Akhi, Semoga anda tabah.



Assalamualaikum warahmatullah. Bismillah, dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha mengasihani. Kepada Allah kita bertawakal, dan kepada Allah kita kembali.

Saya mulakan catatan ringkas ini dengan ayat al-quran mafhumnya:
" sesungguhnya orang-orang mu'min itu bersaudara maka damaikanlah antara mereka itu, dan bertaqwalah kepada Allah, moga-moga kamu dirahmati Allah Taala."

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, maka berhukumlah dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat."

Nabi s.a.w juga pernah bersabda:
" Mu'min itu seperti satu binaan, yang saling melengkapi antara satu sama lain"



Saya menerima berita yang memeranjatkan beberapa hari yang lalu berkenaan dengan saudara seislam, sebangsa dan sealiran pengajian dengan saya, berada di bumi kinanah dalam perjuangan menuntut ilmu agama di sana. Ustaz Firdaus bin Azman yang menuntut di Dar Al-Ifta telah diberhentikan pengajiannya beberapa hari sebelum beliau layak memperoleh ijazah setelah 3 tahun belajar di sana. Kesedihan itu turut meresap ke dalam jiwa saya, jiwa seorang mahasiswa yang meneguk ilmu agama demi memberi pencerahan kepada umat islam. Tambahan, tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk dianugerahkan ijazah, dan segala usahanya pudar begitu sahaja.

Saya mengikuti perkembangan yang berlaku di sana melalui beberapa kenalan. Ternyata terdapat beberapa kelompangan yang perlu diberikan perhatian yang serius, supaya keadilan dapat ditegakkan dan hak sebagai seorang mahasiswa dapat dikembalikan.

Melihat kepada situasi pemecatan beliau, ternyata tiada notis awal dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab untuk membuang Al-akh Firdaus daripada pengajiannya. Tindakan terburu-buru itu menimbulkan tanda tanya kepada saya;- adakah tidak ada satu saluran yang lebih profesional daripada kaedah pembuangan tanpa notis ini?Mengapa tidak dibuka ruang perbincangan dua pihak terhadap isu yang berlaku?

Saya tidak ingin mengulas isu Bersih 2.0 yang telah berlaku sebelum ini, walaupun kaitannya di dalam kes ini sangat rapat-bahkan ini yang merupakan sebab utama pembuangan Al-akh Firdaus. Namun saya melihat dari sudut kemanusiaan dan isu mahasiswa islam yang perlu diberikan perhatian. Pembuangan seorang pelajar agama satu perkara yang serius, yakni menghalang daripada seseorang itu menuntut ilmu agama. Tambahan, tindakan yang dibuat itu dilihat terburu-buru dan melulu. Saya melihat ruang bersemuka dan berbincang lebih baik, membuka kepada jalan keadilan yang sebenar dalam semangat kita sebagai sesama muslim.

Lagi membimbangkan, keadaan seperti tidak memberi manfaat kepada sesiapapun. Bahkan, kita telah kerugian aset berharga negara yang telah dihantar jauh ke bumi barakah semata menjadi agen negara dalam proses pendidikan negara, sekalipun pemergian mereka kesana tanpa bantuan kerajaan. Kita juga memikirkan, nasib yang menimpa Al-akh Firdaus akan menimpa kepada sahabat seperjuangan yang lain. Saya sedih memikirkan keadaan ini, kesakitan yang mereka alami, tempiasnya terpalit kepada kami selaku mahasiswa islam. Bukankah kita semua sekeluarga dan bersaudara?

Jika diseroti sejarah mahasiswa keluaran Al-Azhar, mereka telah banyak berjasa dalam memberi pencerahan umat islam di Malaysia khasnya. Pengarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Mantan Pengerusi FELDA, bahkan terdapat beberapa ustaz kelahiran Al-Azhar mengajar saya dalam bidang fiqh dan usul. Bermula daripada peringkat atasan sampai kepada Ustaz J-Qaf-hatta guru mengaji Al-Quran, Al-Azhar merupakan nama yang akan disebut-sebut oleh masyarakat.

Selaku mahasiswa IPTA Islam, saya melihat isu ini perlu mendapat perhatian khusus daripada pihak kedutaan di sana, seterusnya dibincangkan secara adil dan manusiawi. Walaupun isu demonstrasi itu menjadi penekanan utama, tapi aset kepada pembangunan ummah jangan terus digadaikan begitu sahaja. Di atas semangat ukhwah fillah, dan prinsip keadilan dan hak mahasiswa untuk belajar; saya mendoakan agar segala urusan dan ruang negosiasi terus menjadi pilihan yang tepat serta menunjukkan satu sifat profesional dalam menangani kes ini dan akan datang.

Jika anak kita mengadu kasih dan perhatian kita, adakah menghambatnya keluar rumah menjadi pilihan?


Desa Kasia |0233
Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. FARIDFARUQI - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger