Perutusan Ramadhan SPMM 2011/2012

Salam Ramadhan.

Assalamu'alaikum warahmatullah, dan salam ramadhan buat semua ahli kepimpinan Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) sesi 2011/2012, ahli-ahli jawatankuasa, serta ahli SPMM yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah, puja dan puji kita panjatkan kepada Allah 'azza wajalla di atas kurniaan nikmat kehidupan di dunia yang sementara ini, dalam kita merasai dan berteduh di bawah langit Ramadhan. Sesungguhnya, inilah doa yang telah kita panjatkan bermula seawal bulan Rajab lagi dengan doa yang mashyur di kalangan kita:

"Ya Allah ya Tuhan kami, berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan..."



Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Bulan Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang dimuliakan Allah, di mana hanya bulan Ramadhan sahaja bulan yang disebut secara lafaz dan kalimahnya di dalam Al-Quran. Malahan, Ramadhan dimuliakan dengan turunnya kitab yang paling mulia-yakni Al-Quran (Al-Baqarah:185) kepada insan kamil lagi paling mulia-Nabi Muhammad s.a.w; kepada ummat yang dimuliakan Allah-kita semua. Subhanallah, kemuliaan yang berganda-ganda ini suatu petanda bagi kita bahawa sepurnama Ramadhan ini perlu-bahkan wajib digunakan dengan ibadah serta aktiviti yang mulia.

Umum mengetahui akan kewajipan berpuasa, menunaikan zakat fitrah, memperbanyakkan ibadat sunat serta sentiasa istiqamah dengan ibadah wajib. Kesemua itu telah kita alami beberapa tahun yang lepas. Itulah rutin-ataupun saya istilahkan sebagai 'warisan' ibadah yang kita lakukan sepanjang kehidupan kita. Tidak kurang juga yang masih bertegang lidah untuk menunaikan ibadat 8 atau 20- solat tarawih, yang sering kali 'mencoret' kanvas Ramadhan ini.

Apa yang dikhuatirkan ialah, sejauh mana kita memahami intipati ataupun ruh sebenar Ramadhan? Adakah kita sudah berpuas hati dengan 'warisan' ibadah kita seharian? Kekhuatiran ini ada asasnya, kerana nabi s.a.w pernah berpesan berapa ramai yang berpuasa namun hasil yang mereka peroleh sekadar lapar dan dahaga sahaja! Segala amalan yang dikerjakannya sehingga berpeluh, bertukar menjadi "habaan mantsuraa"! (debu berterbangan)

Saudara saudari yang dikasihi sekalian,

Oleh itu, pembaharuan dan penambahbaikan (islah) dalam ibadah di bulan Ramadhan perlu dipertingkatkan. Seharusnya kita sentiasa menhisab diri yang lemah ini-adakah aku sudah memahami hakikat ibadah di dalam bulan Ramadhan? Atau adakah aku tenggelam dalam lembah yang sia-sia? Maka di sini saya berpesan kepada diri ini terutamanya serta pembaca yang saya kasih kerana Allah sekalian dengan beberapa pesanan ringkas:

Pertama, mensucikan niat kita semata-mata kerana Allah, dan tiada yang layak disembah melainkanNya. Ikhlas merupakan ruh kepada segala ketaatan, dan menjadi kunci kepada penerimaan segala amalan yang salih. Qudus dan tuluskan hati kita untuk mengerjakan ibadah yang mulia di dalam bulan yang mulia ini, demi meraih keredhaan Allah, memaksudkan makna ubudiyyah kita kepadaNya, serta mengharapkan darjat taqwa itu dijelmakan di dalam kehidupan seharian setelah keluar daripada madrasah Ramadhan ini.

Kedua, meninggalkan segala perbuatan lagha dan sia-sia dalam menghadapi saat yang begitu berharga pada bulan Ramadhan. Bahkan Allah telah memberikan indzar; peringatan yang tegas berkenaan manusia yang 'istiqamah' dalam mencampuradukkan antara perkara yang haq dan batil, walaupun mereka sememangnya mengetahui akan kebatilan itu. Namun, dek kerana redha dengan nafsunya, maka segala candu ma'siat, syahwat itu dilayan sepuas-puasnya. Ibnu 'Athaillah As-Sakandari telah berpesan dalam kalam hikmahnya:

"Asal segala maksiat, kelalaian dan kesenangan nafsu adalah tunduk kepada nafsu. Sedangkan sifat kepatuhan, kesedaran dan penghargaan pada diri sendiri berasal dari tidak tunduk (tidak redha) pada nafsu"

Benarlah kata hukama' di dalam menzahirkan kehinaan mereka yang tunduk kepada nafsu:
"Bertuahlah bagi orang yang akalnya sebagai pemimpin dan nafsunya menjadi tawanan, dan binasalah bagi orang yang nafsunya pemimpin sedangkan akalnya menjadi tawanan..."

Maka manusia itu menjadi hina dina, disebabkan perbuatan mereka itu sendiri. Semoga kita dihindarkan daripada perkara tersebut.

Yang ketiga, perbaiki diri kita dengan memahami ibadah di bulan ramadhan berbekalkan kefahaman. Dan kefahaman itu tidak lain memerlukan kepada ilmu pengetahuan. Bertanyalah kepada ustaz tentang kaedah yang betul dalam beramal pada bulan Ramadhan, hukum-hakam fiqh yang boleh membatalkan puasa kita, serta hindarkanlah daripada bertemu dengan ruang perbezaan pendapat yang merosakkan hati dan amalan kita. Raikan pendapat yang baik, serta amalkan ibadah mengikut kemampuan dan keselesaan kita. Usah malu bertanya dalam menuntut ilmu, kerana kejahilan itu akan terus bersarang dalam diri selagi tidak bertembung dengan ilmu. Maka ilmu itu merupakan cahaya yang menunjukkan kearah sinar kebahagiaan, dan kejahilan itu hanyalah kegelapan yang terus menerus menyesatkan manusia ke lembah yang hina.

Para pembaca yang saya kasihi sekalian,
berbekalkan sedikit peringatan untuk diri dan juga sahabat sekalian, kita mengharapkan Ramadhan kali ini benar-benar mampu mendidik jiwa kita agar mengenal erti cinta dan khusyuk dalam beribadah semata-mata kerana Allah. Segalanya nampak seperti kecil, namun perkara kecil inilah yang seringkali kita leka-lekakan. Ibn Abbas juga pernah berpesan: "Orang yang alim rabbani itu, mengajarkan manusia ilmu yang kecil dahulu sebelum yang besarnya". Semoga dengan sedikit perkongsian ini mendetikkan kesedaran dalam diri kita bersama. Saya mewakili kepimpinan SPMM sesi 2011/2012 mengucapkan Ramadhan Kareem buat semua sahabat handai terutamanya mahasiswa dan mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia.

Sekian, saudaramu yang mengasihimu kerana Allah,

Muhammad Farid Hadhari Mahamed Rusdi
Presiden,
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia 2011/2012

"Bringing you to the Way"

|Artikel ini disumbangkan ke website rasmi SPMM di sini|

Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger