aku di tempat yang hina

Telah berfirman Allah mafhumnya:

"Sesungguhnya Kami telah bentangkan amanah kepada langit, bumi, bukit bukau dan gunung-ganang. Semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir mengkhianatinya dan manusia memikul amanah itu, sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil."
(al-ahzab, ayat 72)


Tiada kata lagi yang mampu aku lafazkan. Jiwa mana yang tidak lemah apabila mata melirik panjang meneliti kalam tuhan di dalam Al-kitab yang maha agung itu. Maka benarlah tiap-tiap apa yang terkandung dalam Al-quran. Dan tidaklah diturunkan Al-kitab melainkan untuk manusia memahami dan menekuni dalam tiap saat kehidupan.

Bila berbicara tentang amanah, bicara akan menjadi berat. Lebih berat daripada sebuah batu besar. Bahkan, lebih besar dan berat ini jika hendak dibandingkan dengan memindahkan gunung dan bukit sekalipun. Manusia bodoh dan zalim sahaja bisa bermain-main dengan amanah ini, sekaligus memandang enteng terhadapnya. Moga-moga aku dijauhkan darinya.

Luas amanah itu seluas samudera. Menegakkan hukum Tuhan adalah bebanan amanah, mentadbir urusan manusia juga amanah, menggerakkan pimpinan dan menjaga keluarga juga amanah. Maka, ianya merupakan bebanan kepada manusia yang bergelar khalifah.


Di tempat yang hina.

Mengimbau bicara santai aku dengan seorang sahabat. Beliau juga baru sahaja dibeban dengan tugas sebagai salah seorang daripada Majlis Perwakilan Pelajar. Dan aku pula diberikan amanah berstatus jawatankuasa kebajikan asrama siswa. Saling bertahniah dan bertakziah kami hulurkan. Dan beliau menyusun satu kata yang sampai hari ini masih aku pakukan dalam benak jiwa ini:

"Kawan ana pernah bagitahu ana. Enta pegang MPP ini ingat, enta duduk di tempat yang hina tu!"

Pukulan katanya tepat pada diriku. Orang pegang amanah bukan berada di tempat mulia, kesilapan diri boleh menarik diri ke lembah yang HINA, HINA!.

Siapa yang tidak kenal dengan sahabat nabi yang soleh lagi wara', Abu Dzar r.a. Beliau merupakan sahabat yang begitu hebat perbendaharaan ilmunya, bahkan Saidina Ali pernah memuji beliau dengan pujian: "Abu Dzar ialah penyimpan jenis-jenis ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi oleh orang lain". Kesolehannya sudah tentu hanya dapat kita capai dalam mimpi tidur kita sahaja.

Namun, kata Nabi s.a.w tatkala bertanya Abu Dzar kepada baginda kenapa dirinya tidak dilantik menjadi seorang pemimpin:

Wahai Abu Dzar! Engkau seorang yang lemah, dan ini ialah amanah, dan ia di hari akhirat nanti membawa KEHINAAN dan PENYESALAN...

itulah amanah. Tidak dipuji mereka yang memikul amanah ini... kecuali:

إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها

"kecuali orang-orang yang mengambilnya dengan benar dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan kepadanya." (riwayat muslim)

Orang yang soleh boleh berubah menjadi hina bila amanah yang dipikul tidak dilaksanakan dengan baik serta sempurna. Kemampuan memikul amanah hanya terletak kepada mereka yang benar serta ahli dengannya.

Imam Malik bin Anas pernah mengutus surat kepada Khalifah Harun Ar-Rasyid. Di antara kandungannya:

"Sesungguhnya engkau tidak selamat sedikitpun daripada tanggungjawab urusanmu kalau diserahkan kepada orang yang tidak takutkan Allah!

"Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya bagi Allah itu segala pujian, yang telah mengangkatmu memegang tugas yang sangat besar. Pahalanya adalah sebesar-besar pahala, dan seksaannya sekeras-keras siksaan!

Sungguh, ia bukan lagi bicara kebanggaan di ruang facebook atau blog. Bukan juga bicara kosong di kedai makan dan kafe. Ia suatu perkara berat! Terlalu serius untuk diborakkan! Tidak cukupkah dengan amaran dan celaan yang diletakkan dihadapan mata kita?!

Aku sendiri, masih menjawat dua jawatan besar di kampus. Belum lagi dicampur dengan tugas seorang pelajar, anak, pendidik, perubah generasi dan sebagainya. Usah dikatakan aku telah berlaku adil, tidur pun masih boleh lena diulik mimpi indah!

Orang yang amanah akan sentiasa menilai diri menjadi agar terus menjadi hebat, sedangkan pembacaanku dan mutabaah harianku bertaraf manusia baru baligh.

Orang yang amanah pasti rambutnya gersang, tidurnya kurang, akalnya sibuk memikirkan urusan, sedangkan aku masih sempat bergelak ceria dan mengeyangkan perut dengan jamuan selera.

Orang yang amanah pasti matanya lebam kehitaman kerana munajat pada Ilahi agar dikurniakan kekuatan ruhiy, bibirnya kering beristighfar di atas tiap langkah perbuatan... Sedangkan aku....aku...

Kalaulah Imam Malik berada di hadapanku, pasti celaan ditaburkan kepadaku.
Kalaulah Harun Ar-Rasyid mengetahui kejahilan diriku, pasti ditendangnya aku dari memikul amanah yang berat.

Ya Allah, Kepada Mu jua aku kembali!
Share this article :
 

+ ulasan + 2 ulasan

October 3, 2010 at 8:30 AM

Moga Allah permudahkan segala urusanmu, moga dirimu tabah dan diberi kekuatan di jalan ini wahai sahabat. Selamat berjuang!

October 5, 2010 at 10:03 PM

Astaghfirullah....kdg rasa culas dgn tggjwb.....

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger