Sidik Canopy. Bimbang sekali jika mereka menyewa di sana keselamatan yg tak terjamin serta kedudukan yang tidak sesuai.


5- Tetapkan harga semasa rumah sewa. Kerana masa inilah, pihak ejen rumah sewa menaikkan harga rumah setinggi mungkin. Terbaru ada yang meletakkan harga sehingga RM1500 sebulan di Desa Anggerik. Harga munasabah perlu diletakkan berdasarkan ekonomi mahasiswa bukan berdasarkan harga awam.


Saya pohon dengan sesungguhnya agar pihak bertanggungjawab ambil cakna tentang kebajikan mahasiswi seramai seribu lebih ini. Saya menyampaikan cadangan kerana saya melihat kedudukan pelajar universiti harus dilayan lebih baik berbanding pekerja kilang Nepal atau buruh binaan asing. Kerana saya lihat mereka diurus tepat peninggalan dengan baik, setara dengan kedudukan mereka sebagai pekerja kilang. Kami adalah mahasiswa terpelajar yang perlu diberi layanan yang sebaiknya, bukana layanan angkuh pegawai universiti dengan mudah menghambat lebih seribu mahasiswa dalam masa teringkas dan terpantas ini.


Orang kata universiti ini populardengan perkara-perkara pelik. pohon pertimbangan seadilnya. Atas dasar ukhuwwah Islamiah atau kalau tidak pun atas dasar kemanusiaan yang sedia ada pada semua insan yang punyai akal berfikir dan hati yang menimbang.


Salam kebajikan, dari mahasiswa untuk mahasiswa.

kredit untuk tok pulai chondong
 

Fathiyah

Saya sedang asyik membaca karya Muhammad Ahmad al-Rasyid ketika anak saya Fathiyah bertanyakan soalan, “Papa, mengapa papa dan mama selalu bangun pagi-pagi hari untuk solat? Papa dan mama tak mengantuk ke?”

Saya tersenyum melihat telatah anak saya yang baru memanjat usia empat tahun. Ia gemar sekali bertanya. Macam-macam yang ditanya. Pernah juga anak kesayangan saya bertanya dari mana adiknya Faqih keluar. “Mama tak sakit ke masa perut mama dibelah untuk ambil adik?” Saya dan isteri hanya mampu tertawa mendengar soalan anak kami yang tidak pernah putus dengan soalan.

“Along rasa papa dan mama mengantuk tak?” saya bertanya balik. Saya sendiri masih dalam proses belajar menjawab persoalan kanak-kanak kecil agar sesuai dengan citarasa saya. Pernah abah dulu marahkan saya sebab tidak pandai melayan karenah adik saya Sumaiyah ketika dia berumur umur enam tahun.




“Along rasa tak. Mesti papa dan mama seronok kan. Tapi kan papa…” anak sulung saya terdiam. Berkerut-kerut dahinya, semacam ingin bertanyakan sesuatu. “Kenapa along?” saya bertanya mendapatkan kepastian.

“Kalau along tanya, papa jangan marah ye. Papa, papa janji jangan marah ye,” macam-macam karenah anak kesayangan saya ni. Saya mengangguk-angguk kecil sambil menghulurkan jari kelingking ke jari kelingkingnya. Kami tersenyum. Isteri saya yang sedang menelaah al-Quran memasang telinga dari kejauhan.

“Tadi along tengok papa dan mama nangis. Kenapa papa dan mama nangis? Allah marah papa dan mama ke?” terkejut saya mendengar pertanyaaan sebegitu. Astaghfirullah, berat sungguh persoalan tu. Saya langsung tidak menyangka anak sulung kami itu mengintai kami dari jauh. Isteri saya kelihatannya turut tersentak.

“Along tengok ke?” saya bertanya balik. Fathiyah mengiyakannya. “Tiap-tiap malam along tengok. Papa sebut, Ya Allah, kami banyak berdosa pada-Mu. Papa dan mama buat banyak dosa ke? Along taknak papa dan mama masuk neraka. Along nak kita semua masuk syurga. Sebab tu along baca quran banyak-banyak. Along nak doa pada Allah supaya Allah masukkan papa dan mama masuk syurga. Along masuk neraka takpe, asal orang yang along sayang masuk syurga.”

Dan saya terdiam seketika.

Teringat saya ketika saya berbincang dengan isteri suatu hari, di awal-awal perkahwinan kami. “Kalau awak, awak mahu anak yang macam mana?”

Isteri saya berfikir sejenak. Kami gemar sekali berbincang. Biasa bagi kami untuk mengulang al-Quran bersama-sama. Sebelum tidur, paling kurang dua kali dalam seminggu saya akan menceritakan kisah para anbiya’ dan kisah-kisah teladan lain kepadanya.

Dalam dua kali seminggu juga, saya akan mengajarkannya kitab tafsir, hadis dan sedikit berkaitan tazkiyah jiwa. Yang lain, saya terpaksa menghabiskan masa dengan masyarakat. Isteri hanya sempat mengikut saya menyampaikan kuliah berdasarkan kelapangan yang ada.

Beliau juga ada tugas tersendiri. Rumah kami juga telah dijadikan kelas fiqh Wanita yang dikelolakan oleh isteri saya sendiri. Hidup kami sarat dengan ilmu dan ibadah serta jihad. Kami tidak mahu menyia-nyiakan hidup kami dengan bercinta semata-mata. Itu adalah asas untuk kami bergerak lebih laju dan mantap dalam mengejar redha dan ampunan Allah.
“Saya mahukan seorang anak yang berilmu dan takut melakukan maksiat,” kata isteri saya dengan penuh harapan. Isteri saya sendiri sebenarnya seorang yang sangat takutkan maksiat. Acap kali saya melihat ia menangis dalam munajatnya. Saya sendiri terdidik dengan akhlak isteri saya itu.

“Abang juga mahukan anak kita seorang yang sangat rajin melakukan ketaatan kepada Allah, takut melakukan maksiat dan berilmu. Impian kita adalah sama,” kami tersenyum.

Anak kita mesti menghafal al-Quran dan hadis. Ia mesti dididik dengan tawadhu’ dan takutkan Allah. Maka jika kita mahukan anak yang begitu, kita mesti rajin bertahajud, berdoa, menjaga makanan, menjaga hubungan dengan orang alim dan masyarakat dan sebagainya.

“Papa, mengapa papa diam je? Along tanya ni,” saya terjaga dari lamunan. Fathiyah masih menanti dengan penuh harapan. Saya menarik tangan anak saya ke ribaan dan memeluknya erat. Sambil mencium ubun-ubunnya, saya berbisik perlahan,

“Papa dan mama takutkan Allah, nak,” dan saya tidak mampu menahan deraian air mata.

kredit buat abang dzulkhairi
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger