Retorika Perjuangan



Bulan januari 2011 sudah berakhir. Februari datang menjengah tahun ini yang sarat dengan harapan dan impian, sekalipun kita tidak pernah menafikan sunnatullah dalam kehidupan yang penuh dengan mehnah tribulasi yang bakal dan perlu dihadapi oleh setiap manusia; khususnya mereka yang berdarah dagingkan islam dan iman.

Namun seakan-akan januari ditutup tidak berpintu, berakhir tiada bernoktah. Sebulan yang singkat itu seolah memberikan gambaran masa depan yang akan datang. Dari luar negara hingga ke dalamnya, pelbagai kejadian berlaku dek tangan-tangan manusia telah menggoncangkan dunia yang masih berbaki nyawa ini, hanya Maha Kuasa tahu bilakah umur dunia ini akan berakhir.


Belum sejuk isu kebangkitan berlaku di Tunisia, Bumi Kinanah sudah menyahut seruan kebangkitan memijak pemimpin yang zalim berdekad lamanya. Ma****a (tidak layak digelar manusia) yang bersifat diktator itu memerintah Mesir selama 30tahun, perampas harta rakyat, sekutu kepada US serta Israel; akhirnya ditundukkan oleh kuasa rakyat. Khabar berita menyatakan revolusi yang bermula di Tunisia itu akan merebak ke serantau timur tengah- menunggu masa untuk tiba. Kita mendoakan keselamatan bakal doktor serta bakal ulama rakyat Malaysia yang masih berada di sana.

Itu perjuangan yang berlaku di luar sana. Membangkitkan nafas jihad yang sebelum ini ditimpa lelah tak bermaya.

Gegaran di dalam negara (Malaysia) pula lain keadaannya. Banjir telah melanda di hujung Malaysia-negeri Johor. Dalam masa yang sama, pilihanraya kecil yang menampilkan pertembungan tradisi haq dan batil turun sama melanda di kawasan DUN Tenang. Sewaktu kempen yang telah berlaku itu, DUN Merlimau pula mengisytiharkan 'perang' yang akan berlangsung tidak lama lagi. Maka saya kira, belum sempat pejuang menanggalkan 'baju perang', terpaksa mengerah tenaga untuk persiapan yang keseterusnya. Keyakinan mereka bukan pada kemenangan di dunia, namun keyakinan itu ialah yakinnya mereka dengan janji Tuhannya dalam menegakkan kebaikan dan melumpuhkan kemungkaran di atas bumi ini.

Itu pula penjuru perjuangan Islam yang berlaku di dalam negara.


Menyingkap sisi perjuangan di bumi Nilai yang 'damai' ini.

Malu untuk aku mengungkapkan perkataan perjuangan ini. Yang pasti, ia bukan perkataan yang ringan untuk dibicarakan. Tambahan pula, isu yang timbul sepanjang bulan lalu tidak mampu ditangani secara berkesan. Dari isu boria USIM sehingga kepada isu khilafiah yang tidak berkesudahan ini merimaskan lagi tengkukku untuk berbicara sudut perjuangan yang lebih besar daripada ini. Mahasiswa yang dikatakan matang ini masih bersifat kebudak-budakan untuk menilai dan membuat timbang tara terhadap isu 'air suam' ini, sehingga menimbulkan krisis yang akhirnya memecahbelahkan batu-bata yang disusun rapi sebelum ini. Kalau diikutkan, bertimbun lagi fail-fail berkaitan isu sosial, ekonomi dan politik yang masih belum dibuka oleh mahasiswa yang-dikatakan belajar- bidang profesional dan agama ini.

Kalau ingin dikatakan rimas, mahu sahaja aku mengambil tali dan mengikat tubuhku ini. Ingin sahaja mataku terus mengadap kitab-kitab pembelajaranku yang saban tahun bertambah tanpa mengambil peduli hiruk pikuk dunia.

Namun, apa erti hidup jika aku berbuat demikian??




tidaklah sama antara orang yang beriman yang duduk (yang tidak turut berperang) tanpa mempunyai uzur (halangan) dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darajat orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang yang duduk (yang tidak turut berperang tanpa halangan). dan kedua-duanya dijanjikan Allah kebaikan (pahala dan Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar.

(mafhum firman Allah: surah annisa|95-96.


Moga dijauhkan daripada retorik perjuangan semata.

Share this article :
 

+ ulasan + 1 ulasan

February 9, 2011 at 12:05 AM

Moga terus thabat dalam perjuangan membawa manusia kpd Sang Pencipta bukan kepada yang dicipta! Moga hidayah Allah sentiasa menyuluh setiap tindakan kita dan dihindarkan dari perselisihan yg sia-sia. Amin.

Post a Comment
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger