Maqasid Daie & Dakwah (I)

kredit to here

Pernah satu ketika, sekumpulan sahabat saya berbincang mengenai dakwah. Selari dengan kempen bulan penghayatan islam yang sedang dijalankan, maka jiwa anak-anak muda yang gemarkan dakwah ini pastinya tidak akan melepaskan ruang dan peluang yang ada untuk gerak kerja dakwah. (Saya juga masih berjiwa muda, walaupun raut wajah bagaikan bapa anak tiga).

Sesi brainstorming ringkas berlangsung. Macam-macam perkara dan uslub dakwah yang diletakkan. Daripada edaran risalah, sehingga media di alam maya. Semuanya fokus untuk mewujudkan biah yang baik. Saya mengiyakan sebahagian, dan menolak sebahagian pandangan.



"Perkara paling asas yang perlu kita bicarakan ialah diri kita. Semua yang lain itu hanyalah alat bantu dakwah sahaja." Saya cuba meletakkan satu garis pencerahan. Kadang-kadang, kesibukan kita melihat sudut dakwah, bilamana kita tidak menyelidik di mana asas dan paksi asalnya, kerana sudah biasa melihat pada cabang dan furu'nya.

"Dakwah kita ialah mengajak manusia, maka wasilah yang paling asas ialah diri kita sendiri. Manusia dan manusia, itu lebih berkesan. Adapun yang lain, akan menjadi alat dan wasilah bantuan sahaja".

Kita berkempen dengan kempen 'Senyum & Salam', tapi apabila bertemu dengan masyarakat, muka kita mula berkerut-kerut, mulut memuncung kehadapan dan mata memandang ke arah bertentangan.

Kita kempen supaya susun kasut dan selipar, namun kadang-kadang kasut belah kiri kita ke kanan, dan belah kanannya melayang.

Kita kempen supaya infak harta, tapi duit yang selalu keluar dari poket berwarna biru muda sahaja, warna hijaunya jarang sekali.

Mulakan dakwah itu dengan diri sendiri. Letakkan diri dalam posisi mad'u, sebelum meletakkan diri dalam posisi daie. Kalau tidak, kita hanya akan membazirkan kertas potostat dan dakwat printer sahaja untuk mencetak bahan-bahan edaran dan risalah.

Bukan bermakna kesemua kaedah lain sia-sia, kerana setiap sesuatu perkara itu akan dinilai berdasarkan keikhlasan pelakunya. Namun, apabila kita berbincang dari sudut prinsip, maka sewajarnya kita kembali melihat kepada pendakwah (daie) dan dakwahnya dahulu.

Dakwah kita Dakwah ilallah

Guru kami yang mengajar matapelajaran 'Maqasid As-Syariah', pernah menjentik pemikiran saya agar melihat dari satu sudut pandangan yang berbeza. Sepertimana pandangannya terhadap qias terhadap dadah dengan khamr ialah qias yang tidak tepat.

'Asas kepada maqasid bukanlah menjaga kelima-lima kepentingan itu (agama, nyawa, akal, nasab, harta), kesemuanya perlu kembali kepada ubudiyyah kepada Allah.
Ya, ubudiyyah kepada Allah. Inilah kalam dan hikmah yang perlu senantiasa diingatkan, hatta para pendakwah sekalipun.

Kadang-kadang, kita sibuk memikirkan program dengan pelbagai jenis strategi dan plan, namun ruh dakwah sebenar semakin pudar menyebabkan program itu menjadi program 'hampas'.

Sama juga seperti kebanyakan manusia apabila membacakan tafsiran ayat al-quran tentang uslub dakwah-yang merangkumi 'al-hikmah', mauidzah yang baik serta mujadalah- namun lupa pada ayat sebelumnya yang meletakkan,penyeruan kepada jalan Allah dahulu. Itulah perkara pertama dan utama.

Ramai yang gemar program dakwah, namun sifat kehambaan tidak hadir dalam hati mereka. Hati itu dikotori dengan debu riak dan taajub kepada diri, menutup daripada nur Allah menyinar dan membaja.

Berbeza dengan pendakwah yang mengenal erti kehambaanya, cuba sedaya upayanya untuk mempersembahkan kefakirannya terhadap Allah. Cahaya di hatinya melimpah-limpah, menyuburi jiwa yang kontang sekitarnya. Dakwah mereka penuh dengan dakwah mahabbah.Allah, Allah, Allah...

Dakwah kita ialah dakwah kepada Allah, tiada dakwah selain kecintaan kepadaNya.
Share this article :
 

+ ulasan + 1 ulasan

October 18, 2011 at 5:39 AM

salam ziarah istiqomah....semoga kita dikalangan pemuda...yang takutkan Allah.

Rojulunn bakka min khasyatillah...

teruskan menulis akhi:)hebat laman ini..

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger