rebah, bangkit, dan terus bangkit.

Salam kebangkitan....

Hampir terkejut melihat rupa-rupanya hampir 2bulan saya tidak mengisi ruang maya ini dengan coretan peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan hidup ini. Hidup sebagai anak kepada ibubapa, mahasiswa, pendakwah, pejuang, abang, bapa, kawan, lawan, dan seumpamanya.


Tiada alasan kukuh yang mampu saya berikan. kalau hendak dikatakan sibuk, ratusan pejuang di luar sana lelah dengan barah masyarakat yang perlu dirawati. Bahkan, ada beberapa orang yang saya kenali masih mampu mengeluarkan satu post di blognya setiap minggu. Lebih hebat lagi, seorang pejuang yang juga saya kenali dapat mengeluarkan buku hampir setiap 2 bulan sekali, dan saya tidak dapat fikirkan di manakah masa kosong yang dia miliki untuk membuat penulisan tersebut.

Benarlah, mana mungkin kita menunggu masa lapang untuk terhidang di hadapan kita. KITA yang perlu melapangkan masa untuk perkara yang sedemikian rupa.

Malu untuk saya mengaku, mungkin dalam tempoh sebelum ini saya 'rebah' dalam upaya untuk menulis, tidak kira di dalam blog mahupun di dalam himpunan artikel yang saya tulis secara peribadi. Pemikiran yang kian tumpul, kritikan yang agak dangkal, malas yang mencengkam jiwa secara tidak langsung membantutkan hasil penulisan saya mutakhir ini.

Namun, apa guna saya terus meletakkan alasan di hadapan mata. Pesan seorang sahabat yang cukup untuk menjentik minda separa sedar ini, "kadang-kadang kita terlalu memikirkan terhadap seseorang; kenapalah dia tak boleh selesaikan kerja senang itu, kenapalah dia boleh jadi macam tu, dan sebagainya. Tanpa kita terus memikirkan; nampaknya dia mungkin tak mampu lakukan tugas tersebut, maka saya minta sesiapa dalam kalangan kita untuk bantu dia selesaikan kerja itu..." jika kita mampu fikirkan penyelesaian kepada masalah dan bukan sibuk memikirkan bagaimana masalah itu boleh timbul, pasti gerakan kita terus cepat dan cekap.

Saya ulangi, jika kita mampu fikirkan penyelesaian kepada masalah dan bukan sibuk memikirkan bagaimana masalah itu boleh timbul, pasti gerakan kita terus cepat dan cekap. Tidak dinafikan, 'post-mortem' terhadap sesuatu masalah itu penting, namun keterlaluan memikirkannya boleh membuatkan kecelaruan terus bersarang. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang ma'sum sekarang ini selain dari kalam Allah dan rasulNya???

Maka, saya juga tidak akan terlalu memikirkan persoalan rebah tadi. Namun, apa yang paling penting untuk saya, awak, dia, mereka dan semua terus bertindak untuk 'bangkit', dan terus 'bangkit' dalam menempuhi rintangan dalam perjalanan kehidupan. Ijtihad-ijtihad kecil dalam perkara yang tiada nas secara jelas menyebutnya; akan terus saya lakukan. Dengan harapan, jika sekiranya bernas dan tepat, mampu menyumbang kepada diri dan mereka yang lain. Jika sekiranya silap, maka saya akan teruskan juga untuk memikirkan dan bertindak dengan cara yang lebih hebat dari sebelumnya, selain ganjaran di sisi Allah walaupun ijtihad yang kurang tepat.

Usah dipedulikan kemuncup yang terus berpaut di sepanjang perjalananmu, namun fikirkan jalan yang panjang yang perlu kamu akhiri..

"Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, nescaya mereka akan mengikutmu, akan tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka..." -mafhum firman Allah, at-taubah: 42.

rebah, bangkit, dan terus bangkit!!!
Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger