Mahasiswa & Dakwah




Artikel ini disumbang untuk satu buletin Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). Pemanas setelah tinta maya sejuk beberapa bulan.

Konotasi mahasiswa menggalas pengertian yang sangat besar. Kalimah tersebut selangkah besar perbezaannya dengan perkataan pelajar, apatah lagi apabila dikacukkan perkataan mahasiswa dengan Islam. Mahasiswa Islam; semakin besar tugasan dan cabaran yang perlu dipikul oleh manusia muda yang memakai pakaian Mahasiswa Islam ini. Tugasnya bukan lagi untuk  membangunkan potensi dirinya sendiri, malah ia perlu membina dan membangunkan ummah yang kian lena khususnya mereka yang segolongan dengannya.

Kita sedia maklum dengan rentetan sejarah mahasiswa di Malaysia.  Di era 70-an, mahasiswa di Malaysia dilihat memaksudkan peranannya sebagai ‘jurubicara ummah’, ‘ejen perubahan’ dan sebagainya apabila mengangkat isu penduduk di Baling ke mata masyarakat umum. Beberapa isu-isu lain turut diperjuangkan oleh golongan mahasiswa sehingga ke isu pendidikan percuma dan kebebasan akademik. Setiap isu yang hangat akan diperjuangkan, samada secara diplomasi mahupun konfrantasi. 

Namun, adakah perjuangan mahasiswa ini hanyalah semata-mata isu? Maka, jika tiada isu ingin diperjuangkan, hilanglah laungan dan gema perjuangan seorang mahasiswa? ‘Semudah’ itukah prinsip perjuangan seorang yang bergelar mahasiswa, apatah lagi mahasiswa Islam?

Dimensi perjuangan yang perlu diterokai mahasiswa terlalu luas, bukan sekadar memperjuangkan isu yang kadangkala dilihat enteng oleh segelintir masyarakat. Bahkan, satu sudut perjuangan yang tidak pernah surut hingga ke hari ini dan sangat memerlukan konsistensi dan kompentensi kepemudaan dan kemahasiswaan ialah DAKWAH. Asas yang dibina sangat kukuh kerana permulaannya daripada manusia yang ma’sum Nabi Muhammad, dan rantainya terus bersambung sehingga ke hari ini. Bukankah ini perjuangan yang paling ampuh untuk disambut mahasiswa sekarang?

DAKWAH ‘LANGIT TERBUKA’
Jika mahu dibahaskan soal kewajipan, tanggungjawab dakwah dan seumpamanya, sudah terlalu banyak risalah dan artikel yang boleh sekalian pendakwah merujuknya. Namun apa yang ingin diberi penekanan dalam kesempatan ini soal cabaran semasa untuk meneruskan dakwah di saat dunia mampu dicapai oleh sesiapa sahaja. Ya, kita berhadapan dengan kerancakan pemikiran dan idelogi baru yang tersebar ke seluruh dunia melalui capaian internet. Pertempuran pemikiran ini ada kalanya memangsakan golongan yang baru sahaja ingin mengenal Islam dengan erti kata yang sebenar, namun terkadang kebenaran yang tidak disusun ditewaskan dengan kebatilan yang disusun rapi.

Secara asasnya, Al-Quran menegakkan kebebasan berfikir dan beri’tiqad sebagai salah satu hak asasi manusia, dan salah satu kaedah agama yang utama. Maka dakwah itu harus sesuai dengan rangka menghormati kebebasan berfikir dan beri’tiqad itu tadi. Bermula dari sini, pendakwah akan berhadapan dengan dua hal: pertama berkenaan dengan kewajipan dakwah yang perlu dilaksanakan dan kedua prinsip menghormati kebebasan berfikir terutamanya dalam dunia globalisasi ini. Justeru, isu pendekatan dakwah (method) bukanlah perkara pokok yang perlu dibahaskan sekarang, kerana asas yang wajib diketahui pendakwah ialah berkaitan dengan persediaan fikrah dan hujjah (I’dad al-fikri wa al-ilmi) yang ampuh.

Persediaan Fikrah
Dakwah menuntut kepada usaha yang konsisten tanpa rasa jemu dan letih. Perumpamaannya seperti menanam sebiji benih yang perlu kepada siraman air, taburan baja yang mencukupi sehingga akhirnya mengagumkan dan mengembirakan hati seorang petani yang menanamnya. Namun setiap tanaman itu ada serangga perosaknya. Dan setiap dakwah itu pasti ada cemuhannya. Seharusnya seorang pendakwah tidak melihat itu semua sebagai penghalang, bahkan terus meneruskan tanpa rasa gugah. Firman Allah azza wa jalla:

Alif, Lam, Mim, Shad; Inilah Kitab diturunkan kepada engkau, maka janganlah sesak dadamu kerananya supaya engkau dapat memberi peringatan dengannya dan sebagai peringatan bagi mereka yang beriman. (al-a’raf : 1-2)

Setiap pendakwah perlu memahami hakikat ini. Allah berpesan supaya para pendakwah tidak sesak nafas (merasa susah)  apabila ada yang menolak, mencemuh malah menyakiti dirinya. Ternyata semuanya ini telah dialami oleh Rasulullah dan tidak mustahil jalan ini sememangnya perlu dilalui oleh sekalian pendakwah yang ikhlas dan benar dalam perjuangannya. Hakikat tugas pendakwah hanyalah menyampaikan tanpa mengharapkan hasil, kerana urusan Hidayah itu milik mutlak Tuhan.

Persediaan Hujjah
Firman Allah dalam surah yusuf, ayat 108:
“Katakanlah (wahai Muhammad) Inilah Jalanku, aku memanggil kepada Allah, atas Basirah, aku dan orang-orang yang mengikutiku. Maha Suci Allah, Dan bukanlah aku termasuk golongan yang menyekutukan Allah.

Seorang petani bukan sahaja perlu mempunyai benih untuk menanam, segala pengetahuan tentang sifat benih yang ditanam, tanah persemaian, cuaca dan sebagainya perlu difahami dengan elok agar tanamannya melalui proses yang baik.

Pendakwah juga perlu memahami ilmu dan hujjah yang kukuh, agar ‘pertumbuhan’ dakwahnya tidak terbantut bukan hasil daripada kekuatan musuh, akan tetapi kelemahan penghujahan di pihak pendakwah.

Inilah masalah paling besar yang dihadapi golongan pendakwah khususnya mahasiswa sekarang. Jika dilakukan soal selidik secara kasar, ternyata majority pendakwah masih belum berjaya menguasai sejumlah keilmuan baik dari sudut fiqh dakwah mahupun uslubnya. Sedangkan di sana ada buku karangan Al-Maududi, An-Nadwi, Al-Qaradhawi, Buya Hamka, Bapak Natsir, Ust. Yahya Othman dan terlalu banyak bahan rujukan, yang tinggal lagi komitmen untuk mendisiplinkan diri memahami intipati dakwah dengan lebih berkesan.

Kita sangat berhajat kepada mahasiswa yang mampu mendidik masyarakat secara konsisten, hingga setiap kalam wahyu itu jatuh ke lubuk hati satu persatu, menjadi penawar hati yang luka, pendamai kekalutan masyarakat, pencerah kejahilan yang gelap, dan pembimbing ummah ke syurga Allah.
Share this article :
 

+ ulasan + 1 ulasan

September 9, 2012 at 9:59 AM

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”

(Riwayat Imam Tirmizi)

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger