Harga sebuah biah.

Assalamualaikum…

Menulis untuk menafsir kehidupan..

AlhamduliLlah, hampir 4 hari saya masih lagi dapat menghirup udara di bumi kelantan ini, masih lagi diberi kesempatan untuk hidup merasai nikmat Allah di dunia ini. Sudah 4 hari juga saya sudah tidak dapat melihat wajah-wajah sahabat yang berada di pelosok negeri, baik dari barat, utara, selatan mahupun timur. Sudah 4 hari juga saya tidak bergurau senda dengan housemate dan roomate saya yang saban hari kerja kami berkelahi sahaja..haha. berkelahi cara sahabat, anda pasti merasainya juga. Namun, dengan teknologi serba moden ini, perhubungan masih lagi bertaut dari satu sms kepada satu sms. Walaupun tidak bersua, namun kuasa teknologi memungkinkan ikatan persahabatan agar lebih utuh.

Jejak sahaja di rumah sewaktu saya mula-mula sampai, pelukan adik yang manja dan kucupan mesra di pipi begitu menghangatkan hati yang kedinginan lamanya untuk menerima semua itu. Adikku sentiasa begitu, walaupun ini lah abang yang sentiasa memarahinya dahulu, sentiasa menegurnya dan pernah sesekali kemarahan saya di cabarnya,namun sifat seorang adik terhadap abang sentiasa ada dalam dirinya. Umi memberitahu saya keputusan peperiksaannya menurun mutakhir ini, dan dia juga selalu menghadap laptop melayan permainan komputer bersama adikku seorang lagi. Itu yang membimbangkan hati seorang ibu. Sebagai seorang abang, saya juga tidak mahu melihat adik terus seperti itu. Bukan keputusan peperiksaan yang menjadi kebimbangan utama saya sekarang, cuma persoalan sikap seorang kanak-kanak dalam menempuhi kehidupan sehariannya, dan ini juga yang menatijahkan kecemerlangannya dalam bidang akademik.


Teringat zaman kanak-kanak saya dahulu. Banyak yang saya terokai dan alami. Saya hidup dan membesar di kawasan kampung, namun kemudahan semuanya serba lengkap. Saya suka bermain basikal dan bola bersama jiran-jiran dahulu, walaupun kaki saya ini lebih kurang kaki bangku, namun kekuatan otot dan badan menjadi kelebihan untuk berada di posisi pertahanan. Habis sahaja bermain bola, tali air menjadi stesen kami seterusnya. Tersenyum sendirian saya apabila mengenangkan sahabat dulu yang membuat akrobatik. Sekali jatuh, bedebob bunyinya. Maklumla, badannya bukan kecil.

”Ini tanah kita”
Datuk saya yang saya bahasakan tok ayah sering membawa saya melawat ke kebun kami waktu ketika dahulu. Waktu itu, saya berumur sekitar darjah 3-4 tak silap. Sebenarnya, saya memang tidak suka ke kebun, kerana tiap kali di ajak ialah waktu kartun kegemaran saya bersiaran di t.v. aduh, memang cukup malas rasanya. Tetapi, satu kuasa telah menggerakkan hati saya untuk tetap juga ikut tok ayah; rasa hormat dan sayang. Itulah kuasa yang dididik abah dan umi kepada saya dan saya amat-amat menghargainya.

Biasanya tok ayah akan membawa chok(cangkul) dan saya membawa golok kecil, manakala tok wan akan membawa bekalan makanan. Tok ayah memang gagah, sekali diangkat cangkulnya, terbenam jauh ke dalam tanah. Saya pula, sekali saya hayunkan golok kecil itu, sehelai lalang tumbang.. kudrat saya apalah sangat masa itu. Kami ada sebuah pondok tempat berehat bila semua kerja telah selesai. Ketika berehat, atuk akan menunjukkan kawasan dan sempadan tanah kami. Berbekalkan akal kebudak-budakan ketika itu, hanya mengangguk sahaja yang saya mampu buat.

”dari pokok itu menghala ke arah sana, itu kawasan kebun kita. Sebelah sana, itu ayah long yang punya. Yang sebelah sana pula menghampiri ke sungai, haa tu kita punya”

Ditunjuknya kepada saya sempadan itu sempadan ini, saya keliru jadinya. Tapi saya amat berterima kasih kepada tok ayah. Dari kecewa meninggalkan t.v tadi menjadi suka kerana mendapat ilmu baru. Saya mengenal cangkul, golok, parang, dan segalanya dari tok ayah. Saya pandai bertukang pun dari tok ayah. Saya amat bersyukur dan gembira waktu kecil dahulu. Persekitaran banyak mendidik saya mengenal dunia sekitar saya. Padang sekolah dahulu yang mengajar erti persahabatan. Kebun dahulu mengajar kehidupan dan kemahiran. Indah suasana itu.

Namun semua itu hampir kabur sekarang.

Erti sebuah biah

Sekarang, kebun kami telah tiada. Tidak silap saya, tanah itu dijual kerana tiada siapa yang hendak mengurusnya. Tok ayah pun sudah tua untuk mengurus semuanya. Sudah lama perkara itu berlalu. Kadang-kadang, saya rindu bau kebun dahulu. Saya rindu untuk berehat di pondok dahulu sambil menghirup udara yang segar. Saya juga teringin mandi di ’kolam renang’ kami dahulu. Namun, sekarang ini semuanya sudah kabur. Suasana itu sudah tiada lagi. Kanak-kanak sekarang sibuk mengasah pedang dalam permainan komputer, berbanding saya dahulu yang ralik(asyik) mengasah golok kecil. Kanak –kanak sekarang suka membaca komik berbanding kanak-kanak dahulu yang mengayuh basikal untuk pergi membaca al-quran di hadapan ustaz mereka.

Inilah erti sebuah biah.
Dengan biah semasa saya kecil dahulu, memberi sedikit sebanyak kesan kepada saya sampai sekarang. Sikap hormat, tolong-menolong semua itu terbina daripada biah dahulu. Biah yang membantu saya dahulu. Akan tetapi, biah sekarang bukan membantu, malah membantutkan masyarakat.

Saya tidak mengatakan suasana dahulu terbaik, dan saya bukan ingin menafikan kebaikan teknologi sekarang yang membantu. Namun, saya rasa ramai dapat merasakan suasana sekarang membantut beberapa aspek penting dalam masyarakat. Tengok sahaja sejarah, biah memberi kesan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Keupayaan Ibn Sina untuk menghafaz al-quran sewaktu usianya setahun jagung adalah kesan daripada biah di buhaira dahulu yang diselaputi ilmu. Kecerdikan Al-Imam As-Syafie sehingga mampu memberi fatwa ketika umurnya 20 tahun dibantu biah islamiyyah dan ilmiah yang subur dahulu. Itulah biah yang membantu manusia menjadi manusia.

Bagaimanakah keadaan biah sekarang?? Adakah ’konsert amal’ dengan artis yang ’tak beramal’ namun meriah dapat membentuk generasi rabbani yang dilaungkan?? Adakah Jom Heboh dapat menerap nilai islam yang syumul dan betul?? Adakah rancangan televisyen yang memaparkan kehidupan yang hitam dan jelik serta pelakon yang hanya memakai secebis pakaian menutup aurat mengikut mazhab barat, mampu memberi ’impak positif’ dan ’pengajaran yang baik’ kepada masyarakat???

Kalau sudah acuan berbentuk empat segi, jangan dimimpi kuih bentuk bulat.
Kalau sudah banyak lubang pada baldi, tukar saja baldi baru. Tak payah nak tampal. Bazir masa sahaja.

Bak kata nabil, ’lu pikirlah sendiri..’
Share this article :
 

+ ulasan + 2 ulasan

April 28, 2009 at 6:20 AM

Insya-Allah sama-sama kita wujudkan biah solehah di Malaysia suatu hari nanti... Sahabatku.

*p/s: tak nak tengok ke wajah sahabat kt timur tgh ni? hehe.
Semoga thabat dalam perjuangan ini.

April 28, 2009 at 9:27 PM

salam... insya Allah, dan ana ingin memfokuskan kat biah di univ dahulu... dan nanti biah dalam keluarga sendiri pula ya akhi, bila dah kawin la.. (^^)

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger