Indah Hidup Di Penjara

gambar dari sini

Imtihan (peperiksaan) akhir semester telah berakhir. 
Bertebaran manusia bergelar mahasiswa ke luar kampus, menyambut 'kemerdekaan' yang dirasakan selepas beberapa minggu berhempas pulas dengan buku dan nota.
Dan kemungkinan besar, buku dan nota akan ditatapi kembali selepas bermulanya semester baru. Atau yang lagi 'bagus', menjelang study week untuk semester akan datang.

Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang berkenaan situasi yang disebutkan di atas ini. Mungkin di post yang akan datang. Kerana saya ingin menyambut kedatangan kembali si dia yang sangat saya cintai; BUKU.
Hampir seminggu saya ber'puasa', tidak sempat membaca dan membelek buku-buku ilmiah lain kerana fokus kepada peperiksaan akhir semester. Sekarang ini, saya punyai sejumlah masa yang banyak untuk dimanfaatkan. Justeru, jadual yang komprehensif perlu dibuat supaya hari-hari yang bakal berlalu dipasak dengan keilmuan, yang membangunkan akal dan budi manusia.

Tanpa memanjangkan madah bicara, saya persembahkan satu penulisan daripada tokoh yang cukup ku kagumi. Biarlah tulisan ini berbicara:

...

Bagaimana kami menghabiskan masa di penjara? Pada setiap hari, kami memulakan hari beberapa jam sebelum fajar. Para ikhwan telah bangun dan bersiap untuk solat fajar dengan melakukan qiamullail. Aku masih ingat ketika seorang Ikhwan yang melintasi bilik-bilik sel pada waktu sahur, beliau mengalunkan suara yang sangat merdu. Apabila kami mendengar suaranya, kami pun segera bangun dari tidur untuk berwudhuk, lalu menunaikan solat, kemudian membaca Al-Quran dan berzikir kepada Allah. Aku melihat ketika sebelum masuk waktu fajar, ruang besar seperti sebuah dewan dalam tahanan ini berdengung dengan suara zikir dan bacaan Al-Quran seperti dengung suara sekumpulan lebah.

Apabila masuk waktu Subuh, salah seorang daripada Ikhwan mengumandangkan azan dan mengajak semua tahanan untuk menunaikan solat dua rakaat sebelum subuh. Setelah selesai, Sheikh Al-Ghazali tampil untuk mengimami kami dan beliau membacakan beberapa ayat suci Al-Quran.
Sheikh Al-Ghazali sudah terbiasa membaca doa qunut dalam solat subuh. Waktu itu beliau membaca qunut nazilah sebagaimana yang disyariatkan oleh Rasulullah SAW agar dibaca ketika mengalami musibah di dunia dan kesusahan.
Doa qunut yang dibacakan oleh Sheikh Al-Ghazali agak ringkas, tetapi sangat menyeluruh dan menyentuh hati:

"Ya Allah, hancurkanlah belenggu yang membelit kami dengan kekuatan-Mu, dan aturkanlah urusan kami dan tenteramkanlah hati kami daripada ketakutan. Ya Allah, hanya kepada-Mu lah kami menyerahkan nasib orang-orang zalim itu."

Selepas selesai solat fajar, kami membaca al-Matsurat seperti yang kuceritakan sebelum ini. Kemudian, kami berkumpul dalam halaqah bersama beberapa orang tokoh Ikhwan yang berpengalaman untuk membincangkan beberapa perkara agama dan isu semasa. Halaqah Sirah Nabawiyah bersama Sheikh Al-Ghazali, halaqah Fiqh bersama Sheikh Sayyid Sabiq. Dan kadang-kadang ada juga halaqah lain yang dipimpin oleh Ikhwan lain seperti Ustaz Abdul Badi Saqr yang membincangkan tajuk " Bagaimana kita menyeru Manusia?"

Kami menghabiskan masa dalam halaqah-halaqah ini hingga matahari terbit sebelum meneruskan aktiviti yang lain, iaitu bersenam. Jika solat adalah masa untuk menunaikan hak bagi roh, perbincangan dalam halaqah pula adalah masa untuk menunaikan hak bagi akal, maka bersenam adalah hak bagi jasad. Islam inginkan roh yang bersih, akal yang cerdas, dan tubuh yang kuat. Dakwah Ikhwan sendiri berdiri dengan menerapkan pembinaan individu Muslim secara menyeluruh. Membina roh dengan ibadah, mengasah akal dengan wawasan keilmuan, dan melatih kekuatan jasad dengan bersenam.
....
Apabila masuk waktu solat asar, kami semua bersiap-siap menunaikan solat secara berjemaah sebelum memulakan kembali beberapa aktiviti untuk menambah pengetahuan kami iaitu dengan mendengar pembentangan hasil kajian yang disampaikan oleh para pendakwah Ikhwan, hasil analisis mereka ke atas pelbagai kitab yang mereka baca. Antara pembentangan yang aku ikuti adalah pembentangan kajian Sheikh Al-Ghazali tentang 'Islam dan Kezaliman Politik'. Kajian ini kemudian menjadi tajuk penulisan buku yang terkenal, yang dibentangkan di penjara at-Tur. Selain daripada mendengar pembentangan mereka, kami juga sering mengalunkan nasyid berunsur Islam dan Ikhwan yang menyentuh hati secara beramai-ramai dalam forum itu.
....
Ini ialah petikan daripada buku terjemahan tulisan Al-Qaradhawi : Aku dan al-Ikhwan al Muslimun. Buku yang mengugah rasa hati dan perasaan. Bacaan wajib bagi mereka yang ingin mengenal erti berjuang dalam kehidupan.

Ya Allah, kalau begini indahnya hidup di penjara, izinkan aku merasainya!
Share this article :
 

+ ulasan + 2 ulasan

January 20, 2012 at 12:56 AM

Subhanallah... Lebih indah tarbiyyah di sana... Mereka yang di penjara mampu melakukannya, bagaimana dengan kita...

February 5, 2012 at 10:03 PM

SUBHANALLAH...dunia mmg melalaikan....ianya hanyalah syurga bg org2 yng mengikut nafsu...hinanya diri ni...Ya Allah...: Entry terbaru saya : GENG JUBAH

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger