Kutiplah Hikmah itu (1)




Assalamualaikum, salam perantau malam.

Catatan ringan ini sekadar menukilkan bicara yang terpendam dalam seminggu lebih. Waktu itu, kesibukan menyiapkan kertas kerja dan persediaan untuk menghadapi imtihan (peperiksaan) mengekang masaku untuk menulis walaupun sedikit.

Waktu ini juga, sebahagian besar sahabat sekuliah (fiqh dan fatwa) sedang menikmati safar ilmi ke sebelah utara. Moga-moga safar mereka mampu merubah fikrah dan jiwa. Daripada tumpul kepada tajam, daripada kosong kepada 'mulim' (penuh) dengan pengalaman dan pengetahuan.




Waktu ini juga, sahabat seperjuangan yang lain giat dengan aktiviti kemasyarakatan. Facebook menjadi tempat utk melihat sahabat bergerak laju menerjah sisi gelap dan kelam masyarakat, membawa obor dan cahaya dakwah. Moga kerja buat kalian dirahmati Allah.

Aku pula, masih di sini. Di hadapan laptop separuh nazak (patah sebelah kiri), namun masih gagah untuk meninjau dunia tanpa sempadan, mencari isu-isu serta khabar berita yang saban hari punya coraknya yang tersendiri. Ada yang menarik, tidak kurang juga yang meloyakan. Hakikat zaman sekarang yang semakin parah dan tenat. Maka, berpeluk tubuh bukan satu keputusan tepat, sesuatu perlu dilakukan dengan cepat dan tepat.

Sekilas ke belakang: mengutip hikmah di perjalanan.

Jari jemari terasa kebas apabila lama sudah tidak mengisi ruang maya ini. Aku masih ingat, tekadku untuk mengisi ruang kecil ini untuk tujuan kebaikan semata, dan kebaikan itu biar Allah sahaja yang menilainya. Setiap baris yang ditulis, aku cuba ingatkan diri, bahawa tiada yang akan menanggung akibat daripada penulisan ini melainkan diriku sendiri. Itulah pentingnya nilaian dosa pahala sehari-hari, agar hidup kita sentiasa terang dengan cahaya petunjuk Ilahi.

Semester pengajianku sudah memasuki tahun ketiga semester ke lima. Hampir tiga tahun aku berkelana di bumi Nilai, cuba untuk menekuni ilmu dan menimba pengalaman. Pernah dulu, diriku kecewa kerana tidak dapat menyentuh pasir dan debu bumi Kinanah, namun takdir Allah itu tidak sia-sia. Sungguh, jiwaku semakin terisi dengan pelbagai ilmu dan pengalaman, serta hikmah yang dikutip sepanjang perjalanan ini.

Ya, di sana ada hikmahnya.
aku cuba untuk mengutipkan.
aku kutip, ku susun. Dan aku persembahkan kepada kalian.

Kutiplah akan ia.

Seingat ingatan aku, subjek ICT menjadi subjek yang kontroversi, melahirkan stigma negatif kepada beberapa golongan manusia. Presepsi negatif tentang subjek ini mengacau jiwa disebabkan subjek elektif pilihan tidak diterima.

Namun, setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Aku cuba menyelongkar, dan syukur aku berjumpa dengannya.

Guru kami, walaupun sederhana pakaiannya dan cengkung matanya, masih tetap mengajar kami dengan cara yang kami selesa. Tidak dinafikan, dengan istilah-istilah yang aneh, sistem yang bersimpang siur memenatkan otak untuk terus berfikir; tambahan waktu belajarnya ialah waktu manusia bersiap-siap untuk ke masjid solat Maghrib (6.00-10.00pm). 'Sistem' otak kami hampir sahaja mengalami 'system down'.

Hikmah yang aku dapat; walaupun kita berurusan dengan sistem, kita masih lagi berurusan dengan manusia biasa. Maka, sebolehnya cubalah untuk memahami golongan tersebut, sebelum kita minta untuk difahami. 'Seek to understand, then to be understood'- pesannya kepada kami. Bicaranya berbeza, namun hikmahnya begini. Dan aku cuba mulakan dengan diri sendiri.

"you all perlu menguasai beberapa perkara ini, supaya you all ada something.. ada value kat situ.."
"saya ajar kamu ini bukan untuk exam, tapi at least kamu dapat knowledge ini"

Hikmahnya ringan, namun cukup untuk berbekas dalam hati aku. aku akan cuba amalkannya.

Subjek yang dinanti-nanti oleh pelajar akhirnya kunjung tiba pada semester lepas:- fiqh munakahat. Sudah namanya darah orang muda mungkin, pantang dengar nama 'munakahat', celik sahaja mata.

Pengajiannya sangat menarik.
Hikmahnya juga berat.

Apabila mengingatkan muhadharah (kuliah) guru kami, ditambah dengan bacaan nota dan kitab, menambahkan gelisah dan resah untuk berkahwin.
Tiada niat untuk menolak sunnah, namun apabila dilihat dengan kudrat diri dan ilmu yang ada, sangat cetek untuk dibawa dalam alam rumah tangga nanti.
Jangan difikir indahnya hari perkahwinan itu, namun fikirkanlah perjalanan bahtera setelah berlalunya 'raja sehari' itu..

Kelas halaqah dengan guru kami, Dr. Saiful Daulah pula sangat mengujakan. Keterujaanku sehinggakan tidak pernah aku uzur daripada kelasnya. Berbekalkan matan Abi Syuja', guru kami petah dengan bicaranya, menghuraikan tiap-tiap baris kalimah di dalam kitab. Kami tekun mendengar bacaan rakan sekelas, sesekali tergelak kecil kerana ditegur lantang oleh Ustaz.

Alangkah hebatnya, satu semester kami menekuni karya Abu Syuja' tentang solat, namun tidak sempat habis. Huraian Ustaz pula mendalam, ditambah dengan pelbagai soalan furu' oleh rakan sekelas, menambahkan rasa jahil diri. Yang paling aku cemburu, tatkala guru kami menceritakan perihal khusyuk dalam solat, beliau senyum manis menghuraikan manisnya khusyuk dalam solat. Sangka baikku, tentu beliau merasainya.
Hikmah itu akanku simpan, iaitu penekanan tentang solat denga cermat dan tekun menghayati tentang segalanya dalam solat, semoga berjaya mendapat Al-Firdaus sepertimana dihuraikan dalam muqaddimah surah al-mukminun.

-bersambung-


Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger