XPDC Dakwah: Permulaan Gelombang Anak Muda

kredit to Ku Faiz
Tirai 2011 berlabuh, pembukaan 2012 menyaksikan terlalu banyak pesta, program dan karnival di seluruh Malaysia. Maka pada 31 Disember 2011 yang lepas, Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur (MJBKL) mengadakan Karnival Dakwah Indahnya Islam selama satu hari di perkarangan masjid tersebut.
Sehubungan dengan itu pihak Majlis Dakwah dan Kebajikan (MDK) GAMIS mengambil inisiatif untuk bersama Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur serta beberapa NGO anak muda Islam yang lain menjayakan Karnival Dakwan Indahnya Islam pada 31 Disember lepas.


Karnival dimulai dengan booth pameran dan jualan di hadapan pintu masuk masjid. GAMIS telah membuka satu booth pendaftaran ahli baru, gerai jualan serta permainan. GAMIS juga diberi kepercayaan untuk mengendalikan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.
Dengan menerapkan sedikit kelainan pendekatan dakwah pada kali ini, pihak GAMIS terpanggil untuk bersama-sama NGO lain turun kepada masyarakat pada sebelah petang memberikan penghargaan tahun baru kepada pengunjung sekitar MJBKL berbentuk belon, kad ucapan tahun baru serta risalah tahun baru dari GAMIS sendiri. ‘Basking’ atau nyanyian jalanan dibuat bersebelahan stesen LRT Masjid Jamek, mendendangkan lagu-lagu berunsur Islami oleh band mahasiswa kelolaan GAMIS juga mendapat sambutan hangat penonton.


Pada malam hari selepas isya’ menyaksikan Presiden GAMIS, Saudara Akram Ikrami Taib Azamudden beraksi sebagai ahli panel 1 di pentas forum anak muda bersama 2 orang ahli panel lain.
Tanpa melupakan program mega tahunan GAMIS, pihak MDK tetap meneruskan XPDC Dakwah tahun baru seperti tahun2 sebelumnya namun kali ini dibuat di dataran merdeka dan anak muda Malaysia menjadi sasaran utama para aktivis dakwah GAMIS, seiring dengan tema pada kali ini, Inspirasi Anak Muda. Ini adalah kerana sebagai NGO anak muda Islam, GAMIS memikirkan anak muda adalah elemen penting yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara yang perlu diasuh dan didedahkan dengan cara hidup yang lebih bertamadun terutama sekali menjalankan gaya hidup mengikut syariat Islam yang sebenar.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang turut menyertai XPDC itu bersama sekitar 400 aktivis GAMIS, ketika berucap mengajak seluruh NGO dan gerakan mahasiswa khususnya gerakan mahasiswa Islam menyediakan medium alternatif atau cara hiburan dan sambutan tahun baru berlandaskan Islam.


“Alhamdulillah GAMIS kali ini tampil menganjurkan XPDC dakwah, kita turun ke dataran merdeka, kita dekati anak muda, kita belai mereka, kita ingatkan mereka bahawa dalam diri mereka adanya Allah s.w.t., yang akan menghitung dan menilai amalan mereka di akhirat kelak. Dunia ini bukan penghujung, kerana akhirat penentu segala-galanya,” katanya.
Tepat jam 12 tengah malam menyaksikan aktivis GAMIS berkumpul di tengah-tengah dataran merdeka dengan laungan semangat “Anak Muda Sayang Malaysia”, berselawat, dendangan asmaul husna, nyanian lagu negaraku dan doa wehdah sebagai penutup xpdc yang dipimpin oleh Saudara Akram Ikrami.

Majlis Dakwah dan Kebajikan
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 
Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger