Latest Post

Harga sebuah biah.

Assalamualaikum…

Menulis untuk menafsir kehidupan..

AlhamduliLlah, hampir 4 hari saya masih lagi dapat menghirup udara di bumi kelantan ini, masih lagi diberi kesempatan untuk hidup merasai nikmat Allah di dunia ini. Sudah 4 hari juga saya sudah tidak dapat melihat wajah-wajah sahabat yang berada di pelosok negeri, baik dari barat, utara, selatan mahupun timur. Sudah 4 hari juga saya tidak bergurau senda dengan housemate dan roomate saya yang saban hari kerja kami berkelahi sahaja..haha. berkelahi cara sahabat, anda pasti merasainya juga. Namun, dengan teknologi serba moden ini, perhubungan masih lagi bertaut dari satu sms kepada satu sms. Walaupun tidak bersua, namun kuasa teknologi memungkinkan ikatan persahabatan agar lebih utuh.

Jejak sahaja di rumah sewaktu saya mula-mula sampai, pelukan adik yang manja dan kucupan mesra di pipi begitu menghangatkan hati yang kedinginan lamanya untuk menerima semua itu. Adikku sentiasa begitu, walaupun ini lah abang yang sentiasa memarahinya dahulu, sentiasa menegurnya dan pernah sesekali kemarahan saya di cabarnya,namun sifat seorang adik terhadap abang sentiasa ada dalam dirinya. Umi memberitahu saya keputusan peperiksaannya menurun mutakhir ini, dan dia juga selalu menghadap laptop melayan permainan komputer bersama adikku seorang lagi. Itu yang membimbangkan hati seorang ibu. Sebagai seorang abang, saya juga tidak mahu melihat adik terus seperti itu. Bukan keputusan peperiksaan yang menjadi kebimbangan utama saya sekarang, cuma persoalan sikap seorang kanak-kanak dalam menempuhi kehidupan sehariannya, dan ini juga yang menatijahkan kecemerlangannya dalam bidang akademik.


Teringat zaman kanak-kanak saya dahulu. Banyak yang saya terokai dan alami. Saya hidup dan membesar di kawasan kampung, namun kemudahan semuanya serba lengkap. Saya suka bermain basikal dan bola bersama jiran-jiran dahulu, walaupun kaki saya ini lebih kurang kaki bangku, namun kekuatan otot dan badan menjadi kelebihan untuk berada di posisi pertahanan. Habis sahaja bermain bola, tali air menjadi stesen kami seterusnya. Tersenyum sendirian saya apabila mengenangkan sahabat dulu yang membuat akrobatik. Sekali jatuh, bedebob bunyinya. Maklumla, badannya bukan kecil.

”Ini tanah kita”
Datuk saya yang saya bahasakan tok ayah sering membawa saya melawat ke kebun kami waktu ketika dahulu. Waktu itu, saya berumur sekitar darjah 3-4 tak silap. Sebenarnya, saya memang tidak suka ke kebun, kerana tiap kali di ajak ialah waktu kartun kegemaran saya bersiaran di t.v. aduh, memang cukup malas rasanya. Tetapi, satu kuasa telah menggerakkan hati saya untuk tetap juga ikut tok ayah; rasa hormat dan sayang. Itulah kuasa yang dididik abah dan umi kepada saya dan saya amat-amat menghargainya.

Biasanya tok ayah akan membawa chok(cangkul) dan saya membawa golok kecil, manakala tok wan akan membawa bekalan makanan. Tok ayah memang gagah, sekali diangkat cangkulnya, terbenam jauh ke dalam tanah. Saya pula, sekali saya hayunkan golok kecil itu, sehelai lalang tumbang.. kudrat saya apalah sangat masa itu. Kami ada sebuah pondok tempat berehat bila semua kerja telah selesai. Ketika berehat, atuk akan menunjukkan kawasan dan sempadan tanah kami. Berbekalkan akal kebudak-budakan ketika itu, hanya mengangguk sahaja yang saya mampu buat.

”dari pokok itu menghala ke arah sana, itu kawasan kebun kita. Sebelah sana, itu ayah long yang punya. Yang sebelah sana pula menghampiri ke sungai, haa tu kita punya”

Ditunjuknya kepada saya sempadan itu sempadan ini, saya keliru jadinya. Tapi saya amat berterima kasih kepada tok ayah. Dari kecewa meninggalkan t.v tadi menjadi suka kerana mendapat ilmu baru. Saya mengenal cangkul, golok, parang, dan segalanya dari tok ayah. Saya pandai bertukang pun dari tok ayah. Saya amat bersyukur dan gembira waktu kecil dahulu. Persekitaran banyak mendidik saya mengenal dunia sekitar saya. Padang sekolah dahulu yang mengajar erti persahabatan. Kebun dahulu mengajar kehidupan dan kemahiran. Indah suasana itu.

Namun semua itu hampir kabur sekarang.

Erti sebuah biah

Sekarang, kebun kami telah tiada. Tidak silap saya, tanah itu dijual kerana tiada siapa yang hendak mengurusnya. Tok ayah pun sudah tua untuk mengurus semuanya. Sudah lama perkara itu berlalu. Kadang-kadang, saya rindu bau kebun dahulu. Saya rindu untuk berehat di pondok dahulu sambil menghirup udara yang segar. Saya juga teringin mandi di ’kolam renang’ kami dahulu. Namun, sekarang ini semuanya sudah kabur. Suasana itu sudah tiada lagi. Kanak-kanak sekarang sibuk mengasah pedang dalam permainan komputer, berbanding saya dahulu yang ralik(asyik) mengasah golok kecil. Kanak –kanak sekarang suka membaca komik berbanding kanak-kanak dahulu yang mengayuh basikal untuk pergi membaca al-quran di hadapan ustaz mereka.

Inilah erti sebuah biah.
Dengan biah semasa saya kecil dahulu, memberi sedikit sebanyak kesan kepada saya sampai sekarang. Sikap hormat, tolong-menolong semua itu terbina daripada biah dahulu. Biah yang membantu saya dahulu. Akan tetapi, biah sekarang bukan membantu, malah membantutkan masyarakat.

Saya tidak mengatakan suasana dahulu terbaik, dan saya bukan ingin menafikan kebaikan teknologi sekarang yang membantu. Namun, saya rasa ramai dapat merasakan suasana sekarang membantut beberapa aspek penting dalam masyarakat. Tengok sahaja sejarah, biah memberi kesan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Keupayaan Ibn Sina untuk menghafaz al-quran sewaktu usianya setahun jagung adalah kesan daripada biah di buhaira dahulu yang diselaputi ilmu. Kecerdikan Al-Imam As-Syafie sehingga mampu memberi fatwa ketika umurnya 20 tahun dibantu biah islamiyyah dan ilmiah yang subur dahulu. Itulah biah yang membantu manusia menjadi manusia.

Bagaimanakah keadaan biah sekarang?? Adakah ’konsert amal’ dengan artis yang ’tak beramal’ namun meriah dapat membentuk generasi rabbani yang dilaungkan?? Adakah Jom Heboh dapat menerap nilai islam yang syumul dan betul?? Adakah rancangan televisyen yang memaparkan kehidupan yang hitam dan jelik serta pelakon yang hanya memakai secebis pakaian menutup aurat mengikut mazhab barat, mampu memberi ’impak positif’ dan ’pengajaran yang baik’ kepada masyarakat???

Kalau sudah acuan berbentuk empat segi, jangan dimimpi kuih bentuk bulat.
Kalau sudah banyak lubang pada baldi, tukar saja baldi baru. Tak payah nak tampal. Bazir masa sahaja.

Bak kata nabil, ’lu pikirlah sendiri..’
 
assalamualaikum...

menulis untuk menafsir kehidupan...

tinggal sehari lagi bagi diriku...

sehari berada di sini...

melihat wajah rakan-rakanku, aku kesedihan...

namun, apakan daya, aku terpaksa pulang jua..

PULANG KE PANGKUAN BONDAKU....

~hampir 5 hari sudah aku menamatkan imtihan nihaie (final exam) di USIM. namun, aku masih lagi belum pulang ke rumah atas sebab-sebab yang munasabah. maaf sekali lagi aku tujukan buat kakak kesayanganku kerana tak sempat untuk mengupdate blog si fakir ini dengan jayanya, atas sebab-sebab yang kurang munasabah... maaf ye..

sudah agak lama aku tidak pulang ke rumah, maklumlah hidup nak berjuang ilmu ini perlu kepada pengorbanan, walaupun apalah sangat diriku ini yang hanya bermusafir di negeri sembilan untuk menimba ilmu seberapa yang ku mampu. namun, perpisahan dengan bonda dan ayahanda sedikit terkesan hibanya dalam hati ini, juga menjadi perangsang untuk terus belajar seterusnya dapat menunaikan hak-hak aku sebagai anak.. terima kasih buat bonda dan ayahandaku..

"akhi, tak balik lagi ke?? dah lama abis exam kan??"
" tak lagi, sesaje jer.. nak dok lama sikit..temankan korang juga..hihihi"
"ala, kenape tak balik lagi, baliklah cepat-cepat sikit" sahabatku bergurau denganku..

sahabat tamhidi akaun dan sains belum lagi menamatkan perjuangan mereka di medan peperiksaan. mereka bertungkus lumus untuk menghadapi peperiksaan di saat-saat getir ini, sampai pukul 3 pagi mereka study..aduh, semangat betul diaorang..bak kata seorang ustaz, "masih ada peluang untuk bertaubat di saat akhir.." sinis bunyinya, kerana ini ditujukan bagi pelajar-pelajar yang suka study last minute..aduh, terguris sikit di hati ini.. aku juga seangkatan dengan golongan ini.harus ku akui, memang salahku di sepanjang perjalanan semester kedua ini tidak begitu bersungguh-sungguh dengan pelajaranku, dan aku tak salahkan kerja-kerja lain yang menghempap diriku.
Benarlah kata-kata al-ghazali, yang paling berat itu ialah AMANAH... tapi itu tidak harus ku jadikan alasan, kerana sekali alasan ditimbulkan, maka seribu satu alasan akan menjelma tiap kali perkara yang baik yang ingin dilakukan.

ketekunan pelajar dapat dilihat di saat-saat getir yang ku katakan tadi, alhamdulillah ada juga kesedaran..namun, sedikit terkilan pabila semua itu pada setelah peperiksaan telah pun habis.

" nak pergi mana tu??"
"insya allah, nak pergi library jap.."
"aik, kan exam dah abis??"
"dah tu, takkan la sebab exam dah abis, tak leh pegi library??"

pelik. aneh. dan keliru.

tatkala aku ingin teruskan perjuangan ilmu aku, ada yang bertanyakan sebegitu rupa. seolah-olah membaca ini terhad untuk peperiksaan sahaja. Maka selepas peperiksaan, semua ketekunan, kerajinan, kesungguhan hilang begitu sahaja. usahkan buku, nota pensyarah pun diletak merata-rata.

maka tidak keterlaluan jika saya katakan, exam sekadar 'sebuah suis'.

bila di'on'kan suis ini, maka segala jenis peralatan dapat berfungsi. eletrik dapat dialirkan kepada peralatan. Tidak berfungsi peralatan yang serba canggih sekalipun, tapi suisnya tidak dipasang atau di’on’kan. Semuanya terletak di suis. Hebat sungguh suis ini kan??

Perkara seperti ini tidak patut berlaku kepada mahasiswa, sekalipun kita semua telah tamat final exam, namun semangat menuntut ilmu mesti diteruskan. Kalau tidak, jangan pernah gelar diri anda mahasiswa muslim. Peperiksaan bukan suis, sekadar pelincir kepada daya fikiran mahasiswa untuk belajar dan berjuang dengan ilmu yang dimiliki.

Apa-apa pun, semester akhirku di tamhidi syariah dan undang-undang telah pun tamat. Namun, terlalu banyak lagi ilmu tidak kuhadam dengan baik. Cuti 2 bulan ini perlu aku gunakan dengan sebaik-baiknya, supaya telaga fikiranku diisi dengan limpahan ilmu yang suci dan jernih, dan dapat kucucikan dari segala kotoran dunia yang berkarat. Ku pohon padamu ya Allah, agar tetapkan pendirianku di atas agama Islam yang haq ini, Islam yang dibimbing dari mazhab aqidah as-syaerah dan maturidiyyah, dan mazhab fiqh yang empat yang masyhur..

Seperti kata sahabatku, teruskan bicaramu….

22-04-2009
Kksi.
 

belajar dari 'syajarah'....

Menulis untuk menafsir kehidupan...



Meniti hari demi hari dalam kehidupan di dunia ini, tidak salah kiranya kita menoleh kebelakangan. Menoleh bukan untuk berhenti dan kembali ke zaman itu, tetapi untuk meneliti liku-liku kehidupan yang telahpun dilalui, sebagai panduan dan pedoman. Walaupun mungkin sudah kabur pada penglihatan dan ingatan kita, namun ia tetap segar pada ‘penglihatan’ dan ‘ingatan’ Pencipta kita.


Teringat saya kepada zaman persekolahan saya dahulu, yang mana antara subjek yang saya agak meminatinya iaitu subjek sejarah. Saya masih lagi ingat satu bait perkataan yang sering diulang-ulang dalam buku teks tersebut :


“Those who cannot remember the past are condemned to repeat it....”


Walaupun sejarah agak membosankan bagi sestengah pelajar, namun pada saya sejarah amat penting. saya tidak nafikan diri ini juga beberapa kali tertidur semasa guru asyik dengan kata-katanya dihadapan. Cuma pada pandangan dangkal saya, sejarah patut dilihat dari sudut fiqh sejarah, bukan kepada penceritaannya sahaja. Itulah yang penting dalam memahami sejarah.

Tetapi, bukan sejarah yang saya ingin coretkan pada penulisan kali ini. Jauh sekali dari sejarah, hanya dekat dari segi ejaannya sahaja.


SYAJARAH; atau dalam bahasa melayu disebut sebagai POKOK. Dalam bahasa inggeris disebut tree, dan apa-apa bahasa yang sama waktu dengannya. Jadi, ada apa dengan pokok sebenarnya??


Permulaan yang baik bagi sebatang pokok terletak pada benihnya yang baik. Sudah tentu seorang yang bijak akan memilih benih yang baik untuk ditanam. Benih yang baik perlu ditanam dalam tanah yang baik, supaya boleh bercambah dengan elok nanti. Sesudah itu, apa yang perlu kita lakukan untuk memastikan benih itu bertambah dengan baik?? Pada asasnya, benih memerlukan kepada air, baja, cahaya matahari yang secukupnya serta peredaran angin yang elok untuk memastikan benih tersebut dapat bercambah dengan elok. Inilah mekanisme yang perlu kita ambil perhatian supaya benih tadi dapat hidup dengan ‘sempurna’.

Bermula dari benih tadi, akarnya mula bertunjang meluru ke dalam tanah. Setelah beberapa peringkat, pucuk pertama mulai terbit. Dari masa ke masa, kita mengharapkan akan tumbuhnya batang, daun, bunga dan buah yang elok nanti. Itulah pengharapan kita. Itulah matlamat kita. Akan tetapi, hasilnya tidak seperti

yang kita gambarkan. Kenapa perkara sedemikian berlaku??


Kalau kita lihat dari zahirnya, semuanya sudah elok,-batangnya cukup baik, daunnya tumbuh sehelai dua, akan tetapi kita perlu perhati secara keseluruhan, iaitu keadaan AKARNYA. Rupa-rupanya akarnya telah dirobek serangga perosak, ataupun tidak dapat mencengkam tanah dengan baik, ataupun mungkin tidak mendapat mekanisme yang sempurna. Bagaimana mungkin pokok itu akan menghasilkan buah yang elok, bunga yang cantik, daun yang menghijau jika akarnya sudah rosak, ataupun rosak teruk??


Habis sudah sesi analogi, berbalik kita kepada realiti sekarang.


Benih itu merupakan insan dan manusia itu sendiri. Manakala tanah yang saya maksudkan itu merupakan ISLAM. bersyukur kita, kerana kita ‘benih’ yang baik telah ditanam pada ‘tanah’ yang baik. Tetapi tiada guna jika tanah(ISLAM) sahaja yang elok jika tidak diberi mekanisme yang yang sempurna : iaitu TARBIAH ISLAM YANG SYUMUL. Dalam penjagaan ‘pokok’(manusia) itu tadi, apa yang paling penting penjagaan terhadap apa yang tertanam di dalam tanah tadi, iaitu AQIDAH KEPERCAYAAN YANG HAKIKI. Sekali lagi saya tekankan, apa yang penting ialah penjagaan kita terhadap akar tadi, iaitu AQIDAH KEPERCAYAAN YANG HAKIKI. Dari sini akan menumbuhkan ibadah yang sempurna, akhlak yang terpuji dan secara yang baik terpancar,-bermula dari AKAR tadi.



AQIDAH ialah perkara utama yang perlu dijaga. Jangan kita mengharapkan akhlak yang baik, jika pegangan AQIDAH kita goyah dek kerana bermacam perkara sekarang, seperti ‘serangga’ perosak yang cuba mengigit dari dalam diri manusia muslim. Ia perlu kepada penjagaan yang berterusan dan sempurna, dan bagaimana cara untuk kita mengetahuinya tidak lain ialah dengan kembali kepada buku panduan yang telah disediakan; AL-QURAN DAN AS-SUNNAH YANG SAHIH. Bertanyalah kepada pakar-pakar(ulama) untuk mengetahui dengan lebih mendalam.


Belajarlah dari pokok, untuk menilai diri kita, menilai cara dakwah kita, menilai pemikiran kita. Tidak ada gunanya jika seorang yang ibadahnya begitu banyak akan tetapi aqidahnya bercelaru. Fikir-fikirkanlah..


Jika guru berpesan supaya belajar dari sejarah, saya bawakan belajarlah dari syajarah(pokok).

Apa yang baik dari Allah, yang kurang dari kelemahan diri sebagai hamba yang hina.

 

Tahu, faqih, iman (2)

Assalamualaikum warahmatullah

Menulis untuk menafsir perjalanan....

Menyambung tulisan saya mengenai perkataan TAHU yang telah saya cuba bawakan pada posting yang dahulu. Tahu merupakan satu permulaan yang penting dalam mencapai beberapa perkara yang lebih penting, khususnya bagi seseorang muslim. Bahkan, bukan muslim juga mampu untuk sampai kepada satu peringkat yang tinggi sedikit daripada peringkat TAHU sahaja.

Suka saya untuk mengfokuskan TAHU ini kepada skop ilmu, dan jangan pula kita mengecilkan dimensi ilmu itu yang berkisar pada coretan penulisan atau syarahan semata –mata. Mengetahui sesuatu khususnya dalam ilmu cukup menyenangkan sanubari para pecinta ilmu. Sama seperti saya, saya menjadi senang apabila ada yang ingin berkongsi ilmu dengan diri yang serba kerdil ini.mudah-mudahan, diri kita masih tergolong dalam golongan yang nabi unjurkan; orang yang tahu, orang yang belajar untuk tahu, orang yang mendengar akan ilmu, atau orang yang cinta akan ilmu.

apabila kita cuba untuk mendalami sesuatu ilmu itu, maka lahirlah satu peringkat yang tinggi daripada sekadar tahu,-FAQIH.Terdapat perbezaan antara TAHU dan FAQIH. Tahu merupakan peringkat kita meMAHAMI sesuatu, tetapi FAQIH ini melahirkan keFAHAMan yang lebih mendalam. Sebagai contoh, orang yang tahu agama, kita panggil sebagai ulama. Adapun pada mereka yang tahu dengan mendalam, dan faham dengan sebaiknya, maka kita panggil sebagai fuqaha. Terdapat perbezaan antara keduanya dari segi keilmuan mereka. Sama seperti saya yang hanya tahu mengenai beberapa perkara, berbanding dengan insan yang lain yang sarat dengan keilmuan dan kefaqihan mereka terhadap perkara yang saya hanya mampu TAHU sahaja.

Bagaimana pula dengan IMAN???

Inilah antara perkara utama yang saya ingin timbulkan, tatkala ia tenggelam dalam bah kejahilan masyarakat sekarang. Bermula daripada TAHU, beralih kepada FAQIH dan akhirnya mencapai tahap yang paling bernilai, IMAN... kenapa saya katakan demikian???


Ketahulah, bahawa tiap-tiap sesuatu yang kita lakukan pasti punyai matlamat tertentu. Dan pada landasan yang betul yang saya cuba kongsikan, matlamat kita TAHU sesuatu terutama dalam bab ilmu ialah untuk menambah IMAN dalam diri kita. Sekali lagi saya katakan, matlamat ilmu itu untuk bertambahnya IMAN kita. Jadi, setiap ilmu yang kita tuntut tapi tidak berhasil menambahkan iman dalam diri, maka tidak selayaknya ia dipanggil ILMU. Inilah yang saya katakan tadi, satu benda yang makin tenggelam dalam lapangan masyarakat, mengenai hakikat ILMU yang sebenar.

Akan tetapi, barangsiapa yang bertambah ilmu dalam dirinya dan bertambah juga cintanya kepada dunia serta isinya, maka tiada tambah pada dirinya melainkan bertambah jauh dia dari ALLAH... ini bukan sekadar renungan, tapi perlukan kesedaran...

Jika dilihat dari konteks al-Quran, Allah mengaitkan antara TAHU, FAQIH & IMAN. Bermula daripada mengetahui akan timbul kefahaman mendalam mengenai Kebesaran Kekuasaaan Sang Pencipta. Lantas, lahirlah KEIMANAN dalam diri seseorang.


Iman merupakan tahap yang diidamkan dalam diri muslim, kerana golongan inilah yang punyai ‘tiket’ masuk ke Syurga nanti.

 

kenapa kita perlu solat????

Assalamualaikum...

menulis untuk menafsir kehidupan...

saya sedikit kurang sihat sekarang. Nak tidur, tak rasa mengantuk pula. Laptop saudara saya pula ditinggalkan di dalam bilik. Daripada tiada orang guna, lebih baik saya gunakan sebentar. Mengisi masa lapang adalah tuntutan yang perlu saya lakukan sentiasa. Kerana salah satu nikmat telah ditarik sementara waktu-KESIHATAN saya. Namun, saya masih lagi punyai satu nikmat yang masih lagi bersama saya-MASA LAPANG. Dan kedua-dua nikmat ini telah diucapkan baginda s.a.w, mafhumnya :

“dua nikmat yang seringkali dilupakan (menjadi leka) oleh kebanyakan manusia:- KESIHATAN DAN MASA LAPANG...”

Itulah kebanyakan manusia sekarang, suka me’lapang’kan masa yang lapang itu. Apapun, saya hanya ingin mengingatkan sahabat sekalian, bukan niat untuk menyinggung perasaaan. Setidak-tidaknya, anda membaca posting blog yang membina pemikiran kritis anda semua; dan sudah tentu bukan blog saya...hihi..

Pernah saya mengikuti satu seminar. Walaupun bayarannya sedikit mahal, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan ilmu yang saya dapat. Pelbagai soalan dan persoalan yang dilontarkan, dan dilontar pula kepada kami dengan jawapan yang begitu memuaskan. Ingin sekali saya berkongsi dengan anda sekalian. Antara soalan yang menarik ialah:
Kenapa kita perlu solat???

Akuilah, jika soalan ini yang ditanyakan kepada kita, mungkin agak terketar-ketar untuk menjawabnya. Masakan tidak, ada yang solat selama ini, tetapi tidak mengetahui sebab kenapa perlu solat. Bukanlah semua, cuma bak kata Allahyarham P.Ramlee, ‘kadeng-kadeng’. Kalaupun tidak ada yang bertanya, tanyalah kepada diri sendiri kenapa perlu kita solat???

Andai kata sahabat sekalian punyai kawan bukan islam bertanya soalan yang sedemikian rupa, apa yang dapat anda katakan??

“kamu semua tidak fikirkah, solat sebenarnya menyusahkan kamu. kamu perlu bangun pagi-pagi untuk solat subuh, walhal waktu itu ialah ‘best time’ untuk kamu tidur. Kamu orang islam juga katakan, Allah itu Maha Kuasa, adakah Dia perlu kepada manusia??? Kenapa mesti ‘manyak’ kali dalam satu hari?? Tak boleh ke satu kali sahaja???pening2..” ni mungkin dialog yang akan diluahkan kepada kita.. bukan semua, kadang-kadang..

Ini yang saya ingin kongsikan, dan sama-sama fikirkan...



Kenapa kita perlu solat??? Sudah tentu ini ialah perintah dari ALLAH kepada kita. Dan sebenarnya, solat itu bukan untuk ALLAH, tetapi untuk diri kita. Maka, Dia tidak pernah sesekali berhajat kepada kita. Hakikatnya, ALLAH sayang kepada hambanya, lalu memberi perintah solat. Mengapa saya berkata demikian?? Kerana solat itu sebenarnya-
PETA UNTUK MANUSIA...

Analoginya, kalau diberikan satu peta kepada kamu. Peta ni memberi arah kepada harta karun yang begitu banyak. Jalannya panjang sekali, ke sana ke sini. Jadi kamu akan berpandukan kepada peta tersebut untuk sampai ke sana . baiklah, agak-agak berapa kalikah kamu akan melihat peta itu; satu kali atau ‘manyak-manyak’ kali?? Sudah pasti banyak kali. Lagi kerap kamu tengok, lagi senang laluan kamu ke sana. Akhirnya, dapatlah kamu bertemu harta tersebut...

Begitulah juga dengan solat. Solat sebenarnya satu PETA yang akan membawa kita ke jalan yang betul, dan bertemu dengan ‘harta karun’ yang hakiki. Oleh sebab itu, kita perlu solat lima kali sehari paling tidak, untuk kita melihat balik diri kita adakah kita menuju ke jalan kesesatan atau jalan yang betul.. lagi banyak kita solat, lagi pantas kita bertemu dengan cahaya iman. Tengoklah, begitu sayang ALLAH kepada kita, memberi peluang kepada kita untuk nilai diri sendiri dahulu, sebelum dinilai di Sana nanti. Kalau hendak dilihat realiti sekarang, orang yang banyak solatnya, adakah mereka ini melakukan jenanyah dan kekacauan kepada masyarakat?? Sekali lagi saya mengambil kata-kata P.Ramlee-‘jarang-jarang’ sekali..
Orang yang banyak melakukan jenanyah ialah mereka yang tidak solat, bahkan banyak membuat dosa. Tanyalah kepada mereka adakah betul dakwaan saya ini.

Justeru itu, agama islam amat menjaga umatnya, dan memerintahkan solat untuk diri seseorang muslim itu sendiri. Indah sungguh agama Islam.. indah sungguh Pencipta alam ini.. kasih sungguh Dia kepada kita...

Owh, indah sungguh agamaku....
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger