Suburkan Nilai Ukhwah...



posting ini disumbangkan untuk pengisian blog alumni semekar (yang masih lagi dalam renovation) di sini.

Assalamualaikum, salam kepada penghuni bumi..

Insan Agung, Muhammad s.a.w pernah berpesan kepada kita umat islam:

"tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudara seislamnya, sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"- mafhum hadis nabi s.a.w.

Hadis nabi itu mendalam maknanya. Kalamnya bukan kalam biasa, semuanya wahyu dari Ilahi.

Pesanan Rasulullah itu perlu diteliti. Kaitannya bukan dengan perkara material, ini kaitannya dengan iman manusia, yang terbit hasil dari pasakan di dalam hati, untaian kata-kata kebenaran dari lisan serta pengamalan yang sunni dengan tubuh badan. Gabungan tiga serangkai yang tidak dapat dipisahkan bagi setiap insan yang bergelar mu'min.



UKHWAH DAN IMAN

Kasih mengasihi, cinta mencintai adalah buah-buah persaudaraan (ukhwah) yang sentiasa disemai dalam dada-dada pencinta dan pejuang islam. Ukhwah di dalam Islam itu merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain di setiap penjuru dunia. Setiap kita mempunyai abang, kakak, adik yang tidak pernah bersentuh kulit pun dengan kita, akan tetapi jiwa mereka dan kita diikat dengan satu ikatan persaudaraan yang begitu kukuh sekali.

Ia bukan ikatan zahiriah. Ia ikatan rabbaniah- ikatan yang ditaut atas dasar ketaatan kepada Allah, yang mengikat hati-hati kita dan mereka kepada Allah Subhanahu wata'ala. Ketaatan itu dilihat berasaskan sejauhmana nilai seorang hamba betul-betul diteliti dalam kerja buat kita sehari-hari. Kerja buat kita bukan hanya 5kali sehari solat fardhu itu-bahkan nilai khusyuk dalam solat juga masih gagal untuk kita perolehi-, namun segala aktiviti hidup kita juga merupakan ibadah yang bersifat umum. Makan, minum, berjalan, berbual, melihat dan merasa, semuanya itu sepatutnya digerakkan atas dasar kesedaran manusia sebagai seorang hamba yang senantiasa beribadah kepada Tuhan yang Maha Kuasa.

Begitu juga dengan ukhwah yang sememangnya buah keimanan hasil dari ketaatan manusia terhadap Syariatullah. Benarlah pesanan Baginda s.a.w, iman seseorang itu tidak sempurna jika penghayatan terhadap ikatan persaudaraan hambar dalam jiwa manusia bernama muslim yang mu'min.

Lalu, dimanakah prinsip yang perlu dihayati untuk mengekalkan kemanisan ukhwah itu?

Suburkan nilai ukhwah...

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Jangan kamu dengki-mendengki, jangan kamu meminta membeli dengan harga yang tinggi bukan dengan tujuan membelinya, tetapi untuk menipu orang lain dan memudaratkan mereka, jangan kamu benci-membenci, jangan kamu belakang-membelakangi, jangan kamu menjual di atas jualan orang lain, dan jadilah kami hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak menzalimi saudaranya, tidak membohonginya dan tidak menghinanya. Takwa itu disini-sambil menunjukkan ke dadanya sebanyak tifa kali. Seseorang itu sudah dianggap berdosa jika menghina seislamnya. Tiap-tiap orang muslim itu atas saudaranya adalah haram:darahnya, hartanya dan maruahnya."*

Hadis ini mengandungi hukum-hukum dan faedah-faedah yang besar untuk mencapai matlamat yang murni dan menjaganya daripada segala kekurangan atau kecacatan supaya kalimah ukhwah itu tidak hanya dijadikan sebagai slogan laungan manusia dan khayalan mereka sahaja, sedangkan mereka tidak dapat menghayatinya dalam realiti kehidupan.

Tidak peliklah jika Imam An-Nawawi berkomentar dalam kitabnya al-azkar tentang hadis ini: "Amat besar manfaatnya dan amat banyak faedahnya".

Nyata, ukhwah yang sering kita laung-laungkan itu bukan mainan kata semata, ini berkaitan dengan iman, prinsip serta pegangan aqidah kita sebagai muslim.

Persaudaraan ialah saudara iman, dan perpecahan ialah saudara kufur. Tinggalkanlah debu-debu dosa terdahulu, ia mengotorkan iman kita yang lemah ini. Jalinkanlah ikatan ukhwah dengan prinsip nubuwwah, walaupun mata tidak pernah bertentang. Semaikanlah nilai itu bermula dengan diri sendiri, hati yang suci mampu menyuluh hidayah kepada jiwa yang lesu.

Aku di sini, sentiasa mendoakan kesejahteraan abang, adik, kakak, ibu, bapa, di sana, walau kita tidak pernah bersua.

6.55|c8-4-3 KKDJ
-merubah sempadan diri-

*rujuk kitab 'hadis-hadis peringatan buat umur insan', karangan guru kami Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger