Mereka yang saya kenal

Menyulusuri hikmah al-ghazali membuatkan aku termenung seketika. Mencari erti disebalik kata-kata tersebut. Kata-katanya cukup indah untuk dinilai kembali, juga sebagai muhasabah diri.

"Antara tanda seorang yang soleh itu ialah, apabila melihat wajahnya maka akan teringat kepada Allah..."

Astaghfirullah..astaghfirullah...astaghfirullah...

Saya mengeluh sendirian. Hakikat kalam hikmah itu belum saya capai. Namun, saya bersyukur kerana dapat mencium tandanya dari sahabat-sahabat serta teman sekeliling saya. Saya masih mampu tersenyum kerana punyai sahabat sedemikian. Malah saya cukup bertuah jika orang bertanyakan saya tentang sahabat saya, dan saya mampu mengatakan "beliau adalah sahabat saya".

Mereka yang saya kenal

Perkenalan saya dengannya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Saudara Arislan Nasrullah merupakan satu nama yang tidak asing di sekolah dahulu sewaktu zaman saya. Aktif dalam nasyid, merupakan presiden badar dan juga mahir dalam qiraat menjadikan saya bangga memiliki sahabat sedemikian. Riak wajahnya juga selalu tenang, bahkan kami di sekolah dahulu mengkagumi beliau kerana dirinya yang selalu tenang walaupun kerja sekolahnya lebih kurang seperti saya juga. Seorang anak yang patuh kepada ibubapanya, telah membawa dirinya ke Mesir untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran, dan saya masih di sini. Doa dan rindu saya mengiringi beliau di sana. Beliau mengajar saya tentang manisnya bersedekah pada jalan Allah.

Saudara Rasyadan
pula merupakan insan yang saya kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di bumi USIM. Perkenalan kami secara tidak berapa langsung masih lagi utuh sehingga kini. Entah apa yang mengikat kami masih lagi bersama, namun saya kira mungkin kesatuan fikrah yang saya dan beliau miliki menyatukan kami dalam kebanyakan perjumpaan kami (beliau juga orang kelantan). Wajahnya tenang amat, sentiasa mengukirkan senyuman, dan sering juga membetulkan kacamata lama yang kian pudar itu. Kacamata perjuangan saya kira. Kunjungannya bertemu dengan saya, akan saya berikan perhatian sepenuhnya walaupun saya di tengah pembacaan, walaupun di tengah malam; kerna saya tahu, jika saya letih, maka beliau pasti letih dan penat. jika saya mengantuk, maka beliau pasti mengantuk dan lelah. Beliau akan sentiasa mendahului saya dalam perjuangan ini.

Tiap kali bertemu dengannya, senyuman didahulukan dan salam dijambatkan. Saudara Basri membesar bersama dengan saya sejak awal pengajian di tamhidi lagi. Namun bila mengenangkan peristiwa semasa di ihtifal smka dahulu, saya akan tergelak sendirian. Disangkaan orang luar rupa-rupanya kelantan pekat; apatah lagi asalnya dari Paloh Rawa, Machang (metropolitan katanya). Dalam senyuman manis dan tenangnya, ada juga teguran yang membina. Masa bukan barang mainannya, maka kami mesti menepati masa kalau sudah berjanji untuk bertemu pada pukul sekian-sekian. Saya merasai jatuh bangunnya beliau, saya juga merasai perit manis beliau. Walaupun bukan semua, tapi mata yang memandang turut merasai tempiasnya, sekalipun badan yang menanggung pasti melaluinya dengan penuh kecekalan. Bertemu dengannya pasti bukan pertemuan yang sia-sia, pasti ada perbincangan yang bermanfaat dikongsi, diselit dengan gurau senda yang menambahkan manis dalam tali perhubungan kami.

Nama yang unik di bumi malaysia ini membuatkan dirinya senang untuk dikenali,- Ibrahim Hussin Ibrahim. Namanya sudah harum di maahad, dan sedang mekar mewangi di tanah Nilai ini. Hijrahnya dari bidang sains kepada syariah merupakan hijrah yang bermakna buat dirinya, juga buat diri saya. Wajahnya kacak, tubuh badannya segak (walaupun sedikit kurus). Tetapi itu semua bukan ukuran sebenar, bahkan itu tidak sesekali membanggakan saya. Sifatnya yang bersemangat, istiqamah, dan sabar menghadapi tekanan sering saya jadikan ukuran untuk terus maju bersamanya. Tabiat pembersihnya juga memberi kesan kepada diri saya ini. Moga dirinya sehebat abuya nya.

Nasiruddin
, batang tubuhnya tetap segar dalam ingatan ini, walaupun hampir 2tahun tidak bersua muka dengannya. Baru beberapa minggu lalu beliau menelefon saya dari mesir, loghat kedahnya itu masih jati dalam dirinya. Kelahiran blog saya dan beliau sama, namun kalamnya makin lama makin berisi dari saya, meskipun desakan pengajian dalam bidang kedoktoran sentiasa menghimpit masanya. Malu untuk saya mengaku, namun dirinya sentiasa terkehadapan berbanding saya. Jika saya dalam bidang syariah, maka dia telah merancang untuk faqih dalam ilmu kedoktoran dan syariah. Jika saya ingin berjinak dalam ilmu mantiq, maka beliau telah menekuninya dari bangku sekolah lagi. Beliau mengajar saya tentang peri pentingnya menekuni ilmu, bukan sekadar berjuang namun diri kontang dari bekalan ilmu.

Saudara Mansur juga rakan seperjuangan yang usianya muda namun makin hari makin cuba menampakkan matangnya dalam perjuangan, samada dalam pelajaran ataupun dalam bidang dakwah. Orangnya sentiasa sibuk, agak sukar untuk mencarinya pada hari-hari minggu. Saya mengenali dirinya sejak dari tamhidi lagi, dan hidupnya pasti terus menuju kepada peningkatan; suatu yang pasti tersemat dalam diri setiap mukmin. Senang menerima teguran, sabar dalam pergaulan menyebabkan saya juga perlu cermin diri dengan segala sifat kekurangan saya.

Perkenalan dengan Saudara Syihan tidaklah terlalu lama, masa masih terlalu muda untuk saya menilai beliau. Sikapnya juga sentiasa riang, ramah dan senang untuk dibawa berbincang. Ada yang mengatakan beliau sedikit agresif, namun saya katakan beliau sebenarnya reaktif. Seorang yang prihatin, berinformasi dan juga tegas meyerlahkan sifat-sifat kepimpinan dalam dirinya. Bicaranya bermanfaat, penulisannya berisi, pasti dalam dirinya terkandung semangat juang yang tinggi. Maka Allah jualah yang lebih mengenali diri dan cita-citanya.

Masih terlalu ramai untuk disusun, namun nama kalian semua kususun dalam doa aku setiap hari. Mungkin sahaja nama kalian sunyi di bumi ini, namun kuharap nama kalian disebut-sebut di angkasa langit sana.

****************************

Mereka itulah yang saya kenal.
Ada yang mengingatkan saya tentang kesabaran dalam hidup.
Ada yang mengingatkan saya tentang erti penat dan lelah dalam perjuangan.
Ada yang mengingatkan saya tentang semangat ukhwah fillah yang perlu disemai dalam perhubungan sesama insan.

Peringatan itu amat bermanfaat. Bermanfaat bagi orang yang beriman.
Peringatan yang mendekatkan diri kepada Rabbul Jalal. Mengingatkan tentang diri merupakan hamba yang hina di hadapan Tuhan Segala-galanya.

Maafkan aku wahai sahabat. Aku mungkin tidak mampu memberi banyak manfaat kepada kalian, namun aku akan pastikan aku tidak akan menjadi penghalang kepada jalan untuk kalian dekat dengan Tuhan.

Berjuang pada jalan Tuhan perlu suci, kerana sesungguhnya suci tidak akan bisa selesa dengan kekotoran.

Para pejuang sentiasa merintih dan berteleku, "siapakah yang akan bersamaku dalam perjuangan ini??"

Aku tunduk malu sendirian, "adakah aku yang hina berada dalam perjuangan ini??"....

Umar r.a masuk ke masjid dan melihat Mu'adz bin Jabal sedang menangis di sisi kuburan Rasulullah s.a.w.. Umar bertanya, "Apa yang membuatmu menangis wahai Mu'adz?" Mu'adz menjawab bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya sedikit dari riya' adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa yang tersembunyi, yaitu orang-orang yang apabila mereka tidak ada maka orang merasa kehilangan dan apabila mereka hadir mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat." ( mafhum HR. Thabrani)
Share this article :
 

+ ulasan + 6 ulasan

May 12, 2010 at 6:34 PM

dulu diri ini pernah menjauhi sorng sahabat yang tidak jemu untuk mengislahkan ana, lama juga ana kira ana menjauh denganya, dek kerana nasihat-nasihatnya kepada ana yang tika itu dalam kehidupan yang hina.. 'ah, mana sama orang yang tidak merasa dengan orang yang merasainya sendiri' ungkapan itu aku tuturi untuk menepis segala nasihat yang diberi.. namun dah adat dari Ilahi, bila seorang daie itu ikhlas memberi, lama atau cepat, akhirnya ia membuahkan hasil jua.. syukran ya akhie atas segala nasihat selama ini.. sehinggakan telah membawa ana ke jalan ini.. Allah saja yang mampu membalas jasamu..

May 13, 2010 at 5:33 PM

"sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri"
-mafhum surah ar-ra'd, ayat 11.

pesan murabbi, lawan nafsu bukan dengan karamah, tapi dengan mujahadah.

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan kepada hambaNya...

Moga kita adalah mereka yang senantiasa mensucikannya..

Moga hikmah al-ghazali itu sentiasa dalam dirimu, wahai sahabatku...

May 14, 2010 at 5:49 PM

mesti sahabat-sahabat anda terharu kalau baca.
;')

nuiz_zaty
May 14, 2010 at 7:26 PM

zaty yg tidak disebut disini pon, terase terharu bile baca nie.. moge thabat dlm ukhuwah antum sume!mudah2an Allah bersama2 shbt2 sume pada setiap langkah kamu. insya Allah~ amin! :))

Anonymous
May 14, 2010 at 9:29 PM

Subahanallah.. Orang yang memuji lebih layak dipuji..

Segala kelebihan, Allah kurniakan..

Akhirnya..

Segala pujian kembali kepadaNya jua...


salam kerinduan dari ardil kinanah..



.

May 14, 2010 at 10:02 PM

to k u c e n g:
moga sama-sama koreksi diri..

to nuiz_zaty:
moga kami tetap pada jalan di bawah lembayung redha Allah..

ukhwah bukan sekadar mengatakan 'betul' kepada segala perkataan sahabat, tapi ukhwah itu juga membetulkan apa yang perlu...


to DEVOTEE:

kita semua tidak pernah layak dipuji, bahkan selayaknya kita menjadi pencela kpd diri yg sedr tntg hakkt sebenar..psan Ibn Athaillah kpdku..dan kpdmu..

bukan memuji tujuanku, sekadar muhasabah hamba yang masih mencari...juga luahan rindu buatmu..

sama-sama koreksi diri....

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger