Sekular yang Sembunyi...

Di suatu malam..

Sudah agak lama saya tidak 'memberi' (dibaca:berkongsi) tazkirah di celah ruang-ruang hidup ini kepada masyarakat sekeliling. Bukan kerana futur pada kalam lidah, tapi seindah manapun mulut berbicara kalau tidak disertakan dengan anggota yang menggerakkannya, mengundang murka Allah Jalla Jalallah.

Namun, di atas permintaan (dibaca: tugas) oleh SPMM kerana mengikut giliran jadual tazkirah, maka saya gagahkan diri untuk menghadiri taman syurga di Nilam Court, mengisi antara waktu Maghrib dan Isya' ditemani oleh dua sahabat saya. Hampir tidak sempat saya membuat sedikit persediaan sebelum berkongsi sesuatu yang bermanfaat di sana kerana bergegas pulang dari Selangor atas sedikit urusan.
Tajuk untuk tazkirah malam itu agak penting, tapi dipandang remeh oleh sesetengah (dibaca:kebanyakan) manusia. "doa sebagai manifestasi kejayaan muslim", kurang lebih begitulah tajuknya.

"doa itu senjata orang mu'min"-mafhum sabda nabi sallallahualaihiwasallam.

Senjata; satu 'peralatan' yang berkuasa tatkala manusia berasa lemah, pertahanan yang ampuh untuk menghadapi 'musuh' diri. Kekuatannya terserlah melindungi kelemahan yang ada.

Akan tetapi, manusia menjadikan 'senjata' tersebut sekadar 'perhiasan' sahaja. Kontang daripada khauf dan raja', sekadar pelengkap sesudah usai dari solat.

Bila ibadah dijadikan adat. Perlakuan yang diikut tanpa diikat dengan sumber Kebenaran.

Inilah yang menjadi kerugian kepada kebanyakan manusia. Itu senjata kita! Senjata para mukmin! Kerana tidak menggunakannya dengan betul, pasti lemah ruh kita!

Melihat cara mengangkat tangan sahaja, secara personalnya saya berasa mereka itu tidak menghayati doa yang dilafazkan. Mungkin juga mereka tidak memahami doa tersebut. Ungkapan 'ameen' ditarik panjang-panjang, sedangkan hati lalai dari mengingatiNya. Astaghfirullah...astaghfirullah..

Saya merungkaikan beberapa hikmah berdoa berdasarkan beberapa pembacaan saya, serta adab-adab yang perlu dipelihara dalam memastikan 'senjata' itu berfungsi dengan optimumnya dalam melahirkan peribadi mukmin yang khalis kepada Rabbnya. Doa itu perlu menngambil intipati hadis yang menyatakan 'seperti kita melihat Allah, jika kita tidak dapat, yakinilah Allah melihat kita." Jangan dimimpikan maqam musyahadah, jika maqam muraqabah (yakini Allah melihat kita) pun tidak kita hadam dengan elok.
Selesai. Itu fokus pertama saya. Tetapi masih ada fokus utama yang perlu saya kemukakan.

sekular yang sembunyi

Amar ma'ruf menjadi cacat bila tidak disertakan dengan nahi mungkar, sekecil nahi mungkar ialah dengan hati kecil kita.
Namun, saya gunakan peluang untuk menjalankannya(nya itu kembali kepada nahi mungkar) dengan kalam lidah saya ini.

Entah bagaimana binding dari perkongsian pada malam itu, saya menyentuh soal aurat. Isu yang susah untuk luput kalau dikaitkan dengan muslimat a.k.a perempuan.

"sekadar bertanya, kalau aurat wanita ketika hendak solat, bagaimana??" gaya seperti guru bertanya pada anak murid. Dengan sopan 'anak muridnya' menjawab.
"kesemua kecuali muka dan tapak tangannnn..." begitulah gayanya lebih kurang.
"Betull.. Bahkan kalau kain telekung kita (semestinya 'kita' itu bukan saya) jarang sampai menampakkan tengkuk pun, tidak sah solat kita kan??"

Saya melanjutkan persoalan yang sudah pasti jawapannya..
"Jadi, adakah aurat dalam solat, tidak sama dengan aurat luar solat??" masing-masing cuba menjawab dengan suara hati kecil.

Ini persoalan yang perlu kita ajukan dalam diri kita. Persoalan yang serius yang perlu difahamkan dan dimaksudkan perubahannnya.
Kita tahu akan idelogi dan konsep sekularisme, yang memisahkan urusan dunia dan urusan akhirat. Seolah-olah kedua-duanya ibarat minyak dan air, tidak akan bercampur sama sekali. Walhal, Islam menggariskan kedua-duannya saling berkaitan, kerana dunia itu ladang untuk tuaian akhirat kelak.

Namun, kita gagal dalam memahaminya. Sekadar tahu, tidak faham, dan tidak diperhalusi.
Sedar atau tidak, segelintir (dibaca:kebanyakan) daripada umat sekarang mendokong ideologi ini. Pemisahan antara dunia dan akhirat. Litup elok dalam solat, dedah sana sini di luarnya. Santun bahasa di dalam solat, meratah daging sahabat di luarnya. Tunduk patuh dalam solat, bongkak dan angkuh di luarnya.

Maka, solat juga sudah tinggal adat, bukan dihayati sebagai ibadat.

"dan jangan kamu mempercampuradukkan perkara haq dengan yang batil, dan kamu menyembunyikan haq, sedangkan kamu mengetahuinya."

"wahai orang yang beriman, masuklah kamu semua dalam islam secara keseluruhan, dan jangan kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu"

Amaran dari Allah telah jelas kepada kita. Kita yang mengaku islam dan beriman kepada Allah dan Hari Kebangkitan, yang menunaikan solat lima kali sehari semalam. Ya, kita inilah. Tetapi malang sekali kerana masih jahil dalam meneliti ayat-ayat tahrib dan taghrib, sehingga jiwa khali dari khauf dan raja' kepada Allah.

Inilah yang saya sifatkan sekular yang sembunyi. Seperti selumbar yang terperosok di dalam jari, sukar dilihat tetapi sakitnya dirasa. Mana mungkin haq bisa bercampur dengan batil, sebagaimana tidak berhimpunnya malam dan juga siang.


Maka, adakah kita ini hamba kepadaNya???


Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger