Masa dan Keilmuan


-Saya meluncurkan perkongsian dengan konsep kebebasan menulis... (a.k.a tulis ikut suka)
Merancang untuk menulis di dalam musim peperiksaan akhir semester merupakan satu cabaran. 
Di antara membaca buku subjek dalam semester, dan buku yang membangunkan akal dan jiwa.
Di antara menulis nota-nota kecil, dan menulis berkongsi rasa zikir dan fikir.
Lalu, saya cuba tekadkan juga, demi melaksanakan misi tahun baru kali ini : paling kurang satu minggu satu artikel di dalam faridfaruqi.com ini.

Moga Allah berkati usaha ini, walaupun hanya seorang yang menatap perkongsian, asalkan malaikat mencatitnya dalam amal kebaikan untuk bekal ke Sana nanti, bi iznillah..

Saya memerhatikan, di celah usaha-usaha yang ingin dijalankan ini, ternyata dua perkara yang perlu digunakan dengan sebaiknya. Soal masa dan ilmu. Kedua-dua perkara ini menjadi hambatan harian saya, di antara memanfaatkan masa dengan gerak kerja seharian, dan aspek keilmuan yang perlu dimuatkan dalam benak fikiran dan menatijahkan tindakan yang rasional. 

Allah mengurniakan ruang masa untuk kita manfaatkan dan menunaikan hak-hak yang perlu dilunaskan. Cukuplah dengan beberapa qasam yang Allah nukilkan di dalam al-quran, menceritakan betapa peri penting manusia untuk menjaga baki masa yang ada. Namun, malangnya satu penyakit yang merasuk di dalam diri manusia yang mengakibatkan masa berlalu begitu sahaja. Tidak lain dan tidak bukan: TANGGUH.


Sikap ini merompak nilai manusiawi insan. Bukan setakat yang memakai tali leher, lebai-lebai juga tidak terlepas daripada dirompak oleh anasir TANGGUH ini. Teringang-ngiang pesanan naqib saya dahulu tentang masa. Katanya: kalau kita ada kerja di saat itu, jangan tangguhkan walaupun seminit. Kerana seminit selepas itu akan bertambah kerja lain yang perlu kita selesaikan.
Namun, saya masih bertatih menunaikan wasiat naqib itu. 

Masa itu bukan emas, masa ialah kehidupan. Satu saat berlalunya masa, tidak dapat ditebus walau dengan duit berjuta-juta.

Seterusnya, Allah juga menukilkan berkenaan kepentingan ilmu. Jelas dilihat di saat wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah s.a.w, menjadi simbolik keutuhan islam itu perlu didasari dengan tiang seri ILMU. Menyuluh gelap pekat kejahilan manusia untuk menarik mereka keluar menuju jalan yang lurus dan suci. Allah mengurniakan akal fikiran yang sihat untuk dimanfaatkan dengan menekuni sumber keilmuan dari telaga-telaga ma'rifat sambung terus kepada wahyu Ilahi. Teringat pesan murabbi dan guru kami berkenaan dengan ilmu ini, katanya bahawa manusia berilmu ini hidupnya pasti tenang, mereka tidak perlu mengejar dunia kerana dunia singgah di ribaannya dengan mudah. 

Namun, saya juga masih merangkak mencapai ruang ilmu yang ada, kalau tidak sampai tahap keilmuan alim ulama sekalipun, cukuplah untuk menghilangkan kejahilan dalam diri.

Maka, saya luncurkan beberapa kisah pedoman, taujihat di perjalanan sebagai seorang pelajar sepanjang zaman.

Imam Al-Zahabi menukilkan dalam kitabnya yang masyhur (Tazkiratul Huffaz) berkenaan dnegan Imam Muhaddith Hammad bin Salamah al-Basri. Beliau merupakan seorang pakar ilmu nahu, lahir pada tahun 91H dan wafat pada tahun 167H. Beliau merupakan orang pertama yang mengarang kitab bersama Ibnu Abi 'Arubah. Seorang tokoh yang sangat berpegang teguh dengan sunnah dan ahli ibadah yang tersohor.

Seorang muridnya yang bernama Abdul Rahman, pernah mensifatkan tuan gurunya dengan berkata, "Kalaulah dikatakan kepada tuan gurunya kamu akan mati esok hari nescaya ia tidak lagi mampu menambah  amalannya."

Kata Musa ibn Ismail, "Jika saya katakan padamu, sesungguhnya saya tidak pernah melihat Imam Hammad ketawa, nescaya kamu akan mempercayaiku, beliau sentiasa sibuk samada menyampaikan hadith, membaca, bertasbih atau solat. Waktu siangnya dihabiskan dengan perkara tersebut.

Abu Hilal al-Askari pernah mengatakan, bahawa perkara yang menjadi musuh kepada Imam Hammad ialah waktu makan.

Kisah hebat yang sama dapat dilihat pada Imam Ibnu Jarir At-Tabari.
Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan, bahawa beliau pernah mendengar daripada al-Simsi bahawa Ibnu Jariri mengarang kitab sebanyak 40 muka surat dalam masa sehari. Usaha yang berterusan itu terus sehingga umur 40 tahun.
Diriwayatkan oleh anak muridnya, bahawa apabila anak-anak muridnya menghitung umur gurunya, daripada baligh sehingga kewafatannya (86 tahun), maka natijahnya menunjukkan bahawa Imam Ibnu Jarir menulis tidak kurang 14helaian dalam sehari. Hanya dengan bimbingan dan inayah Allah sahaja manusia sebegini mampu lahir di dalam dunia keilmuan yang menjulang tinggi ketika itu.

Namun Ibnu Jarir tidak terlepas daripada menunaikan hak-hak yang disediakan kepadanya. Qadhi Abu Bakr ibn Kamal yang merupakan anak murid dan sahabaat Ibn Jarir menceritakan kaedah penyusunan masa Ibnu Jarir. "Adalah Imam Ibnu Jarir setelah makan, beliau akan tidur di atas pakaian daripada kain jenis yang lembut dan benangnya pula adalah tebal dan kasar, yang diperbuat dairpada benang kattan pilihan, dipakai ketika cuaca panas bagi menyejukkan badan. Kemudian, beliau bangun solat zuhur di rumahnya, lantas beliau menulis sehinggalah masuk waktu asar, kemudian beliau akan duduk mengajar sehingga waktu maghrib, pengajian fiqh pula disambung selepas waktu isya'. Setelah itu beliau masuk ke rumahnya. Beliau telah membahagi-bahagikan masa untuk kepentingan diri, agama dan masyarakat sebagaimana beliau mewakafkan waktunya kepada Allah."

Allah, saksikanlah bahawa aku ingin menaladani mereka. Permudahkanlah!



Share this article :
 

+ ulasan + 2 ulasan

January 16, 2012 at 4:41 PM

subhanallah, ustaz..walaupun tulis ikut suke, sangat bermanfaat..ana suke baca luahan pemikiran ustaz, insya Allah banyak dapat kita ambil iktibar..

(walaupun tulis ikut suka, bahasa dia tetap puitis..tak larat ana nak baca abis..baru baca separuh, jap lg sambung..huhu..sbb memang best..insya Allah..teruskan menulis, ustaz..)

January 20, 2012 at 12:59 AM

Ruqaiyah=)... mcm dah abes bace..^_^
Alhamdulillah.. teruskan berkarya..!

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger