Latest Post

hidupku dengan istighfar!!!

Assalamu3laikum..

Menulis untuk menafsir kehidupan...


Mengimbau sejarah hari-hari yang ku lalui, terlalu banyak yang perlu saya sendiri renungkan. Sebagai manusia biasa, siapa pun tidak dapat menjamin hari yang kita lalui, tiada dosa yang kita goreskan di dalam kehidupan. Buka sahaja mata kita, terus kita melakukan dosa. Bukanlah semuanya begitu, tapi hampir kebanyakannya begitu. Jagan pernah nafikannya.

Begitu juga dengan kehidupan saya, tak pernah lekang dari dosa. Sebagai pelajar, saya banyak menghabiskan masa di kampus. Mulut saya berbicara,saya terlalu banyak bicara. Di hadapan pelajar, bersama rakan, di belakang mereka dan sebagainya. Mulanya sedikit berisi, tetapi lama kelamaan, sudah lari dari perkara bermanfaat. Adakah saya boleh menjamin, tiap bait perkataan yang saya untaikan dicatit pada amalan kebaikan?? Atau mungkinlah semua nya buruk dan palsu belaka???

”maka siapa yang beramal baik akan ditimbang walaupun sebesar zarah, dan siapa yang beramal buruk akan ditimbang walaupun sebesar zarah...”

Mafhum surah al-zalzalah:7-8

AstaghfiruLlah....AstaghfiruLlah..

Tiap hari saya akan berjalan. Ada kalanya berseorangan, ada kalanya bersama sahabat. Dari kolej kediaman menaiki bas ke kampus, untuk mendapat secebis ilmu dari pensyarah yang saya sayangi. Tetapi, adakah hati saya sentiasa terdorong untuk mencari ilmu, atau sekadar ’mengisi masa lapang’ saya?? Setiap langkah saya ke dewan kuliah, adakah saya sentiasa menanam niat menuntut ilmu kerana ALLAH??Niat saya sudah berubah. Hati saya sudah terpesong. Pergi ke kuliah, menghadap buku untuk dihafal dan dicetak kembali dalam kertas peperiksaan. adakah itu yang perlu ada pada seorang muslim??

AstaghfiruLlah....AstaghfiruLlah..

Saya seringkali menarikan jari saya di atas kekunci hanset saya. Laju menaip. Menghantar mesej kepada insan yang saya sayangi; ibu bapa, guru, sahabat. Bertanya khabar, menyambut salam dan sebagainya. Kekadang, saya menghantar mesej nasihat buat rakan-rakan, yang kadang-kadang mengadu masalah kepada saya. Ada kalanya saya menolong mereka, tetapi dibawa pula perkara yang tiada kaitan dengan masalah mereka. Saya jadi serba salah, kalau tidak dibalas mungkin berlaku salah faham. Tapi, dimana saya letakkan Allah ketika itu??? Saya harap rakan yang lain mengerti keadaan saya.

AstaghfiruLlah....AstaghfiruLlah..

Saya terpaku sendirian. Hati membilang-bilang, apakah kebaikan yang telah saya lakukan untuk Islam sepanjang hidup saya ini?? Adakah cukup dengan solat 5 kali sehari, puasa sebulan setahun??? dalam 5 kali solat, bolehkah saya menjamin semuanya dilakukan dengan khusyuk?? Adakah saya sertakan dengan kauff dan raja’ kepada Rabb?? Puasa saya selama sebulan pula, tidak mustahilkan saya ini tergolong dalam golongan yang dimaksudkan Baginda s.a.w., yang hanya mendapat lapar dan dahaga??

AstaghfiruLlah....AstaghfiruLlah..

Sudah tentu mustahil bagi diri yang kerdil ini untuk mengelak dari melakukan dosa dalam sehari. Namun, saya bertuah mendapat Allah, Tuhan yang pengampun dan mengasihi hambanya. Dia memberi pengampunan kepada hamba yang berharap kepadaNya. Malah, Allah lebih suka mengampun dari menghukum hambanya. Hidup saya perlu sentiasa beristighfar, di bibir seboleh-bolehnya, dan di hati sentiasa. Sedangkan Baginda yang ma’sum sentiasa beristighfar, tidakkah berasa malu kita yang berlumpurkan dosa, berdakikan maksiat untuk berbuat lebih dari itu...fikirkanlah..

Tatkala mana kamu bangun dari tidur dan masih lagi dapat menghirup udara Allah, bukanlah kerana kamu sihat maka kamu masih lagi hidup, kerna syarat mati bukan hanya sakit. Bukan juga umur kamu masih muda, kerna syarat mati bukan hanya tua. Tetapi kerana Allah mengetahui kamu masih punyai dosa yang banyak, maka diberikan peluang untuk kamu bertaubat dan memohon keampunan dari Allah s.w.t. itulah hakikat kehidupan.

Jangan kita sibuk menghitung dosa sehari-hari, tapi hitungkan taubat dan istighfar kita kepada Allah.

AstaghfiruLlahal’azim....

 

tanggung+jawab

Assalamu3laykum....

Menulis untuk menafsir kehidupan…

astaghfiruLlah, sudah lama aku tidak mencoret penulisan dhaifku di laman blog ini. aku merasakan bersalah, bukan kerna ada yang menunggu tulisanku kerana siapalah aku yang ingin menulis penulisan yang berkesan seperti ustaz Hasrizal dengan blognya, atau bermain kata-kata yang cukup indah seperti Ustaz Dzulkhairi. Kalam ma’rifat aku terlalu tumpul untuk berbuat demikian. Pengalamanku terlalu cetek untuk dibicarakan. Kematanganku terlalu ’tohor’ untuk dikongsikan. Namun, aku tidak mahu ruang hidup ku kosong begitu sahaja, seolah-olah aku telah kufur nikmat yang Allah telah berikan. Tidak, tidak sama sekali. aku akan cuba mengisinya selagi termampu.

Kehidupan aku agak bercelaru, walaupun bulan Muharram bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Walaupun aku sudah merancang, tapi banyak kesulitan dan amanah yang perlu aku pikul, menyebabkan perancanganku semacam tidak kesampaian. Pelajaranku sedikit tergendala, aktivitiku sedikit terbantut. Namun saya cuba gagahkan diri. Berfikiran positif ketika ini amat membantu. aku cuba senyum dengan rakan dan sahabat, walaupun hati ini bercelaru dengan masalah. aku cuba berkata-kata yang menyenangkan semua, walaupun jiwa ini masih mencari tempat untuk mengadu... aku rasa seperti mahu lupakan sedikit tanggungjawabku, dan fokus kepada sedikit daripadanya.. bolehkah aku berbuat begitu???

Tanggungjawab; ianya satu benda yang aku kena tanggung, dan kena jawab. Jawab ku bukan di dunia, tapi di hadapan Allah kelak. Kalau aku melepaskan tanggungjawab, bagaimana aku ingin menjawabnya, tatkala mulutku dikunci, dan tanganku akan berbicara, kaki akan bersaksi ke atas segala yang aku kerjakan.... siapapun ketika itu; peguam yang petah berbicara, hakim yang suka menghukum, pemimpin yang bijak merancang, bila bertemu dengan janji Ilahi, siapa yang mampu menghalangnya???

Dahulu, aku sempat untuk bermain komputer, sempat untuk menonton televisyen, sempat untuk membelek-belek buku santai, tapi semua itu telah tawar di hatiku. Sampaikan aku berasa sakit hati bilamana melihat rakanku bermain komputer sampai lewat malam. Mana tak sakitnya, alangkah baiknya kalau waktu itu diisi dengan membaca nukilan Ustaz Fathi Yakan atau mungkin Al-Maududi, ataupun memaniskan bibir dengan zikruLlah, ataupun melakukan sesuatu yang paling tidak memberi manfaat kepada diri???maafkanku jika ada yang terasa.

aku juga perlu muhasabah diri. Memang tidak dinafikan, setiap kita ada kelemahan masing-masing. Cuba yang membezakan, sama ada kita sedar ataupun tidak. Kalau nak disenaraikan kekurangan yang ku ada, mungkin jenuh nak menulisnya. Mungkin orang melihat aku malas, tapi aku perlu gunakan kerajinanku untuk sesuatu yang lebih penting lagi. Mungkin mereka melihat ku mengantuk sepanjang masa, tapi aku gunakan kesegaranku untuk ku isi tanggungjawabku terhadap Penciptaku...

Tak ingin lagi ku bazirkan masa ku dengan benda yang melaghakan, tak sanggup lagi ku tanggung perkara yang tidak sepatutnya kutanggung untuk kujawab dihadapanNYA kelak.. aku sudah tidak sanggup.. AstaghfiruLlah...Allah..Allah..

Aku teringat satu kata-kata:

”you are yourself when you are alone”

Bilamana kita berada bersama rakan-rakan yang lain, kita seolah-olah berlakon. Sedangkan bila kita berseorangan, akan melayang fikiran kita, berfikir tentang siapa kita di bumi Allah ini.. maafla, fikiranku agak buntu sekarang.

Aku tidak peduli sangat pendangan orang terhadapku, kupedulikan PANDANGANMU TERHADAPKU....

 

Permulaan, pertengahan atau pengakhiran??


Assalamu’alaikum

Menulis untuk menafsir kehidupan,

AlhamduLillah, akhirnya telah bermula semester baru pengajian saya di universiti. Setelah bercuti dan ‘berehat’ selama hampir 3minggu di rumah ayah saya. Ya, saya hanya hidup menumpang d rumah ayah saya, dan di universiti juga saya hanya menumpang di rumah kolej kediaman yang bukan hak saya, dan hakikatnya saya hanya seorang hamba yang tidak punya apa2, hidup menumpang di tanah dan udara ALLAH, tanpa dikenakan sebarang bayaran pun. Kalaulah dikenakan bayaran, mau pinjam dengan Ah Long lah jawabnya. Shukur Alhamdulillah…

hampir 3 minggu di rumah bukanlah satu tempoh yang lama, bahkan tak puas rasanya bila dapat balik ke pangkuan bonda. Salah satu nikmat dunia yang saya perolehi. Tak sempat nak rehat lama2, bahkan saya ingat lagi sebaik sahaja sampai rumah hari tue, akh taufiq terus sms kata ada nadwah kat sekolah. Tak sempat nak jumpa abah ummi yang bekerja, terus stat motor pergi sekolah. Tapi saya puas, puas hati dapat pergi memenuhi harapan(walaupun mungkin bukan harapan) urusetia. Kekadang, dapat jumpa mereka pun dah cukup memuaskan hati saya. Ukhwah tak dapat dilihat, hanya dapat dirasa manisnya.

Umi dan abah memahami, dan saya juga tidak mahu kepercayaan mereka terhadap saya dirosakkan. Walaupun pernah tidak pulang ke rumah,namun mereka memahami diri saya. Dan saya sendiri pun tidaklah melencong ke tempat lain, nak pergi jauh2 pun, motor pun dah uzur macam tuannya. Nikmat yang masih bertahan sampai hari ini, Masha Allah…

Macam yang saya katakan dahulu, cuti tempoh hari saya ada buat perancangan yang ringkas2, sekadar merangka perjalanan hidup. Maklumlah, kata orang semangat di awal semester ni. Sahabat saya pun ada bagitau ini menjadi permulaan yang baru baginya.
PERMULAAN??

Saya berfikir sejenak, adakah saya sendiri dalam peringkat permulaan hidup?? Ataupun saya sudah berada ditengah-tengahnya??
Bagaimana jika ‘this is the end of my life’?

Kekusutan saya terus diredakan dengan penawar hati :

“Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah dating ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).”
(mafhum surah Yunus, 49)

Sayyid qutb menguntaikan kata-katanya sekali lagi kepada saya :
“apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tapi jika kita hidup selain dari kita (fikrah kita), sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya dengan luputnya manusia di muka bumi ini”

Persoalannya bukan pada umur kita yang panjang, tapi pengisian dalam jangka umur kita itu. Apa guna jika umur panjang diisi dengan maksiat kepada Rabb?? Seorang sahabat nabi( Muadz tak silap saya), dapat merasai nikmat iman dan islam hanya 6 tahun, tetapi di saat kematiannya, bergegar langit Allah, kerana malaikat yang merintih pemergian sahabat yang mulia itu. Subhanallah….

Tidak perlu kita risau mengenai angka yang ada pada diri ini, yang tetap akan bertambah walaupun disekat. Apa yang penting, sentiasa BERSHUKUR, BERUSAHA dan BERINGAT; shukur apa yang ada sekarang ini, berusaha untuk yang lebih baik, dan beringat-ingat dalam setiap langkah.

Farid hadhari pula berkata :
Bagiku, tidak perlu kusibukkan dengan pengakhiran (kematian) yang elok, ataupun permulaan yang sempurna, tetapi apa yang berlaku di antaranya. Akhir itu urusan ALLAH, mula itu singkat sahaja,namun diantaranya adalah tawakal dan ikhtiarku...

~sekadar menghilangkan sedikit kekusutan di perjalanan…

3-12-2008

5 Dzulhijjah 1429H
12.32 AM-kksi
 

tidak seperti yang kusangka...

Assalamu’alaikum wa ahlan wasahla...

Menulis untuk menafsir kehidupan..

Aku teringat semasa di bangku sekolah dahulu, di tingkatan 5, aku mengambil subjek Add Math untuk diisi di dalam slip SPM ku. Subjek yang agak menggerunkan. Bukan kerana spesies ni makan orang, tetapi orang kata ‘makan otak’ nak menjawabnya. Ma’lumlah, dah tak suka, memang alasan yang dikemukan dahulu. Yang menarik perhatianku, pabila masuk tajuk ‘probability’;ataupun istlah melayunya kebarangkalian. Menarik, math juga ada kebarangkalian untuk mendapat sesuatu jawapan. Tapi apa2pun, formulaya dah ku lupa.

Namun, yang ingin aku kata kan mengenai kebarangkalian, bukan lah berdasarkan formula Add math ini. Tetapi, ‘kebarangkalian’ ini memang berkait rapat dengan ‘sangkaan; tapi mungkin kedua-duanya sama. Maafla kepada ahli bahasa, penulisanku ini tidak sempurna, sekadar lontaran idea dalam minda, dan ku pohon hidayah daripada Ilahi…

Sangkaan; seringkali kita membuat pelbagai sangkaan dalam hidup kita, baik dalam pelajaran, sahabat, teman, musuh, makanan, dan selebihnya. tidak dinafikan, sangkaan kita kadang-kadang tepat. Tetapi dengan adanya perkataan ‘kadang-kadang’, menafikannya ‘sentiasa’ itu. Tepat sekali, sangkaan kita kadang2 betul, dan kadang2 salah, malah mungkin sentiasa salah. Memang sangat kasihanlah bagi mereka yang sebegitu rupa. Namun kita sering mengharapkan sangkaan kita itu sentiasa tepat.

Aku juga tidak nafikan, kadang-kadang sangkaanku tepat, dan ada kalanya meleset. Dan banyak kali aku berbual, dan terbitlah perbualan tentang sangkaan ni.
“ana ingatkan dia tu baik orangnya, rupa-rupanya lebih kurang aku jer”
“aku ingatkan nasi rm3.50, tapi hari ini rm4 la pulak…”
“kawe ingat demo demam, tapi hari ni segar “
“…kusangka hujan sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari…”


pelbagai sangkaan yang dibuat. Sekarang, aku nak view from Islamic view pula. Tapi bukanlah secara menyuluruh, sedikit sahaja. Sangkaan, atau kita panggil sebagai presepsi, dan arab sebut ‘dzan’ adalah sesuatu yang fitrah. Hidup memerlukan kepada dzan, kerana ulama menyebut semua perkara jatuh pada taraf ‘dzan’, tidak pada’yaqeen’, kerana yaqeen itu jika ianya terdapt pada nas yang sarih sahaja. Adapun pada hukum dzan, kita boleh beramal padanya.

Merujuk pada situasi sekarang, secara mikronya dalam lingkungan hidup aku, memang terlalu banyak sangkaan yang diucapkan. Tapi apa yang kuterkilan, terlalu banyak sangkaan buruk dari yang baik , yang kusendiri dengar dan sering juga ku ucapkan.. AstaghfiruLlah, aku akui, takkan ku hendak berbohong pada diri sendiri. Namun, sudah terang lagi bersuluh telah dinyatakan dalam Al-quran tentang larangan bersangka buruk pada orang, dan kita akui tiada hukum yang lebih baik dari KitabuLlah.

Husnu Dzan; itulah yang sering kali ku tegur diri yang fakir ilmu ini. Kucuba dalam setiap aspek, dan kucuba tanamkan dalam diri mereka yang sekellingku. Ku cuba selagi yang termampu. Motivator menyebutnya ‘think positive’, dan memang kajian kata itu dapat menghilangkan keserabutan dalam kepala. Dan hikmahnya ternyata banyak, adapun kita yang bersangka baik pada orang yang baik, kita di pihak yang betul, pahala pun dapat. Namun, bersangka baik pada orang yang ‘kurang baik’, itu tidak pernah merugikan kita malah menguntungkan kita. SubhanaLlah….Indah ketetapan Allah…namun ada yang masih ‘buta’ tapi ‘celik’ tentangnya…



~Aku terfikir, bolehkah kita ‘husnu dzan’ dalam formula matematik??

3-12-2008
5 Dzul Hijjah 1429H
kksi
 

Ke pangkuan Bonda…




suasana mendamaikan hati.....


Assalam awwalu kalam,

Bismillah,

Menulis untuk menafsir kehidupan…

Hampir seminggu lamanya saya berada di pangkuan 'bonda' tercinta, ibunda dan juga Kelantan yang ku sayangi. Setelah lama berada di luar sana, akhirnya saya balik ke 'kubu pertahanan' untuk mengembalikan 'tenaga' dalam diri, kerana perjalanan & perjuangan di luar sana masih belum berakhir. Begitu letih berada di luar sana, kadang-kadang rasa terpinga-pinga menghadapi 'racun' yang datang dari segenap arah. Lega bila dapat pulang kembali, walaupun sedikit 'terluka', namun saya melihatnya sebagai satu pedoman, agar tidak terkena lagi kemudian hari..

Apa yang saya madahkan ini???

Sebenarnya, tidaklah seteruk yang digambarkan. Menghadapi hari-hari yang indah di perantauan, satu kenangan yang indah bagi diri saya. Banyak yang dapat saya pelajari ketika berada di luar sana. Namun seperti yang saya katakan, berada di Kelantan lebih melegakan diri saya, kerana 'tenaga' dapat saya kumpulkan di sini. Kalau di sana, susah untuk mendekati para ulama, di sini menjadi kebiasaan penduduk untuk keluar beramai-ramai, meraikan majlis ilmu di Dataran Ilmu Kota Bharu, yang dikenali sbg tempat 'tadahan wahyu' pada setiap pagi jumaat. Diisi dengan variasi kuliah seawall 8.30 pagi (fiqh sirah, fiqh 4 mazhab), diikuti dengan kuliah tetap oleh Tuan Guru Nik Aziz pada pukul 9.30 pagi. Permulaan yang barakah pada hari yang barakah.


Banyak juga 'ubat' dari 'peluru' yang saya dapat di sini. Dengan lokasi rumah yang tidak jauh dari masjid, dan berdekatan dengan Kolej Islam Sultan Ismail (KIAS)nilam puri, suasana yang begitu mendamaikan jiwa yang memandang. Dapat juga saya bertemu ustaz-ustaz dalam perkongsian saya dengannya tentang suasana saya di luar sana. Konklusinya, hati ini dapat merasakan perbezaannya. Saya ingatkan diri ini yang lebih-lebih, namun sahabat yang lain juga berkata sedemikian rupa.

Pernah sahabat saya berkata "*suko la raso boleh balik smula, bezo do oh kalu dok lua nga sinih. Nok cari pondok mudoh, zuk isle tu molek sini la. Kalu dok sano, nak kno cari dulu mano tempak ngaja supo tok guru, tapi balik klate gak, sero selamak jah jiwo nih..haha"

Siapa yang tak rasa damai bila kembali ke pangkuan 'bonda'??

Namun, pada saya, melihat keadaan dari sudut yang lain kerana apa yang saya pegang, "apa yang ALLAH lakukan tiada yang sia-sia, pasti ada hikmah di sebaliknya.."'

see things in positive think.. bila difikirkan, memang banyak yang saya pelajari dengan 'racun' tersebut, kerana ada juga sebahagiannya 'madu' yang manis ditelan…

semester yang kedua akan tiba, apa yang akan berlaku di sepanjang perjalanan, saya pun tidak tahu lagi. Namun, mengagak memang menjadi perkara yang perlu, supaya perjalanan akan lebih elok dari seblumnya. Bukankah mu'min itu sentiasa baik dari ke hari???

Teringat seorang kawan menghantar mesej kepada saya

Salam, brothers, sisters and frends…

Tambah baikkan kekuatan,

Pulihkan kelemahan &perbaiki kesilapan kita 4 da next sem…

I don’t want to see u again,

I just hope to see a BETTER u…

Merancang perjalanan, supaya keredhaan sentiasa dicapai di setiap liku perjalanan…

*seronok dapat balik kelantan, suasana sangat berbeza berbanding dengan di luar sana..nak pegi pondok senang, biah islamiah dapat dirasai di sini. bila kat luar, kena cari kuliah yang macam tok guru punya, tapi klau kat sini, tenteram je rasenye..haha

22 Dzulkaedah 1429H/20 november 2008

12.24 pagi

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger