Adakah kita bersedih??

Catatan ini sudah lewat untuk dinukilkan. Namun, adalah lebih baik sekiranya kudrat yang ada ini digunakan untuk dicoret sedikit peringatan terutamanya untuk diri sendiri dan untuk ummah kesemuanya.

Di saat bait kata-kata ini ditulis, jendela Syawal sudah terbuka. Menunggu takbir raya pada keesokan paginya. Sekira-kiranya, pasti para ibu sibuk didapur memasak resipi untuk hidangan pagi esok, dibantu anak-anak kesayangannya yang juga riang menggosok baju raya untuk dipakai esok, meraikan sunnah-sunnah yang dianjurkan oleh kekasih tercinta Muhammad s.a.w. Tidak kurang juga bom'kecil' menghiasi ruang udara dengan gemercik apinya, walaupun bunyinya menyakitkan hati dan telinga. Gambaran kegembiraan terpancar di wajah mereka.

Namun, masih adakah insan yang berduka?



Di saat Ramadhan telah melabuhkan tirai emasnya, jiwa manusiawi yang telah tenggelam dengan keasyikan ramadhan pasti tersentak dengan pemergian mengejutnya ini. Pipi masih lagi belum kering dengan munajat memohon maghfirah dari Allah; tasbih dipegang erat di tangan kanan meratib dan meratah nikmat berzikir- tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan istighfar; masjid menjadi rumah kedua untuk berteleku dengan kekasih dunia akhirat. Tiba-tiba, nikmat tersebut sekelip mata, disentap keluar!

Tamsilan yang mudah difahami- sekiranya kita dijemput oleh seorang yang sangat kaya dan murah jiwanya. Disambut untuk bertandang ke rumahnya selama sebulan tanpa sebarang bayaran walau satu sen sekalipun. Bukan itu sahaja, kita dilayan bagaikan saudara kandung sendiri, dijamu makanan yang enak dan lazat, diberikan kamar tidur yang sangat selesa dan indah. Kita tenggelam dengan kehidupan itu. Tatkala diri sudah rasa bahagia dan senang dengan segala kemewahan tersebut, tuan rumah membuka pintu keluar-kerana masanya sudahpun tiba!

Tidakkah kita merasa sedih dengan keadaan sedemikian rupa?

Kesedihan kita mungkin berdasarkan beberapa punca. Pertama, kerana kira menginsafi segala kebaikan yang diberikannya. Kedua, kita akan faham etapa nikmat seperti ini tidak akan diperoleh lagi kelak. Ketiga, kerana kita sudah terselesa dengan kehidupan yang cukup hebat ini. Bagaimana kita harus keluar dengan begitu sahaja?? Pasti jiwa tidak keruan dan merindui keadaan tersebut.

Hal yang demikian, terjadi kepada perindu Ramadhan yang sebenar. Satu bulan yang dimuliakan Allah dengan Al-Quran, difardhukan dengan ibadah puasa yang memerdekakan diri daripada penguasaan syaitan dan hawa nafsu, dan disunatkan pula untuk bangun di tengah-tengah malam untuk beribadah kepada Rabbnya. Ditambah dengan ganjaran pahala sunat yang menyamai pahala ibadah wajib, dikurniakan malam yang teristimewa-malam Al-Qadr yang pahalanya melebihi ibadah seribu bulan. Malaikat pula ditugaskan untuk mendoakan hamba-hamba yang mendirikan malam tersebut dengan salam kesejahteraan. Paling utama, keimanan yang menyala-nyala pada bulan ini disulam dengan pengharapan mendapatkan ampunan dari Tuhan, menatijahkan jaminan keampunan terhadap dosa-dosa hambanya yang lalu.

Siapakah yang tidak teruja dengan kurniaan seagong ini?

Kini, ganjaran itu telahpun berakhir. Takbir raya akan bergema nanti, menyaksikan kegembiraan manusia yang beriman yang ibadahnya menatijahkan ketaqwaan dalam sanubarinya. Takbir menyatakan kebesaran Allah diatas kurniaan hidayahnya di bulan Ramadhan yang lepas, sehingga melahirkan seorang manusia baru sesuci bayi yang baru lahir dari kandugan ibunda. Merekalah yang layak bergembira dengan hidayah yang telah dimiliki.

Mereka jugalah yang terus menerus istiqamah dengan rutin ibadah yang lalu. Masih asyik membasahi pipi mereka dengan air mata keinsafan, meratib zikir-zikir munajat kepada Kekasih Agungnya, dan menyambung ibadah puasa sunat syawal dan seterusnya mewarnai kehidupan dengan hikmah rabbaniah. Subhanallah, kebahagiaan hakiki makin dirasai oleh jiwa manusia ini.

Tiada lagi gandaan pahala sunat, seperti gandaan di bulan Ramadhan.
Tiada lagi malam istimewa, seistimewa Al-Qadr di bulan Ramadhan.
Tiada lagi kewajipan berpuasa sehingga nafsu menjadi duka, seperti di bulan Ramadhan.

Namun, Tuhan bulan Ramadhan maha kekal dan tidak luput dengan segala-galanya.

Malam 1 Syawal| Teratak Perol
0100
Share this article :
 

+ ulasan + 2 ulasan

September 3, 2011 at 4:37 PM

catatan yang menyentuh hati, teruskan menulis.

October 28, 2011 at 10:09 AM

bagus tulisan ni..ahsanta!...semoga kita istiqamah brdkwh demi redhaNYA

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger