Moga kita bersama Mereka..




Detik yang ditunggu akan kunjung tiba.
Syaaban bersedia melabuhkan tirainya, sama seperti bulan-bulan yang terdahulu.
Putaran bumi tidak pernah ingkar dengan aturannya, selagi diizinkan yang Menciptakannya.

Maka manusia juga perlu sentiasa meratib dalam doa sehariannya:
"Ya Allah, berkatilah aku dalam bulan Syaaban, dan datangkan kepadaku Ramadhan..datangkan kepadaku Ramadhan..."




Bahang ke'panas'annya semakin dirasai, sesuai dengan makna literal Ramadhan itu sendiri. Hingga ke saat ini, puja puji masih kita rafa'kan kerana Allah masih lagi mengizinkan kita terus hidup dalam dunia fana' ini. Imam Al-Ghazali pernah berpesan dalam kalam hikmahnya:
"Telah Allah panjangkan umurmu itu untuk berbuat ketaatan kepadanya.."

Maka kita bermuhasabah kembali, sejauh manakah ketundukan hati kita dengan Al-Jalil, sebanyak mana amalan kita dengan At-tanzil, bekalan apa yang dibawa untuk hari Ar-Rahil, dan wujudkan keredhaan dalam diri kita kepada yang sedikit (al-qalil)??

Itulah yang dimaksudkan dengan At-taqwa menurut pandangan ma'rifat Sahabat yang mulia, Saidina Ali. Akui sahajalah, kita masih lagi merangkak untuk mencapai hakikat ketaqwaan yang sebenar itu. Selama hidup kita ini, adakah segala gerak geri kita menumbuhkan ketaatan yang mekar, ataupun lumpur dosa yang melimpah-limpah dari hati yang gersang??

Firman Allah s.w.t,


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa, sebagaimana yang telah difardhukan ke atas ummat sebelum kamu moga-moga kamu mendapat ketaqwaan.."
(al-baqarah, 183.)

Subhanallah, Maha Suci Allah yang sentiasa menaungi manusia dan makhlukNya dengan rahmat yang tiada batasnya..

Allah menggunakan lafaz yang cukup indah, berbicara dengan hambanya yang beriman akan kewajipan berpuasa pada bulan yang cukup mulia, bulan Ramadhan.

Kewajipan itu bukan muncul pada umat nabi Muhammad sahaja, bahkan warisan ibadah daripada umat yang terdahulu juga.

Berbekalkan ibadah yang mulia pada bulan yang mulia ini, Allah meletakkan suatu mesej kepada kita dengan satu kalimah yang mulia:
"la'allakum tattaquun..."
agar kamu menjadi hamba yang bertaqwa.

Allah ingin memuliakan hambaNya dalam bulan ini. Kemuliaan itu dengan darjat orang yang bertaqwa. Bukankah jalan ini yang kita damba-dambakan selama ini?

Sungguh, kurniaanNya itu melimpah-limpah untuk diteguk oleh hambaNya yang sentiasa dahaga dalam pencarian mengenal Tuhan. Selama sepurnama lamanya Allah sediakan ruang untuk manusia manfaatkan dengan ibadah-ibadah baik wajib mahupun sunat. Bahkan, Rasul yang ma'sum itu juga berlumba-lumba mengejar keasyikan beribadah di masjidnya itu. Para sahabat berhempas pulas menghadap Tuhan, luar biasa daripada sebelumnya. Walaupun hakikat mereka itu mampu untuk bersenang lenang lantaran Allah sudah redha dengan mereka semuanya, namun jiwa hamba yang rabbani itu tidak mengenal erti tunduk pada nafsu, bahkan jiwa mereka terus bersinar dengan wahyu Allah.

Itulah mereka, golongan terbaik dalam kalangan umat Muhammad s.a.w. Jauh sekali dengan kita ini, yang ternyata masih berkira-kira untuk beriktikaf di masjid, bertadarrus dan tadabbur Al-quran, menghabiskan tabung simpanan dengan sedekah fisabilillah, mengeringkan bibir dengan alunan zikrullah.

Bahkan masih ada golongan yang bertelingkah dengan bilangan tarawih 8 ataupun 20, lagi malang pertelingkahan itu diakhiri dengan langsung tidak menunaikan tarawih! Lalu bagaimana kita mampu mencapai darjat ketaqwaan itu?!

Sesungguhnya iman itu bukan terhasil dari khayalan minda kita, bukan juga terzahir daripada serban, kopiah, tudung yang kita gayakan, namun iman itu hasil keyakinan dalam hati nurani dan dibenarkan dengan amal perbuatan. Sebab itulah lafaz al-quran itu menyebut ''la'alla'-moga-moga kamu mampu mencapai darjat ketaqwaan. samada kita mendapat hasilnya ataupun tidak, bergantung kepada sejauh mana persediaan kita menghadapi madrasah tarbiah ramadhan ini.

Hentilah segala dosa yang telah membarah dalam diri kita. Alirkan air wudhu' itu ke anggota badan, membersihkan zahir dan batin kita untuk memasuki pintu madrasah ramadhan dengan ketundukan kepada Allah, semoga keampunan Allah mampu kita raih, memenuhi jiwa dan ruh kita dengan bekalan ketaqwaan.

Moga-moga yang menukil tulisan ini menjadi yang pertama memulainya.
Dan moga-moga kita dapat bersama mereka itu-Nabi Muhammad dan Ashabnya.

Desa Kasia|0209

Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger